Tuesday, November 8, 2011

BILA HIDUP TAK RASA TENTERAM...JENAYAH MENINGKAT DAN MENAKUTKAN....HUKUM ALLAH SAJA YANG SESUAI UNTUK DIAMALKAN...

Wang RM316,000 dalam ATM lesap

mesin ATM (dalam bulatan) yang hilang dari sebuah bank di Taman Midah, Cheras semalam.


CHERAS – Tindakan tekad sekumpulan penjenayah melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berbaloi apabila mereka berjaya memecah mesin ATM itu dan melarikan kesemua wang berjumlah RM316,000 dari dalam mesin yang disamun di sebuah bank di Taman Midah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi, kumpulan yang dipercayai terdiri daripada enam lelaki berusia 30-an bertindak nekad dengan menarik serta menyeret sebuah daripada lapan buah mesin ATM yang berada di bank itu.
Penjenayah tidak bertopeng itu menyasarkan mesin ATM yang terletak berhadapan dengan pintu cermin bagi memudahkan mereka menarik keluar mesin tersebut.
Semasa kejadian, bank tersebut tiada pengawal keselamatan.
Suspek-suspek yang mengambil masa kurang 10 minit untuk merompak itu dipercayai menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda bagi menarik keluar mesin itu.
Selepas lapan jam kejadian itu, mesin ATM tersebut ditemui di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Pinggiran Hulu Klang, Ampang Jaya dekat sini.
Jarak antara mesin ATM itu disamun dan ditemui semula kira-kira 15 kilometer.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, kecurian mesin ATM itu disedari oleh polis yang melakukan rondaan di Taman Midah sebelum ternampak pintu kaca di bank itu pecah.
“Pemeriksaan mendapati sebuah mesin ATM yang terletak di tengah-tengah daripada lapan mesin hilang,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan mengesyaki lima hingga enam suspek melarikan mesin tersebut dengan menarik dan mengheret berkemungkinan menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda.
Mohan memberitahu, mesin itu ditemui semula pada pukul 11 pagi apabila polis menerima maklumat orang awam yang hairan melihat mesin itu di tepi jalan di MRR2.
Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan terhadap mesin ATM tersebut mendapati kesemua wang berjumlah RM316,000 lesap.
“Polis sedang menyiasat bagaimana mesin itu mampu dipecah sehingga wang boleh diambil,” kata beliau dengan memberitahu semasa kejadian alat penggera di bank itu tidak berbunyi.
Tambah Mohan, kejadian melarikan mesin ATM di bank di situ merupakan yang pertama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 03-9284 0083 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norliza Murad di talian 012-5413005 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Pada 22 Jun 2008, seorang lelaki berjaya melarikan mesin ATM di sebuah stesen minyak di Batu 6 1/2, Jalan Klang Lama-Puchong di sini.
Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, suspek merempuh cermin hadapan stesen minyak sebelum 'menyodok' dan menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan jengkaut.
Bagaimanapun, polis tidak dapat menentukan nilai wang yang ada dalam mesin ATM yang dilarikan malah mesin itu juga belum ditemui.


Pelajar Malaysia diserang penjenayah atas motosikal




JAKARTA - Seorang pelajar Malaysia di Indonesia, Adrian Jay Pereira mati dibunuh kelmarin selepas keluar menjejaki penjenayah yang disyaki cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.
Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata, berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian, 23, bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, Jawa Timur apabila dia bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka.
Menurut beliau, Adrian yang keluar menyiasat bunyi bising itu tidak menemui apa-apa yang aneh namun dia mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.
Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu dia di dalam rumah, sementara dia menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.
Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, dia secara tiba-tiba ditetak dengan senjata tajam di bahagian kanan lehernya oleh orang yang tidak dikenali.
Semasa serangan itu, Ludinata berkata, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya.
Polis percaya dua penjenayah terlibat dalam kes itu.
Ludinata memberitahu, pihak berkuasa Indonesia mengklasifikasikan pembunuhan pelajar Malaysia itu sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam.
Kata beliau, polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.
"Pihak Hospital Saiful Anwar, Malang, telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada pukul 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," kata beliau ketika dihubungi di Malang.
Adrian ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur.
Ludinata berkata, hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.
Katanya, keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam untuk melihat keadaan mayat mendiang di hospital itu semalam.
Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada pukul 10.40 pagi waktu tempatan hari ini dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.
Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang pada masa ini dan daripada jumlah itu, 161 orang belajar di Universiti Brawijaya.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihati semua pelajar Malaysia yang berada di Indonesia supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
Khaled berkata, pihaknya menuntut agar pihak berkuasa Indonesia melakukan siasatan terperinci berhubung kes itu.

