Wednesday, January 9, 2013

AIR OH AIR....SUBHANALLAH DAH CANTIK BERSUAMILAH DENGAN ORANG TAQWA...DAN TINGGALKAN YANG MAKSIAT

Kaya pada usia muda buat Safwan tenggelam, tak ingat mengucap

Posted on the January 7th, 2013 under Tempatan by admin
KENANGAN… Safwan (kiri) insaf selepas kehilangan dua sahabat baik.
Seperti kemiskinan, kekayaan boleh menjadi dugaan hidup, apatah lagi memilikinya pada usia muda. Maklumlah masa muda merupakan waktu di mana nafsu mahu mencuba segala nikmat dunia berada di puncak dada.
Itulah pengalaman dikongsikan Safwan (bukan nama sebenar). Sebagai permulaan cerita dia menyatakan kesyukuran kerana perjalanan hidupnya sejak kecil sering dipermudahkan.
Di sekolah walaupun bukan pelajar paling cemerlang, prestasi pelajarannya dalam kategori baik. Dikelilingi kawan-kawan, Safwan menjalani kehidupan remaja dalam suasana gembira.

“Sejak sekolah rendah saya ada empat kawan rapat – Jeff, Azrul, Din dan Min. Kami membesar dan bermain sama sejak kecil sebab tinggal berjiran. Kami seolah-olah tak dapat dipisahkan,” ujar Safwan.
Selepas tamat SPM, bagai sudah berjanji kelima-lima mereka mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT sama, mengambil kursus serupa. Hal ini membuatkan persahabatan mereka tambah erat.
Ketika bergelar penuntut mereka jalani hidup bersama; daripada aktiviti pelajaran hinggalah aktiviti luar lain. Keseronokan merempit, mencuba dadah dan mengunjungi pusat hiburan turut diterokai berlima. Lebih daripada itu, mereka turut menjalankan perniagaan menjual ganja dan pil khayal.
“Kami sepakat tak mahu kerja dengan orang. Jadi lepas tamat belajar kami gunakan keuntungan jual ganja untuk buka perniagaan bersama,” kata Safwan.
Pada mulanya mereka mengusahakan perniagaan kafe siber. Hasil diperoleh agak lumayan namun lama-kelamaan, ia kian merosot membuatkan mereka mula mencongak peluang perniagaan baru.
“Sudah rezeki Tuhan nak bagi, kami dapat kontrak eksport lintah ke Jepun. Peluang itu terus diambil. Kami usahakan ternakan lintah di tanah yang dipajak,” ujar Safwan.
Sejak itu kehidupan mereka berubah agak total. Memanglah sebelum ini mereka tidak susah sangat dari segi duit, namun saat itu hidup bertukar lebih mewah lagi.
Walaupun selepas diagihkan kepada lima, jumlah untung diterima masih sangat besar untuk dibelanjakan apatah lagi bagi orang muda seperti mereka. Langkah kian panjang. Semua keseronokan dunia ingin dicuba.
Aktiviti melancong dan berbelanja sakan menjadi perkara biasa. Pada masa sama judi, minuman keras dan perempuan turut menjadi makanan harian. Meskipun rumah sewa mereka masih di Lembah Klang, ibu bapa dan keluarga jarang-jarang sekali dikunjungi. Safwan, Jeff, Azrul, Din dan Min hanyut dalam kehidupan sendiri.
“Mungkin sebab keluarga ada juga bekalkan ilmu agama waktu kecil, kadang-kadang masa tengah khayal dek minuman keras atau dadah kami sempat berbual soal kehidupan. Bertanya satu sama lain, sampai bila nak macam ni? Apa yang kita buat ni berdosa tahu? Tapi walaupun masing-masing tahu dan setuju susah untuk tinggalkan perkara haram. Maklumlah benda seronok kan,” ucap Safwan.
Tak ingat mengucap
Satu hari, ketika sedang melepak, Min mengajak mereka semua ke satu tempat untuk berjudi. Namun apabila kawan-kawan lain tampak bermalas-malas, dia ambil keputusan untuk bergerak dahulu.
“Kami janji akan datang kemudian. Tapi tak sampai 15 minit lepas dia beredar, saya dapat satu panggilan daripada telefon bimbit Min,” ujar Safwan.
