Monday, September 19, 2011

BILA NYAWA TIDAK BERHARGA...KEDAMAIAN MULA TERCALAR...HISABLAH DIRI...MUSIBAH DIBERI OLEH ALLAH KERANA BANYAK MENGHINA HUKUM ALLAH...DENGAN TAK MENGIRA DOSA DAN PAHALA...

Gejala Emo mula menular

ANTARA gambar yang dimuatkan pengikut fanatik kumpulan Emo di Facebook yang memaparkan perlakuan sumbang ahlinya seperti bercium antara lelaki dan wanita.


KUALA LUMPUR – Sanggup kelar tangan, menjilat darah sendiri serta melakukan seks bebas merupakan antara perlakuan dan amalan sumbang pengikut-pengikut kumpulan yang dipanggil Emo yang mula dikesan menular di negara ini.
Kosmo! difahamkan, kumpulan itu di negara ini biasanya dianggotai oleh remaja perempuan bermasalah terutama mereka yang sering tertekan kerana kesedihan, kekecewaan serta dihimpit kenangan buruk semasa kecil.
Kegiatan kumpulan itu ialah mengadakan pertemuan beramai-ramai di satu tempat dan mendengar muzik beberapa kumpulan yang membawa imej kumpulan Emo dari Barat antaranya, My Chemical Romance, Jimmy Eat World dan The Promise Ring dari Amerika Syarikat.
Sambil itu, mereka mula menghayati mesej membunuh diri berdasarkan lirik-lirik lagu berkenaan dan ada antara mereka mula mencederakan diri masing-masing dengan senjata tajam ketika mendengar lagu itu.
Antara lagu yang mempunyai unsur kepada perbuatan membunuh diri ialah yang bertajuk Welcome to the Black Parade nyayian kumpulan My Chemical Romance dari Amerika Syarikat dengan liriknya ‘And though you’re dead and gone, believe me your memory will carry on’ (Walaupun anda telah mati, percayalah saya, kenangan anda akan terus kekal).
Bagi lebih menjiwai suasana, ada antara mereka mengambil pelbagai jenis dadah terutama heroin, syabu dan ekstasi.
Ritual paling popular di kalangan mereka ialah mengelar tangan sendiri dan mati dalam keadaan perlahan-lahan dan ia berbeza dengan kumpulan songsang lain seperti gothic, black metal, Nazi, punk dan sebagainya.
Penampilan kumpulan Emo mudah dikenali kerana mereka biasanya memakai celak di mata, gaya rambut panjang dan berwarna menutupi sebahagian daripada wajah mereka selain berseluar ketat.
Pengarah Urusan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal (gambar) yang mendedahkan trend terbaharu remaja perempuan itu berkata, pengikut fanatik kumpulan Emo mendakwa mendapat kepuasan apabila mereka melakukan semua ritual tersebut.
“Mereka rasa puas terutama ketika mereka mengelar tangan dan menjilat darah sendiri termasuk melakukan semua perbuatan tidak berakhlak membuatkan diri mereka rasa begitu hebat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Thailand bantu rakyat Malaysia mangsa letupan bom


KESAN letupan bom sudah dibersihkan di Jalan Charoen Khet, bandar Sungai Golok semalam.


SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) – Kerajaan Thailand akan memberi sumbangan wang tunai kepada warga Malaysia yang maut dan cedera dalam kejadian letupan bom di bandar Sungai Golok malam Jumaat lalu.
Pemangku Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar (gambar kecil) memberitahu, keluarga setiap mangsa yang maut akan diberi RM10,000 manakala mangsa yang cedera dan dirawat di hospital di Thailand akan ditanggung kos rawatannya di antara RM1,000 dan RM5,000.
“Selain itu, Bahagian Keselamatan Bencana Alam Wilayah Narathiwat juga akan memberi RM5,000 kepada mangsa yang maut dan RM500 hingga RM2,000 kepada yang cedera,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Katanya, untuk mendapatkan sumbangan itu, mereka yang terlibat perlu membuat laporan kecederaan yang dialami terlebih dahulu di Pejabat Daerah Sungai Golok.
Dalam perkembangan lain, Rosdi memberitahu, jumlah mereka yang tercedera termasuk maut dalam kejadian itu adalah 120 orang.
Katanya, sebanyak 40 orang daripadanya dirawat di Hospital Sungai Golok dengan lima daripadanya rakyat Malaysia.

Kena kelentong syarikat China


CHONG Chew menunjukkan laporan polis dan contoh bahan kimia palsu yang diterima daripada syarikat China pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan bekalan bahan-bahan kimia membuat jalan raya dari tiga buah syarikat di China berkecai apabila dia mendakwa ditipu pembekal tersebut hingga kerugian RM500,000 tiga bulan lalu.
Tan Chong Chew, 48, mendakwa, bahan yang dihantar merupakan tiruan dan berbeza sama sekali ketika dia membuat urusan pembelian pada pertengahan Mac lalu. Bahan tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada Jun lalu.
Dia yang mendapat tender dengan Jabatan Kerja Raya berkata, bahan kimia yang dipesan itu merupakan pepejal Petroleum Resin jenis C5 dan Titanium Dioxide. Ia akan dicampurkan dengan sejenis bahan kimia lain untuk membuat garisan putih jalan raya.
“Saya baru pertama kali berurusan dengan syarikat itu kerana syarikat sedia ada yang saya berurusan sejak 10 tahun lalu kehabisan bekalan,” dakwanya.
Chong Chew menambah, dia mengetahui mengenai syarikat itu ketika melayari Internet sebelum menghubungi syarikat itu. Mereka kemudian menghantar sampel bahan kimia menerusi kurier bagi meyakinkannya.
Menurutnya, selepas membuat pembayaran, syarikat itu menghantar empat kontena mengandungi bahan kimia tersebut tetapi ia tiruan selepas diuji.
“Saya cuba menghubungi syarikat itu tetapi mereka mengarahkan saya membuat bayaran tambahan untuk penghantaran seterusnya,” dakwanya lagi.

