Sunday, September 18, 2011

SIFIR MUDAH....PENENTANG PENJAJAH MEREKA PENGKHIANAT...PENDERHAKA....YANG BODEK PENJAJAH..MEREKA ADALAH TALI BARUT....CARI MAKAN...BILA MERDEKA IA MENCANANG MEREKA LAH HERO...SEDANG TAK PERNAH DILOKAP...DAN DIKEJAR OLEH PENJAJAH...ALLAH SAJA YANG SAPE WIRA UNTUK MERDEKA....

Leher ayah berlubang

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan ADNAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my

HANCUR... kereta yang musnah dalam kejadian  bom yang membunuh tiga rakyat Malaysia.
HANCUR... kereta yang musnah dalam kejadian bom yang membunuh tiga rakyat Malaysia.
SUNGAI GOLOK (Thailand): “Dalam keadaan terkejut dan panik, saya dan isteri meredah asap tebal selepas bom meletup. Kami lihat perut anak terburai, manakala ayah cedera parah di kepala dan lehernya berlubang,” kata Wong Wai Siong, 33.
Wai Siong kehilangan anak, Wong Kai Sien, 3, dan bapa, Wong Hong Yep, 64, serentak selepas terbunuh dalam kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok, di sini, jam 8.15 malam kelmarin.

Selain dua beranak itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh ialah pengurus insurans dari Kuantan, Pahang, Foong Too Keh, 45.
Wai Siong berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Ang Ya, 35, dua anak dan ayahnya berkunjung ke Sungai Golok dari Kota Bharu dan tiba jam 6.30 petang untuk membawa isteri menjalani rawatan di Hospital Sungai Golok kerana sakit perut dan membeli susu anak.

Katanya, selepas selesai rawatan dan membeli susu anak, mereka lima beranak makan di sebuah kedai makan sebelum tiba-tiba terdengar letupan bom, lalu segera keluar untuk pulang dan pada masa sama melihat apa berlaku.

“Mendengar letupan bom, kami segera keluar dari restoran untuk pulang. Dalam perjalanan ke kereta yang jaraknya 40 meter dari restoran, sebutir lagi bom di sebuah motosikal meletup.

“Ketika itu anak saya dan datuknya keluar terlebih dulu dari restoran manakala saya, isteri dan seorang lagi anak berada tidak jauh daripada mereka. Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata, saya kehilangan anak dan ayah,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Golok, di sini, semalam.

Menurut Wai Siong, anaknya ditemui dalam keadaan terhempap motosikal manakala ayahnya terbaring kaku.
Wai turut cedera di pergelangan kaki kanan, isterinya luka di tangan, manakala anak bongsunya, Wong Kai Royce, 1, tidak cedera.

Sementara itu, abang Too Keh, Foong Too Meng, 55, berkata adiknya berkunjung ke pekan Sungai Golok untuk berjalan-jalan dan tiba di pekan itu jam 5 petang.

“Adik saya mendaftar untuk menginap di Hotel Genting sebelum keluar ke Hotel Merlin untuk minum bersama rakan.

‘Ketika dalam perjalanan ke Hotel Merlin, bom diletakkan di motosikal berdekatan sebuah tokong meletup. Serpihan bom terkena tulang rusuk adik, menyebabkan dia parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Too Meng, dia menerima panggilan daripada rakan adiknya yang terselamat daripada kejadian itu jam 7.45 petang.

Dua wanita terpelanting

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED dan SITIE NURHAJATULZIEMAH MOHD NOR
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: “Sejurus terdengar bunyi dentuman kuat, kerongkong saya terus terhantuk pada kerusi depan manakala dua rakan wanita di tempat duduk berasingan dilihat terpelanting ke depan,” kata Tin Tun Aung, 40, seorang daripada penumpang yang nyaris maut apabila bas ekspres dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 224.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan berdekatan Rembau, dekat sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7 pagi, bas dua tingkat membawa 10 penumpang berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Melaka.

Setiba di lokasi kejadian, bas itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan dan terbabas hingga menyebabkan beberapa penumpang cedera.
Menurut Tin yang juga warga Myanmar, dia dan dua kenalan wanita senegaranya, Aye Aye Thin, 38, dan Khin Khin Sein, 35, baru selesai menemui adik seorang daripada mereka yang baru tiba dari Myanmar di Juru, Kedah.

