Monday, November 8, 2010

BILA TAKDIR SAMPAI....MUNGKIN BARU KITA MUHASABAH DIRI....

15 mangsa bergilir apungkan Daniel


KEMAMAN - Dalam keadaan keletihan dan nyawa di hujung tanduk, semua 15 mangsa masih mampu bersepakat untuk bergilir-gilir memegang dan mengapungkan Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli, 4, bagi memastikan kanak-kanak itu terus selamat.

Salah seorang mangsa, Sany Salman Mohd Kasim, 42, berkata, apabila melihat bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Zulkifli Ahmad Daud, 33, keletihan, mereka mengambil giliran mengapungkan kanak-kanak itu bagi memastikannya tidak tenggelam.

“Dalam tempoh itu, memang banyak dugaan yang kami terpaksa harungi namun kami tidak berputus asa. Kami nampak cahaya, malah tiga buah helikopter melepasi kami namun tiada siapa yang menyedari kelibat kami,” katanya yang masih kelihatan terharu dengan kejadian itu.

Ditanya mengenai percutian itu, Sany Salman yang berasal dari Seremban berkata, mereka datang ke Terengganu pada Jumaat lalu untuk bercuti dan menyelam.

Menurutnya, mereka bermalam di Dungun, sebelum bertolak ke Pulau Tenggol keesokan paginya untuk menyelam.

“Mengikut perancangan, kami dijangka pulang pada waktu petang. Malah saya sendiri sempat menyelam tiga kali sebelum bertolak pulang. Namun tidak lama selepas kami menaiki bot, pemandu menjerit dan memberitahu bot mengalami kebocoran.

“Dia berkata, bot akan berpatah balik namun tidak sampai tiga minit, bot terhuyung-hayang sebelum pemandu mengarahkan kami terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Menurutnya, walaupun berdepan situasi mencemaskan, mereka tidak panik sebaliknya bersepakat dan mula membuat bulatan bagi membolehkan mereka mudah bergerak secara berkumpulan dan tidak terpisah.

Dalam tempoh itu katanya, mereka cuba berenang bersama-sama ke tanah besar namun keadaan arus menyebabkan mereka sukar melakukannya.

“Kami sangat gembira apabila melihat sebuah bot marin datang ke arah kami namun mereka berpatah balik kerana tidak menjumpai kami. Namun pada masa itu, kami sudah mampu tersenyum kerana tahu usaha mencari sedang dilakukan.

“Tidak lama selepas itu, bot marin kembali sekali lagi dan menyelamatkan kami. Pada masa itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana gembiranya kami,” katanya lagi


Ibu hamil kritikal

KEMAMAN – Selepas lebih 15 jam terapung di laut, 16 mangsa bot karam yang hilang, termasuk seorang kanak-kanak berumur empat tahun, berjaya ditemui semalam dalam keadaan selamat kira-kira 16 batu nautika ke selatan Pulau Tenggol, di perairan Dungun selepas bot itu bocor petang kelmarin.

Semua mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan lemah dan kesejukan oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga Kemaman yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.

Tiga daripada mangsa yang dalam keadaan kritikal, iaitu, Noraini Sosilawati Siregar, 30, yang mengandung empat bulan, anaknya, Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli, 4, dan Muhamad Azahari Mohd Amin, 38.

Komander PGM Wilayah Tiga Kemaman, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Salleh Mat Jani berkata, semua mangsa yang memakai jaket keselamatan yang terapung dalam keadaan berkumpulan berjaya dilihat pasukan keselamatan selepas salah seorang mangsa melambai jaket keselamatan yang dipakai ke arah bot penyelamat.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan lemah. Mereka dinaikkan ke dalam bot dan diberi makanan, katanya pada sidang media selepas mangsa dinaikkan di Pengkalan PGM Wilayah Tiga Kemaman, di Bukit Kuang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, bot jenis D-Guardian Katamaran yang membawa 15 pelancong terdiri daripada penyelam berlesen dari Kuala Lumpur dan Selangor, dan seorang pemandu bot, karam setelah bot bocor pada bahagian enjin.

Kejadian berkenaan terjadi selepas kira-kira 10 minit mereka bertolak daripada Pulau Tenggol selepas selesai aktiviti menyelam, mengakibatkan pemandu bot, Zulfadlil Yahya, 29, cuba berpatah balik, tetapi gagal disebabkan air masuk terlalu cepat sehingga menenggelamkan bot.

