Friday, February 4, 2011

TIADA TUAH DARI SESUATU BENDA...SEMUANYA KETENTUAN ALLAH....ADA BAIK WANG DISALUR PADA JALAN AGAMA@KEBAJIKAN...IA AKAN MENJADI AMALAN JARIAH SELEPAS MATI@DALAM KUBUR

Ikan hiasan pembawa tuah




IKAN arowana, atau lebih dikenali dengan panggilan ikan kelisa dalam kalangan masyarakat Melayu atau dragon fish dan bony-tounged dragon dalam kalangan sesetengah masyarakat Cina merupakan sejenis ikan hiasan air tawar yang mendapat tempat tersendiri di hati peminat ikan hiasan akuarium.
Bukan sahaja bentuk badannya yang menarik, malah ciri-ciri asli yang ada padanya termasuk warna dan kilauan sisik menjadikan ikan itu sebagai salah satu spesies ikan hiasan termahal di pasaran.
Gelaran dragon (naga) diambil sempena sisik dan sesungutnya yang besar, menyerupai naga yang menjadi legenda masyarakat Cina, manakala panggilan bony-tounged pula merujuk kepada tulang bergigi di dasar mulut ikan kelisa.
Walau apa pun gelaran yang diberikan, ikan kelisa mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga diangkat sebagai ikan hiasan dalam kelas A.
Tetapi benarkah harga ikan kelisa yang tinggi dan kadangkala tidak masuk akal itu dikatakan sebenarnya disebabkan juga kebolehan haiwan itu menentukan 'tuah' pemiliknya?
Menurut seorang pengusaha kedai ikan hiasan, Datuk Chew Seng Lye, mengikut kepercayaan masyarakat Cina ikan kelisa sebenarnya memang berkebolehan untuk memberi petunjuk kepada pemilik sama ada individu berkenaan bakal mendapat kegembiraan ataupun kecelakaan.
“Memang ada kes berlaku di mana pada suatu hari seorang pemilik ikan kelisa berasa hairan mengapa ikan kelisa peliharaannya sering melompat-lompat dan tidak berkelakuan seperti biasa.

SENG LYE menunjukkan ikan kelisa yang terdapat di kedai ikan miliknya di Jalan Burma, Pulau Pinang.


“Kemudian beberapa hari selepas itu, lelaki tersebut telah mendapat kecelakaan dalam hidupnya. Ia bagai memberi gambaran bahawa ikan kelisa tersebut seolah-olah telah mengetahui mengenai apa yang bakal berlaku kepada tuannya dan cuba memberitahunya dengan berkelakuan seperti itu,” kata Seng Lye yang merupakan pemilik kedai Chew Thean Yeang Aquarium Sdn. Bhd. di Jalan Burma, Pulau Pinang.
Seng Lye yang sudah lebih 40 tahun mengusahakan perniagaan itu bagaimanapun berkata, kepercayaan tersebut biasanya wujud dalam kalangan masyarakat Cina sahaja yang memang berpegang kuat kepada feng shui.
Bagi masyarakat Cina yang turut mempercayai kelisa sebagai haiwan pembawa tuah katanya, kebiasaannya mereka akan memelihara seekor sahaja di dalam rumah manakala bagi premis perniagaan, jumlahnya mungkin melebihi dua ekor.
Namun menurut Seng Lye, lokasi untuk menempatkan akuarium berkenaan haruslah diperiksa oleh tukang tilik terlebih dahulu bagi memastikan ikan berkenaan benar-benar mampu membawa tuah kepada pemiliknya.
Jelas Seng Lye lagi, memelihara ikan kelisa juga ada pantang larangnya.
Katanya, pemilik ikan berkenaan tidak boleh bercakap untuk menjual ikan peliharannya itu berhampiran dengan ikan tersebut kerana dikhuatiri akan didengari oleh ikan tersebut.

