Saturday, December 18, 2010

KEBANYAKKAN RANCANGAN2 REALITI...DRAMA2...ARTIS2...DAN YANG SAMA DENGANNYA....TIDAK MEMATUHI LARANGAN2 AGAMA ISLAM...MASALAH PAKAIAN...MEMBUKA AURAT..PAKAIAN KETAT...BERCAMPUR GAUL LELAKI DAN WANITA BEGITU BEBAS DLL....MACAM GULUNGAN NI TERLEPAS DARI UNDANG2 DAN PERATURAN ALLAH...SEDANGKAN RATA2 MEREKA INI BERAGAMA ISLAM...ADAKAH MEREKA MENGIKUT MAZHAB LAIN ATAU RASUL LAIN....DIKHUATIRI IA MENJADI IKUTAN REMAJA2....MEREKA TELAH MEROSAKKAN MINDA PENONTON2....SAPE YANG HENDAK DIPERSALAHKAN...PIHAK IKIM DAN JABATAN AGAMA ISLAM PATUT BERTINDAK ATAU MEMIKIRKAN BAGAIMANA NAK MENGATASINYA...JANGAN SAMPAI KITA DIPERSALAHKAN DI AKHIRAT KELAK...

6 jahitan penangan penyapu

SAKIT...Chariah menunjukkan kepala anaknya, Adam Syah yang cedera.
SAKIT...Chariah menunjukkan kepala anaknya, Adam Syah yang cedera.
MELAKA: Seorang pelajar terpaksa menerima enam jahitan di kepala serta cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang sekumpulan lelaki di rumahnya di Tanjung Keling, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu menyebabkan pelajar berusia 17 tahun terbabit trauma selepas dipukul dengan kayu penyapu oleh beberapa lelaki berusia antara 13 dan 20-an.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca selepas perbalahan kecil membabitkan mangsa, Adam Syah Harun, 17, dengan beberapa kanak-kanak berusia 12 hingga 13 tahun yang mandi di pantai berdekatan.
Menurut mangsa, puncanya dia meminta bantuan kanak-kanak berkenaan untuk mengambil bola terpelanting ke laut selepas ditendangnya, namun mereka enggan membantu selain menunjukkan isyarat lucah.

“Saya menunggu mereka di satu kawasan di belakang tong sampah. Saya melihat seorang kanak-kanak tadi balik bersama abangnya sambil menunjukkan isyarat lucah kepada saya.

“Saya cuba bertanya kepada seorang lagi kanak-kanak mengapa enggan membantu. Namun, saya berasa marah kerana dia juga menunjukkan isyarat lucah sebelum saya membuang basikalnya ke dalam tong sampah,” katanya ketika ditemui.

Adam Syah berkata ketika berada di rumah dia didatangi dua lelaki dalam keadaan marah dan mendakwanya memukul ahli keluarga mereka.

Katanya, dia tidak tahu tujuan kedatangan mereka yang menumbuk mukanya lalu berlaku pergelutan. “Seorang daripada mereka memukul saya dengan batang penyapu menyebabkan kepala saya berdarah. Kemudian datang seorang lagi lelaki yang memukul saya di muka dan seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, muncul pula seorang wanita cuba memukulnya, namun berjaya dihalang ibunya, Chariah Abdul Rahman, 40.

“Tiga lelaki itu memukul saya bertubi-tubi sehingga saya berasa sakit di seluruh badan dan berdarah di belakang kepala.

“Nenek dan ibu saya datang meleraikan pergaduhan sebelum mereka beredar sambil berkata akan datang lagi kerana tidak berpuas hati dengan saya,” katanya.

Katanya, dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih disiasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan


‘Aku cucuk Ain’



JOHOR BAHRU: “Aku dah cucuk Ain itu yang dikatakan suspek ketika menghubungi saya beberapa minit selepas kejadian. Saya pada mulanya tidak percaya, tetapi syak berlaku perkara buruk apabila melihat adik bongsu Ain meraung di tepi jalan meminta bantuan.
“Sejurus masuk ke rumah Ain, saya terhidu bau asid yang kuat selain kesan darah sebelum melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di bilik air,” kata Abdul Rahman Sabtu, 44, di sini, semalam.

