Tuesday, March 9, 2010

ADAKAH CUKUP UNDANG2 YG ADA...BAGAIMANA HUKUM ALLAH.....KITA AKAN MATI...KITA AKAN DITANYA

BICARA AGAMA

ARKIB : 09/03/2010

Lapor kes maksiat

Mega: Adakah hukuman yang ringan dalam kes-kes bersekedudukan turut menyumbang kepada peningkatan berlakunya kes ini?

ZAINUL RIJAL: Sememangnya undang-undang dalam kes begini adalah terhad. Sebabnya ia terikat dengan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah 1965) yang dipinda pada 1984. Dengan kata lain, sudah 26 tahun ia belum dipinda.

Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, kes-kes bersekedudukan hukumannya adalah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebat maksimum enam kali atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman. Undang-undang ini lebih popular dengan 3, 5 dan 6.

Saya berpendapat, akta itu perlu dipinda agar sesuai dengan keadaan semasa. Nilai RM5,000 denda itu dulu dan sekarang tidak sama. Kini, nilai RM5,000 itu bagi sesetengah orang adalah amat kecil.

Bagaimanapun, dalam Islam, mengambil harta (denda) atas kesalahan jenayah syariah bukanlah pilihan utama. Sebabnya ia tidak memberi banyak pengajaran. Yang lebih utama adalah penjara atau sebatan. Namun, undang-undang kita tidak sepenuhnya digarap untuk aplikasi diat dan sebatan.

Hukuman diat adalah harta yang wajib dibayar dan diberikan penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan penjenayah ke atas mangsanya. Ia adalah hukuman kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas yang ditetapkan Allah dan rasul di dalam al-Quran dan hadis sebagai ganti rugi di atas kesalahan membabitkan kecederaan anggota badan, atau melukakannya.

Sebab itu, Mahkamah Syariah terikat dengan hukuman bagi kes-kes bersekedukan ini. Kalau kita pinda Akta ini barulah undang-undang lain yang berkaitan boleh dipinda untuk menambah hukuman.

Tetapi ada juga yang dakwa, bukankah undang-undang Islam tujuannya bukan untuk menghukum sebaliknya memberi pengajaran. Oleh itu, kenapa nak kenakan hukuman sebat dalam kes seperti bersekedudukan ini?

ZAINUL RIJAL: Dalam Islam, kita laksana undang-undang bukan semata-mata hukuman tetapi yang lebih penting adalah pengajaran. Falsafah hukum Islam bukan untuk menzalimi tetapi mentakdib (mengajar) sama ada bagi yang melakukannya atau mereka yang melihat hukuman tersebut.

Undang-undang Islam adalah untuk menghalang punca jenayah syariah itu berlaku. Barulah kita boleh menyelesaikan masalah. Contohnya, Islam mengharamkan arak sebab akibat arak seseorang itu boleh berzina dan membunuh. Apabila berlaku zina, maka timbul masalah anak tidak sah taraf, pengguguran dan buang bayi. Walaupun anak tidak sah taraf tetapi mereka tetap manusia dan ada nyawa, jadi tidak boleh diperlakukan sesuka hati.

Sebab itu, dalam kes hudud misalnya, jika tidak cukup bukti hukumannya boleh pergi kepada takzir Secara ringkasnya, takzir adalah hukuman bagi jenayah atau kesalahan yang selain daripada jenayah hudud.

Ia bermaksud dera yang menjadi pengajaran. Jumlahnya ditentukan oleh pemerintah. Bukan bermakna, kalau tidak cukup bukti, individu yang melakukan kesalahan itu terlepas begitu saja.

Dalam al-Quran hukuman bagi orang yang melakukan zina itu adalah jelas iaitu Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya 100 kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah... (al-Nur: 2)

Malangnya, bila hendak dilaksanakan ramai yang membantah, menghina dan memperlekehkan undang-undang itu. Sedangkan sebatan adalah jelas termaktub dalam undang-undang Islam.

Di Rusia, ada kaedah yang disebut alternatif untuk mencegah ketagihan arak dan dadah iaitu melalui hukuman sebat. Menurut kajian, sebatan di punggung itu akan merembeskan sejenis hormon yang boleh mengatasi ketagihan. Tetapi tidak ada orang yang membantah. Di tempat kita, apa-apa yang dikaitkan dengan Islam, akan muncullah golongan yang menentang.