20 penjenayah rompak enam beranak tonton televisyen


Letchumanan yang cedera dirompak ketika menonton televisyen
di rumahnya di Ladang Alfa Bernam, Hutan Melintang malam kelmarin.


HUTAN MELINTANG – Enam sekeluarga yang leka menonton televisyen dengan pintu rumah terbuka dikejutkan dengan kehadiran kira-kira 20 tetamu tidak diundang merompak rumah mereka di Ladang Alfa Bernam dekat sini kelmarin.
Semasa kejadian pada pukul 11 malam, M. Letchumanan, 56, cedera parah ditetak di kepala dan dada oleh kumpulan penyamun yang turut disertai empat wanita.
Letchumanan memberitahu, dia, isteri dan empat anaknya tergamam melihat kehadiran penjenayah itu yang masing-masing bertopeng dan bersenjatakan parang atau besi mengepung mereka di ruang tamu rumah.
Penjenayah yang kelihatan bengis itu kemudian mengarahkan dia sekeluarga supaya diam dan mengikut arahan mereka.
“Ketika itu, penjenayah itu menggeledah seluruh rumah kami dan melarikan wang tunai berjumlah RM5,000, barangan kemas dianggarkan bernilai RM5,000 dan beberapa telefon bimbit,” kata Letchumanan ketika ditemui Kosmo! di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini semalam.
Sebelum kumpulan penjenayah itu beredar, mangsa memberitahu, dia yang geram melihat rumahnya digeledah cuba melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara dia dengan seorang penjenayah itu.
Namun dalam pergelutan itu, Letchumanan cedera parah akibat ditetak dengan parang di kepala dan dada.
Tiga anaknya juga cedera ringan terkena libasan parang penjenayah terbabit ketika cuba menyelamatkannya.
Letchumanan dikejarkan ke HTI sebelum kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Hutan Melintang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, setakat ini empat wanita berusia lingkungan 26 hingga 57 tahun telah ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, baki 16 lagi suspek sedang diburu dan kes tersebut diyakini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Tagih nyawa

Oleh Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, kini diberi gelaran Pantai Puaka kerana sentiasa dahagakan nyawa, sekurang-kurangnya seorang setiap tahun pasti menjadi korban di kawasan itu.
Penduduk mengesahkan kejadian korban nyawa itu berlaku setiap tahun dan ada mendakwa ia berpunca daripada kesilapan nenek moyang yang membuat perjanjian kerana mempercayai perkara karut.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bakau Tua, Ramli Mahat, 60, berkata, kejadian korban di laut itu saban tahun berlaku di kampung itu.
“Setiap tahun ada saja kejadian lemas di sini dan terbaru, Oktober lalu apabila dua pelajar lemas,” katanya.

Menurutnya, kawasan laut di situ bagaikan sentiasa dahagakan nyawa sekurang-kurangnya seorang setiap tahun.

“Bukan percaya perkara mengarut, tetapi hakikatnya memang ia berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ramli berkata, papan tanda amaran mandi sudah dipasang, tetapi kawasan pantai di situ umpama kolam renang kepada penduduk terutama kanak-kanak.

“Budak-budak, jika dilarang bukan mahu mendengar kata, takutnya hanya sekejap,” katanya.
Kampung nelayan berusia ratusan tahun itu dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang menempatkan hampir 1,000 rumah.

Penduduk, Halimah Ismail, 65, yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya percaya dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan laut Kuala Muda berpuaka kerana sejak kecil, setiap tahun dia mendengar berita kematian di laut.

“Kes mati lemas sudah puluhan kali saya dengar, belum lagi kes nelayan hilang di laut atau mati mengejut di dalam bot ketika keluar menangkap ikan,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang memikirkan nyawa siapa pula selepas ini yang akan menjadi korban laut itu.