“Kami bertiga seterusnya mahu pergi ke Melaka untuk menemui kenalan lain dengan menaiki bas terbabit, jam 12 tengah malam tadi (semalam).

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, saya yang belum sempat melelapkan mata di tingkat bawah bas itu terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat dua rakan lain terpelanting dari tempat duduk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.

Beliau mendakwa ketika itu tidak sempat memegang apa-apa berikutan hentaman kuat sehingga menyebabkan kerongkongnya cedera akibat terhantuk pada kerusi depan.

Keluarga malu tagih simpati



PASIR PUTEH: Cicit saudara pejuang kemerdekaan, Tok Janggut kini terlantar sakit di rumahnya di Kampung Darang Buaya, Gaal, dekat sini, akibat angin ahmar sejak dua tahun lalu tanpa mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan.
Selain menderita sakit lumpuh separuh badan, Sulaiman Ismail, 80, dihimpit kemiskinan dan perlu memakai lampin pakai buang selepas isterinya, Halimah Muda, 74, semakin uzur untuk menguruskannya.

Walaupun pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata, dua anak saudara yang dipelihara sejak kecil, Wan Yusof Wan Ahmad, 24, dan Noriza Mamat, 39, membantu Halimah dalam menguruskan Sulaiman.

Selain Sulaiman, abangnya, Hassan, 85, kini terlantar sakit tua di rumahnya di Kampung Batu Hitam, Gaal.

Sulaiman berkata, dia dan Hassan tidak mahu dilabelkan sebagai ‘penumpang populariti’ datuk saudara mereka kerana arwah ayah mereka, Ismail, antara cucu saudara paling disayangi Tok Janggut.

Katanya, sepanjang hayat ayahnya, ramai individu, pengkaji sejarah termasuk pihak muzium datang berkunjung ke rumahnya bagi mengkaji perihal kehidupan Tok Janggut, selain turut menjanjikan pelbagai bantuan.


“Namun sehingga kini tiada bantuan dihulurkan, menyebabkan hidup kami berdua ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Dulu ketika masih gagah, saya menoreh getah bagi menyara kehidupan keluarga, namun sejak menderita sakit dua tahun lalu, saya tidak mampu melakukan kerja itu, menyebabkan kami bergantung hidup pada Noriza yang kini bekerja sebagai pembantu asrama sekolah,” katanya.

Menurutnya, RM300 diperlukan bagi membeli lampin dan juga ubat namun masih tidak mencukupi berikutan kenaikan harga barangan, menyebabkan dia terpaksa menggadaikan barangan kemas isterinya.

“Pernah ada individu menawarkan untuk membeli sebilah keris pusaka milik Tok Janggut dengan harga mencecah puluhan ribuan ringgit, namun saya enggan menjualnya kerana diamanahkan arwah ayah supaya terus menjaganya sebaik mungkin.

“Keris bermata lurus sepanjang 0.3 meter dengan berat 800 gram itu pernah digunakan Tok Janggut ketika menentang askar Inggeris, di mana sarungnya diperbuat daripada kayu Semeru Tunggal manakala hulunya dihasilkan daripada kima, iaitu sejenis spesies siput laut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di makam Tok Janggut di hilir Pasir Pekan, Tumpat mendapati hanya dua papan tanda arah iaitu di jalan utama dan jalan masuk ke makam diletakkan oleh pihak berwajib hinggakan pengunjung, terutama dari luar Kelantan, sering tersesat jalan.

Kedudukan makam dari jalan utama dianggarkan sejauh 1.2 kilometer dan pengunjung perlu mendapat petunjuk jalan daripada penduduk kampung jika tidak mahu kenderaan kehabisan minyak.

Jika sebelum ini makam Tok Janggut terbiar hingga kawasan sekitarnya dipenuhi semak, namun ia kelihatan terpelihara sejak pihak muzium membina pagar serta meletakkan batu hiasan di sekelilingnya.

Mengikut fakta sejarah, Tok Janggut atau nama sebenarnya, Mat Hassan Munas dilahirkan di Kampung Saring, Jeram sebelum dibesarkan di Istana Raja Jeram oleh ayahnya yang juga Panglima Tengku Seri Maharaja Jeram.