Apabila disebut sebatan syariah, maka ramai yang nak jadi mufti, mahu keluarkan 'fatwa'. Sebatan ini juga menyebabkan tekanan dari dalam dan luar negara.

Bersekedudukan ini tidak boleh dihadapi dengan tindakan mahkamah semata-mata. Apa pula peranan masyarakat dalam membanterasnya?

ZAINUL: Memang dalam Islam sudah jelas bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua Muslim untuk mencegah maksiat sebagai mana hadis Nabi SAW yang masyhur: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya (teguran/nasihat) dan sekiranya tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya (membenci kemungkaran dalam hati), itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Bersekedudukan jika dibiarkan akan menggugat kesucian ikatan perkahwinan dan meletakkan institusi keluarga dalam keadaan yang tidak dikawal oleh peraturan dan nilai-nilai akhlak. Perkembangan ini sebenarnya merupakan masalah yang sangat serius yang tidak boleh dihadapi oleh mahkamah semata-mata.

Sebab itu, dalam undang-undang ada peruntukan untuk orang awam membantu atau memberi maklumat tentang perlakuan jenayah syariah. Mengikut Bahagian III Akta kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1995 (Akta 995) dalam perkara 9 disebut tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan hendaklah dengan serta-merta memberi maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang perlakuan atau niat itu.

Maknanya, sebarang jiran kita bertanggungjawab melaporkan kepada pihak berkuasa agama jika ada syak wasangka yang munasabah. Tetapi jangan mereka cerita. Walaupun jika laporan itu tidak tepat, jika kita duduk dalam suasana Islam sebenar, orang yang diadukan tadi perlu berterima kasih sebab masih ada yang sayang dan tidak mahu kita masuk neraka.

Dengan kata lain, orang akan tahu dan sedar jika mereka hendak melakukan sebarang perlakuan jenayah syariah masyarakat memantau. Dalam hal ini, masyarakat Islam perlu amalkan menjaga tepi kain orang lain. Tujuannya adalah untuk kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Soalnya, zaman sekarang bukan mudah untuk kita nak minta tengok surat nikah pasangan yang berpindah ke tempat kita?

ZAINUL RIJAL: Memang betul. Bukan mudah kita hendak memeriksa status pasangan terutama bagi yang baru pindah di kawasan perumahan kita. Di Selangor dan Wilayah Persekutuan ada ditubuhkan Jawatankuasa Kariah di masjid-masjid.

Jawatankuasa inilah yang perlu kita aktifkan. Masyarakat boleh membantu dengan cara melaporkan kepada jawatankuasa ini tentang mana-mana pasangan yang baru berpindah. Dengan itu, bolehlah kita menziarahi pasangan tersebut untuk bertanya khabar dan membuat sedikit risikan tentang status isi rumah mereka. Jawatankuasa ini tidak boleh hanya tertumpu kepada memakmurkan masjid dengan aktiviti agama sahaja.

Dulu, sistem ini memang ada diamalkan dalam masyarakat. Bila ada kes jenayah atau kes khalwat penduduk akan melaporkan kepada penghulu, ketua kampung atau imam. Namun mungkin sebab ramai yang sudah berhijrah ke bandar maka perkara ini tidak diamalkan lagi.

Adakah kebebasan yang diberikan oleh sesetengah ibu bapa turut menyumbang kepada hal ini?

ZAINUL RIJAL: Adakalanya ibu bapa tidak memberi perhatian serius kepada hal ini. Ada ibu bapa yang tidak kisah anak-anak bercampur lelaki dan perempuan atas nama study group. Dan ia pula dibuat dalam bilik. Ibu bapa tidak kisah pun nak menjenguk apa yang berlaku di dalam bilik itu.

Sepatutnya, kalau ada percampuran lelaki dan perempuan jangan dibuat dalam bilik. Gunalah ruang tamu atau tempat lain yang terbuka. Paling baik, wujudkan study group yang sejenis.

Peranan institusi keluarga amat penting kerana ia akan menentukan kejayaan masa depan negara. Selalunya, apabila keluarga bahagia maka lahirlah anak-anak yang soleh dan tidak akan terjerumus dalam kesalahan jenayah atau kegiatan yang tidak bermoral.

Dalam membendung kes bersekedudukan, ia bermula di rumah. Institusi keluarga perlu menyuburkan akhlak dan tingkah laku mulia. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh. Jika ibu bapa gagal, akan berlakulah remaja dan anak-anak mencari idola lain di luar.

No comments:

Post a Comment