Thursday, January 10, 2013

ADA PUSAT ZAKAT KUTIP ZAKAT 7 HARI SEMINGGU...ADAKAH MEREKA MENGAGIH2 ZAKAT PADA ASNAF2 TUJUH HARI SEMINGGU JUGA

Sedih lihat gerai terbakar, lelaki cuba gantung diri
NURUL FATIHAH SULAINI
10 Januari 2013
Sedih lihat gerai terbakar, lelaki cuba gantung diri
Petugas kesihatan mengangkat Mohd Ridzuan.
Sedih lihat gerai terbakar, lelaki cuba gantung diri
Kain yang digunakan untuk menggantung diri.
ALOR SETAR - Gara-gara tertekan melihat gerai yang diusahakan keluarga musnah dalam kebakaran, seorang lelaki bertindak nekad cuba menggantung diri di Taman Bersatu, Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.
Bagaimanapun, cubaan Mohd Ridzuan Aziz, 38, yang mengalami masalah mental itu gagal setelah ibunya bertindak pantas menyelamatkannya dari meneruskan hasratnya itu.

Difahamkan Mohd Ridzuan mengalami tekanan apabila melihat gerai makanan milik ibunya musnah dalam kebakaran dan  cuba menggantung lehernya dengan kain alas meja.

Menurut ibunya, Fatimah Shah Ali, 56, dia bertindak pantas dengan mengangkat badan anaknya bagi melonggarkan kain yang dililit pada leher.

“Saya kemudian menyuruh seorang anak perempuan meminta bantuan jiran untuk menurunkan Mohd Ridzuan.

“Nasib baik saya bertindak pantas, jika tidak saya tidak tahu nasib anak lelaki saya ini,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, anaknya bertindak demikian kerana terlalu sedih apabila gerai mereka di Taman Restu itu musnah dalam kebakaran .

Gerai itu satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.
“Mohd Ridzuan mengadu sakit telinga sebelum masuk ke biliknya di tingkat atas rumah kira-kira jam 12.30 tengah hari. Namun secara tiba-tiba dengar satu bunyi yang kuat menyebabkan saya terus naik ke atas dan mendapati dia sudah tergantung di siling rumah.

“Saya dan seorang anak perempuan cuba mengangkat badannya untuk melonggarkan kain tetapi dia terlalu berat menyebabkan kami minta bantuan jiran,” katanya.
Fatimah berkata, Mohd Ridzuan pernah menerima rawatan penyakit mental sebelum ini.

 Warga emas tidak pulang ke rumah sejak sebulan maut dalam perigi
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Warga emas tidak pulang ke rumah sejak sebulan maut dalam perigi
Ahli keluarga mangsa melawat tempat kejadian.
CHANGLUN - Kehilangan seorang lelaki kurang upaya (OKU) sejak sebulan lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui mati di dalam sebuah perigi berhampiran Sekolah Agama Al-Toyyibah di Kampung Padang Halban, Mukim Temin, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa, Fadzil Hussain, 55, atau lebih dikenali sebagai Padin ditemui mati dalam keadaan menyayat hati oleh seorang pekerja kontrak yang kebetulan menjalankan kerja-kerja pembinaan di kawasan berkenaan.

Saksi, Mohd Nizam Abdul Hamid, 35, berkata, dia secara kebetulan melalui kawasan terbabit dan terpandang sesuatu seperti bungkusan sampah dalam pakaian apabila menjenguk ke dalam sebuah perigi.

Menurutnya, apabila diteliti semula, dia mendapati bungkusan terbabit adalah mayat manusia tanpa kepala yang mana terdapat tengkorak manusia berada berhampiran mayat berkenaan.

“Saya terkejut kerana itulah kali pertama pengalaman saya menjumpai mayat serta menyaksikannya dengan mata sendiri. Sebaik menemui mayat itu, saya segera memaklumkan kepada sekolah dan menghubungi polis berhubung penemuan itu.

“Memandangkan ia merupakan pengalaman pertama saya, perkara itu masih terbayang dengan keadaannya yang sungguh menyedihkan,” katanya.

Katanya, dia yang menjalankan kerja pembinaan bersama rakannya untuk membina asrama sekolah berkenaan berada berhampiran kawasan kejadian sejak dua hari lalu.

“Sewaktu terpandang mayat itu, saya hanya nampak separuh badannya sahaja yang timbul memandangkan perigi terbabit dipenuhi dengan lumpur dan sebaik selesai kerja mengangkat mangsa naik perigi itu ditimbus sepenuhnya,” katanya.

Hilang sejak sebulan lalu

Anak saudara mangsa, Yusof Ramli, 52, berkata, sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang sejak sebulan lalu kerana tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kenduri di Kampung Changhai, dekat sini.
Menurutnya, mangsa kebiasaannya menghadiri mana-mana kenduri di kawasan berhampiran kerana gemar membantu penduduk menjalankan kerja-kerja dalam majlis keramaian dan akan menginap di rumah saudara terdekat di kawasan itu.

“Selepas seminggu dia (Fadzil) tidak pulang ke rumah, kami menyedari kehilangannya selepas anaknya menghantar makanan kepadanya yang dikatakan berada di rumah sepupunya di kampung terbabit.

“Namun setibanya di sana, anaknya mendapati mangsa tidak lagi tinggal di situ sehinggalah laporan polis dibuat kerana bimbang dengan keadaan keselamatannya yang tidak normal seperti orang lain,” katanya.

Katanya, sememangnya dia (Fadzil) suka ke rumah saudara maranya dan dikenali ramai penduduk berhampiran itu kerana rajin membantu menyelesaikan kerja yang diberikan.