“Kebanyakan mangsa korban laut ialah penduduk setempat tidak kira usia,” katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian di kawasan perkampungan nelayan itu ada kaitan dengan perkara tahyul dipercayai berpunca daripada nenek moyang mereka.

Katanya, pada zaman 30-an dulu, dia ada menyaksikan satu upacara seperti memberi makan kepada ‘penunggu’ laut.

“Orang kampung menyembelih kerbau dan kepala haiwan itu diletakkan di atas sebuah rakit berserta pulut kuning dan bertih jagung sebelum rakit dihanyutkan ke tengah laut,” katanya.

Namun, dakwanya, amalan itu sudah dihentikan kerana perbuatan itu syirik dan sejak itu ramai percaya laut yang dahagakan korban, memilih nyawa manusia sebagai gantinya.

“Ada segelintir penduduk kampung cuba mengembalikan kepercayaan itu namun ditentang banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, berdasarkan rekod Balai Bomba Kuala Muda, setiap tahun dari 2005 hingga 2010, ada satu kes lemas berlaku di Pantai Kuala Muda.

“Tahun ini, dua kes lemas dicatatkan membabitkan tiga kematian iaitu seorang mangsa pada Januari dan dua lagi bulan lalu.

“Setiap tahun kami menerima aduan kes lemas dan orang hilang di laut itu,” katanya.


650 pembeli rumah dakwa dianiaya


SEBAHAGIAN pembeli yang mendakwa mereka ditipu dalam tawaran pembelian
rumah flat berkumpul bagi mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah mereka di Taman Botanic, Klang semalam.


KLANG – Kira-kira 650 orang pembeli rumah murah yang mendakwa mereka ditipu oleh seorang individu berjawatan penting dalam sebuah parti mendesak kerajaan Selangor segera campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.
Mereka adalah pembeli yang ditawarkan rumah flat di empat lokasi iaitu di Taman Harmoni, Balakong di Cheras; Taman Cheras Intan, Cheras; Taman Selayang Mulia, Selayang dan Taman Botanic, Klang.
Menurut mereka, kunci rumah tersebut masih gagal diserahkan kepada pembeli sehingga kini biarpun wang pendahuluan RM2,100 sudah diberikan oleh pembeli kepada individu terbabit.
Seorang pembeli, Azlan Lam, 36, berkata, dia ditawarkan membeli rumah flat di Taman Harmoni, Balakong pada 2009 kononnya hanya diberikan mengikut kuota politik.
Menurutnya, lelaki tersebut bijak menabur pelbagai janji manis termasuk memberitahu bahawa pembelian rumah bernilai RM42,000 itu tidak akan dikenakan sebarang kadar faedah.
“Dia juga menunjukkan rumah itu kepada saya dan segala dokumen tawaran menggunakan kepala surat rasmi seperti Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
“Setelah begitu yakin dan tertarik dengan tawarannya, saya kemudian membayar deposit sebanyak lima peratus tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika berhimpun di Taman Botanic di sini semalam bagi mendesak kerajaan negeri supaya segera menyelesaikan isu tersebut.
Azlan berkata, dia mula rasa curiga dengan proses tawaran rumah itu apabila tarikh penyerahan kunci rumah telah ditunda sebanyak tiga kali dan kali terakhir adalah pada Ogos lalu namun sehingga sekarang kunci rumah masih gagal diserahkan.
“Sehingga kini, individu terbabit senyap begitu sahaja dan apabila kami pergi berjumpa dengan pihak yang berkaitan mereka mendakwa tidak tahu mengenai urusan jual beli ini,” ujarnya.
Asnah Hassan, 51, pula memberitahu, rata-rata pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Kami nak bayar deposit rumah ini pun bukan senang kerana terpaksa bergadai tetapi akhirnya kami ditipu begitu sahaja,” katanya.
Hasbullah Ismail, 40, pula menggesa kerajaan negeri menyiasat individu terbabit kerana kediaman tersebut di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

15 ibu tunggal dakwa dianiaya

SEBAHAGIAN penghuni pangsapuri Seri Cempaka, Gombak di Selangor yang mendakwa bantuan kewangan lambat diterima dan jumlahnya kurang.


