Sunday, April 15, 2012

BILA JODOH DAH SAMPAI

Tiga penyamun tersungkur

ANGGOTA polis memeriksa mayat penjenayah yang ditembak mati di bulatan Taman Billion, Lebuh Raya MRR2, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah yang melarikan enam dulang barang kemas bernilai RM600,000 di sebuah kedai emas dekat Seksyen 18, Shah Alam pada 6 April lalu kecundang apabila mereka mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di bulatan Taman Billion, Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR2), Cheras di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, dua lelaki mati di tempat kejadian sementara seorang lagi suspek yang cedera parah disahkan mati semasa dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, suspek dikejar selepas cuba melarikan diri ketika ditahan sepasukan anggota polis berdekatan kawasan Hospital Pantai Cheras.
“Suspek yang pada mulanya dikesan menaiki kenderaan Proton Exora di sekitar kawasan Taman Cheras Makmur berdekatan Hospital Pantai cuba melarikan diri melalui Lebuh Raya MRR2 menghala ke Bukit Jalil.
“Selepas kira-kira satu kilometer (km) dikejar, kenderaan suspek telah melanggar dua buah kereta orang awam yang berhenti di lampu isyarat bulatan Taman Billion sebelum dikepung oleh anggota polis.
“Berikutan tindakan suspek yang melepaskan beberapa tembakan ke arah anggota polis, kita terpaksa melepaskan tembakan balas di situ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Difahamkan, suspek diburu oleh satu pasukan khas yang melibatkan anggota dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK) dan IPK Kuala Lumpur selepas melakukan rompakan bersenjata di Shah Alam, 6 April lalu.
Menurut Chin Wah, dua daripada suspek masing-masing berumur 24 tahun, seorang lagi yang berusia 40 tahun pula didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk samun dan dadah. Ketiga-tiga mereka merupakan warga tempatan.

Mayat wanita terbakar dalam parit


BEBERAPA orang anggota polis menjalankan siasatan di kawasan penemuan mayat seorang wanita yang dibakar dekat Kulim kelmarin.


KULIM – Dua lelaki yang mahu memikat burung terkejut besar apabila menemui mayat seorang wanita sedang terbakar di dalam parit sedalam dua meter di kawasan semak tepi Jalan Padang Meha berhampiran Taman Desa, Padang Serai di sini malam kelmarin
Mayat wanita lingkungan usia 20-an tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan terlentang, tangan terikat serta badan berbalut kain oleh dua orang awam itu pada kira-kira pukul 10 malam.
Polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian bertindak memadamkan api pada mayat yang telah rentung.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada dua orang awam yang bertindak menghubungi Balai Polis Sungai Karangan.
“Kejadian itu masih baru memandangkan ketika anggota kami tiba, api masih lagi membakar mayat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dihumban ke dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit itu untuk dibakar bagi menghapuskan bukti.
“Setakat ini kami belum dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain keadaan mayat juga sudah rentung,” ujarnya.
Katanya, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Nikah selepas tiga hari koma


IZMAN (kiri) melafaz akad nikah di hadapan Yunos sambil disaksikan oleh Murni di Hospital Melaka semalam.


MELAKA – Manusia mampu merancang, Tuhan menentukan segala-galanya. Itulah yang paling sesuai menggambarkan majlis akad nikah Izman Mohamad, 35, dan isterinya, Murni Osman, 33, di Wad D2, Hospital Melaka semalam.
Pasangan itu bernikah pada tarikh yang dirancang, cuma lokasinya telah berubah dari rumah pengantin perempuan di Durian Daun ke wad Hospital Melaka gara-gara Izman terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta pada 6 April lalu.
Akibat kemalangan itu, Izwan koma selama tiga hari dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat patah hidung dan bahu kiri selain kecederaan pada paru-paru.
Pengantin lelaki yang memakai baju Melayu dan bersongkok sambil duduk di atas kerusi roda pesakit menyempurnakan akad nikah dengan dua kali lafaz.

Ditemui mati di dalam longkang kilang

KOTA TINGGI – Pencarian seorang abang yang dimaklumkan adiknya hilang berakhir dengan duka apabila menemui mayatnya di dalam longkang sebuah kilang kosong di Kawasan Perindustrian Lukut di sini kelmarin.
Farid Johan, 32, mengambil masa lebih enam jam mencari Mohd. Azwan, 24, sebelum menjumpai mayat adiknya itu kira-kira pukul 7 malam di kawasan perindustrian tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Sebelum itu, keluarganya dikejutkan dengan kemalangan sepupunya dikenali sebagai Azrin, 35, yang tinggal di kawasan sama, pulang ke rumah dalam keadaan cedera parah di kepala dan belakang badan sebelum dia dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika itu, keadaannya sangat lemah kerana kehilangan banyak darah, namun sempat menyuruh kami mencari Mohd. Azwan di kawasan perindustrian berkenaan.
“Namun, usaha mencari peringkat awal gagal sebelum Azrin yang sedar daripada pengsan pada pukul 6 petang memberitahu supaya mencari dalam kawasan kilang,” katanya ketika ditemui semalam.

Cemburu punca penyanyi dibelasah


MIKAEL ADAM yang dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang penyanyi dan pemuzik hip hop, Mikael Adam Mohd. Rafie Michel, 23, yang dilapor cedera selepas dibelasah di luar kompleks beli-belah di Jalan Bukit Bintang kelmarin dipercayai kerana cemburu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamed Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi kejadian itu bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan cemburu.
“Kita juga sudah mengenal pasti suspek terlibat yang merupakan anak orang kenamaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.50 pagi kelmarin, Mikael Adam yang berada di dalam keretanya bersama dua rakan didatangi suspek secara tiba-tiba sebelum menariknya keluar lalu ditumbuk sehingga terjatuh dan mukanya dipijak.
Mohamed Zulkarnain berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

Bantu doktor bermasalah

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan hospital kerajaan perlu ada cara tertentu bagi menangani masalah sebilangan doktor yang bermasalah terutama mereka yang gagal mengurus tekanan di tempat kerja.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, usaha itu perlu bagi memastikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat tidak terjejas.
“Perlu ada beberapa jenis mekanisme untuk membantu doktor yang bermasalah, sama ada mereka mempunyai masalah peribadi atau berkaitan kerja serta mereka tidak boleh menangani tekanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bulan Pemakanan Malaysia di sini semalam.
Menurut Tiong Lai, pihaknya menyedari ada dakwaan mengatakan terdapat doktor pelatih yang terlalu bekerja keras di beberapa buah hospital hingga menyebabkan berlaku kemurungan tetapi perkara itu masih dalam siasatan.
Katanya, di bawah jadual waktu kerja bagi Pegawai Perubatan Siswazah mengikut sistem fleksibel yang diperkenalkan pada September lepas, doktor pelatih hanya boleh bekerja sehingga 60 jam seminggu dengan diberikan cuti selama dua hari.

No comments:

Post a Comment