Sunday, November 20, 2011

MUNGKIN SUSAH NAK BERALAH...JIKA TAK DIGEMARI LAGI OLEH RAKYAT...SERAH SAJA KUASA PADA ORANG LAIN...HURU HARA....RAKYAT YANG TANGGUNG...NEGARA BUKAN MILIK PERIBADI...IA MILIK ALLAH...

Tunjuk perasaan semakin buruk


APENUNJUK perasaan bertempur dengan anggota keselamatan Mesir di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.



KAHERAH - Suasana di Mesir kembali tidak stabil apabila penunjuk perasaan meneruskan pertempuran untuk hari kedua dengan membaling batu kepada pihak polis di Dataran Tahrir di sini semalam.
Tunjuk perasaan tersebut diadakan bagi menuntut pihak tentera segera mengumumkan tarikh untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat.
Pasukan keselamatan Mesir menembak gas pemedih mata dan peluru getah ketika menyerbu dataran tersebut untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan, sekali gus mencetuskan pergelutan yang mengakibatkan dua orang terbunuh.
Ratusan lagi cedera dalam serbuan pihak berkuasa yang dibuat beberapa hari sebelum Mesir dijadual mengadakan pilihan raya Parlimen pertama selepas pengunduran Hosni Mubarak Februari lalu.
Ratusan penunjuk perasaan bertindak membaling batu dan membakar kenderaan polis semasa operasi menyuraikan mereka.
"Kami hanya ada satu permintaan. Beberapa pemimpin perlu meletak jawatan dan jawatan tersebut diambil alih oleh orang awam," kata seorang penunjuk perasaan, Ahmed Hani yang merujuk kepada pemerintah tentera Mesir yang merupakan Menteri Pertahanan dalam pentadbiran Mubarak sebelum ini, Hussein Tantawi.
Situasi kelmarin mengingatkan kembali senario kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan di sini semasa kebangkitan 18 hari rakyat Mesir untuk memaksa Mubarak berundur pada Februari lalu.
Keganasan yang tercetus meningkatkan kebimbangan mengenai pilihan raya Parlimen yang bakal diadakan pada 28 November ini yang dijangka dicemari kekacauan.
Rakyat Mesir kini berang berhubung proses reformasi yang lambat dilaksanakan, selain keghairahan tentera mengekalkan kuasa selepas pentadbiran baru dibentuk.
"Kami bosan dengan janji kosong pemerintah. Kami tidak akan meninggalkan tempat ini (Dataran Tahrir)," kata seorang penunjuk perasaan, Sahar Abdel-Mohsen.
"Polis menembak peluru getah, gas pemedih mata serta memukul penunjuk perasaan dengan menggunakan belantan," tambahnya.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Mohammed el-Sherbeni berkata, seorang penunjuk perasaan berusia 23 tahun terbunuh akibat terkena tembakan, manakala 676 yang lain cedera.
Seorang pegawai lain memberitahu, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan maut di Iskandariah dalam protes yang berlaku di bandar itu. - AP


10,000 pelajar Malaysia di Mesir bimbang situasi terkini



Muhammar Amin


KUALA LUMPUR – Para pelajar Malaysia di Mesir dilanda kebimbangan ekoran kekacauan yang berterusan di ibu kota negara berkenaan ekoran rusuhan melibatkan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sejak kelmarin.
Wakil pelajar, Muhammar Amin Abdul Yasin, 24, berkata, pelajar Malaysia kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan konflik lebih teruk berlaku di negara berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Kedutaan Malaysia juga telah mengeluarkan pekeliling kepada pelajar Malaysia di sini (Mesir) supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap keselamatan diri dan ketika ini terdapat kira-kira 10,000 pelajar Malaysia di Kaherah serta 1,400 di Mansoura.
“Kami juga diminta tidak keluar lewat malam, tidak menghampiri kawasan pilihan raya serta tempat perkumpulan orang ramai dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan,” katanya ketika di hubungi Kosmo! di sini semalam.
Muhammar Amin yang merupakan pelajar tahun enam jurusan perubatan Universiti Mansoura berkata, dia dan teman-teman masih mengikuti kelas di universiti seperti biasa tetapi bimbang konflik itu jika berlanjutan akan menjejaskan kuliah mereka.
Menurutnya, kekecohan berlaku kerana rakyat Mesir mendesak tentera negara itu mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru.
Sehubungan itu, katanya, para pelajar Malaysia di Mesir memohon kerajaan Malaysia membantu mereka jika keadaan politik bertambah teruk di negara tersebut.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar Malaysia di Mesir, Fauziah Mahat, 49, berkata, beliau berasa bimbang dengan keadaan anak perempuannya ekoran kekecohan yang berlaku.
Anaknya, Aini Sakinah Noor Azman, 22, melalui panggilan telefon kelmarin memberitahu dia sering melihat kereta kebal berkeliaran di merata tempat di Mansoura dan situasi itu turut berlaku di Kaherah.
“Saya sempat berpesan kepada Aini supaya beli makanan secukupnya dan tidak keluar dari rumah jika keadaan bertambah tegang,” katanya.