“Dia (Fadzil) tidak pernah bertindak sebegitu, sekiranya dia keluar rumah, dia akan pulang semula dan paling lama hanya tiga hari sahaja,” katanya.

Tempat mencari buluh

Anak saudara mangsa, Mahyun Ramli, 53, berkata, setelah menyedari tentang penemuan mayat terbabit, dia bersama keluarga bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kepala mangsa tertanggal akibat sudah mereput.

Menurutnya, ketika menjalankan operasi mencari mangsa sejak kehilangannya, penduduk turut bertindak mencarinya di kawasan perigi terbabit tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan mangsa pergi ke kawasan itu.
“Selepas melihat mayatnya dalam keadaan duduk bersandar dalam perigi itu kami dapat mengenalinya bahawa itu adalah dia (Fadzil) kerana baju berlengan panjang itu memang pakaian yang biasa dipakainya.
“Tambahan pula barang-barangnya ditinggalkan berhampiran perigi menambahkan kesahihan itu,” katanya.

Katanya, kawasan terbabit merupakan tempat kebiasaan mangsa mencari buluh untuk dijadikan galah bagi mengambil upah menjolok kelapa oleh penduduk sekitar yang dianggarkan kira-kira 500 meter berdekatan rumahnya.
“Jenazah dibawa pulang dan dikebumikan di Masjid Changlun kira-kira jam 8 malam kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ibrahim Yusof berkata, pihaknya mengesahkan kejadian terbabit dan mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Wanita terpedaya dengan bisikan
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Wanita terpedaya dengan bisikan
Mangsa ketika ditahan di Balai Polis Kulim.
KULIM - Kerana terpedaya dengan bisikan di telinga, yang mengarahkan dia harus keluar dari rumahnya segera sebelum terperangkap, seorang wanita, Nor Shuhadah Asharo, 26, berasal dari Shah Alam, Selangor, mengambil keputusan meninggalkan keluarganya.

Bagaimanapun, mangsa ditahan polis Unit MPV di Pekan Kulim, kira-kira jam 1 pagi kelmarin, kerana mengamuk dan memarahi pengunjung serta penjual burger di kawasan itu kerana enggan memberikannya makanan.

Mangsa, yang sebelum itu dilihat merayau di sekitar kawasan perhentian bas Kulim berkata, dia memperoleh banyak wang setelah diberi oleh orang ramai.

Menurutnya, dia membeli tiket bas ekspres di kaunter KL Central, Bangsar Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu untuk datang ke sini.

“Apabila tiba di Kulim, dia cuba mencari rumah datuknya di Sungai Ular, namun gagal. Sejak dari tarikh itu, mangsa terus merayau setelah kehabisan wang.

“Saya tak mahu balik ke rumah kerana tertekan. Kad pengenalan saya disimpan oleh keluarga saya, malah suara dalam rumah suruh saya keluar segera kerana rumah saya akan menjadi panas sekiranya saya terus tinggal di rumah itu,” katanya.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk lari dari suara itu dan tinggal bersama datuknya di sini.

“Sepanjang berada di Kulim, saya lupa saya tidur di mana dan mengapa pakaian saya koyak.
“Saya tidak berhadapan dengan masalah untuk makan kerana penduduk di sini baik. Apabila saya ditahan dan dihantar ke Balai Polis Kulim, anggota polis bertugas beri saya makanan dan pakaian. Terima kasih cikgu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa kemungkinan mengalami tekanan perasaan atau masalah sakit jiwa kerana dalam usia 26 tahun dia seharusnya tahu ke mana arah atau destinasi di tujunya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kedua-dua ibu bapa mangsa bekerja sebagai guru di Shah Alam dan mangsa merupakan anak sulung dari tujuh beradik.

“Polis telah memaklumkan penemuan mangsa kepada Balai Polis Seksyen 18 dan Seksyen 20 Shah Alam. Sekiranya ada laporan melibatkan orang hilang, waris terlibat boleh mengambil mangsa di sini.

“Maklumat yang diberi mangsa ada kemungkinan salah. Jadi bagi sesiapa yang mengenali mangsa, boleh datang ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya.
Sempat mengucap di pangkuan bapa
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Sempat mengucap di pangkuan bapa
Mayat mangsa diangkat oleh anggota polis sebelum dihantar ke hospital untuk urusan bedah siasat
KOTA BHARU- Seorang bapa sempat mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya, selepas remaja itu terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Kemumin, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zulyusri Naserudin, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda bersendirian maut di tempat kejadian selepas terbabas dan melanggar tiang lampu.

Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi, itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala.

Bapa mangsa, Naserudin Mohd Kasim, 47 berkata, dia hanya menyedari anaknya terlibat dalam kemalangan selepas dimaklumkan rakan anaknya yang menghubungi telefon bimbitnya.

“Saya tergamam seketika selepas menerima berita itu dan terus bergegas ke tempat kejadian dengan hanya berbaju kemeja T dan berkain pelekat.

“Tiba di lokasi, saya lihat keadaan anak saya yang parah di sebalik tiang lampu dan terus menerpa ke arahnya sambil memangku dia di atas paha yang ketika itu masih bernafas namun keadaannya lemah dan tercungap-cungap dan melihatkan keadaannya saya ajar dia mengucap,” katanya.

Naserudin berkata, sebelum kejadian, anak kedua dari empat beradik itu, tidak memberitahu kepadanya tujuan dia keluar, dan mengambil kunci motosikal sambil berlalu pergi.