GOMBAK – Sukar hendak digambarkan, apakah barang yang boleh dibeli oleh seorang ibu tunggal yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi dan kehilangan suami sejak lapan tahun lalu menerusi bantuan RM110 sebulan.
Bagi mereka yang senang, wang berjumlah RM110 tidak memberi sebarang erti namun ia berbeza bagi M. Savunthary, 50, yang turut menyara dua anak dan seorang daripadanya juga ibu tunggal sepertinya.
Apa yang lebih mengecewakannya apabila dia bukan sahaja lewat menerima bantuan itu setiap bulan bahkan jumlahnya dipotong kepada RM80 sahaja.
Lebih buruk lagi, dia seperti 14 lagi ibu tunggal yang menetap di Taman Gombak Permai di sini turut dipermainkan apabila menerima bantuan berjumlah RM30 semasa perayaan Deepavali lalu.
“Mereka janji bakinya akan dibayar tidak lama lagi. Dengan bantuan sebanyak itu, bagaimana saya hendak menyara dua anak, malah salah seorang daripadanya adalah ibu tunggal.
“Saya juga perlu membayar sewa rumah, bil elektrik serta air,’’ ceritanya yang turut memerlukan duit tambahan untuk menguruskan perbelanjaan perubatan untuk membeli ubat bagi penyakit lelahnya.


25 cedera nahas bas masuk parit


GAMBAR menunjukkan bas ekspres yang terjunam dalam parit ditarik naik di Kilometer 19, Jalan Ayer Hitam, Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Bagai mati hidup semula. Demikian yang dialami 25 penumpang termasuk empat warga Kemboja apabila bas ekspres yang mereka naiki terjunam ke dalam parit berhampiran Plaza Tol Kulaijaya di Kilometer 19, Jalan Ayer Hitam di sini semalam.
Pengalaman menakutkan itu berlaku pada pukul 4.40 pagi apabila bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Johor Bahru itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Akibat kejadian itu, semua penumpang cedera dengan tiga daripada mereka parah. Tiga yang parah itu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.
Pemandu bas dan pembantunya cedera ringan.

Suami isteri diketuk penyamun


SARIPAH (kiri) ditemani anak bongsunya, Saidatulasma dirawat di Hospital Jerantut, Jerantut kelmarin.


JERANTUT - Ketika umat Islam sibuk membuat persediaan menyambut Aidiladha, tiga penyamun warga asing mengambil kesempatan merompak pasangan suami isteri sehingga menyebabkan mereka cedera di Kampung Sungai Putat dekat sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam, tiga penjenayah tidak berhati perut terbabit bukan sahaja mengebas wang tunai berjumlah RM1,600 dan sejumlah barang kemas bahkan mereka juga menghentak kepala pasangan itu dengan objek keras.
Akibat kejadian itu, Saripah Zakaria, 38, yang cacat penglihatan terpaksa menerima lima jahitan di kepala manakala suaminya, Abd. Aziz Mohamad, 45, cedera teruk di kepala sehingga hidung, telinga dan mulutnya mengeluarkan darah.


Bayi ditemui dalam tong sampah




SEREMBAN - Polis menahan seorang wanita Vietnam selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan ke dalam sebuah tong sampah di tepi jalan di Apartmen Desa Jati dekat Nilai di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, bayi malang yang dibungkus dengan uniform sebuah kilang dan dimasukkan ke dalam beg plastik ditemui seorang wanita pada pukul 7.30 malam selepas terdengar bunyi seperti anak kucing di sebuah kedai tempat dia bekerja.
"Pekerja wanita itu pada mulanya menyangka bunyi anak kucing tetapi apabila dia menghampiri bunyi itu dia terkejut menjumpai bayi lelaki di dalam sebuah tong sampah di tepi jalan di taman itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kereta terbabas, dua beranak maut


KEADAAN kereta Honda Accord yang mengorbankan dua beranak selepas terbabas di Jalan Kuantan-Pekan semalam.


KUANTAN - Dua beranak yang dalam perjalanan pulang beraya terbunuh selepas kereta jenis Honda Accord dinaiki mereka bersama empat ahli keluarga lain terbabas di simpang Kampung Batu Tanah Merah dekat Jalan Kuantan -Pekan di sini petang semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu, Yusmawati Mat Yusof, 36, seorang pengusaha kad kahwin bersama anak bongsunya, Ahmad Rizqin Ramli, 2, beralamat di Taman Cenderawasih di sini.
Manakala empat lagi penumpang, juga dipercayai anak Yusmawati mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment