Tuesday, November 9, 2010

SYAITAN MENGODA TAK KIRA SIAPA...NAK SELAMAT IKHLAS DALAM SEMUA IBADAH DAN PEKERJAAN KECUALI PEKERJAAN YANG HARAM

Tak jadi damai



JAKARTA: Rancangan mendamaikan Zainuddin MZ dengan penyanyi dangdut yang mendakwa menjadi mangsa rogol, Aida Saskia, terpaksa dibatalkan semalam, selepas pendakwah itu tidak muncul seperti dirancang.
Majlis itu dilangsungkan di Hotel Grand Cempaka di Jakarta Pusat. Peguam Aida, Alamsyah Hanafiah berkata, tokoh digelar Pendakwah Sejuta Umat itu tiba-tiba mengalami tekanan darah tinggi mendadak dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gandaria, Jakarta Selatan.

“Majlis ini akan ditunda sehingga Zainuddin pulih,” katanya kepada media, semalam.
Sambil mendoakan tokoh itu segera sembuh, Alamsyah berkata, Aida setakat ini mengambil sikap berserah dan menunggu perkembangan lanjut isu berkenaan.

Menurut Aida pula, dia tentu rasa bersalah dan terlalu mementingkan diri sendiri jika terus mendesak Zainuddin ketika pendakwah itu sakit.

“Mungkin beliau belum bersedia dan kami pula tak boleh memaksa seseorang yang sakit untuk menghadiri majlis ini,” katanya

Walau apa pun tanggapan orang, Aida mengambil sikap berbaik sangka dengan perkembangan mengejut itu.

“Mudah-mudahan sakit itu bukan sengaja dibuat-buat dan dia segera sembuh,” katanya.
Sementara itu, Aida berkata, dia memang bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan isu peribadinya dengan Zainuddin secara baik melalui ‘ikrar damai’ yang sepatutnya diadakan semalam, “Saya mahu melupakan sejarah yang membayangi saya selama sembilan tahun,” katanya. - Agensi


Pelajar dituduh culik, cabul murid tahun dua



KLANG: Seorang pelajar tingkatan empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan menculik dan mencabul pelajar tahun dua, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah direkodkan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Afifah Mamat@Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja berusia 16 tahun itu didakwa menculik mangsa berusia lapan tahun dengan tujuan supaya didedahkan kepada bahaya bunuh.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah sekolah di Pandamaran, dekat sini pada jam 6.40 petang, pada 25 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara 30 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan dengan tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak itu dengan mencium kepala, dahi dan membuka pakaian mangsa


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang sawit, Teluk Gong, Pandamaran, dekat sini, antara jam 6.40 petang 7.10 malam, pada tarikh sama.

Atas perbuatan itu, dia yang ditangkap pada 26 Oktober lalu, dituduh mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan


Pelajar 16 tahun didakwa menculik, cabul murid

KLANG - Sorang pelajar berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dua tuduhan menculik dan mencabul murid berusia lapan tahun.

Tertuduh adalah pelajar tingkat empat, dituduh melakukan perbuatan itu, kira-kira jam 6.40 petang, 25 Oktober lalu, di hadapan sebuah sekolah, Pandamaran, Klang dengan menculik murid berusia lapan tahun.

Bagi kesalahan kedua, pelajar itu melakukan kesalahan kira-kira jam 6.40 petang hingga 7.10 malam, tarikh yang sama di ladang kepala sawit, Teluk Gong, Pandamaran, menggunakan kekerasan jenayah terhadap murid berkenaan dengan mencium kepala, dahi dan membuka pakaian mangsa.

Tertuduh, ditangkap pada 26 Oktober lalu, dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang menerima hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, denda atau sebatan, jika didapati bersalah.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistert Afifah Mamat@Yusof, dia hanya mengangguk, tanda faham.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim memohon kepada mahkamah untuk sebutan semula kes itu supaya dapat didengar di Mahkamah Juvana, memandangkan kes ini membabitkan pelajar bawah umur.

Afifah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 11 November ini sebagai sebutan kes berkenaan untuk didengar di Mahkamah Juvan

Risiko ubah suai kereta

Oleh Yusmawati Mhd Yusof

SHAH ALAM: Sikap pemilik yang gemar mengubahsuai kenderaan dilihat menjadi faktor utama peningkatan kes kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa, kebelakangan ini.
Tambah membimbangkan faktor kos yang lebih murah, menyebabkan kebanyakan pemilik kenderaan gemar mendapatkan khidmat mekanik tidak bertauliah setiap kali melakukan pengubahsuaian kenderaan.