IKAN kelisa jantan bertindak mengeram benih telur daripada kelisa betina sehingga mencapai tempoh matang sebelum dikeluarkan daripada mulutnya.


“Kalau kita selalu sebut nak jual ikan kelisa milik kita terutama di depan ikan tersebut, tidak lama kemudian ikan itu akan mati, mungkin sebab membunuh diri atau marah dengan tindakan tuannya yang ingin menjualnya,” kata lelaki itu lagi.
Kelisa dimakan
Seng Lye juga memberitahu sebelum tahun 1980-an, ikan kelisa sering dijadikan hidangan kerana ia senang diperoleh di tasik dan lombong selain harganya yang rendah ketika itu.
Tetapi katanya, selepas harga ikan kelisa melambung tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit seekor, ia tidak lagi dijadikan hidangan. Harga induk ikan kelisa bergantung kepada jenisnya, bagi Malaysian Golden Arowana, harga boleh mencecah sehingga RM14,000.
Namun katanya, ikan kelisa masih dimakan terutama oleh pemiliknya apabila ikan berkenaan mati.
“Selalunya ikan kelisa sedap jika dimasak gulai tapi kalau goreng, tak lah sedap sangat. Rasanya seakan-akan ikan siakap tapi ada beza sikit, tulang pun tak banyak,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ikan kelisa memerlukan penjagaan yang rapi dan memerlukan perbelanjaan yang besar, Seng Lye memberitahu ia bergantung kepada jenis ikan yang dipelihara terutama saiznya.
Katanya, jika ikan kelisa yang dipelihara bersaiz besar, maka makanan seperti anak ikan dan ulat perlu diletakkan dalam kuantiti yang agak banyak bergantung kepada kekerapan ikan tersebut makan.
Namun katanya, kebiasaannya ikan kelisa hanya akan makan antara dua hingga tiga kali sehari dan itu bermakna, sebungkus anak ikan bernilai RM1 yang mempunyai 15 ekor sudah cukup untuk dijadikan santapan ikan berkenaan dalam sehari.
Selain anak ikan, ikan kelisa juga gemar memakan ulat, katak dan lipan yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai menjual ikan perhiasan pada harga yang murah.
Lihat ikan membesar

SELAIN kelisa, kedai Chew Thean Yeang Aquarium turut menjual pelbagai ikan hiasan lain.


Sementara itu, seorang peminat ikan kelisa, Mohamad Fauzi Rosly memberitahu dia membela ikan kelisa jenis kelisa kuning kerana minatnya terhadap sifat ikan itu sendiri yang nampak gah berenang tatkala berada di dalam air.
“Ketika saya mula membeli ikan ini pada 4 Januari tahun lalu, saiznya hanya sebesar ibu jari pada harga RM180 dan ketika itu ramai yang kata membazir duit andai ikan itu mati kelak.
“Kini, sudah setahun ikan tersebut dalam jagaan saya. Saya amat berpuas hati apabila dapat melihat ikan ini membesar setiap hari dan saiznya kini lebih besar daripada tapak tangan saya,” katanya.
Menurut Fauzi, ikan kelisa senang dijaga. Hanya cukup sekadar menggantikan air dan memberikannya makan ulat roti, cengkerik dan lipan yang banyak dijual di kedai-kedai ikan.
“Jika lihat ikan kelisa ini tidak agresif seperti biasa, saya akan menggantikan airnya dan sentiasa sediakan pengepam udara alternatif kalau terputus bekalan elektrik di rumah.
“Sebulan saya hanya memperuntukkan RM20 untuk membeli makanan,” ujarnya sambil memberitahu harga ikan belaannya di pasaran sudah mencecah RM600.
Menyentuh mengenai kepercayaan bahawa ikan tersebut membawa tuah, Fauzi memberitahu dia tidak mempercayai apa yang berlaku dalam hidupnya disebabkan ikan tersebut kerana segala yang terjadi adalah ketentuan Ilahi.

No comments:

Post a Comment