“Saya pada mulanya tidak endah dengan keadaan itu, lagipun dia sering keluar rumah bertemu rakannya.

“Namun pada hari kejadian, saya sempat menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya namun tidak dijawab olehnya, tidak saya sangka, sms yang tidak berjawab merupakan petanda yang dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Naserudin berkata, walaupun amat perit untuk menerima pemergian anaknya, namun dia redha dengan ketentuan Ilahi.

“Semasa hayatnya, dia seorang yang baik dan tidak pernah membantah atau melawan saya, dia juga rajin  membantu saya berniaga santan di kedai saya, di Padang Tembak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 (SMKPC 2) cedera parah dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian
untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga jam 3 petang di HUSM sebelum dibawa pulang, untuk urusan pengebumian.
Pesara forensik dituduh cabul
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Pesara forensik dituduh cabul
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas berdepan tuduhan, kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang pesara forensik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin atas tuduhan mencabul seorang peniaga di sebuah rumah di Jalan Yaakobiah di sini, bulan lalu.

Tuduhan terhadap warga emas berusia 60 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tuan Manan Tuan Soh dari Kuala Lumpur didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita berusia 41 tahun itu dengan menyedari perbuatan itu akan mencabul kehormatannya jam 11 malam, 23 Disember.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Pada prosiding kelmarin, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya merayu supaya jaminan dikurangkan kerana memiliki anak yang masih bersekolah berusia antara lapan dan 12 tahun.

“Tertuduh masih mempunyai tanggungan dan seorang anaknya baru selesai menjalani pembedahan kerana ketumbuhan selain seorang isteri bekerja sebagai guru.

“Tertuduh juga menghidap penyakit diabetes dan asma serta berjanji tidak akan melarikan diri atau mengganggu mangsa,” katanya. Kes bersambung 20 Januari depan.

Sebelum itu, sebuah akhbar melaporkan seorang peniaga mendakwa kehormatannya dicabul selepas dipercayai dipukau seorang bomoh yang merawatnya.

Bomoh yang juga kenalan suaminya dari Kuala Lumpur itu dibawa ke Kelantan untuk merawat sakit lenguh badan yang dialami mangsa sebelum lelaki itu bertindak meraba wanita itu serta menyuruhnya membuka kain sarung dipakai dengan alasan membuang penyakit.
Didukung untuk ke sekolah
Wartawan Sinar Harian
9 Januari 2013
Didukung untuk ke sekolah
Mohd Razi mendukung Normadihah untuk ke sekolah sambil diperhatikan ibunya, Fauziah Omar di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir di Kampung Bendang Pak Yong.
TUMPAT – Hari pertama persekolahan Normadihah Mohd Razi, 11, tidak seperti murid lain apabila dia terpaksa didukung bapanya meredah air banjir sejauh lebih lima meter untuk ke rumah jiran sebelum menaiki motosikal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong.

Walaupun sesi persekolahan sudah bermula dua minggu lalu, tetapi bagi Normadihah baru dapat hadir mendaftarkan diri di sekolah tersebut berikutan rumahnya masih digenangi air sedalam hampir satu meter.

Bapanya, Mohd Razi Awang, 51, berkata, dia terpaksa mendukung anaknya meredah air banjir kerana khuatir baju dan kasut sekolah yang dipakai anaknya basah.

“Persekitaran rumah saya masih digenangi air, terpaksalah mendukung anak ke tempat motosikal yang ditinggalkan di kawasan tinggi di rumah jiran.

“Dengan menunggang motosikal, terpaksa pula meredah air deras kerana masih ada jalan yang ditenggelami air untuk ke SK Bendang Pak Yong ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Mohd Razi berkata, sepatutnya dia perlu mendaftarkan persekolahan anaknya pada hari Selasa minggu lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia terperangkap dalam banjir.

“Bahaya untuk saya keluar dari rumah membawa anak ke sekolah dengan perahu kerana air sangat dalam serta deras.

“Lagipun untuk ke sekolah jaraknya hampir satu kilometer, tidak selamat untuk mereka meredah arus deras menaiki perahu.

“Hari ini, walaupun terpaksa mendukung anak, saya nekad kerana khuatir dia tercicir pelajaran,” katanya yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.

SK Bendang Pak Yong antara tiga sekolah di daerah ini iaitu SK Simpangan, SK Teluk Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda ditangguhkan sesi persekolahannya yang sepatutnya dibuka 1 Januari, tetapi ditunda pada 3 Januari berikutan banjir.

Bagaimanapun sesi persekolahan pada 3 Januari, murid di empat sekolah terbabit dikerahkan balik awal apabila paras air sungai meningkat berikutan banjir gelombang kedua melanda.

Sesi persekolahan pada 6 dan 7 Januari terpaksa ditangguhkan kerana banjir gelombang kedua masih belum surut dan hari ini (semalam) sesi persekolahan dibuka seperti biasa.

Sementara itu Guru Besar SK Bendang Pak Yong, Mohd Arifin Samad berkata, hanya 199 murid hadir ke sekolah semalam, bagi sesi persekolahan minggu ke dua selepas sekolah ini ditutup dua hari lalu berikutan banjir gelombang kedua.

“277 murid lagi tidak hadir kerana keadaan banjir di sini masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Suami isteri dilokap
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
BESUT - Sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak berusia lingkungan dua tahun meringkuk di lokap selepas ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dan daun ketum di Kampung Bukit Keluang, di sini semalam.

Pasangan itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipercayai menjalankan kegiatan menjual dadah dan air ketum sebagai sumber pendapatan.

Ketua Polis Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah pada jam 6 pagi semalam di rumah mereka di kampung itu.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 28 tahun manakala isterinya 24 tahun ditahan selepas pemeriksaan di dalam poket seluar lelaki itu membawa kepada penemuan 17 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua guni daun ketum seberat 20 kilogram dan 40 bungkus air ketum di ruang tamu rumah suspek,” katanya.

Kamaruddin berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk disiasat dan saringan air kencing mendapati silelaki turut positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)  akta yang sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara dalam kes berasingan, seorang pemuda 21 tahun yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Proton ditahan di tepi jalan dekat Kampung Padang Luas, Jertih jam 11.30 malam kelmarin.
Pemuda yang beralamat di Kampung Air Jertun itu ditahan sepasukan polis dari Balai  Polis Jertih.

"Polis menemui 15 biji dipercayai pil kuda di dalam kotak rokok.
“Dia didapati positif dadah selepas saringan air kencing dijalankan,” katanya.
RM200 sebulan sara tujuh anak
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
RM200 sebulan sara tujuh anak
Daud sebak ketika menerima lawatan Abdul Rahman (kiri) dan Zaidi (dua, kanan) serta Mohd Shamsir (kanan) ke rumahnya di Kampung Machang Lada, Bukit Payung.
MARANG –  Walaupun pendapatan bulanan keluarga hanya RM200 sebulan, namun ibu tujuh anak, Faridah Arifin, 45, tetap bersyukur sebab penderitaan mereka sentiasa diberi perhatian.

Menurut Faridah, suaminya, Daud Salleh, 45, diserang strok setahun lalu dan tugas menjaga keluarga itu terletak di bahunya, tetapi dia tidak mampu bekerja kuat kerana turut mengalami masalah kesihatan serta menghidap ketumbuhan dalam tekak.

Kerana faktor itu dan kesukaran Faridah untuk membahagikan masa menjaga suami dan tujuh anak membuatkan dia terpaksa memilih untuk bekerja di rumah dengan membuat kuih secara kecil-kecilan bagi menanggung keperluan keluarga itu.

“Ada kalanya anak tidak bawa duit belanja ke sekolah dan ada kalanya kami terpaksa berlapar kerana tiada wang kerana pendapatan menjual kuih hanya sekitar RM50 seminggu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Faridah berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Payung, Zaidi Muda sempena program ziarah pesakit kronik di Dun berkenaan.

Hadir sama, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan daerah, Mohd Shamsir Mohd.

Paling menyentuh hati rombongan tersebut ialah rumah didiami keluarga itu juga tidak mempunyai bilik tidur selain keluarga itu terpaksa menggunakan kemudahan tidak bersih.

Akibat rumah yang sempit itu juga, memaksa anak keluarga terbabit tidur bersama-sama di ruang tamu manakala ketua keluarga itu, Daud yang dahulunya seorang penjual ikan terpaksa tidur di satu sudut di dalam rumah berkenaan.

Faridah berkata, kesusahan keluarga mereka itu bagaimanapun mendapat perhatian dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila suaminya menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 sebulan kerana tidak mampu bekerja setahun lalu. 

Menurutnya, program ziarah pesakit kronik itu juga ternyata melegakan keluarganya yang memerlukan pembelaan daripada pemimpin kerajaan malah berterima kasih kerana sudi melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mereka.

Sementara itu, mengenai program tersebut, ia bukan sahaja bertujuan meninjau kehidupan pesakit dan bertemu masyarakat, malah pemimpin terbabit menyusuri kampung di Dun Bukit Payung untuk meninjau keperluan prasarana.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang diiringi Zaidi Muda serta Mohd Shamsir amat berharap agar semua pesakit termasuk ahli keluarga mereka lebih cakna dengan melaporkan keperluan mereka dengan segera kepada agensi berkaitan untuk tindakan.

“Malah kita juga akan meneruskan program seperti ini kerana orang sakit tidak dapat hadir ke mana-mana majlis untuk berjumpa orang ramai kerana pergerakan terbatas. Jadi kita yang perlu turun padang agar mereka tidak tersisih,” katanya.
Rogol: 2 pemuda di jel 20 tahun, 2 sebatan
Wartawan Sinar Harian
9 Januari 2013
Rogol: 2 pemuda di jel 20 tahun, 2 sebatan
Tertuduh keluar daripada mahkamah setelah dijatuhkan hukuman merogol gadis bawah umur, dekat sini, semalam.
KUANTAN – “Kamu berdua sudah cukup dewasa untuk menilai akibat daripada perbuatan ini tetapi masih sanggup melakukannya.

“Hukuman setimpal wajar dikenakan kepada kamu berdua sebagai satu pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk ini,” kata Hakim Noradidah Ahmad terhadap Mohd Tarmizan Shamsudin,20 dan Muhammad Fadli Abduallah, 20, selepas kedua-duanya mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan berasingan merogol gadis bawah umur.

Noradidah dalam keputusannya memerintahkan tertuduh yang masing-masing berdepan dua tuduhan merogol dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap tuduhan  bermula dari tarikh mereka ditangkap bagaimana pun hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mohd Tarmizan dari Jaya Gading dekat sini berdepan dua tuduhan merogol gadis berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan  antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang di sini, 27 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa didakwa  menjemput mangsa untuk bersiar-siar di Bandar Kuantan sebelum membawa gadis itu ke rumahnya di Jaya Gading.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tertuduh didakwa merogol gadis tersebut sebelum membawa mangsa ke Pantai Sepat  dekat sini dan mengulangi perbuatan itu dalam sebuah tandas kosong kira-kira jam 1.30 petang hari yang sama.

Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa sehingga membawa kepada penahanannya kira-kira jam 10 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, Muhammad Fadli Abduallah berasal dari Kampung Meragih Mukim Penyor, Pekan juga didakwa atas dua tuduhan merogol gadis bawah umur yang baru berusia berusia 12 tahun 6 bulan ketika kejadian.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa sebanyak dua kali dalam sebuah rumah di Felda Chini 5 Pekan antara jam 2 pagi hingga 1 tengah hari 12 Julai lalu sebelum dia berjaya ditahan polis lima hari kemudian.

Bagi perbuatan mereka itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Peguam mereka, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan memandangkan ketika kejadian anak guamnya masih muda dan perbuatan itu berlaku atas dasar suka sama suka.

Menurutnya, kedua-dua tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka juga sudah insaf atas ketelanjuran itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin bagaimana pun memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh sebagai satu pengajaran bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.

Mengambil kira pertimbangan sewajarnya termasuk faktor kepentingan awam, Noradidah menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 4 sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bagaimana pun mereka bernasib baik apabila hanya melalui  hukuman 10 tahun penjara kerana hukuman itu berjalan serentak.
Belasah untuk reda suami isteri kelahi
Wartawan Sinar Harian
9 Januari 2013
KUALA TERENGGANU - Berang tegurannya agar berhenti berkelahi tidak diendahkan oleh sepasang suami isteri yang juga merangkap jirannya, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila nekad membelasah ‘si suami’, dalam satu kejadian di Kampung Gelugor Kedai, Chabang Tiga, di sini, malam Ahad lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia 30 tahun dan beralamat dari Kampung Gelugor Kedai, Chabang Tiga, di sini, ditangkap polis di kediamannya, malam kelmarin, susulan laporan dibuat oleh mangsa beberapa jam selepas kejadian.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila suspek cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan pasangan suami isteri yang ketika itu agak tegang.

“Suspek pada awalnya cuba menegur secara baik kepada pasangan suami isteri berkenaan yang sedang bergaduh di hadapan rumah kerana menganggap perbuatan mereka akan memalukan seluruh kampung.

“Namun, mangsa yang tidak suka suspek masuk campur urusan rumah tangganya cuba bertindak kasar mengacah akan melanggar suspek dengan kereta dipandunya,” katanya.

Katanya, tindakan mangsa itu menyebabkan suspek naik angin sebelum bertindak membelasah mangsa menggunakan tangannya dan turut dipercayai suspek telah merosakkan kereta mangsa dengan memecahkan cermin kereta.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek itu telah mengambil keputusan membuat laporan polis beberapa jam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dipenjarakan sehingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam
Rubiah Omar
20 September 2012
Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam
Kedua-dua sahabat ini mengaku membelasah sepasang suami isteri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Angkara dendam lama, seorang penganggur nekad menjejaki semula ‘musuh’nya itu yang juga pasangan suami isteri bagi melangsaikan dendam yang terpendam sebelum ini.

Dendam yang dipercayai berpunca daripada masalah peribadi telah menyebabkan lelaki itu nekad memanggil ‘ahli kumpulannya’ membelasah pasangan terbabit sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di Jalan Cempaka 2, Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan penganggur itu, Mohd Azhar Yaacob, 26, dari Lot Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhkan hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah  Majistret di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Azhar mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Hazwan Hashim, 27, dan isterinya Nurul Hamimi Ibrahim, 24.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan itu pada jam 6.30 petang.

Manakala seorang rakannya yang bekerja sebagai penjual ikan, Muhammad Amirudin Abd Wahab, 20, dari Kampung Telok Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, turut menerima nasib sama dengan dikenakan denda RM1,200 selepas mengaku salah membelasah mangsa, bapa kepada seorang anak itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala keduadua mereka tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka  berada di dalam kereta Proton Satria sebelum secara tiba-tiba didatangi Mohd Azhar yang menaiki sebuah kereta Proton Viva.

Mohd Azhar telah merampas kunci kereta mangsa sebelum mengarahkan pasangan itu keluar dari kereta namun kedegilan pasangan itu menyebabkan Mohd Azhar naik angin lalu menerajang badan sebelah kiri mangsa menggunakan  kaki kanannya.

Isteri mangsa yang melihat kejadian itu cuba memarahi perbuatan Mohd Azhar dengan bertanyakan kenapa memukul suaminya, namun dia turut ditumbuk.

Mangsa yang tidak puas hati cuba menghalang Mohd Azhar yang seperti ‘dirasuk’ itu, bagaimanapun tanpa disedari secara tiba-tiba rakannya, Muhammad Amirudin datang dengan membawa bersama gergaji pokok dan mahu  memukul mangsa tetapi tidak sempat kerana dihalang oleh abang kepada rakan mangsa.

Disebabkan situasi yang agak tegang, mangsa terpaksa mengambil penyodok pasir yang secara kebetulan ada di lokasi kejadian bagi menakutnakutkan sebelum kesemua mereka beredar dari lokasi terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa dan isteri mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, belakang badan dan luka di siku sebelah kanan.
Awas pekerja TNB menyamar
FARAH SHAZWANI ALI
9 Januari 2013
Ir Md Yuslan Md Yusof
Ir Md Yuslan Md Yusof
KUALA TERENGGANU- Awas penipu! Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali, kerana ada yang sanggup menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semata-mata bagi tujuan menipu.

Lebih licik, individu tidak bertanggungjawab itu sanggup menipu hanya kerana ingin mencuri elektrik atau membuat sambungan pendawaian elektrik haram dan ada pula yang mencuri tembaga pada meter.