Pengurus Besar Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Azman Idris berkata, pengubahsuaian tanpa mengikut piawaian pengeluar kenderaan boleh menyebabkan berlaku litar pintas dan kebakaran.
“Setiap kenderaan yang dikeluarkan sesebuah pengeluar perlu menjalani pelbagai ujian, antaranya ujian kemalangan dan sekiranya gagal, lesen tidak akan diperoleh. Kenderaan diuji dalam keadaan yang ekstrem dan menepati spesifikasi antarabangsa. “Malah, semua komponen kenderaan juga diuji secara maksimum menggunakan suhu tertentu bagi memastikan ia tidak mudah terbakar. “Oleh itu, setiap pengubahsuaian perlu mendapatkan kelulusan pengeluar, namun masalahnya banyak kenderaan yang diubah suai tidak mengikut piawaian,” katanya, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun kebanyakan pemilik kenderaan cenderung menyalahkan syarikat pengeluar kenderaan setiap kali berlaku kebakaran kenderaan mereka.

Katanya, kebakaran boleh berlaku apabila terdapat udara, api dan bahan bakar yang mana ia kerap berlaku ketika kemalangan yang mana enjin kenderaan yang panas remuk memungkinkan berlaku kebocoran saluran minyak dan percikan api

“Pendawaian dilakukan syarikat pengeluar dikawal oleh sistem fius bagi mengawal pengaliran elektrik. Namun, pemilik kenderaan khususnya yang gemar mengubah suai aksesori termasuk sistem bunyi akan menggunakan khidmat mekanik yang tidak bertauliah.

“Mekanik ini akan mengambil bekalan elektrik daripada pendawaian asal dengan membuat penyambungan yang tidak kemas. “Secara tidak langsung tindakan itu akan menjejaskan sistem pendawaian asal sehingga boleh menyebabkan litar pintas dan akhirnya berlaku kebakaran,” katanya. Menurutnya, penyambungan pendawaian tanpa mengikut piawaian juga boleh mengakibatkan kenderaan terbakar
Katanya, kealpaan pemilik kenderaan mengenai keselamatan mereka menyebabkan lebih ramai mekanik tidak bertauliah mengambil kesempatan.


Kereta putus dua

SEKINCHAN - Pertembungan tiga kenderaan dengan salah sebuah daripadanya putus dua di kilometer 72 Jalan Teluk Intan-Klang Parit 4 di sini, semalam menyebabkan dua beranak terbunuh manakala tiga lagi cedera.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Sayed Mutalib Sayed Sultan, 28, mati di tempat kejadian sementara ibunya, Shamsiah Ibrahim, 66, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dinaiki dua beranak itu terputus dua setelah bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum dirempuh dan diseret sebuah lori pasir lapan tan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Karang ke Sungai Besar maut akibat cedera parah di bahagian kepala sementara ibu mangsa yang terperangkap di bahagian tempat duduk hadapan dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang bersama tiga yang lain.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta, lori dan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga beranak.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong yang digunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori berkenaan menyebabkan pertembungan berlaku, kereta berkenaan diseret lori sejauh hampir 17 meter dari tempat perlanggaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Jenazah Sayed Mutalib yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak sementara Shamsiah yang dihantar ke Hospital Tanjung Karang telah dituntut keluarga, semalam.

Mengikut dokumen pengenalan diri, kedua-duanya berasal dari Selekoh, Perak.

Tiga beranak yang menaiki pacuan empat roda dikenali Mohd Mukti Selamat, 57, Norbaiti Nadirah, 20, dan Norsuhaili, 18, dirawat sebagai pesakit luar. Pemandu lori berusia lingkungan 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seramai 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan dan Tanjong Karang dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan 12.01 tengah hari



Lelaki Myanmar maut dalam keadaan ngeri

SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki warga Myanmar dalam keadaan ngeri dengan leher hampir putus dan beberapa kesan tikaman di badan ditemui di sebuah rumah di tingkat 16, Pangsapuri Rimba Jaya 2, Taman Rimba Jaya, di sini, pagi semalam.

Mayat Nay Ayng, dalam lingkungan 30an, berseluar tanpa baju ditemui terlentang oleh seorang lelaki senegaranya yang juga jiran yang pelik melihat pintu rumah sewa mangsa terbuka luas sebelum menghubungi ejen pekerja mereka yang kemudian datang dan menghubungi polis.:

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, mangsa ditemui dengan leher dikelar dengan senjata tajam dipercayai pisau dan lebih sembilan kesan tikaman menggunakan pemutar skru dalam bilik kedua rumah yang disewa bersama beberapa rakan senegaranya.

“Maklumat awal mendapati mangsa tidak keluar bekerja awal pagi tadi (semalam) kerana dikatakan sakit dan percaya kejadian berlaku selepas semua rakan serumah mangsa keluar bekerja di sebuah kilang di Klang.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati ada kesan pergelutan dan keadaan rumah berselerak seolah-olah digeledah, bagaimanapun pengenalan diri mangsa yang masuk ke negara ini sejak setahun lalu ditemui dalam rumah itu,” katanya, semalam.

Noor Azam berkata, siasatan dalam rumah tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Sehubungan itu, lapan lelaki yang juga rakan serumah mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya

No comments:

Post a Comment