Kena tikam ketika beli barang


SEORANG lelaki terbaring selepas cedera parah akibat ditikam penjenayah dalam kejadian samun di kedai serbaneka, Jalan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah kelmarin.


SUNGAI PETANI – Tindakan seorang lelaki yang cuba menggagalkan kejadian samun di sebuah kedai serbaneka menyebabkan dia cedera parah selepas ditikam di leher oleh salah seorang daripada tiga penyamun terbabit.
Kejadian pukul 12 tengah malam kelmarin di Jalan Bakar Arang, di sini itu berlaku apabila mangsa berusia 20-an itu datang ke kedai tersebut untuk membeli sesuatu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali memberitahu, ketika kejadian terdapat seorang juruwang termasuk mangsa.
“Tiga lelaki memakai topi keledar kemudian masuk ke dalam kedai dan menahan juruwang serta mangsa sebelum mengacukan pisau ke leher. Mangsa yang cuba melawan kemudian cedera parah akibat ditikam,” katanya.
Tambahnya, suspek kemudian merampas wang RM3,000, rokok dan beberapa botol arak sebelum melarikan diri menggunakan motosikal ke arah pusat bandar.


Lelaki didakwa rompak, cederakan kontraktor


MAHANDRAN diiring keluar selepas didakwa merompak dan mencederakan seorang kontraktor di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang kontraktor perkapalan.
Tertuduh, R. Mahandran, 30, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap S. Vijayaratnam, 47, di Jalan Tasik 24, Bandar Seri Alam, Masai pada pukul 7.30 petang, 6 September lalu.
Dia dan dua lagi suspek yang masih bebas didakwa merompak, mencederakan Vijayaratnam serta merampas sebuah kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran JKH 7730, tiga buah jam tangan, seutas rantai, dua pasang subang dan tiga buah telefon bimbit.
Mahandran didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chen.
Hakim Mohd. Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan pada 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes.


Kornea mata koyak tertusuk jari sendiri


SITI NUR HIDAYAH menunjukkan mata kanannya yang cedera di Kuala Berang semalam.


HULU TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan empat, Siti Nor Hidayah Rosli, 16, cedera pada mata kanan sehingga terkoyak korneanya gara-gara tertusuk jari telunjuk sendiri pada bulan Ramadan lalu.
Akibatnya, dia terpaksa menjalani pembedahan yang memerlukan tempoh selama tiga tahun untuk sembuh sepenuhnya.
Siti Nor Hidayah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang dekat sini berkata, dia secara tidak sengaja tertusuk jari telunjuknya ke matanya ketika bermain dengan anak saudaranya.
“Perkara sudah berlaku dan saya terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan kornea baharu yang memerlukan tiga tahun untuk sembuh sepenuhnya.
“Tahun depan saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan itulah yang paling merisaukan saya jika mata saya masih belum sembuh,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan kewangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu di rumahnya di Kuala Berang di sini semalam.

APMM tangkap lanun Indonesia


ZULKIFLI (kanan) menyoal enam perompak laut yang ditangkap di Tanjung Piai, Pontian semalam.


JOHOR BAHRU – Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya menggagalkan cubaan enam lelaki warga Indonesia yang disyaki cuba merompak tiga kapal dagang di Barat Tanjung Piai, Pontian semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, keenam-enam lelaki berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.50 pagi pada kedudukan 2.4 batu nautika Barat Tanjung Piai.
Katanya, kira-kira pukul 12.30 pagi, APMM Wilayah Selatan menerima maklumat berkaitan sebuah bot kayu yang mencurigakan berada berdekatan kapal MV Kandariah dan MV AL-Agaila.
“Hasil maklumat tersebut, bot laju APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan itu bergerak ke lokasi kejadian dan berjaya mengesan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan berada rapat dengan kapal MV Sky Jupiter. Negara asal kapal-kapal tersebut masih disiasat.
“Sejurus melihat kehadiran APMM, bot tersebut cuba melarikan diri menyebabkan anggota kami terpaksa melepaskan tembakan amaran agar mereka berhenti,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Zulkifli berkata, hasil pemeriksaan, terdapat enam lelaki warga Indonesia tanpa sebarang dokumen berada di dalam bot berkenaan.
Turut ditemui di dalam bot beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan rompakan ke atas kapal-kapal dagang seperti pisau pemotong daging, tukul, kapak, spanar, pemutar skru, tali dan buluh.

No comments:

Post a Comment