Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang
JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel (gambar) disoal siasat
pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang
pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.
Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal
siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.
Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai
seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah
kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.
Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin
hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja
menuduhnya.
Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.
Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah
kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip
dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.
Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi
Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis
TAPAK kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis kelmarin.
TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah
menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira
3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak
berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.
Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa
kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan
lebuh raya baharu di lokasi terbabit.
"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.
Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi
berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan
ketika zaman empayar Judah.
"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.
Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP
Paus finback terdampar di Queens
PENDUDUK berjalan melintasi kawasan
di mana ikan paus finback ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy
Point, Queens pagi kelmarin.
NEW YORK - Seekor ikan paus finback sepanjang 18.28 meter ditemui
terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin, kata
beberapa pegawai.
Para penyelamat dari Yayasan Riverhead berkata, paus itu kelaparan dan bergelut untuk hidup.
"Ia kelihatan amat kurus dan ini bukanlah situasi yang bagus," kata Pengarah Eksekutif yayasan itu, Rob DiGiovanni.
Polis dan bomba terpaksa menggunakan hos getah untuk menyiram air ke atas ikan paus itu bagi memastikan ia terus hidup.
Menurut Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar negeri, ikan paus finback merupakan spesies kedua terbesar selepas paus biru.
Seekor ikan paus finback berukuran sepanjang 6.09 meter ketika lahir
dan boleh membesar sehingga 21.3 meter panjang apabila dewasa. - Agensi
Buat laporan melalui internet
ORANG ramai kini lebih mudah untuk
melaporkan sesuatu kes apabila PDRM memperkenalkan sistem membuat
laporan dalam talian tahun depan. – Gambar hiasan.
SABAK BERNAM – Bermula tahun depan, orang ramai boleh membuat laporan
polis secara dalam talian melalui portal laporan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) tanpa perlu ke balai polis, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, portal laporan dalam talian itu kini dalam peringkat
akhir penyediaan, diperkenalkan oleh PDRM bagi memudahkan orang ramai
membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa itu pada bila-bila masa
sahaja.
“Ini merupakan satu lagi usaha PDRM untuk memudahkan orang ramai
serta menjamin keselamatan mereka. Mereka boleh buat laporan di mana
sahaja mereka berada hanya dengan menggunakan internet,” katanya pada
sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesedaran Jenayah Peringkat
Sabak Bernam di sini semalam.
Khalid berkata, portal itu sedang dibangunkan oleh Unit Permodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dijangka boleh
digunakan bermula tahun depan.
Beliau berkata, beberapa perkara juga sedang diteliti termasuk
menilai dari aspek perundangan dan keberkesanannya termasuk cara
memastikan kesahihan laporan yang diterima.
“Kita yakin portal laporan polis dalam talian ini akan memudahkan
orang ramai kerana kini majoriti masyarakat menggunakan gajet dan
telefon pintar yang mempunyai capaian internet selain ia menjimatkan
masa,” katanya.
Bapa dijel 30 bulan dera 3 anak
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my
NORDI (berkaca mata) dipenjara 10
bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas
tuduhan mendera tiga anaknya, Safiza Fitri (kanan), Nurmasyita Amiera
(depan) dan Muhammad Nurhan baru-baru ini.
JOHOR BAHRU – Seorang bapa yang pernah mendapat simpati ramai melalui
kisah empat anaknya dilarikan bekas isteri ke Lampung, Indonesia
sebelum tiga daripadanya berjaya dibawa pulang, dihukum penjara 30 bulan
oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mendera tiga zuriatnya itu
minggu lalu.
Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memerintahkan Nordi Ali, 57,
menjalani hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah
tertuduh.
Beliau memerintahkan setiap pertuduhan dikenakan hukuman 10 bulan
penjara dan memutuskan supaya ia berjalan serentak bermula dari tarikh
dia ditangkap pada 21 Disember lalu. Ini bermakna, pengawal keselamatan
itu hanya menjadi penghuni tirai besi selama 10 bulan sahaja.
Mengikut kesemua pertuduhan, Nordi didakwa mencederakan Nurmasyita
Amiera, 8; Nurul Safiza Fitri, 11, dan Muhammad Nurhan, 9, di rumah
mereka di No. 07-03, Jalan Dataran 2/8, Flat Taman Kempas di sini antara
pukul 6 pagi hingga 6 petang, 21 Disember lalu.
Nordi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan
boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman
denda RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit
kesalahan.
Terdahulu, Nordi mengaku salah apabila memukul anak-anaknya menggunakan batang paip PVC dan tali pinggang.
“Saya hanya berniat untuk mendidik anak-anak. Saya bimbangkan mereka
kerap keluar rumah tanpa pengetahuan dan tidur di rumah jiran yang ada
anak lelaki,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Sze Han dan Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tuntut rebat telefon pintar mulai Selasa ini
KUALA LUMPUR – Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula
memohon rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada
pengedar berdaftar mulai Selasa ini.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),
Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, permohonan di bawah Pakej
Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di
http://nbi.skmm.gov.my/.
Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta
belia yang layak mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada,
katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohamed Sharil berkata, belia yang layak menikmati rebat RM200 itu
boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500
daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia
perkhidmatan.
“Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia
berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan
tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon
pintar 3G yang asas,” katanya.
Dua maut ditimbus tanah runtuh
ANGGOTA bomba mengeluarkan salah satu mayat pekerja kontrak yang maut selepas ditimbus tanah runtuh di Sungai Petani semalam.
SUNGAI PETANI – Malang menimpa dua pekerja kontrak apabila mereka
maut akibat ditimbus tanah runtuh ketika sedang melakukan kerja-kerja
memasang saluran paip kumbahan di tapak pembinaan projek perumahan
Ambangan Heights, Jalan Bukit Selambau di sini semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan P. Morgan, 39, dari
Bedong dan S. Saravanan, 25, dari Sungai Lalang di sini maut. Majikan
mereka, Ng Jun Chuan, 45, pula parah dan sedang dirawat di Hospital
Sultan Abdul Halim di sini.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di dalam tanah yang telah
dikorek sedalam 10 meter sebelum tebing lubang itu tiba-tiba runtuh lalu
menimpa mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa
Rosdi Ismail memberitahu, ketika kejadian, seorang lagi rakan mereka,
Ming Wei Toh, 51, pula berada di atas.
“Morgan, Saravanan dan Jun Chuan berada di bawah tapak saluran paip berkenaan sebelum ditimpa tebing tanah runtuh.
Penjenayah Korea menyorok di Malaysia diberkas
KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang penjenayah Korea yang bersembunyi di
negara ini sejak lima tahun lalu tidak ke mana apabila dia diberkas
sepasukan anggota Imigresen Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Desa
Sri Hartamas di sini kelmarin.
Lelaki berusia 53 tahun tersebut diberkas pada pukul 11.30 pagi
selepas pihak berkuasa itu membuat risikan selama sebulan untuk
menjejakinya.
Difahamkan, dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Korea atas kesalahan
jenayah yang dilakukan sebelum dia melarikan diri ke negara ini.
Bagaimanapun, Korea tidak mendedahkan jenis jenayah yang telah dilakukan
suspek.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Mohd. Zamry Mohd. Nor berkata, suspek pada mulanya dikesan
di sebuah kondominium mewah di Ampang sebelum mereka mengekori kereta
mewah yang dipandunya sejauh 20 kilometer.
Katanya, anggotanya kemudian cuba memberkas suspek ketika dia turun untuk mengisi minyak sebelum berlaku sedikit pergelutan.
“Siasatan mendapati suspek hidup mewah di negara ini dan kita syak dia menjalankan peniagaan pusat hiburan dan restoran.
“Lelaki itu dikesan sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat
yang lain untuk mengelakkan pergerakannya dikesan pihak berkuasa,”
katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Pengedar syabu kepala harimau ke tali gantung
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menjatuhkan hukuman
gantung sampai mati ke atas seorang peniaga lelaki warga Iran kerana
mengedar syabu seberat 2.4 kilogram yang dicampur bahan lain dan
dibentuk seperti kepala harimau.
Mohammaderfan Estiyagi Ahmad, 27, didapati bersalah melakukan
kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu di
Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
di Sepang pada pukul 11 pagi, 2 Ogos tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu setelah
mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui
keraguan munasabah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Karpal Singh. - Bernama
20 terbunuh kereta kebal bedil kampung
SATU imej yang dirakam daripada
laman perkongsian video YouTube menunjukkan mayat-mayat penduduk kampung
bergelimpangan selepas sebuah kampung di wilayah Kahtaniyeh diserang
tentera rejim Syria.
|
DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh
selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil
sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan
Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.