Misi balik Bangkok terbantut



SALAH seorang mangsa yang maut dalam kemalangan
di Kilometer 416.5, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Hulu
Selangor semalam.



HULU SELANGOR – Enam wanita Thailand yang menaiki kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan dari Melaka ke utara terpaksa melalui detik ngeri apabila mereka terjunam ke dalam gaung selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua daripada wanita itu maut.
Kejadian pada pukul 3 pagi di Kilometer 416.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke selatan itu berlaku semalam apabila pemandu kenderaan, Ng Chin Thai, 38, gagal mengawal kenderaan ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang Eyu Seng Chong, 33.
Akibatnya, kenderaan pacuan empat roda tersebut hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 20 meter.
Selepas diperiksa, dua daripada enam wanita Thailand dalam kenderaan tersebut dikenali sebagai Misskanchana Wisaithrm, 26, dan Sutisa, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala empat kawannya dan Chin Thai cedera parah.
Dua wanita yang maut itu duduk di bahagian tempat letak barang belakang dan mereka tercampak selepas kemalangan berlaku. Penutup bahagian itu turut tercabut.
Chin Thai dan wanita-wanita yang parah dikenali sebagai Kunyanut Sitthisang, 23, Ratri Thakun, 38, Sukphanut Nianthaisong, 30, dan Sukanya Panmanee, 29, cedera di kepala dan badan. Penunggang motosikal, Seng Chong pula patah tapak kaki dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Difahamkan, kesemua wanita berusia di antara 23 dan 38 tahun itu mendakwa mereka bekerja sebagai tukang urut di sebuah premis spa, Thai Lady Spa di Batu Berendam, Melaka. Mereka telah berada di negara ini sejak lima bulan lalu.
Wanita-wanita itu didakwa mengupah Chin Thai dengan bayaran RM3,500 untuk membawa mereka pulang ke Bangkok, Thailand selepas tidak tahan dengan majikan yang enggan membayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan sejak Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, dokumen perjalanan mereka juga didakwa disembunyikan.
Mereka bertolak dari Melaka ke utara tanah air kira-kira pukul 1 pagi. Dari situ, mereka dijangka meneruskan perjalanan dengan menaiki tongkang untuk pulang ke kampung masing-masing di Bangkok.
“Kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh besi penghadang jalan dan masuk ke laluan bertentangan. Ia kemudian terjunam ke dalam cerun bukit sedalam 20 meter,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya.
Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke HSB manakala dua mangsa yang mati dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.


Mati bersama hutang mahjong






KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah yang tertekan akibat dibebani hutang mahjong sebanyak RM3,000 dikatakan sempat bersembahyang sebelum dia ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan Choo Siew Wah, 56, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Difahamkan, Siew Wah sebelum ini mengalami tekanan jiwa selepas gagal membayar hutang mahjong tersebut yang dipinjam daripada rakan-rakannya di kawasan perumahan tersebut.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, mangsa dilihat masuk semula ke rumah selepas selesai bersembahyang di luar rumahnya.
“Namun, tanpa disedari, dia telah keluar semula lalu terjatuh ketika berada di koridor rumahnya. Ketika itu suaminya sedang membersihkan sayur di dapur dan terkejut apabila terdengar bunyi sesuatu jatuh.
“Apabila ditinjau, dia melihat mayat isterinya berada dalam keadaan terlentang di tingkat bawah,” ceritanya ketika ditemui.
Beberapa bulan lalu, mangsa pernah cuba membunuh diri dengan cara yang sama tetapi dapat dihalang oleh jiran yang menyedari tindakannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.


Tomboy tarik tali gantung



AI PENG dijatuhi hukuman mati mandatori setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh rakan karibnya di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang wanita berperwatakan seperti seorang lelaki yang bertindak menikam bertubi-tubi teman rapatnya sehingga maut akibat cemburu tahun lalu akhirnya dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Ooi Ai Peng, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Ai Peng yang bekerja sebagai penjaga stor disabitkan bersalah membunuh Suhana Mohd. Shariff, 26, yang juga merupakan rakan sekerjanya di belakang rumah kedai, Taman Kristal di sini kira-kira pukul 10 malam, 3 Mac tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim berkata, mahkamah mendapati semua keterangan pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian dan keterangan difikirkan kemudian (after thought).
Katanya, tertuduh dalam pembelaannya memberitahu mangsa bertindak menikamnya terlebih dahulu sebelum tertuduh merampas pisau lalu tertikam mangsa ketika bergelut untuk mempertahankan diri.
Kejadian berlaku di dalam kereta si mati yang mana tertuduh berada di tempat pemandu manakala si mati duduk di kerusi penumpang hadapan.
"Selepas diteliti, kecederaan tertuduh iaitu di bahagian hadapan kedua-dua pergelangan tangan dengan kesan garis lurus dilakukan tertuduh sendiri selepas dia bertindak menikam badan sendiri," katanya.
Zakiah berkata, kecederaan pada mangsa pula adalah antaranya luka di ibu jari kiri, tikaman di tangan kanan serta hujung bawah lengan kanan serta luka hirisan sepanjang 4.5 sentimeter pada paha kiri.
"Melihat kecederaan si mati, kita dapati tertuduh cederakan si mati dan si mati cuba mempertahankan diri sebelum keluar dari kereta untuk meminta pertolongan.
"Jadi, pembelaan tertuduh yang mengatakan dia cuba mempertahankan diri tidak diterima kerana ada saksi yang melihat tertuduh menikam si mati sebelum tikam diri sendiri," ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.
Dalam pada itu, ibu kepada Allahyarham Suhana, Zaharah Idrus, 60, ketika ditemui di luar kamar mahkamah bersyukur kerana pembunuh anaknya menerima hukuman setimpal.
"Setiap malam saya berdoa agar pembunuh anak mak cik mendapat balasan setimpal dan hari ini doa itu dimakbulkan," jelasnya.


Cityliner henti khidmat di enam negeri

KOTA BHARU - Konsortium Transnasional Bhd. (KTB) mungkin menghentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-hentinya, Cityliner, di enam negeri bulan depan sekiranya tidak ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah syarikat itu yang mengalami kerugian.
Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang melibatkan 80 laluan dan 400 buah bas.
Pengarah Eksekutif KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim (gambar) berkata, dengan kerugian kira-kira RM300 juta yang ditanggung kini, syarikat tersebut terpaksa mengambil tindakan itu bagi mengelak terus menanggung kerugian setiap tahun.
"Kami juga belum menerima sebarang hitam putih daripada pihak-pihak yang dikatakan berjanji mahu membantu menyelesaikan isu ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," katanya di sini semalam.
Tengku Hasmadi berkata, pihaknya akan berunding dengan kerajaan Negeri Sembilan hari ini dalam usaha membantu pihak syarikat menyelesaikan isu itu.
"Begitu juga dengan kerajaan negeri Kelantan yang belum ada tindakan proaktif diambil walaupun mereka pada dasarnya bersetuju membantu meringankan kerugian syarikat," katanya.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada anak syarikat KTB, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) yang mengendalikan perkhidmatan Cityliner di negeri itu bagi mengurangkan beban kos operasi. - Bernama


Rakaman video detik-detik penangkapan Seif al-Islam



IMEJ yang diambil daripada laman web 17 February menunjukkan wajah Seif selepas ditangkap di Zintan.


ZINTAN, Libya - Satu klip video menunjukkan anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap selepas dipaksa keluar dari sebuah kenderaan di sini.
Klip sama juga menunjukkan Seif ditumbuk sebaik sahaja dia dikerumuni oleh sekumpulan pemberontak. Memakai serban berwarna coklat, Seif tidak menunjukkan sebarang emosi.
Ketua Briged Zintan, Al-Ajmi al-Atiri memberitahu, Seif meminta mereka yang menangkapnya supaya menembak kepalanya dan membawa mayatnya ke Zintan.
"Seif al-Islam ditangkap pada pukul 1.30 pagi di daerah al-Ajal berhampiran Awbari. Kami menerima maklumat daripada salah seorang pengawal peribadinya.
"Kami kemudian memasang perangkap. Dua buah kereta muncul dengan enam orang di dalamnya, termasuklah Seif. Kami menahan dan mereka tidak melawan. Bercanggah dengan laporan media sebelum ini, mereka tidak menawarkan wang," kata al-Atiri.
Berita penahanan Seif disambut gembira dengan tembakan senjata ke udara.
Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Abdel Rahim al-Kib semalam mengumumkan bahawa Seif yang diburu sejak tiga bulan lalu akan diberi 'perbicaraan yang adil'. - AFP


Gurun Atacama kubur ikan paus



GAMBAR pada 11 November 2011 menunjukkan Menteri Aset Negara Chile, Catalina Parot melihat fosil ikan paus yang digali di Gurun Atacama.



SANTIAGO - Sejumlah fosil ikan paus prasejarah ditemui di padang pasir paling kering dunia, Gurun Atacama di utara Chile.
Penemuan itu berlaku secara tidak sengaja semasa pekerja-pekerja sedang meluaskan sebuah lebuh raya melintasi gurun berkenaan pada Jun tahun lalu tetapi projek tersebut telah dihentikan.
Setakat ini, fosil-fosil itu ditemui di sebuah kawasan sepanjang 240 meter atau berkeluasan dua buah padang bola sepak di lebuh raya berkenaan.
Seorang saintis Institusi Smithsonian yang mengkaji penemuan tersebut, Nicholas Pyenson berkata, lokasi berkenaan merupakan sebuah lagun pada masa dahulu.
Menurutnya, ikan-ikan paus itu dipercayai mati antara dua juta hingga tujuh juta tahun lalu.
Lebih 75 ekor fosil ikan paus ditemui setakat ini termasuk 20 rangka yang sempurna.
"Saya berpendapat ikan-ikan paus itu mati pada masa yang sama," kata Pyenson.
Kebanyakan fosil tersebut merupakan ikan paus baleen yang berukuran sekitar lapan meter atau sebesar sebuah bas. - AP

No comments:

Post a Comment