Tok Janggut mempelajari ilmu pendekar daripada Datuk Mingkong Bujur Legeh manakala didikan agama daripada Panglima Munas sendiri.

Semangat menentang penjajah mendapat sokongan cicit pengasas kerajaan Kelantan iaitu Tengku Besar Jeram.

Kehadiran sekumpulan pejuang dari Pahang yang menjadi buruan Inggeris pada 1890-an sebelum bersembunyi di Jeram turut menyemarakkan semangatnya menentang penjajah.

Antara paling sensitif ialah pengenaan cukai kepala RM1 seorang setahun, pokok buah-buahan tiga sen setahun, kelapa tiga sen setandan dan sireh lima sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram diambil alih seorang pegawai tadbir British dari luar Kelantan dikenali sebagai Latiff bagi menggantikan Tengku Besar.

Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai terlalu lambat sehingga berlarutan tiga hari menyebabkan Tok Janggut enggan membayar cukai sebelum Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai Sarjan Sulaiman atau Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib bagi menemui Tok Janggut pada 29 April 1915.

Dalam pertemuan itu, pergelutan berlaku yang menyaksikan Che Wan terbunuh, menyebabkan Tok Janggut dan pengikut setianya semakin bersemangat untuk ‘menyerang’ Latiff di Pasir Puteh.

Namun, Latiff meloloskan diri ke Kota Bharu sebelum bantuan ketenteraan dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dihantar ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.

Pertempuran sengit berlaku di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh pada 25 Mei 1915 menyaksikan kebangkitan Tok Janggut, menyebabkan Sultan Kelantan pada masa itu merasai dirinya terancam, selain menganggap pejuang kemerdekaan itu sebagai penderhaka.

Bagaimanapun, Tok Janggut menemui ajal dalam pertempuran di Kampung Pupuh sebelum mayatnya dibawa ke Kota Bharu menggunakan kereta lembu yang memakan masa satu hari.

Selepas digantung secara tergantung daripada kaki ke bawah selama beberapa hari di depan istana di Padang Bank atau Padang Merdeka, mayat Tok Janggut akhirnya dikebumikan di hilir Pasir Pekan.

Tipu samun

Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Risau dikenakan tindakan selepas menggunakan wang syarikat, seorang kakitangan restoran makanan segera di Skudai, di sini, sengaja mengada-adakan cerita dia disamun empat lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan memasukkan wang berjumlah lebih RM17,000 ke dalam akaun bank pada jam 11 pagi, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tembelang lelaki berkenaan terbongkar selepas siasatan dijalankan polis mendapati kejadian itu sebenarnya tidak wujud, malah polis turut menahan seorang pekerja lain di premis sama apabila mendapati berpakat mereka cerita itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya membuat satu laporan berikutan tindakan lelaki berusia 26 tahun itu serta seorang lagi pekerja berusia awal 20-an membuat laporan palsu.
Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai terguna wang hasil jualan restoran berkenaan sebanyak RM7,000 dan menggelabah kerana tiada wang cukup bagi menggantikannya.

“Ketika menuju ke bank, dia ditemani seorang lagi pekerja tetapi apabila tiba giliran untuk memasukkan duit, lelaki berkenaan mula menggelabah kononnya wang dibawanya tercicir.

“Bagi mengelak dikenakan tindakan, lelaki terbabit kemudian berpakat dengan rakannya bahawa mereka disamun dan sebagai upah menutup mulut pekerja itu, lelaki berkenaan menjanjikan bayaran RM200,” katanya.

Ruslan berkata, ketika siasatan dilakukan, pihaknya mendapati ada yang tidak kena serta keterangan diberi meragukan sebelum memanggil semula lelaki berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

Katanya, ini kerana beberapa kandungan dalam laporan lelaki itu meragukan dan apabila disiasat, lelaki itu mengaku dia sebenarnya mengadakan cerita.
Hasil siasatan, katanya, membawa kepada penemuan semula baki wang berjumlah RM10,000 disembunyikan di dalam ruang pejabat premis restoran makanan segera berkenaan.

Dalam laporan polis dibuat lelaki itu, dia mendakwa dokumen pengenalan diri, kad ATM serta jam tangan turut dilarikan penjenayah, tetapi ia sebenarnya diserahkan kepada rakan untuk menyimpannya buat sementara waktu.

“Kita membuat satu lagi laporan polis berhubung dakwaan palsu lelaki berkenaan dan siasatan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam,” katanya.

“Tindakan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengganggu tugasan polis, sedangkan banyak lagi tugas perlu dilakukan.

“Secara tidak langsung ia memberi gambaran negatif berhubung kadar jenayah yang sebenarnya tidak wujud, tetapi diada-adakan serta dilaporkan semata-mata untuk kepentingan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak direman, sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapan direkodkan.

Polis pantau aktiviti persundalan warga Filipina



KUALA LUMPUR: Polis sentiasa memantau pergerakan atau kebanjiran warga asing, khususnya Filipina, di sekitar ibu kota yang disyaki menjalankan aktiviti persundalan.
Tindakan itu perlu kerana kehadiran golongan berkenaan sebenarnya tidak mendatangkan keselesaan di kalangan orang ramai di kawasan itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya percaya ada antara wanita di situ mempunyai niat ‘tersirat’ selain berhibur.
“Kehadiran mereka tidak disenangi semua pihak, khususnya yang melancong bersama keluarga atau pelancong lain, kerana tidak semua pelancong yang datang ke Malaysia ingin mendapatkan khidmat seks.

“Lagipun, kita bukan lokasi yang terkenal dengan perkhidmatan seperti itu dan ia juga bukan budaya masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebanjiran wanita asing, khususnya Filipina, yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks kepada orang ramai, terutama pelancong asing di sekitar jalan berkenaan.

Golongan berkenaan biasanya menyamar sebagai pelanggan pusat hiburan berhampiran dan berlegar-legar di luar premis sebelum menggoda pengunjung di kalangan warga tempatan atau pelancong asing yang mabuk.

Aktiviti persundalan itu didapati turut dibantu kumpulan pemandu teksi, dipercayai yang bekerja secara sambilan untuk membawa pasangan wanita terbabit ke hotel yang disewa khas atau hotel pelancong berkenaan.
Kebanyakan wanita yang memperdagangkan tubuh di kawasan itu menawarkan perkhidmatan mengikut jam atau harian dengan kadar tertentu mengikut persetujuan kedua-dua pihak.

Abdul Jalil berkata, polis memandang serius kehadiran golongan terbabit yang sering berlegar-legar tanpa tujuan di sekitar jalan berkenaan dan tidak pernah ‘tutup mata’ dengan perkembangan itu.

“Kita sentiasa memantau dan memerhati pergerakan golongan itu dan mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.

“Saya menasihatkan mereka menghentikan perbuatan itu atau berdepan tindakan kerana kita mempunyai pendekatan membawa mereka ke mahkamah,” katanya.

Dol Said bunuh 40 askar Inggeris



MELAKA: Seorang waris kepada pejuang Melaka, Datuk Dol Said mendakwa kerabat Naning tidak pernah menerima pengiktirafan selepas Inggeris memansuhkan Naning pada 1832.
Abu Hussin Datuk Mangun Ibrahim, 70, yang juga oneng-oneng (generasi ke-5) Dol Said berkata, Naning pernah berjasa mempertahankan tanah air pada masa dulu, justeru pihak berkenaan wajar memberi sedikit imbuhan kepada kerabat Naning yang masih ada.

Menurutnya, kekuatan Naning ketika itu diakui pihak Belanda yang pernah berperang dengan Naning selama 10 tahun.
Beliau berkata, ketika Inggeris mahu menyerang Naning, Belanda memaklumkan kepada Inggeris bahawa Naning kuat dan bukan sembarangan orang walaupun hanya menggunakan senjata keris, pedang, tombak dan batu yang dilontar menggunakan tali.

“Bagaimanapun, Inggeris pada masa itu tidak percaya dan yakin boleh mengalahkan Naning dalam tempoh satu hari kerana memiliki senjata lebih canggih seperti senapang dan meriam.

“Pada 1829, Inggeris menghantar 40 askarnya dari Melaka ke rumah Dol Said bertujuan membawanya ke Melaka untuk berbincang, namun beliau enggan menuruti. Ketika itu Dol Said berada di atas rumah dan askar Inggeris memanggilnya turun, tetapi beliau enggan.