Abdul Rahman ditemui di rumah Nurain Ashikin Jemedi, 17, yang parah selepas ditikam 19 kali dan disembah asid oleh penyerangnya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Redan, di sini, pagi semalam.
Menceritakan semula kejadian, Abdul Rahman berkata dia yang baru bangun daripada tidur dikejutkan dengan panggilan suspek berusia 42 tahun itu mengatakan sudah menikam Ain.

Risau dengan mangsa yang dianggap seperti adik sendiri, dia bersama jiran lain bergegas ke rumah Nurain berhampiran.

Abdul Rahman bagaimanapun terkejut dengan keadaan mangsa yang berlumuran darah manakala kulit muka dan bahagian badan lain mula luruh akibat disimbah asid.

“Dalam keadaan cemas saya melihat mata mangsa terbeliak manakala gigi bertukar menjadi hitam dipercayai akibat terkena asid.

“Kami cuba membantu, tetapi risau akan memburukkan keadaan lalu menghubungi ambulans yang tiba setengah jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa Suraidah, 27, yang ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh adik bongsunya, Nurreha, 13, lalu bergegas ke rumah adiknya.

Menurut Suraidah, ketika kejadian, ibunya Tuminah Samsuri, 54, keluar menoreh getah di kebun di belakang rumah dan kejadian disaksikan Nurreha serta seorang anak saudara mereka.

“Kami sekeluarga mengenali suspek dan tahu dia ada menaruh perasaan kepada, Ain tetapi kerana jarak umur, hasratnya itu tidak dilayan adik.

“Walaupun ditolak, dia masih menyimpan perasaan itu dan sering berkunjung ke rumah kami kerana sebelum ini rapat dengan arwah ayah yang mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.


Terkejut pistol dalam kereta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sepasukan anggota bomba yang berusaha menyelamatkan seorang mangsa kemalangan yang tersepit dalam kenderaan terkejut apabila menemui sepucuk pistol automatik bersama kelongsong peluru di dalam keretanya, semalam.
Penemuan senjata api jenis Glock bersama puluhan biji peluru hidup mencetuskan tanda tanya berhubung identiti mangsa yang ketika itu separuh sedar selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tembok pembahagi lebuh raya.

Bagaimanapun, siasatan polis kemudian mendapati mangsa adalah seorang penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan pas pekerjaan yang turut ditemui bersamanya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur Taman Connought, di sini apabila kereta Proton Wira dipandu mangsa terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan sebahagian enjin kereta bersepai sebelum kereta terbabit berpusing dan menggelongsor sejauh kira-kira 50 meter.

Susulan itu mangsa berusia 20-an tersepit dalam keadaan separuh sedar.

Sepasukan bomba bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi orang awam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Difahamkan, tangan kiri mangsa patah manakala kedua-dua kakinya yang tersepit turut cedera. Alat hidrolik dan mesin pemotong terpaksa digunakan bagi mengeluarkan mangsa daripada keretanya sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM).

Jurucakap polis berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Jackson Mingat Pinol, 24, dan bertugas di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“Polis mengambil pistol dan dua kelongsong peluru milik mangsa untuk siasatan lanjut. Mujur tiada pihak yang mengambil kesempatan melarikan senjata api berkenaan sebaik kejadian berlaku,” katanya.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu


Buruh serah diri

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Rasa bersalah dan takut selepas menikam bekas kekasihnya hanya kerana berang permintaannya mendapatkan nombor telefon gadis berkenaan ditolak, mendorong seorang buruh menyerah diri di Balai Polis Bandar Jengka, Maran, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, suspek berusia 28 tahun datang menyerah diri seorang diri jam 11 malam iaitu 13 jam selepas melakukan perbuatan kejam itu.

Katanya, suspek mengaku melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia 23 tahun hingga menyebabkan gadis itu dimasukkan ke Hospital Bandar Jengka sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh selepas kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Rabu lalu.
Bagaimanapun, mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah pagi semalam selepas menjalani rawatan di hospital itu.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki bertindak kejam menikam paha dan lengan kiri bekas kekasihnya yang juga seorang jurujual selepas berang kerana gadis itu enggan memberikan nombor telefon baru kepadanya.