Pengurus Besar TNB negeri, Ir Md Yuslan Md Yusof berkata, walaupun kes tersebut terpencil, pengguna perlu lebih berhati-hati kerana kes tersebut ada dilaporkan berlaku di negeri ini.

“Sebenarnya orang seperti ini banyak taktik. Kes sebegini banyak berlaku di Selatan, yang mana mereka menyamar menjadi anggota kerja TNB.

“Jadi saya nasihatkan orang ramai agar pastikan jika mereka curiga, minta individu terlibat menunjukkan kad kuasa dan memakai baju atau vest berlogo TNB. Kita perlu sentiasa beringat kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sesi Dialog Persatuan Kontraktor Elektrik Melayu Terengganu (Perkent) Bersama TNB Terengganu di Hotel Tanjong Vista di sini, kelmarin.

Sementara itu, Md Yuslan berkata, masalah kecurian kabel milik TNB masih lagi terkawal dan kecil berbanding negeri di pantai Barat.

Menurutnya, TNB mempunyai unit keselamatannya sendiri yang dinamakan Unit Perkhidmatan Keselamatan (UPK) bagi memantau pemasangan dan kes kecurian kabel di setiap daerah bagi membendung masalah itu.

“Mereka yang tertangkap akan didakwa di mahkamah. Cuma pada masa sama, saya harapkan orang ramai bekerjasama dengan kita untuk membanteras kejadian ini daripada berlaku di kawasan masing-masing,” katanya.
Polis tahan suspek kes bunuh peniaga di Temerloh

17 September 2012
TEMERLOH -  Polis menahan seorang daripada tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang peniaga di Kampung Baru Simpang Songsang di Temerloh tengah malam, semalam.
 
Suspek, 40, yang merupakan bekas pekerja mangsa dan dipercayai seorang penagih dadah serta sudah berkahwin, ditahan sepasukan anggota polis di rumahnya di Kuala Krau pada kira-kira 12.30 malam.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Superintenden Zundin Mahmod berkata suspek sebelum ini dikatakan pernah berselisih faham dan bertengkar dengan mangsa, Abdul Talib Yadin, 56.
 
"Lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata isteri mangsa, Siti Rohani Salleh, 48, masih menerima ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

"Siti Rohani mendakwa dapat mengecam wajah suspek yang terlibat, dan polis juga akan membuat pengawasan terhadapnya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
 
Pasangan suami isteri itu disamun tiga penjenayah ketika dalam perjalanan pulang selepas berniaga kira-kira 2.30 pagi pada 14 Sept lepas.
 
Dalam kejadian itu, Abu Talib meninggal dunia di tempat kejadian selepas diserang dan ditikam dengan senjata tajam.
 
Siti Rohani pula cedera parah di bahagian kiri dan rusuk kanan akibat ditikam tiga kali, namun berjaya melarikan diri. - Bernama
Pencuri dibelasah penduduk
SYAIRI SHAARI
10 Januari 2013
Pencuri dibelasah penduduk
Rao (kanan) menunjukkan keretanya yang cuba dicuri di Flat 700, baru-baru ini.
PANDAN PERDANA - Gara-gara mengumpil pintu sebuah kereta, seorang lelaki dibelasah penduduk apabila dipercayai cuba mencuri sebuah kereta kira-kira jam 7 pagi, di Flat 700, di sini, baru-baru ini.
Pemilik kereta berkenaan, Peter Rao, 20, berkata, dia dimaklumkan penduduk kehadiran seorang lelaki mencurigakan sedang membuka pintu keretanya.

"Saya bergegas turun lalu bertanya kepada suspek dan dimaklumkan bahawa bateri kereta itu lemah sedangkan kenderaan terbabit milik saya.

“Saya tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan bertindak menghubungi abang.

“Namun, ketika lelaki terbabit cuba melarikan diri, penduduk menahan dan memukul dia kerana tidak berpuas hati dengan penipuannya” katanya yang baru membeli kereta tersebut enam bulan lalu dari abang iparnya.

Sementara itu, abang Rao, Ray Kumar, 28,  berkata, lelaki itu memberi alasan mengatakan keretanya dicuri kemudian ditukar cat.

"Suspek memberitahu saya,  seorang kawan tinggal di tingkat enam flat ini yang memaklumkan keretanya yang hilang dijumpai dalam kawasan itu," katanya.

Saksi kejadian, Md Azmi berkata, dia menyedari seorang lelaki berbaju hitam berlegar-legar sekitar flat pada awal pagi berkenaan.
Menurutnya, dia pada mula tidak mengendahkan lelaki itu tetapi akhirnya menerima panggilan penduduk mengatakan kehadiran individu mencurigakan cuba mencuri sebuah kereta.
“Telahan saya tepat apabila lelaki yang saya nampak sebelum itu adalah orang yang sama merayau di flat ini,” katanya.

Lelaki itu yang dipukul penduduk yang tidak berpuas hati kemudiannya diserahkan kepada polis untuk disoal siasat.

Sinar Harian difahamkan lelaki berusia 49 tahun itu tinggal di Seremban berdasarkan alamat di dokumen pengenalannya.


Lari tak tahan deraan seksual suami
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Lari tak tahan deraan seksual suami
Jenice (kiri) bertanya sesuatu kepada tiga beranak berkenaan di Pejabat Dun Teratai, kelmarin.
AMPANG - “Saya lihat depan mata ayah memaksa emak melakukan seks dan emak akan dipukul kalau enggan berbuat demikian,” luah kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun, menceritakan penderitaan ibunya.