Panggilan bagaimanapun dibuat oleh orang lain. Menurut pemanggil, Min terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuching. Safwan dan lain-lain segera ke tempat kejadian.
Setibanya di sana, Min masih sedar namun sudah tak mampu bersuara. Safwan, Din dan Jeff menemaninya dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur manakala Azrul, memandu kenderaan sendiri.
“Dalam ambulan, kami saling berpandangan dalam keadaan panik lihat Min sedang nazak. Petugas ambulan minta kami ajar Min mengucap tapi entah macam mana terpacul dari mulut Jeff, ‘kami tak ingat macam mana nak mengucap pakcik’.
“Petugas itu kemudiannya mengajar Min mengucap. Min menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas itu,” ujar Safwan.
Selepas kematian Min, mereka berempat agak tersentak. Aktiviti harian dan perniagaan diteruskan seperti biasa tapi tak serancak dulu. Apabila duduk bersama mereka lebih banyak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.
Begitu pun, sekali sekala pengambilan dadah dan alkohol masih diteruskan. Keseronokan dunia tetap digunakan untuk merawat hati yang sedih kerana kematian sahabat.
“Satu malam, Jeff tiba-tiba ajak kami balik ke rumah ibu bapanya kerana rindukan ibunya. Oleh sebab keluarga Jeff dah macam keluarga sendiri kami nak ikut tapi mahu menyusul kemudian dengan kereta berasingan,” kata Safwan.
Bawa haluan sendiri
Bagai dejavu, tidak lama selepas Jeff keluar, Safwan sekali lagi menerima panggilan telefon daripada orang tak dikenali. Katanya Jeff kemalangan! Maka mereka bergegas ke tempat kejadian. Sepanjang perjalanan kesemua mereka bagai tak keruan kerana masih diimbau kejadian menimpa Min yang belum pun sampai sebulan.
“Jeff meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Kami terduduk menerima berita itu. Ia terlalu sukar dihadamkan fikiran. Belum pun hilang terkejut kehilangan Min, kini Jeff pula menyusul,” ujar Safwan.
Kali ini kematian Jeff benar-benar meninggalkan impak. Safwan, Azrul dan Din bagai kehilangan kata-kata. Semuanya terlalu mengejut.
“Kami mula berbual tentang dosa yang pernah dilakukan bersama-sama. Kami sama-sama setuju ini wake up call dari ALLAH agar kami bertaubat,” ujar Safwan.
Seminggu selepas kematian Jeff, Azrul dan Din menemui Safwan di sebuah restoran. Azrul menyatakan hasrat untuk membawa diri, sementara Din lebih banyak berdiam.
“Selepas pertemuan itu, saya tak lagi tahu khabar berita mereka. Kedua-duanya menghilangkan diri begitu sahaja. Sampailah dua tahun lalu, saya bertemu Azrul secara tak sengaja di Pulau Pinang. Penampilannya sudah jauh berubah. Dia masih menyatakan kekesalan atas dosa lampau.
“Din pula sampai sekarang tak tahu apa khabar berita. Terakhir saya dengar, dia sertai tabligh,” kata Safwan.
Bagi Safwan sendiri, kematian Min dan Jeff meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Dia mula mendekatkan diri dengan keluarga dan kembali pada tuntutan agama.
Perniagaan yang diusahakan bersama kawan-kawan baiknya sebelum ini turut dijual kerana terlalu banyak kenangan mengusik jiwa untuk diteruskan. Buat masa ini, dia mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji sahaja.
“Kubur kedua-dua sahabat saya itu tidak jauh dari kawasan perumahan, jadi setiap hari saya akan melewatinya setiap kali pergi dan balik kerja. Sekurang-kurangnya, ia mengingatkan saya bahawa kematian sangat dekat dengan manusia tidak kira berapa usia kita.
“Maka rugilah jika kita terlalu leka dengan nikmat dunia hingga abaikan persediaan ke alam kekal kelak,” ujar Safwan yang baru menginjak ke usia 28 pada 8 Disember 2012 lalu.
Sinar