"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita
terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung
Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.
Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan
aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang
kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah.
"Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.
Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang
dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar
Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.
"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048
orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas.
Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang
berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. -
Agensi
Dipukul sampai mati kerana kebakaran
SEKUMPULAN penduduk pulang ke rumah mereka yang hangus terbakar di kawasan setinggan di Bandar San Juan, Manila Filipina.
MANILA, Filipina - Lapan orang terbunuh manakala 5,000 penduduk
tinggal sehelai sepinggang selepas satu kebakaran berlaku di sebuah
kawasan setinggan di bandar San Juan ketika sambutan Hari Krismas, kata
beberapa pegawai semalam.
Pegawai Kanan Bomba, Domingo Cabog berkata, seorang penduduk dipukul
sehingga mati oleh jirannya selepas dituduh memulakan kebakaran itu
kelmarin.
Lelaki itu dilaporkan mabuk tetapi bukan penyebab kepada kebakaran tersebut.
Cabog berkata, kebakaran bermula di dalam sebuah rumah apabila sekumpulan kanak-kanak bermain dengan lilin.
Seramai 13 orang turut dilaporkan cedera. Mangsa yang cedera
termasuklah dua anggota bomba dan sukarelawan akibat dibaling batu oleh
penduduk yang marah, kata Cabog.
Polis kini menjalankan siasatan mengenai kejadian lelaki yang dipukul
sehingga mati. Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat. - AP
Landasan kereta api laju terpanjang beroperasi
SEBUAH kereta api laju G802 menuju ke Beijing dari Shijiazhuang semalam.
BEIJING - Landasan kereta api laju terpanjang di dunia yang dibina di
China mula beroperasi semalam, sekali gus menjadi pencapaian terbaharu
sistem rel di negara berkenaan.
Laluan sejauh 2,298 kilometer (km) itu menghubungkan bandar raya ini dan kota metropolitan Guangzhou di selatan China.
Landasan itu membolehkan perjalanan antara kedua-dua kota
metropolitan berkenaan dipendekkan kepada hanya lapan jam berbanding 22
jam sebelum ini.
Media tempatan,
Televisyen Pusat China, menyiarkan perjalanan kereta api laju pertama dari Stesen Kereta Api Beijing Barat di sini pada pukul 9 pagi semalam.
Tren tersebut bergerak pada purata kelajuan 300 kilometer sejam dan
akan berhenti di 35 bandar utama di sepanjang laluan itu termasuk
Zhengzhou, Wuhan dan Changsha.
Siap pada 2007, rangkaian landasan kereta api laju China kini berkembang sebagai yang terbesar di dunia.
Agensi berita
Xinhua melaporkan China kini mengendalikan laluan kereta api laju sejauh 9,300 km. - AFP
Terjun kereta dipandu 100km/j
Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my
NOR (duduk kanan) menunjukkan jubah
hitam yang dipakai kepada wartawan Kosmo!, Firdaus Hassan (kiri) ketika
ditemui di Kuching semalam.
|
KUCHING – Seorang wanita tidak menyangka sehelai jubah hitam
pemberian suami yang dibeli di Mekah semasa menunaikan haji pada tahun
ini menjadi perisai apabila dia hanya cedera ringan ketika nekad terjun
dari kenderaan yang sedang bergerak laju kelmarin.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Nor, 41, itu bertindak demikian
selepas menyedari kenderaan jenis Mitsubishi Pajero milik suaminya
dipandu seorang pencuri dengan kelajuan 100 kilometer sejam dalam
kejadian pukul 11 malam di Jalan Main Bazaar, Kuching Waterfront di
sini.
Selepas berguling beberapa kali di atas jalan, ibu kepada lima anak itu hanya cedera di lengan, siku, kedua-dua lutut dan kaki.
Mengimbau semula kejadian itu, peniaga gerai makanan itu mendakwa,
dia terlena di kerusi penumpang depan dalam kenderaan yang diletakkan di
bahu jalan kira-kira 20 meter dari gerainya dalam keadaan enjinnya
hidup manakala pintu tidak dikunci. Dia dan suami berniaga di Kuching
Waterfront.