Namun, sebelum bot tenggelam kira-kira 8.3 batu nautika dari pulau berkenaan, Zulfadlil sempat menghubungi majikannya memaklumkan kejadian malang yang berlaku ke atas mereka.

Mohd Salleh berkata, sebaik menerima laporan bot karam berkenaan daripada pengusaha chalet pulau itu, mereka turut memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu untuk mendapatkan bantuan sebelum APMM turut membantu kerja menyelamat dengan menggunakan sebuah helikopter, enam buah bot (tiga daripada bot milik pengusaya chalet Tanjung Jara, Dungun) dan dua kapal dengan kekuatan anggota seramai 100 orang.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Sembilan Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, kerja menyelamat yang diselaraskan kira-kira jam 11 malam turut dibantu pasukan bomba dan penyelamat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Sewaktu kejadian angin agak kencang, iaitu pada kelajuan 50 hingga 60 knot sejam, laut bergelora ditambah dengan cuaca hujan menyebabkan kerja-kerja menyelamat agak sukar kerana hujan lebat mengakibatkan jarak pemandangan kami agak terhad, kalau cuaca baik mungkin kesemua mangsa dapat ditemui dan diselamatkan lebih awal,” katanya.



Mangsa kritikal akibat banyak tertelan air laut

Akibat tertelan air laut terlalu banyak, salah seorang mangsa yang kritikal selepas lebih 15 jam terapung di laut, Mohd Azahari Mohd Amin, 38, mengalami muntah serius.

Menurutnya, disebabkan tertelan air laut terlalu banyak, dia yang menghidap gastrik mengalami alahan sehingga muntah-muntah mengakibatkan tubuhnya lesu sepanjang terapung.

“Disebabkan ombak besar, saya tidak dapat mengelak daripada tertelan air laut dan disebabkan itu, saya sesak nafas,” katanya yang mendapat rawatan lanjut di Unit Kecemasan, Hospital Kemaman, selepas berjaya diselamatkan pasukan PGM Wilayah Tiga kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Dia yang bekerja sebagai pengurus projek berkata, pada malam kejadian, ombak terlalu besar diikuti hujan lebat sehingga badannya tidak terdaya melawan arus.

“Namun disebabkan kami berpegang tangan dan terapung dalam kumpulan, ia memberi semangat luar biasa kepada kami untuk terus bertahan sambil membaca selawat beramai-ramai.

“Sambil terapung juga, kami cuba berenang ke arah daratan berpandukan cahaya yang dapat dilihat, namun usaha kami melawan arus gagal kerana terlalu deras,” katanya.

Menurutnya, mereka juga nyaris dilanggar sebuah kapal besar yang melewati lokasi kejadian walaupun telah memberi isyarat dengan meniup wisel yang ada pada jaket keselamatan masing-masing.



Kes pertama sejak tujuh tahun

KUALA TERENGGANU – Jabatan Laut Wilayah Timur tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana pengusaha atau pemandu bot keluar masuk ke pulau di negeri ini walaupun sekarang musim tengkujuh.

Pengarahnya, Rossid Musa berkata, melarang pengusaha bot atau agensi pelancongan keluar ke laut adalah di luar kawalannya kerana golongan itu mempunyai tanggungjawab terhadap chalet atau resort yang diusahakan.

Bagaimanapun katanya, walaupun tidak ada larangan khusus, semua pengusaha bot dan nelayan perlu mematuhi peraturan yang menetapkan mereka meminta kebenaran daripada Jabatan Laut terlebih dahulu sebelum keluar.

“Apabila ada permohonan, kita akan rujuk kepada Jabatan Meteorologi sama ada cuaca dan keadaan laut ketika itu sesuai atau tidak untuk mereka turun ke laut, kalau baik kita akan beri kebenaran dan jika tidak, ia akan ditangguhkan.

“Adalah di luar kawalan kita untuk halang mereka (ke laut dan pulau) kerana mereka ada rumah, chalet di sana (pulau), jadi keluar masuk itu menjadi perkara biasa, cuma mereka perlu sentiasa berhubung dengan kita dan Jabatan Meteorologi,” katanya.

Menurut Rossid, meskipun Terengganu kini mula dilanda musim tengkujuh, permohonan untuk keluar ke laut dan pulau masih diterima setiap hari dan ia akan diproses mengikut peraturan bagi memastikan keselamatan mereka.

Ditanya sama ada bot jenis D-Guardian Katamaran membawa 16 pelancong yang karam di Pulau Tenggol, lewat petang kelmarin ada membuat permohonan untuk keluar dari pulau, beliau tidak dapat mengesahkannya.

Rossid berkata, semua itu masih dalam siasatan dan pihaknya belum mendapat maklumat terperinci mengenai nahas yang hampir meragut nyawa 16 pelancong tempatan dan seorang pemandu bot itu.

Katanya, kes itu pertama kali berlaku di Terengganu sejak tujuh tahun lalu dan hasil siasatan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu itu akan dibentangkan dalam satu mesyuarat di Putrajaya.

“Kita belum habis siasat kerana banyak maklumat yang perlu dikumpulkan sama ada dari agensi pelancongan, pengusaha chalet dan mangsa terlibat sendiri, sehingga siasatan ini selesai, kita tidak dapat beri penjelasan,” katanya



Lelong hantaran kahwin

JITRA - Orang ramai mulai membanjiri kawasan pekan Jitra 2 untuk membeli pelbagai barangan yang dilelong peniaga di sini, apabila kawasan ini mula reda dengan banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak pengguna mengambil peluang membeli pelbagai barangan termasuk pakaian, tudung, tuala dan barangan keperluan lain yang dijual dengan harga lelong di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam masa sama, peniaga juga mengambil kesempatan melelong barangan mereka dengan harga serendah 50 sen kepada pembeli akibat banyak barangan terjejas banjir baru-baru ini.

Peniaga Perniagaan Kain Lim, Lim Kheng Seng berkata, mereka mengambil peluang mengadakan jualan lelong untuk menghabiskan pelbagai stok pakaian yang kebanyakan rosak akibat banjir.

“Banyak juga pakaian yang basah, namun masih elok, jadi saya melelongnya dengan harga yang murah kepada pembeli dan ia akan diteruskan sehingga tiada lagi pembeli yang datang membeli barang lelongan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian banjir itu, perniagaan Lim terjejas teruk dan melibatkan kerugian kira-kira RM30,000 dan terpaksa menjual pelbagai jenis pakaian yang basah dengan harga lelong sehingga mencapai potongan sehingga 40 peratus.

Sementara itu, tinjauan di Kedai Wan Hantaran, pemiliknya, Low Poh Wan, 47, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 pada kejadian banjir kali ini.

Menurutnya yang menjual pelbagai barangan untuk hantaran perkahwinan dan bunga-bunga plastik itu, dia mula membuka kedainya itu semalam dan pada masa sama membersihkan setiap penjuru kedai yang terjejas banjir baru-baru ini.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kita sempat menyelamatkan sebahagian barang dan disimpan di bahagian atas kedai dan sebahagian lagi diangkat dan diletakkan pada tempat yang lebih tinggi dalam kedai ini.

“Jika tidak diselamatkan pasti lebih banyak barang yang rosak dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun Poh Wan berkata, banyak juga barangan yang dijual di kedainya yang perlu dicuci semula sebelum dijual kepada pengguna kerana kesan lumpur yang masih ada pada barang berkenaan.

“Jika ada barang yang masih boleh digunakan kita akan jual, jika rosak teruk kita akan membuangnya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan di Pusat Optik Jitra mendapati, pemiliknya sibuk membersihkan kedainya bersama beberapa pembantu sebelum membuka semula perniagaan cermin mata itu.

Pemiliknya, Doreen Tan berkata, banyak juga kotak cermin mata yang rosak akibat terkena lumpur dan ia berkemungkinan tidak lagi boleh digunakan semula.

Menurutnya, dia menutup kedai cermin matanya itu sejak hari pertama banjir dan tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami kerana masih belum membuat pengiraan ke atas barangan yang rosak.

“Malah, saya juga tidak pasti bila kedai ini akan mula beroperasi memandangkan masih banyak benda perlu diselesaikan selepas banjir mulai surut,” katanya.



Banjir di Ayer Hitam masih teruk


Dalam perkembangan lain, banjir di Ayer Hitam masih buruk memandangkan air di kawasan Jitra mula surut dan ia turun ke kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad berkata, beberapa kawasan di DUN itu yang terlibat dengan banjir termasuklah Kampung Telaga Batu, Kampung Telaga Batu Putat, Kampung Kota Rentang, Kampung Alor Biak, Sungai Korok, Permatang Bonglai, Pida 1, 2, dan 3.

Menurutnya, sejak banjir mula melanda kawasan itu, beliau bersama skuad banjir Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam dengan kerjasama penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sentiasa bergerak ke kawasan banjir yang terlibat untuk memberi bantuan.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan asas diberikan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan DUN Ayer Hitam yang terlibat.

“Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya membantu semua mangsa tidak kira mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara mahupun yang mendirikan khemah di sekitar kawasan rumah yang selamat.

“Bantuan tidak mencukupi juga tidak timbul memandangkan kita sentiasa memberi bantuan dari masa ke masa kepada mangsa mengikut keperluan mereka.

“Setiap hari kita akan menghantar skuad banjir ke kawasan yang mengalami banjir bagi melihat keperluan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kelmarin beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga melawat beberapa kawasan di DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh bermula dengan pusat penempatan di Sekolah Kebangsaan Kodiang.

Menurutnya, Azizan bersamanya juga melawat di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak di samping menyampaikan bantuan keperluan makanan dan barangan lain kepada mangsa.

Sehingga jam 10 malam kelmarin, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak ialah seramai 2,197 manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak pula seramai 713 mangsa ditempatkan di situ buat sementara waktu


Padah pandu laju

TANJUNG SEPAT – Akibat memandu dengan keadaan laju di salah sebuah selekoh di Kilometer 64 Jalan Klang – Banting – Port Dickson, seorang lelaki Chong Der Kwei, 38, mati di tempat kejadian apabila kenderaan yang dipandu terbabas ke pesisiran pantai berhampiran Kampung Tumbuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada hari Deepavali lalu jam 4.30 pagi tetapi hanya disedari pengadu kira – kira jam 9.45 pagi hari yang sama.

Menurutnya, mangsa yang memandu kenderaan berseorangan telah terhumban ke persisiran pantai ketika air pasang dan telah dijumpai di persisiran pantai ketika air laut surut.

“Mangsa dipercayai memandu kenderaan tersebut dengan keadaan laju dari arah Sungai Pelek menghala ke Tanjung Sepat hilang kawalan apabila melalui selekoh sehingga terbabas dan terpelanting ke tepi jalan dan terhumban di dalam lumpur pantai kerana dipercayai memandu laju.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan tidak berjaya keluar dari kenderaan dan telah meninggal dunia di tempat kejadian”, katanya kepada Sinar Harian, semalam


Tanaman musnah petani rugi RM12j

PADANG BESAR - Kerajaan Perlis akan memohon bantuan Kerajaan Pusat bagi membantu petani yang mengalami kerugian lebih RM12 juta setelah hasil pertanian mereka terutama padi musnah akibat banjir.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada masa terdekat.

Katanya, banjir buruk yang melanda Perlis sejak Isnin lalu telah memusnahkan pelbagai tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran, termasuk yang sedang dituai bernilai lebih RM 12 juta.

“Bantuan utama yang dipohon bersifat ganti rugi terhadap modal yang dibelanjakan oleh mereka seperti untuk membeli benih, baja dan racun,” katanya selepas melawat beberapa kawasan pertanian seperti sawah, ladang sayur-sayuran dan kebun buah-buahan di kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang besar di sini semalam.

Sebelum itu, Md Isa diberi taklimat mengenai bencana banjir yang merosakkan hasil pertanian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad.

Menurut Md Isa, kerugian bagi tanaman padi ketika banjir kali ini adalah kira-kira RM9.7 juta, sayur-sayuran lebih RM2 juta dan tanaman buah-buahan lebih RM344,000.

Beliau berkata, tanaman padi yang musnah itu pula berusia antara 20 dan 60 hari, sama ada di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mahu pun di luar Mada.

Perlis mempunyai kawasan tanaman padi seluas keluasan 14,593 hektar iaitu 6,177 hektar di luar kawasan Mada yang diusahakan oleh 5,776 petani, manakala tanaman padi dalam kawasan Mada seluas 8,416 hektar yang membabitkan 4,800 orang petani. - Bernama

No comments:

Post a Comment