Tebusan RM30 juta, wanita dikurung 12 hari

Posted on the January 8th, 2013 under Tempatan by admin
Lokasi dua penculik ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak malam tadi.
IPOH – Dua penjenayah yang dipercayai menculik seorang ahli perniagaan di Taiping, dekat sini, ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah rumah berhampiran bekas tapak penjualan susu getah Kilometer 76 Jalan Sitiawan-Taiping, Trong, semalam.
Kedua-dua penjenayah tersebut berusia 42 dan 35 tahun masing-masing berasal dari Puchong, Selangor dan Kangar, Perlis.

Dalam kejadian yang berlaku pada 26 Disember tahun lalu seorang wanita berusia 52 tahun diculik sekumpulan empat lelaki di hadapan rumahnya di Taiping, dekat sini.
Sebelum itu, kumpulan penjenayah terbabit cuba menculik anak saudara lelakinya berusia empat tahun namun kehadiran mereka disedari mangsa.
Mangsa yang melihat kejadian itu diculik kumpulan tersebut dan dikurung selama 12 hari sehingga dia ditemui malam tadi.
Dipercayai suspek meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta serta berlaku tawar-menawar antara keluarga mangsa dan suspek.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kira-kira jam 9.45 malam, Pasukan Khas Polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim menyerbu ke lokasi mangsa dikurung untuk menyelamatkannya.
Menurutnya, pasukan terbabit bertindak atas maklumat siasatan dan ketika cuba menyelamatkan mangsa berlaku adegan berbalas tembakan antara polis dan penjenayah.
Sinar

Sunamo dijangka sebabkan banjir gelombang ketiga

Posted on the January 8th, 2013 under Tempatan by admin
wp0113
KUALA TERENGGANU – Ribut Sunamo dijangka menyebabkan angin kencang serta hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir gelombang ketiga di negeri ini.
Ribut tropika dengan kekuatan 112 kilometer (km) sejam itu kini berlegar di perairan Laut China Selatan, namun orang ramai tidak perlu panik kerana ia dijangka tidak akan membadai negara ini.

Sebaliknya, kekuatan ia dijangka berkurangan kepada 36km sejam dan menghampiri perairan Dungun sejauh kira-kira 600km hari ini dan esok.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad memberitahu, walaupun kekuatan sudah berkurangan namun awan yang disedut ribut berkenaan ketika ini hingga menyebabkan cuaca panas akan dilepaskan ketika kekuatan ribut itu berkurangan.
“Awan tersebut akan menyebabkan hujan lebat kemungkinan menyebabkan banjir besar yang berlaku ketika gelombang pertama dulu atau lebih besar lagi.
“Ribut ini tidak pernah berlaku di negara ini dan kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo

Pasangan mengaku ada anak hasil hubungan sulit

Posted on the January 8th, 2013 under Tempatan by admin
Anuar sedang menyoal siasat pasangan berkenaan.
KLUANG – Seorang wanita mengaku mempunyai seorang anak hasil hubungan sulit dengan pasangannya yang juga suami orang ketika ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar bandar Kluang, malam minggu lalu.
Wanita berusia 27 tahun itu ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) bersama pasangannya berusia 35 tahun dalam satu bilik di salah sebuah hotel bajet.
Malah, lelaki terbabit yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya mengaku dalam proses perceraian bersama isterinya.

Ketua Unit Penguatkuasa Agama Jaij daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, ketika serbuan dijalankan di hotel bajet itu, Jaij terpaksa menunggu 10 minit, sebelum pintu dibuka.
“Ketika soal siasat dijalankan, pasangan berkenaan memberi alasan mereka akan berkahwin dan menyewa hotel hanya sekadar untuk berjumpa, bagaimanapun mereka gagal untuk meyakinkan pihak Jaij dengan alasan yang diberi.
“Hasil pemeriksaan mendapati, wanita berkenaan telah melahirkan seorang anak yang kini berusia setahun hasil hubungan sulit bersama pasangannya itu,” katanya.
Anuar berkata, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Sesyen 27, Enakmen Kesalahan Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, operasi yang dijalankan bersama anggota Cawangan Penyiasatan Khas dari Kem Mahkota bermula jam 1 hingga 6 pagi itu turut menahan tiga pasangan berusia antara 19 hingga 35 tahun.
“Kesemua pasangan tersebut turut didakwa di bawah seksyen sama. Bagaimanapun, pasangan terbabit telah dibebaskan setelah dijamin oleh keluarga masing-masing, namun mereka dikehendaki datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang esok (hari ini) untuk diambil keterangan,” katanya.
Anuar juga menyatakan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk mencegah maksiat di daerah ini daripada terus berleluasa.
Sinar

Tarian lucah cemari majlis polis

Posted on the January 9th, 2013 under Tempatan by admin
GAMBAR menunjukkan tiga individu berpakaian menjolok mata sambil melakukan tarian lucah pada satu majlis anjuran polis Shah Alam di sebuah hotel Jumaat lalu kini tersebar di laman sosial Facebook dan blog.
SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis berpangkat rendah daerah ini yang akan bertukar dicemari insiden memalukan apabila tiga lelaki yang memakai pakaian dalam wanita melakukan aksi tarian separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam kerana difahamkan persembahan yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel terkemuka di Selangor itu berbentuk tarian tradisional.

Bertemakan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan, majlis itu hanya dihadiri oleh anggota dan pegawai polis Shah Alam dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah itu sebagai orang kenamaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, insiden itu telah mencetuskan kontroversi apabila gambar memalukan itu tersebar di laman sosial Facebook dan blog sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.
Katanya, siasatan mendapati, tarian separuh bogel itu bukan sahaja langsung tidak termasuk dalam aturcara majlis malah, ia tidak ditempah dan tidak diadakan ketika sesi raptai serta latihan.
“Tarian itu dipersembahkan secara tiba-tiba dan penari terbabit pula merupakan golongan lelaki yang memakai pakaian dalam wanita. Ia berlaku secara mengejut dan spontan tanpa izin penganjur.
“Kita sedang menyiasat mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab. Penganjur telah membuat aduan kepada pihak pengurusan hotel pada malam itu juga dan saya sedang membuat pertanyaan sulit mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, majlis tertutup itu diadakan untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis pangkat rendah daerah ini yang akan bertukar tempat bertugas.
Menurut Zahedi, Polis Diraja Malaysia selama ini tidak pernah menganjurkan acara tidak bermoral seperti itu yang nyata bertentangan dengan agama Islam dan budaya pasukan keselamatan itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gambar tersebut jelas memaparkan imej tiga individu memakai rambut panjang, seluar dalam dan coli sedang menari dalam aksi ghairah berlatarbelakangkan tulisan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan Polis Shah Alam.
Gambar tersebut menerima kecaman pelbagai pihak. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melalui akaun Facebook peribadinya melahirkan rasa terkejut melihat gambar itu.
Tun Hisan menyatakan polis tidak sesekali menyokong kemungkaran sebegitu dan akan menyiasat kejadian berkenaan.

Krisis air sampai bulan depan

Posted on the January 9th, 2013 under Tempatan by admin
KUALA LUMPUR – Krisis bekalan air di Lembah Klang terutamanya di kawasan Ampang dan Cheras yang berlaku hampir dua minggu lalu dijangka berterusan sehingga perayaan Tahun Baru Cina pada 10 dan 11 Februari depan berikutan kapasiti bekalan air yang dirawat belum dapat memenuhi permintaan.
Masalah tersebut membabitkan 28,000 pemegang akaun atau kira-kira 100,000 pengguna.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kini membuat pemantauan 24 jam sehari di kedua-dua kawasan tersebut yang membabitkan kira-kira 1,000 kakitangan.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata, Syabas menempatkan petugas teknikal dan bukan teknikal dari pelbagai jabatan untuk membantu penduduk yang terjejas.
“Memandangkan kami tidak boleh menyalurkan air bersih melalui saluran paip, kami akan mengagihkan air menggunakan lori dan tangki,” katanya dalam sesi taklimat kepada kakitangan sebelum mereka dihantar bertugas ke kawasan yang telah ditetapkan di sini semalam.
Rozali berkata, krisis tersebut akan berpanjangan kerana terdapat kekurangan air yang dirawat, peningkatan permintaan dari semasa ke semasa dan penangguhan program Perbelanjaan Modal (CAPEX) yang turut merangkumi kerja pembaikan, menaik taraf atau pertukaran aset dan sistem pengagihan air semasa oleh kerajaan negeri Selangor.
Krisis bekalan air itu ketika kemuncaknya minggu lalu menyebabkan kira-kira 500,000 pengguna di Lembah Klang terjejas.
Gangguan bekalan itu berpunca daripada kegagalan sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.
Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi turut menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air di 13 kawasan di wilayah Kuala Lumpur akan mengambil masa lebih lama.
Beliau berkata, untuk meringankan beban penduduk, Syabas menghantar bekalan air menggunakan 40 buah lori tangki air bersama 16 bantuan lori tangki air dari negeri lain seperti Johor, Perak dan Melaka.
Menurut beliau, proses pemulihan bekalan air tidak dapat dilakukan sepenuhnya di kawasan seperti Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Pandan Cahaya dan Desa Pandan, yang melibatkan kira-kira 28,000 akaun memandangkan tidak ada kapasiti rizab bekalan air.
Katanya, kadar pengepaman Rumah Pam Wangsa Maju terpaksa dihadkan kepada 180 juta liter sehari (JLH) berbanding kadar pengepaman biasa yang mencecah 210 JLH.
“Keadaan pemulihan bekalan bagi wilayah Kuala Lumpur setakat ini adalah 40 peratus sahaja disebabkan oleh pengurangan kadar pengepaman air terawat dari rumah pam tersebut,” katanya.
Kosmo

MB: Gangguan Air di Kuala Lumpur, Selangor Berpunca Dari Sikap Syabas

Posted on the January 9th, 2013 under Tempatan by admin
Gangguan bekalan air selama 10 hari di Gombak, Ampang dan Cheras berpunca daripada sikap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang gagal menyelenggara rumah pam dibawah tanggungannya.
Gangguan itu boleh dielak sekiranya Syabas menyelenggara pam di rumah pam Wangsa Maju sejak dari awal tahun lepas dan bukan apabila berlaku gangguan bekalan air, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Kita tidak boleh terima alasan Syabas kerana syarikat konsesi itu sepatutnya memastikan kelima-lima pam berada dalam keadaan baik.

“Penyelenggaraan secara berkala juga perlu kerana ia menjadi prosedur wajib yang ditetapkan dalam Standard Operating Procedure (SOP).
“Kerajaan Selangor kesal apbila Syabas mengaitkan gangguan bekalan air ini dengan pembinaan Loji Langat 2 sedangkan ia tiada kaitan langsung,” kata Abdul Khalid dalam lawatan kerja di Rumah Pangsa Sri Melaka, Cheras di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi.
Kira-kira 500,000 penduduk di tiga-tiga kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air selama lebih 10 hari apabila rumah pam Wangsa Maju gagal berfungsi.
Abdul Khalid berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor yang mengadakan lawatan ke rumah pam itu pada 2 Januari lalu mendapati empat dari lima pam telah rosak manakala satu pam sedang diservis dan tidak beroperasi.
Beliau berkata dakwaan Syabas bahawa semua pam beroprasi melebihi had sehingga mengalami kerosakan tidak boleh diterima.
“Sepanjang tahun lalu hanya 18 hari sahaja pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari dengan kadar aliran purata pam-pam tersebut adalah 182.204 liter sehari,” katanya.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memandang serius masalah ini dan mempercepatkan proses penstrukturan semula supaya Kerajaan Selangor dapat mengambilalih perkhidmatan pembekalan air.
Penduduk, K Manoharan, 57, menjelaskan masalah itu dihadapi sejak lebih 10 hari lalu.
“Memang masalah ini mengganggu kami dan berharap ia diselesai segera.
“Rabu lalu pihak Syabas datang berjanji untuk selesaikan tapi hanya dua tiga hari saja ada air selepas itu masalah lagi,” ujarnya ketika ditemui.
Mazlan Kidam pula berharap Kerajaan Negeri segera mengatasi masalah itu kerana ia membebankan.
“Bila masalah ini ada kami terpaksa bersusah untuk angkut air yang disediakan pam sementara,” katanya sambil menyatakan masalah sama dialami 13 tahun lalu.
Selangorku

Neelofa Ungguli Top 5 ABP2012

Posted on the January 9th, 2013 under Artis by admin

Pelakon dan pengacara popular, Neelofa berjaya mengungguli pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular 2012 apabila tercalon untuk tiga kategori iaitu Pengacara Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.
Turut tercalon adalah pelakon sensasi, Aaron Aziz yang yang tersenarai dalam dua kategori iaitu Pelakon TV Lelaki popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular. Aaron dijangka menerima persaingan sengit daripada beberapa calon hebat seperti Adi Putra, Beto Khusairy, Johan As’ari, Fahnrin Ahmad dan ramai lagi.
Anugerah Bintang Popular 2012 akan berlangsung pada 7 April 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Dua Pemimpin Dunia Yang Menghafal Al-Quran

Posted on the January 9th, 2013 under Agama by admin
Hafiz (penghafal Al-Quran) dan juga pemimpin negara. Itulah dua gelaran yang disandang oleh Mohammed Mursi dan Ismail Haniya.
Mursi tercatat sebagai Presiden Mesir pertama yang hafal Al-Quran. Beliau yang mempunyai nama lengkap Mohammed Mursi Issa Ayyat ini bersama isteri dan seluruh ahli keluarganya adalah penghafal Alquran.
Mursi menjadi Presiden ke-5 Mesir sejak 30 Jun 2012 yang lalu. Mursi menjadi Anggota Parlimen di Majlis Rakyat Mesir pada penggal tahun 2000-2005 dan seorang tokoh terkemuka di Ikhwanul Muslimin.

Sejak 30 April 2011, beliau menjabat jawatan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sebuah parti politik yang didirikan oleh Ikhwanul Muslimin setelah Revolusi Mesir 2011. Beliau dipilih sebagai calon presiden dari FJP pada pilihan raya umum presiden Mei-Jun 2012 yang lalu.
Pada 24 Jun 2012, Lembaga Pemilihan Umum Mesir mengumumkan bahawa Mursi memenangi pilihan raya umum Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafik, Perdana Menteri terakhir di bawah kekuasaan Hosni Mubarak.
Selain Mursi, pemimpin dunia yang juga penghafal Al-Quran adalah Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya. Bahkan anaknya yang bernama Aid berjaya menyempurnakan hafalan Al-Quran dalam 35 hari dan memperoleh gelaran mumtaz (sempurna).
Baik Mursi mahupun Haniya memiliki akar yang sama, iaitu Ikhwanul Muslimin.
Mursi mewakili sayap politik Ikhwan di Mesir melalui Parti Kebebasan dan Keadilan. Sedangkan Haniya adalah pemimpin Hamas yang didirikan oleh Syaikh Ahmad Yassin sebagai pemimpin perjuangan Ikhwanul Muslimin di Palestin.
Halim Islam

PGA cetus kemarahan umat Islam

Posted on the January 9th, 2013 under Tempatan by admin

SHAH ALAM – Satu akaun laman sosial Facebook menggunakan nama ‘Parti Geletek Allah (PGA) yang diwujudkan sejak 21 Disember 2012 telah mencetuskan kemarahan dan kebimbangan umat Islam.
Laman terbabit yang menyentuh sensitiviti agama didakwa menghina ALLAH, Rasulullah dan Islam.
Dengan menggunakan nama tersebut di Facebook, PGA mengiktiraf mereka sebagai parti politik dengan menawarkan keahlian percuma kepada orang ramai.

Laman Facebook PGA itu juga mempelawa mempelawa orang ramai yang sudah muak dan penat melayan melayan kerenah parti-parti di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan PKR, menyertai mereka.
Kesemua orang ramai mengutuk tindakan pemilik akaun tersebut kerana tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini.
“Bolehkah jangan menghina agama Islam, ko ada kuasakah mahu hina agama orang? Kalau ada post gambar dan video kau ada kuasa syaitan,” kata salah seorang warga Facebook, Mohd Firdaus Abdul Lamir dalam akaun PGA.
Nur Amira Syahirah pula berkata, tiada guna bercakap dengan manusia seperti pemilik akaun Facebook itu.
Sinar

Bapa, anak kantoi khalwat

Posted on the January 9th, 2013 under Tempatan by admin
Melaka: Bapa borek anak rintik. Itu yang digambarkan terhadap dua beranak apabila si ayah ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang ibu tunggal dan pada masa sama anak gadisnya ditemui berkurung bersama teman lelakinya di bilik di rumah sama di Bukit Katil, di sini.
Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, Sabtu lalu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu rumah didiami seorang ibu tunggal berusia 46 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun.
Dalam pemeriksaan dilakukan, anggota penguat kuasa menemui seorang lelaki berusia 48 tahun berstatus duda di ruang tamu rumah berkenaan dan siasatan mendapati dia kenalan rapat kepada wanita terbabit.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani berkata, selepas menemui lelaki berstatus bukan muhrim itu anggotanya terus membuat pemeriksaan lanjut. Selepas soal tanya mendapati ada dua lagi individu iaitu anak kepada wanita terbabit dan anak perempuan lelaki itu yang berusia 14 tahun.

Katanya, ketika pintu sebuah bilik diketuk ia dibuka remaja perempuan berkenaan dan apabila diperiksa menemui seorang lelaki berusia 18 tahun menyorok di dalam almari.
Harian Metro

Orang muslim di Jepun dan kesusahan yang dihadapi

Posted on the January 9th, 2013 under Agama by admin

Jumlah Muslim di Jepun mencapai 100 ribu orang, dan mereka mempunyai 40 masjid untuk menunaikan ibadah dan ritual-ritual keagamaan mereka di sana.
Dengan jumlah penduduk mencapai 128 juta, Jepun merupakan negara yang kesepuluh dengan jumlah keseluruhan populasi terbanyak di dunia. Tokyo, bandar ini menampung sekitar 35 juta orang yang merupakan bandar dengan penduduk terbesar dan dengan kos hidup termahal di dunia.
Meski Islam memasuki wilayah Asia timur pada abad pertama Hijrah, akan tetapi agama Islam masuk ke Jepun pada abad ke-19 Masihi. Sejak tahun 1867, warga Jepun dapat menjalin hubungan dengan negara-negara lain khususnya umat Islam.
Sekarang ini di Jepun tercatat sekitar 100 ribu Muslim hidup di negara itu yang 90 peratus adalah para pendatang dari Indonesia, Pakistan, Iran dan Bangladesh. Sementara 10 peratus selebihnya adalah warga pribumi.

Masjid pertama di Jepun adalah masjid Kobe yang dibina tahun 1935. Masjid Tokyo di bangun pada tahun 1938 dan pada tahun 1990 mengalami pengubahsuaian. Masjid mempunyai peranan besar dalam kehidupan umat Muslim Jepun, mengingat masjid telah memudahkan mereka dalam melaksanakan tugas-tugas agama mereka.
Lembaga-lembaga Islam di Jepun dibentuk dengan tujuan perluasan kerjasama di antara warga Muslim Jepun dan juga perolehan buku-buku agama dan kebudayaan Islam untuk warga Muslim negara ini.
Saat ini ada 30 hingga 40 masjid di Jepun. Di negara ini, masjid mempunyai beberapa fungsi, selain untuk solat berjemaah, juga menjadi tempat untuk aktiviti-aktiviti keagamaan, sosial, pertemuan dan bahkan tempat untuk membincangkan ekonomi.
Perlu disebutkan pula bahawa sekitar 100 tahun lalu, di Jepun hanya ada dua masjid yang kini jumlahnya mencapai 40 bangunan.
Salah satu halangan utama yang dihadapi warga Muslim Jepun adalah buku-buku fiqh dan hadis yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Selain itu, mengingat Muslim adalah kelompok minoriti, maka kesulitan lain yang juga tak kalah besarnya adalah susahnya mencari produk makanan yang halal
Sumber republika.co.id

Kisah tentera Amerika yang menjadi Imam

Posted on the January 9th, 2013 under Agama by admin

Postur badan yang tinggi, besar dan berkulit hitam mungkin pemandangan umum di angkatan darat AS. Namun, ada satu hal yang membuatnya cukup ketara iaitu bulan sabit bersulam hitam pada di topi rasminya. Ya, itulah penampilan seharian Mayor Khallid Shabazz ketika berseragam rasmi.
Dengan lambang itu, Khallid dikenali sebagai seorang Imam yang mewakili perwakilan Muslim dalam tentera AS. Dengan kedudukannya itu, Khallid selalu mendapat perhatian lantaran polisi AS melawan kelompok Muslim selama satu dekad. “Saya bukan seorang imam, tapi saya seorang Muslim,” katanya seperti dilaporkan agusta.com, Isnin(6/2).
Ketika ini, AS menempatkan sejumlah imam dalam beberapa lokasi strategik. Khallid sendiri ditempatkan di Jerman. Di sana dia bertugas membimbing tentera AS yang Muslim. Namun, dalam tugasnya dia juga memberikan arahan kepada tentera AS beragama Kristian.

Sebelum memeluk Islam, Khallid yang dahulu bernama Michael Barnes merupakan individu yang dibesarkan dalam keluarga Kristian yang taat. Semasa remaja, Khallid banyak melalui perkara pahit yang paling teruk ketika dia dipukul dan ditembak oleh kumpulan yang tidak dikenali.
Selanjutnya, kehidupan Khallid berubah drastik setelah dia diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan. Baginya, kewajipan itu menjanjikan harapan baru berupa kehidupan yang lebih baik. Memang benar, kehidupan tentera sangat sesuai untuk Khallid. Tapi kedudukannya sebagai tentera barisan hadapan membuatnya sengsara.
Suatu ketika, dia mendapati sebuah perbincangan agama dengan seorang Muslim. Dari perbincangan itu, ada perubahan perspektif dalam dirinya tentang agama. Dia pun memutuskan memeluk Islam. Keputusannya itu mendapat cemuhan dari pihak atasannya. “Mengapa anda melakukan sesuatu yang bodoh,” kata dia.
Melihat komen itu, Khallid terpukul. Namun, seorang pendeta Katolik menyarankannya untuk menjadi ulama tentera. “Sepertinya itu adalah wahyu. Saya merasa ada hal yang harus dikerjakan,” tenang Khallid. Dia memulakan niat itu dengan menukar namanya menjadi Khallid Shabbaz. Dia pelajari bahasa Arab dan Islam di Jordan.
Tugas besarnya pun bermula pada 2004. Ketika itu, dia ditugaskan untuk menjadi ulama bagi tahanan pengganas di penjara Guantanamo, Cuba. Dia menggantikan ulama bernama Yusuf Lee yang ditahan atas tuduhan hasutan. “Ketika itu, saya tidak punya waktu untuk takut,” katanya.
Khallid mula merasa seperti orang buangan di Guantanamo. Sebagai seorang imam tanpa janggut, berikut dengan seragam tentera Amerika. Para tahanan umumnya tidak percaya padanya. Para penjaga di Guantanamo pun tidak terlalu tertarik pada seorang lelaki yang melayani musuh Amerika. “Inilah bahagian yang sukar dari hidup saya. Padahal aku tidak memihak sesiapa,” kata dia.
Khallid akhirnya menarik perhatian saudara-saudaranya melalui keperibadian dan kemampuannya dalam bermain bola keranjang. Dia berjaya menjalankan misinya sebagai duta bagi tentera, AS dan Islam. “Ketika mereka berinteraksi dengan saya, saya mempunyai bola untuk dimainkan dengan orang-orang ini,” katanya dia.
- terjemahan dari republika.co.id

No comments:

Post a Comment