Pembunuh gadis ke tali gantung
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my
JOHOR BAHRU – Perbuatan kejam seorang pengawal keselamatan yang
membunuh seorang gadis sebelum mengerat dan membakar mayat mangsa di
sebuah ladang kelapa sawit di Masai di sini tahun lalu berbalas apabila
dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengarahkan D. Kalaiselvan, 47,
menjalani hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya
membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Kalaiselvan bersama seorang lagi yang masih
bebas dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, 16, di ladang kelapa sawit
Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai, antara pukul 2.30 pagi
hingga 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Abdul Halim berkata, tertuduh gagal memberikan penjelasan yang
munasabah selain pembelaan yang dibuat secara bersumpah menerusi kandang
saksi itu bersifat penafian semata-mata.
“Tertuduh gagal memperjelaskan mengapa dia perlu lari daripada pihak
polis dan memindahkan beban kejadian terhadap orang lain iaitu Ramani
dan Siva yang tidak diceritakan dengan lebih lanjut identiti mereka.
“Perbuatan kamu kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun
kerana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap gadis yang sebaya
dengan anak kamu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain
menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu,” katanya.
Mayat bogel dalam bilik
Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my
ANGGOTA polis mengangkat mayat Edward Rajasooria (gambar kecil) yang dijumpai mati selepas disamun di Seremban semalam.
SEREMBAN – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan bogel dengan
kaki dan tangan terikat manakala kepalanya ditutup dengan sehelai kain
sarung dalam kejadian dipercayai bermotifkan samun di Jalan Rasah di
sini semalam.
Mayat Edward Rajasooria Sebastian, 62, dijumpai pada pukul 9 pagi di
dalam sebuah bilik di rumahnya oleh sepasukan anggota polis.
Difahamkan, mangsa yang belum berkahwin tinggal bersendirian di rumah yang diwarisi daripada keluarganya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly
Kamaruddin berkata, pihaknya bergegas ke rumah mangsa sebaik menerima
panggilan daripada seorang jiran mengatakan lelaki itu tidak keluar
rumah sejak petang kelmarin.
“Sebaik tiba, polis dapati pintu depan rumahnya tidak berkunci
sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik dalam keadaan berbogel
dengan kaki dan tangan terikat manakala mukanya ditutup dengan sehelai
kain sarung,” katanya di sini semalam.
Parah dilibas angkara dendam
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
SEORANG lelaki yang parah akibat dilibas diberi bantuan awal oleh pasukan penyelamat di George Town kelmarin.
GEORGE TOWN - Perasaan dendam yang membuak-buak mendorong sekumpulan
lima samseng bertindak nekad menyerang, menetak dan menghentak seorang
lelaki hingga parah dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum di sini
kelmarin.
Kejadian pukul 11 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 40
tahun cedera di kepala, tangan dan lengan kiri selepas dilibas dengan
parang sebanyak lima kali selain dihentak dengan kerusi plastik.
Kejadian berlaku apabila kesemua suspek yang berjalan kaki menyerang
lelaki itu sebelum melarikan diri sebaik melihat mangsa rebah.
Difahamkan, mangsa terpaksa menanggung sakit selama setengah jam
sebelum ditemui oleh orang awam yang terus menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng
berkata, siasatan awal mendapati punca serangan adalah bermotifkan
dendam.
Kelab sedia jumpa Fauziah
Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Pihak pengurusan Kelab Cahaya SPK Resort menyatakan
kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan seorang ahli perniagaan,
Fauziah Osman bagi menyelesaikan isu hidangan majlis perkahwinan yang
didakwa tidak menepati tempahan.
Pengurus Besar kelab tersebut, Dass Ponniah ketika dihubungi
memberitahu, pihaknya akan menyediakan senarai tugas (checklist) untuk
majlis tersebut dan menyimpan rekod bagi setiap perbincangan yang
dilakukan dengan keluarga tersebut.
“Kami sedia untuk berbincang pada bila-bila masa tetapi pelanggan
juga perlu tahu mengenai polisi syarikat yang tidak akan memulangkan
wang kepada mereka.
“Kami sudi untuk menawarkan pilihan lain sebagai menjaga hubungan
baik ini,” katanya sambil menyatakan pihaknya kesal dengan apa yang
berlaku kerana menjadi keutamaan bagi mereka untuk menjaga hubungan
dengan pelanggan dan memenuhi permintaan majlis mereka.