Lebih kejam apabila mangsa ditinggalkan mengerang kesakitan di tepi jalan sebelum dibantu orang awam yang menghantarnya ke hospital.

Ahmad Johari berkata, ketika menyerah diri suspek turut membawa bersama senjata digunakannya dan motosikal mangsa yang dilarikan.

“Suspek membawa bersama barang kes iaitu pisau berhulu hitam yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan motosikal yang dilarikan,” katanya ketika dihubungi, semalam

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan tindakan ganas itu kerana tidak dapat menerima kenyataan apabila mangsa meminta untuk memutuskan hubungan cinta antara mereka kira-kira seminggu lalu.

“Suspek turut memaklumkan dia terdorong untuk mencederakan mangsa kerana terlalu menyayangi bekas teman wanitanya itu,” katanya.

“Suspek ditahan reman enam hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan,” katanya



Tekanan, konflik bawa padah

Oleh Nor Raihan Abu Bakar dan Rossalynn Ismail

SATU demi satu rumah tangga pasangan program realiti tari-menari popular menuju kehancuran. Ketika pasangan pertama mengumumkan perceraian mereka selepas musim pertama, kita terkejut kerana mereka kelihatan begitu bahagia, mesra dan intim seperti mana dipamerkan dalam gerakan tarian mereka.
Apabila pasangan kedua dan ketiga mengumumkan perkara sama, kita mula simpati dan tidak faham mengapa ia perlu terjadi kepada pasangan program ini. Namun, selepas pasangan selanjutnya mengumumkan berita kehancuran rumah tangga mereka, kita mula terdetik bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan program realiti berkenaan.

Namun, tidak ada sesiapa peduli untuk menyelidiki atau bersuara mengenai kemusykilan ini. Stesen televisyen ghairah mempromosi rancangan itu sementara masyarakat Melayu tanpa berfikir dan melulu memberi sambutan hangat kepada program berkenaan sehingga menjadikannya sebuah program realiti popular.

Beberapa hari lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan berita perpisahan pasangan penari program berkenaan. Harian Metro menggunakan perkataan ‘badi’ untuk menggambarkan akibat yang menimpa peserta yang pernah menyertai program ini. Sehingga hari ini tujuh pasangan peserta program berkenaan berpisah kerana dikatakan tidak wujud lagi persefahaman


Fenomena di seluruh dunia menunjukkan program televisyen berbentuk realiti sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Program tanpa skrip yang menonjolkan kehidupan sebenar perjalanan seseorang dalam mencapai kemenangan dan menerima ganjaran wang tunai secara pintas ini begitu digemari. Ia begitu dekat di hati penonton memandangkan penonton dijemput untuk turut serta melalui undian SMS

Dalam program ini pasangan peserta yang tidak pandai menari dan sesetengah tidak pernah menari diberi tugasan untuk pelbagai jenis tarian untuk mencapai kemenangan. Kemenangan menjanjikan ganjaran kewangan ini bukan saja menjadi milik mereka, tetapi akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih.

Sebagai nilai tambah untuk program realiti tarian ini, peserta merupakan pasangan artis atau selebriti yang sudah mempunyai peminat dan pengikut tersendiri.

Hakikat program ini tidak jauh berbeza dengan program realiti popular seperti Survivor, Big Brother atau The Amazing Race. Program seumpama ini meletakkan peserta dalam keterpaksaan.

Dalam program tari-menari ini peserta telah diletakkan dalam ‘tekanan yang sangat tinggi’ dan berada dalam satu ‘konflik’. Tekanan dan konflik ini berlaku kerana pesertanya diperlukan untuk melakukan gerak-geri tarian yang sempurna dan hebat umpama penari profesional. Walaupun mereka ini pada dasarnya mahu dan rela untuk berbuat demikian, hakikatnya mereka tidak mampu dan melawan fitrah jiwa mereka sendiri.

Perlu diingat, menari dan tarian adalah satu bentuk seni halus. Seorang penari melakukan gerak-geri tarian sebagai medium untuk mereka meluahkan perasaan, cara mereka untuk mengekspresi diri. Dari segi psikologi, mereka menari disebabkan ‘intrinsic motivation’ iaitu untuk mencari kepuasan diri.