“Ini membuatkan askar Inggeris naik ke rumah Dol Said untuk memaksanya turun serta mengikuti mereka. Bagaimanapun, Dol Said bertempur dan menewaskan semua askar Inggeris,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherana Puteh, Alor Gajah, di sini.

Menurut Abu Hussin, sebaik mendapat tahu askar mereka ditewaskan Dol Said, Inggeris menghantar lebih ramai askar dan bermulalah Perang Naning pertama.
Berdasarkan fakta sejarah, peperangan untuk menakluki Naning pada masa itu memihak kepada Naning diketuai Dol Said yang gagah dan bijaksana.

Pertempuran disertai pengikut Dol Said yang membantah campur tangan Inggeris di Naning, mengakibatkan Inggeris tewas dan terpaksa berundur ke Melaka semula selepas 20 hari serangan.

Pada Mei 1832, Inggeris melancarkan serangan kedua ke atas Naning dan mengerahkan lebih 1,000 askar lengkap dengan meriam. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat daripada Dol Said dalam pertempuran sengit.

Dol Said dengan pintarnya menentang tentera Inggeris yang besar ketika itu menggunakan cara peperangan gerila. Akhirnya, selepas lima bulan pertempuran berlangsung, Inggeris berjaya menawan Taboh tetapi Dol Said berjaya melepaskan diri.

Abu Hussinyang juga mantan Datuk Seri Nan Kaya dan Datuk Lembaga Tiang Balai Wilayah Naning (Datuk Lembaga Tertua) berkata, Dol Said meninggal dunia pada 1849 akibat sakit tua dan disemadikan di makam besar berhampiran sawah padi di belakang Masjid Taboh Naning, Alor Gajah.

Waris perlu jaga pusaka



KUALA LUMPUR: “Jika tinggalan sejarah itu penting, tidak salah ia dijaga bagi tatapan masyarakat pada masa depan kerana sekurang-kurangnya ia menjadi bukti sesuatu peristiwa itu berlaku di negara kita,” kata pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai barangan tinggalan tokoh pejuang seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Dol Said.
Menurut Khoo, tinggalan seperti rumah yang pernah digunakan, peralatan, kubu atau makam mereka diiktiraf sebagai tinggalan sejarah, namun pewaris perlu mencari mekanisma untuk menjaga dan mengelakkan warisan itu rosak.

“Ada tinggalan mempunyai nilai sejarah tinggi, terutama jika seni pembuatannya halus dan berusia, tetapi saya beranggapan pewaris jangan hanya mengharapkan kerajaan negeri untuk membantu mereka memuliharanya, sebaliknya mereka perlu ambil inisiatif sendiri kerana mereka itu yang sebenar-benarnya bertanggungjawab penuh sebagai pewaris kepada peninggalan berkenaan,” katanya.

Penduduk gempar

Oleh RIADZ RADZI
riadz@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Penduduk Kampung Seberang Pumpong, di sini, menemui hampir 300 keping MyKad, MyKid, lesen memandu, kad bank, kad kredit dan pelbagai jenis kad yang bertaburan di dalam tali air dan tepi jalan masuk ke kampung berkenaan berhampiran Kompleks Sukan, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.
Beberapa penduduk yang melalui jalan itu membuat laporan polis pada jam 9.30 pagi selepas pelik melihat ratusan dokumen penting milik pelbagai individu itu dibuang begitu saja di sepanjang laluan sepanjang 200 meter itu.

Seorang penduduk berkata, dia menemuinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung berkenaan petang kelmarin sebelum memberitahu rakannya.
Dia yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat banyak MyKad dan lesen memandu milik bertaburan di tepi jalan dan tebing tali air berkenaan.

“Petang semalam (kelmarin) air pasang dan tali air itu dalam. Namun apabila air surut pagi ini (semalam), lebih banyak dokumen penting itu dijumpai. Ia seolah-olah dibuang dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tidak berani mengambilnya lalu pulang ke rumah sebelum memberitahu rakan. Hari ini (semalam) baru kami pergi membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, selain dokumen penting itu, turut dijumpai ialah pelbagai jenis kad termasuk kad kesihatan, kad beli-belah, slip transaksi bank dan buku akaun bank.

Tinjauan juga mendapati pemilik MyKad dan lesen memandu terbabit kebanyakannya beralamat di sekitar bandar raya ini, Jitra dan Yan. Selain itu ada yang beralamat di Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, 298 keping dokumen pelbagai jenis itu ditemui di sepanjang tali air dan jalan di kawasan itu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 102 keping MyKad; 126 lesen memandu; 51 kad bank dan 19 keping pelbagai kad, termasuk MyKid.

“Kita percaya ia perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang melakukan jenayah seperti ragut, pecah kereta dan pecah rumah sebelum membuang dokumen milik mangsa di kawasan itu,” katanya.

Katanya, selain di negeri ini, ada pemilik MyKad dan lesen memandu itu beralamat di Pulang Pinang dan Perlis.

Baharom berkata, pihaknya sudah mengumpul semua dokumen itu dan akan mengesan pemiliknya bagi mengetahui bagaimana mereka kehilangan MyKad atau lesen memandu itu.

“Dari situ kita boleh mengetahui mereka mungkin menjadi perbuatan jenayah atau sebaliknya,” katanya.


Ciuman terakhir

Oleh MOHD SABRAN MD SANI
sab@hmetro.com.my

TUMPAT: “Perangainya (arwah suami) pelik petang semalam (kelmarin) kerana bukan saja mencium pipi saya dan dua anak kami tetapi sempat meninggalkan wang, seolah-olah ada sesuatu yang tersirat,” kata suri rumah, Siti Fatimah Ismail, 23.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kereta Proton Wira Aeroback dinaiki suaminya, Allahyarham Mohammed Sidik, 32, hilang kawalan lalu terbabas dan menjunam ke dalam kawasan tali air di Kilometer 2.5 Jalan Berangan-Meranti, di sini.

Kemalangan menyebabkan Mohammed dan rakannya yang juga pemandu kereta, Mohamad Rasid Sabudin, 23, gagal keluar dari kenderaan sebelum maut di tempat kejadian selepas kenderaan sarat dengan 20 tong minyak petrol itu terbakar.
Difahamkan, akibat kejadian itu, Mohamad Rashid yang berasal dari Rumah Asap Tembakau, Cabang Empat, dekat sini, terbakar hampir seluruh badan dan muka, manakala Mohammad pula yang beralamat di Pondok Haji Husin, Geting, dekat sini, melecur separuh badan, termasuk dua kakinya.

Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan kerjasama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tumpat (HT), dekat sini, untuk bedah siasat.

Siti Fatimah yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keduanya, Mohd Fitri Shah, berkata dia terkejut selepas mendapat berita kemalangan yang mengorbankan suaminya, malam kelmarin.

“Menggeletar badan saya sejurus rakan arwah suami memaklumkan kemalangan itu. Saya sangka dia hanya kemalangan biasa, namun suami maut selepas kenderaan dinaikinya terhumban ke dalam parit.

“Saya kemudian menghubungi ibu mentua mengenai kemalangan itu dan mereka bergegas ke Hospital Tumpat (HT) untuk menuntut mayat suami di bilik mayat,” katanya sebak sejurus ditemui melihat lokasi kemalangan mengorbankan suaminya.
Ibu dua anak itu berkata, meskipun berat hatinya menerima kenyataan kehilangan suami dalam sekelip mata, dia reda dengan ujian Tuhan.

“Kerja mengambil upah mengambil minyak terbabit baru diceburinya tetapi tidak sangka membawa kepada musibah, malah kenderaan itu diberikan taukenya (majikan suami).

“Jika tidak menerima pelawaan rakannya, mungkin arwah tidak terbabit dengan kerja berisiko seperti itu,” katanya yang turut menyedari kelainan pada wajah suaminya apabila dilihat merenung lama ke arah mereka tiga beranak sebelum meninggalkan rumah pada petang sebelum kejadian.

Sementara itu, ibu Mohammed, Mek Embon Ismail, 54, berkata kali terakhir bertemu arwah anaknya selepas pemuda berkenaan bersama anak sulungnya, Mohd Adam Asyraf, 3, datang ke rumah seminggu lalu, selain dilihat berselera makan.

Mohammed disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Garong Pasir Puteh, manakala rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunohan selepas solat Zuhur, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kemalangan menimpa dua sahabat terbabit selepas kenderaan dinaiki mereka yang sarat muatan tong minyak dipercayai petrol, terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Berangan menghala ke Cabang Empat dan kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian,” katanya.

No comments:

Post a Comment