Dia berkata, lelaki itu akan menghentak kepala serta memukul ibunya setiap kali wanita itu enggan mengadakan hubungan seks.

Menurutnya, dia tidak mahu tinggal lagi bersama lelaki itu kerana bimbang akan menjadi mangsa rogol satu masa nanti.

“Sekarang saya, emak dan adik menumpang di rumah saudara kerana mahu mengelak penderaan dilakukan ayah,” katanya ketika di Pejabat Dun Teratai bersama keluarganya bagi mendapatkan bantuan dan perlindungan, di sini, kelmarin.

Sementara itu, ibu mangsa, yang berusia 39 tahun  memohon pihak bertanggungjawab mengambil perhatian mengenai perkara ini seterusnya menyelamatkan dia daripada keganasan suaminya.

Menurutnya, dia menjadi mangsa lelaki itu sejak 2003 dan akan didera sekiranya permintaan tidak dipenuhi.

“Suami akan mengeluarkan senjata tajam mengugut akan mencederakan anak-anak jika dia tidak dilayan.

“Disebabkan tiada pilihan saya terpaksa memenuhi kehendaknya setiap hari walaupun depan anak,” katanya.

Dia berkahwin dengan lelaki itu sekitar 2000 ketika  melancong ke Malaysia dan dikurniakan dua anak sepanjang perkahwinan mereka.

Sementara itu, Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha yang membantu mangsa membuat laporan berkata, akan mendapatkan perlindungan bagi membela nasib mereka.

“Selain bimbang dengan persekolahan anak mangsa, saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada diganggu lelaki itu,” katanya.

Jenice turut menasihati mangsa penderaan rumahtangga lain tampil membuat laporan.
Datin dedah anak dalam jagaan suami amal cara hidup bertentangan Islam
AMRAN ALI
10 Januari 2013
Datin dedah anak dalam jagaan suami amal cara hidup bertentangan Islam
Fatimah (kanan) ketika mengadukan masalah dihadapi kepada Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz, semalam
AYER KEROH - Seorang wanita yang berstatus Datin mengharapkan bantuan pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengembalikan anak lelakinya yang kini tinggal bersama suami di Pahang.

Ini kerana, wanita berusia 38 tahun itu bimbang akidah anak berusia 9 tahun terpesong selepas tinggal bersama suaminya, seorang mualaf yang kini tidak mengamalkan hidup cara Islam.
Difahamkan, selain anaknya itu, terdapat lagi seorang anak lelaki berusia 11 tahun yang turut tinggal bersama suaminya selepas dia tidak lagi tinggal bersama sejak 2006 dan kini sedang dalam proses penceraian.
Menurut wanita terbabit yang dikenali sebagai Fatimah (bukan nama sebenar), dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya seorang berpangkat Datuk pada 2000.
“Saya telah melalui pelbagai penderitaan sejak berkahwin. Saya dipukul dan pernah diberi dadah oleh suami saya. Paling teruk sekali suami pernah acu untuk dera dengan seterika panas. Malah sepanjang bersamanya, dia tidak mengamalkan cara hidup Islam.

“Pada 2006 saya mengambil keputusan untuk bercerai dengannya, namun kini masih dalam proses penceraian," katanya yang mengajukan masalah dihadapinya kepada pejabat Pembela Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN), di sini semalam.

Fatimah berkata, pada mulanya, anaknya keduanya itu tinggal bersamanya setelah mendapat perintah interim dari mahkamah dan dia bertekad untuk mendapatkan hak penjagaan anak secara mutlak supaya akidah anaknya dapat diselamatkan.

Dia turut mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa anak yang dipelihara suaminya itu tidak mengamalkan cara hidup Islam, tidak menunaikan solat dan merayakan sambutan agama lain yang bertentangan dengan Islam, selain minum minuman keras.
“Paling saya bimbang apabila pernah dengar anak mengaku dia bukan orang Islam yang mungkin didorong oleh cara hidup agama lain sejak sekian lama.
“Saya harap proses penceraian ini dapat dijalankan segera dan mahu hak penjagaan anak secara mutlak,” katanya yang menyifatkan Pembela BN sebagai ikhtiarnya yang terakhir.
Pokok kelapa lima dahan
Wartawan Sinar Harian
10 Januari 2013
Pokok kelapa lima dahan
Maamin menunjukkan pokok kelapa yang mempunyai lima dahan.
PORT DICKSON – Sesiapa yang melalui jalan Seremban Port Dickson di Batu 1 Jalan Pantai pasti akan menyedari deretan pokok kelapa yang ditanam bersebelahan dengan Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Namun, di antara deretan pokok kelapa itu, terdapat sebatang pokok kelapa yang mempunyai lima cabang dahan.

Nelayan, Maamin Judin, 71, berkata, dia yang sering berulang alik menggunakan laluan Port Dickson-Seremban dari rumahnya ke pengkalan nelayan di Batu 1 menyedari kelainan pada pokok berkenaan.

“Pokok kelapa ini memang lain daripada yang lain, namun diakui ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Ini adalah kali pertama saya melihat pokok kelapa yang mempunyai cabang dahannya di mana kebiasaannya pokok kelapa tidak mempunyai dahan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Maamin berkata, semua lima cabang pokok kelapa ini mengeluarkan buah sama seperti pokok kelapa yang ditanam di situ.

“Ketinggian pokok kelapa ini juga tidak jauh beza pokok kelapa lain dan mungkin usia pokok kelapa ini sekitar lima hingga tujuh tahun,” katanya.
Bayi ditinggal atas tembok masjid

11 Januari 2013
BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi perempuan yang dimasukkan ke dalam kotak ditemui ditinggalkan di Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh awal pagi semalam.
 