Apa yang berlaku kepada penari program realiti berkenaan pula ialah mereka menari, melakukan pelbagai gerakan tarian semata-mata kerana ‘extrinsic motivation’ iaitu untuk mendapatkan ganjaran di akhir rancangan. Mungkin benar mereka berbuat demikian untuk membantu badan kebajikan, tetapi ia motivasi luaran. Motivasi ini meletakkan mereka dalam keterpaksaan dan konflik tanpa sedar.

Selain itu, peserta program ini juga menerima tekanan daripada jurulatih mereka. Dalam program ini, bukan saja pesertanya, malah jurulatih tarian juga akan menerima ganjaran jika berjaya melahirkan juara. Keadaan yang mendesak ini menyebabkan jurulatih sentiasa menekan peserta untuk melakukan gerakan tari profesional dan sempurna.

Dalam masa seminggu, peserta dilatih tubi dan didesak untuk mencapai kesempurnaan dalam tarian. Tidak sedikit tekanan dihadapi peserta daripada pengadil. Walau bagaimana pun, peserta menganggap diri mereka profesional dan mempunyai minda terbuka, namun sebagai manusia perasaan tersentuh dan terhiris ketika menerima kritikan di hadapan ramai.

Harapan dan undian SMS daripada penonton menambahkan lagi tekanan kepada peserta program ini. Mereka sentiasa perlu melakukan tarian sempurna untuk memastikan undian berterusan. Sebagai selebriti yang menjadi idola dan ikutan peminat, pasti mereka mahu kelihatan hebat dan sempurna.

Situasi ini telah meletakkan mereka dalam ‘extreme stress’. Satu tekanan yang sebenarnya tidak perlu dan tidak sepatutnya mereka hadapi. Mereka seolah-olah dilontarkan dengan pelbagai tekanan secara tiba-tiba dan tidak semena-mena.

Menurut Sigmund Freud, personaliti manusia terdiri daripada tiga struktur iaitu ‘id’, ‘ego’ dan ‘superego’. ‘Id’ berada dalam keadaan luar sedar. ‘Id’ menyimpan kehendak primitif dan ‘instinct’ yang tersembunyi dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun, kadang kala, ‘id’ akan terkeluar dan terdedah walaupun bukan dengan kehendak kita. Dalam perkataan lain, ‘id’ selalunya tersembunyi dalam diri kita.

‘Ego’ pula bertanggungjawab untuk mewajarkan dan mengawal ‘id’ sementara ‘superego’ bertindak dengan prinsip moral dan etika. Dalam bahasa lebih mudah, ‘id’ boleh dikatakan sebagai nafsu, ‘ego’ pula akal sementara ‘superego’ adalah kepercayaan atau keimanan.

Dalam konteks program realiti ini, peserta telah diberikan satu tekanan untuk mencapai kejuaraan. Mereka sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kemenangan masing-masing. Tekanan ini menyebabkan ‘ego’ dan ‘superego’ tidak lagi berperanan. ‘Id’ mahukan kemenangan dan ‘id’ melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan.

Ini diterjemahkan apabila pasangan penari ini meluahkan perasaan marah, tidak puas hati dan sakit hati terhadap pasangan masing-masing tanpa toleransi dan ihsan. Dalam satu program yang berkonsep sama baru-baru ini, si suami secara selamba mengutuk dan menceritakan kelemahan isterinya di hadapan kamera!

Kebanyakan pasangan peserta program adalah pasangan suami isteri yang masih muda dan baru saja melayari alam perkahwinan. Pasangan muda ini masih lagi dalam proses mengenali hati budi dan masih dengan harapan yang manis terhadap alam perkahwinan.

Namun pertengkaran dan pertelingkahan mereka untuk mencapai kesempurnaan gerak tari ini telah mendedahkan rupa sebenar pasangan masing-masing. ‘Id’ yang terdedah telah menonjolkan kelakuan, tingkah laku dan emosi sebenar pasangan masing-masing. Keadaan ini tentunya mengundang rasa keliru, sedih dan kecewa sehingga mereka tidak mahu menerima personaliti sedemikian lantas terjadilah perpisahan.

Adalah sangat malang bahawa pasangan penari program ini terpaksa memasuki episod yang menyedihkan dan tidak perlu dalam hubungan mereka. Dalam perkahwinan, tidak pernah ada isu kecil. Setiap tutur kata, setiap gerak dan langkah mempunyai kesan besar. Sejak dari awal, mereka sebenarnya tidak patut bertengkar atas perkara tidak ada kaitan langsung dengan rumah tangga mereka.

Dulu, kita tidak pernah terfikir bahawa akan wujud satu program televisyen di luar lingkungan norma dan budaya masyarakat kita. Kita tidak pernah terfikir akan adanya program dengan persembahan yang kurang tertib - melompat dan meloncat di kalangan pelakunya.

Selama ini, kita mungkin tidak pernah membayangkan akan dihidangkan dan menikmati program televisyen dengan episod suami dan isteri marah memarahi, kutuk mengutuk dan aib mengaibkan antara satu sama lain!

Mungkin inilah yang dikatakan realiti sebuah program realiti. Namun, harus diingat program realiti tidak mendukung prinsip realiti sebenar kerana ia sering dimodifikasi dengan elemen sensasi serta konflik untuk memancing penonton dan iklan. Pesertanya sering diletakkan dalam situasi ‘eksotik’ dan ‘luar biasa’ yang kemudian dirakamkan penerbit ‘off screen’ dan sekali lagi dimanipulasi melalui suntingan dan teknik.

Program realiti bukan benar-benar realiti. Realiti sebenar ialah apabila seseorang bernikah, suami dan isteri menjadi satu bahagian. Pernikahan bagaikan pakaian kepada mereka. Fungsi pakaian menutup aurat. Ini bererti suami dan isteri harus menutup aib pasangan.

Penulis pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka



Tiga juta terganggu mental

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Isu kesihatan mental adalah isu yang amat besar dihadapi negara kerana mengikut kajian 2010, tiga juta rakyat Malaysia mengalami gangguan mental,” Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malasyia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan
Beliau berkata, isu yang sering dipandang remeh oleh segelintir masyarakat itu perlu ditangani bagi meningkatkan mutu kesihatan rakyat, sekali gus membolehkan negara mencapai Wawasan 2020.

Berikutan masalah itu yang boleh mengugat negara, katanya, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI) menganjurkan Bengkel Pengurusan Tekanan Mental (Stress).
“Bengkel ini bertujuan memberi kemahiran kepada peserta mengenal pasti dan menangani tekanan pada diri dan membantu mereka yang lain untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi,” katanya pada sidang media selepas membentangkan modul bertajuk ‘Pandangan Hidup Islami Mencegah Tekanan Mental, di sini.

Menurutnya, bengkel yang dihadiri 150 orang terdiri wakil organisasi dan individu daripada pelbagai peringkat usia itu turut menerapkan aspek pencegahan gangguan mental dari perspektif Islam.

“Melalui bengkel ini, Ikim memainkan peranannya supaya masyarakat khususnya yang beragama Islam memahami apa yang dimaksudkan dengan tekanan mental dan bagaimana cara mengatasinya melalui perspektif Islam

“Tekanan mental adalah gangguan terhasil daripada kesihatan yang terganggu dengan penghayatan dalam hidup Islam dapat mengurangkan tekanan dan mereka yang terlibat perlu mengambil langkah proaktif dengan menjaga kesihatan,” katanya.

Nik Mustapha berkata dalam usaha mengatasi gangguan mental di kalangan masyarakat, Ikim akan membangunkan modul yang dibentangkan dalam bengkel berkenaan untuk dikembangkan ke pasaran umum dan akan dibangunkan dalam bentuk pendekatan Islam sesuai dengan peranan yang dibawa Ikim

“Sebelum ini, kita sudah menganjurkan seminar kesihatan mental yang hanya disampaikan secara teori, tetapi melalui modul yang dilahirkan pada waktu ini dapat menghasilkan gerak kerja untuk mengatasi masalah secara praktikal.

“Modul ini akan dikembangkan untuk dipasarkan ke seluruh negara sama ada untuk agensi mahupun individu yang memerlukan bagi mengurangkan gangguan mental di kalangan masyarakat dan bagaimana Islam memainkan peranan,” katanya

No comments:

Post a Comment