Menangis lihat klinik terbakar
HERMAN (kiri) meminta Pauline
supaya mendapatkan suntikan bayinya di klinik lain selepas Klinik
Kesihatan Triboh, Serian terbakar petang kelmarin.
SERIAN - Kebakaran yang memusnahkan Klinik Kesihatan Triboh berusia
48 tahun di Jalan Gedong di sini telah mengundang pelbagai perasaan,
bahkan ada yang menangis dengan tragedi menimpa bangunan itu petang
kelmarin.
Bukan setakat itu, para ibu yang mempunyai janji temu di klinik
berkenaan pagi semalam turut terkejut serta tercengang apabila mendapati
klinik itu hanya tinggal beberapa tiang dan arang sahaja.
Bagaimanapun, seorang kakitangan klinik telah ditugaskan di tempat
kejadian untuk memaklumkan kepada kaum ibu supaya merujuk ke klinik lain
bagi mendapatkan pemeriksaan bayi masing-masing sementara waktu.
Penolong Rendah Am, Herman Ginsal yang ditemui Kosmo! memberitahu,
seawal pukul 7 pagi lagi dia sudah berada di tempat kejadian bagi
memaklumkan kepada kaum ibu untuk merujuk ke klinik lain buat sementara
waktu.
"Lebih 20 orang kaum ibu yang tidak mengetahui klinik ini terbakar
telah datang hari ini (semalam) untuk temujanji masing-masing dan
rata-ratanya terkejut apabila melihat bangunannya musnah.
"Klinik ini biasanya menerima sehingga 100 orang pesakit terutamanya
pada hari puncak, manakala lebih 40 orang pada hari-hari biasa kerana ia
menjadi tumpuan lebih 20 kampung di sekitar kawasan ini," katanya di
sini semalam.
Berita muka depan
TAHUN 2012 membuka pentasnya dengan kebimbangan segelintir pihak di
Barat bahawa peradaban manusia akan berakhir 21 Disember lalu
berdasarkan pengiraan kalendar kaum Maya.
Apa pun ia hanyalah mitos semata-mata. Tumpuan masyarakat dunia,
khususnya umat Islam lebih terarah kepada kisah kekejaman berterusan
tentera Israel terhadap penduduk Palestin, perang saudara di Syria,
penindasan di Rohingya serta penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, amarah yang memuncak itu diredakan dengan pembelaan
nasib umat Islam di selatan Filipina di samping pengiktirafan kuasa
terhadap ikon pro demokrasi, Aung San Suu Kyi di Myanmar.
Kuasa alam nyata tidak mengenal mangsa. Taufan Sandy selaju 281
kilometer sejam membadai dan memusnahkan beberapa bahagian Caribbean,
tengah Atlantik dan timur laut Amerika Syarikat.
Episod suka dan duka juga turut mewarnai dalam negara. Imej Kuala
Lumpur yang tercalar melalui perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini pulih
seketika selepas menerima kunjungan pasangan diraja popular Britain,
Putera William dan Kate Middleton.
Sistem Penguatkuasaan Automatik yang dilaksanakan di seluruh negara
pada 12 Ogos lalu juga turut mencetuskan kontroversi di samping
mengundang ketidakpuasan hati rakyat.
Kanak-kanak juga terus menjadi sasaran mudah penjenayah seperti kes
penculikan di Kampung Baru serta penculikan seorang kanak-kanak warga
Belanda.
Episod sukan negara juga seakan-akan kelam tahun ini apabila jaguh
badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal membawa pulang pingat emas,
manakala skuad Harimau Malaya juga seakan-akan hilang taringnya dalam
misi mempertahankan Piala Suzuki AFF buat kali kedua berturut-turut.
Gaza diserang 1 Muharam
UMAT Islam di seluruh dunia yang bersiap sedia meraikan sambutan Maal
Hijrah pada 15 November lalu dikejutkan dengan serangan udara
besar-besaran oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di wilayah
Genting Gaza.
Konflik itu dikatakan bermula selepas pejuang Hamas melancarkan
serangan ke atas wilayah Israel yang membunuh tiga rakyatnya bagi
menuntut bela atas pembunuhan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari
sehari sebelumnya.
Serangan udara yang disifatkan terburuk dalam tempoh empat tahun lalu
telah meragut nyawa enam rakyat Israel dan 164 penduduk Gaza termasuk
38 kanak-kanak.
Selepas lapan hari pertempuran, satu gencatan senjata telah diadakan
di antara kedua-dua pihak pada 22 November lalu hasil usaha yang
dilakukan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
PAWANG buaya, Indet Sanabong (kanan) berjaya menewaskan Bujang Sebelak yang menjadi buruannya dengan umpan anjing putih.
Indet tumpaskan Bujang Sebelak
KONFLIK manusia dan buaya tercetus lagi di Sarawak yang melibatkan
buaya ganas, Bujang Sebelak. Terbaharu, buaya jantan seberat 200
kilogram dan sepanjang lima meter itu mengorbankan tiga mangsa di
sekitar Sungai Sebelak termasuk isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai
Anak, Roban, Siah Munsong, 42.
Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan
selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal,
Indet Sanabong, 49, dengan menggunakan mantera dan umpan khas daging
anjing putih.
Filem kontroversi hina Nabi
FILEM anti-Islam, Innocence of Muslims telah mengundang kemarahan
umat Islam di seluruh dunia apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi
Muhammad.
Filem arahan Sam Bacile, 52, itu disiarkan dalam laman YouTube itu
menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita,
mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan
Islam pertama.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem
berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq,
Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir
terlibat dalam filem tersebut.
Seorang lelaki dari negeri California, Nakoula Basseley Nakoula, 55,
mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.
Chong Wei kempunan emas Olimpik
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan untuk
melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia di
pentas Sukan Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir
yang diadakan di Arena Wembley.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga.
Beliau hanya membawa pulang pingat perak untuk kontinjen negara.
CEMAS. Fifi Ramadhani diselamatkan pihak polis selepas menjadi tebusan selama enam jam.
Drama penculikan di Kampung Baru
DUA kes penculikan menggemparkan negara menarik perhatian masyarakat
sepanjang tahun ini. Selepas gagal dipujuk oleh pihak polis selama enam
jam supaya melepaskan kanak-kanak perempuan yang menjadi tebusannya,
Fifi Ramadhani Syafrudin, 10, seorang lelaki bogel ditembak mati oleh
polis. Kejadian berlaku pada awal Januari lalu di sebuah rumah di Lorong
Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Suspek yang berusia 34 tahun itu yang hanya meminta air dan dadah
meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ketika dalam perjalanan ke
Hospital Kuala Lumpur.
Putera William, Kate kunjungi Malaysia
BUAT julung-julung kalinya, rakyat di negara ini berpeluang melihat
dengan lebih dekat Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate
Middleton yang melakukan kunjungan rasmi selama tiga hari sempena
meraikan ulang pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth II pada September lalu.
Selain Malaysia, pasangan diraja itu turut melawat Singapura, Kepulauan Solomon, Melanesia dan Tuvalu.
Peserta Bersih 3.0 gagal kawal emosi
PERHIMPUNAN anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
3.0 pada 29 April lalu yang kononnya mahu menuntut pilihan raya yang
adil bertukar ganas.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengakui pihaknya gagal mengawal
emosi peserta demonstrasi hingga memaksa polis mengambil tindakan
menembak meriam air dan gas pemedih mata.
Antara yang menyertai Bersih 3.0 ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat
DAP, Lim Kit Siang.
Nayati selamat ke pangkuan keluarga
NEGARA sekali lagi gempar dengan penculikan seorang kanak-kanak
lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, pada 27 April lalu.
Selepas enam hari diculik, di sekolahnya di Mont Kiara International
School, Kuala Lumpur itu berjaya ditemui semula di Kawasan Rehat dan
Rawat Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Buloh pada 3 Mei lalu.
Keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 kepada penculik di
satu lokasi di Cheras.
Saham Felda terbesar di Asia
TARIKH 31 Mei merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila
Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus
tawaran awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun ini.
Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.
FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di
dunia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu.
Suu Kyi menang pilihan raya
SELEPAS hampir 25 tahun berjuang menentang pemerintahan junta tentera
di Myanmar, pejuang kemerdekaan yang juga pemimpin Liga Kebangsaan
Untuk Demokrasi, Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai Ahli
Parlimen selepas menang pilihan raya kecil pada April lalu.
Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik
itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok
pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.