Bayi itu yang ditinggalkan di atas tembok masjid ditemui Siak masjid kira-kira 5.20 pagi.
 
Md Desa Chik, 66, berkata, beliau menemui kotak berkenaan ketika sedang menyapu lantai berhampiran tempat mengambil wuduk.
 
"Saya nampak satu kotak bertutup dan menyangka ia berisi kain seperti yang selalu diletakkan di situ untuk bersihkan masjid.
 
"Saya terus membuka kotak itu dan sebaik dibuka, saya nampak seorang bayi perempuan yang dibalut dengan kain batik, yang masih bergerak-gerak," katanya.
 
Katanya, beliau lalu memanggil rakannya yang berada dalam masjid untuk menghubungi pihak polis.
 
Sepasukan anggota polis kemudiannya datang mengambil bayi berkenaan yang difahamkan untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya, katanya.
   
Md Desa berkata beliau percaya bayi itu ditinggalkan lebih awal sebelum beliau tiba di masjid.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya agar menghubungi polis. - Bernama
Pekerja kontrak diserang guna parang, jari hampir putus
Wartawan Sinar Harian
9 Januari 2013
REMBAU – Seorang lelaki yang juga pekerja kontrak di Ladang Perhentian Tinggi, di sini, berdepan saat-saat getir dalam hidupnya apabila dia diserang menggunakan parang dan topi keledar.

Keadaan itu menyebabkan jari kanan warga Pakistan itu, Javed, 20 an hampir putus, selain cedera di lengan kanan dan bengkak di bahagian kepala akibat dihentak menggunakan topi keledar.

Kejadian berlaku apabila  penyelia Javed, seorang wanita berusia 47 tahun datang ke rumahnya menghantar barangan makanan untuk empat pekerjanya, kira-kira jam 8.30 malam.
Mereka kemudiannya didatangi dua lelaki yang tidak berpuas hati dengan penyelia berkenaan yang dikatakan memandu secara laju di kawasan ladang.

Jurucakap polis berkata,   pada mula hanya pertengkaran mulut sahaja yang berlaku  antara mangsa dan lelaki berkenaan.

Namun, selepas beberapa minit  beredar, dua lelaki berkenaan datang semula bersama dua lagi rakan yang menaiki motosikal.

“Mereka datang dan terus menyerang mangsa menggunakan parang, topi keledar sehingga mengalami kecederaan.

“Malah, suspek juga memecahkan cermin kereta mangsa dan terus beredar.  Susulan kejadian berkenaan, pengawal ladang menghubungi pihak polis dan mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis.
“Kita kini sedang menggiatkan usaha bagi menangkap suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.  Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, " katanya.
Jumpa mayat dalam sungai
NORRIZAH BAHARUDDIN
9 Januari 2013
Jumpa mayat dalam sungai
Lokasi di mana mayat Karnaheran ditemui dekat sebuah kolam pembiakan katak di Alor Gajah.
ALOR GAJAH  - Misteri kehilangan seorang penjaga kebun buah-buahan sejak empat hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam  anak sungai berdekatan sebuah kolam pembiakan katak di Simpang Gading, Durian Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Mayat M Karnaheran, 36, ditemui pemilik kolam terbabit selepas terhidu bau busuk ketika memberi makan ternakannya sebelum melihat mayat mangsa yang tersangkut pada perangkap sampah.

Jurucakap polis berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, namun baju kemeja yang dipakai sudah terbuka dan terdapat kecederaan pada bahagian kepala serta badan, dipercayai dicarik binatang.

Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai bersama motosikal Yamaha 100 yang ditunggangnya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah kebun berdekatan lokasi mayatnya ditemui.

“Motosikal mangsa turut ditemui dalam sungai berkenaan pada jarak kira-kira 100 meter dari mayatnya,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, K Mathavan, 55, berkata, kehilangan anak sulung daripada dari lapan beradik itu disedari pada malam Jumaat lalu apabila dia tidak pulang ke rumah sejurus tamat waktu kerja kira-kira jam 6 petang seperti kebiasaan.

“Setiap hari, anak saya habis kerja pada jam 6 petang dan akan pulang ke rumah kira-kira jam 7 petang, namun Jumaat lalu kelibatnya langsung tidak kelihatan,” katanya yang tinggal di Kampung Simpang Gading, Durian Tunggal, di sini.

Menurutnya, selepas menyedari anaknya tidak pulang ke rumah, dia bersama anaknya yang lain keluar mencari Karnaheran di sekitar pekan Durian Tunggal dan beberapa lokasi lain, namun tidak menemuinya.

Katanya, beberapa bulan sebelum kejadian, dia menyedari perubahan sikap anaknya itu yang bertindak mengoyakkan semua gambarnya yang disimpan dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan penemuan mayat mangsa yang dipercayai sudah terbiar sejak empat hari lalu.

Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir ketika menunggang motosikal berdekatan sungai itu sebelum dihanyutkan  air deras dan tersangkut pada batu perangkap sampah dalam keadaan terlentang.

“Terdapat kesukaran ketika melakukan operasi mengangkat mayat mangsa yang sudah bengkak dan lebam berikutan air sungai deras ditambah dengan keadaan hampir gelap.

“Namun dengan bantuan lampu limpah daripada jentera Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, polis bersama orang awam mengangkat mayat  mangsa dengan berhati-hati berikutan keadaan mayatnya yang semakin reput,” katanya.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment