Friday, April 1, 2011

LEMAHNYA KITA@MANUSIA...TIADA MAMPU MENOLAK TAKDIR ALLAH....WALAUPUN KITA TIDAK MENGINGINKANNYA....BEGITULAH BESARNYA ALLAH....KITA MAMPU REDA DAN BERSEDIA UNTUK MENERIMA UJIANNYA...

Tiga bulan berhujah

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

TERTUDUH...(dari kiri) Khatavayan, Matan, Thilaiyagan dan Pathmanabhan dibawa keluar dari Makhmah Tinggi Shah Alam, semalam.
TERTUDUH...(dari kiri) Khatavayan, Matan, Thilaiyagan dan Pathmanabhan dibawa keluar dari Makhmah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang menggemparkan negara tahun lalu akan mula dibicarakan selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi, di sini, mulai 4 Julai depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.
Terdahulu, tertuduh, bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lagi individu, Ogos tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil dan tenang sepanjang prosiding kira-kira setengah jam itu.


Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan, 42, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Tertuduh diwakili peguam, Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kes pembunuhan itu mendapat publisiti meluas apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas ke Banting atas urusan pembelian tanah ditemani Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Pada 6 September tahun lalu, BMW M5 dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil dijumpai di depan rumah teres berhampiran sebuah hotel di sini.

Misteri kehilangan keempat-empat mangsa terungkai pada 12 September tahun lalu apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zini mengesahkan mereka dibunuh sebelum dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke sungai berhampiran.





LATAR BELAKANG KES

PADA 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi satu semakan kehakiman mengubah hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20 dan U Suresh, 27 kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober tahun lalu tidak memadai dengan kesalahan dua lelaki itu.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara itu terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku salah atas tuduhan melupuskan abu mayat mangsa dalam pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawita serta tiga individu lain.

Kedua-duanya mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat mangsa.
Sementara itu, dalam kes berasingan anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari akan meneruskan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan Allahyarham ibu mereka terhadap bekas suami, Nash atau Jamaludin Elias, 52 di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Mengikut permohonan asal, Sosilawati ketika hayatnya menuntut wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang didakwa diberikannya kepada Nash sepanjang tempoh perkahwinan singkat mereka.

Kes jutawan kosmetik ini dianggap paling kejam selepas pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, yang mayatnya dikerat 18 bahagian pada 1993.

Mayat lelaki itu ditemui tertanam dengan simen dalam stor di belakang rumah pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Mohd Affandi, Mona Fandey dan pembantu mereka, Juraimi Husin dijatuhi hukuman gantung hingga mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 selepas didapati bersalah membunuh Mazlan.

Ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman mati itu pada 2001.


Malek Noor rebah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.
MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.
IPOH: Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, yang ‘tumbang’ akibat serangan jantung malam kelmarin, dipercayai ada kaitan dengan buah durian kampung yang dimakan bersama rombongan rakan atlet lain.
Difahamkan, Malek sempat menjamah jamuan buah durian selepas makan tengah hari dan melawat ladang rock melon milik koperasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Tanjung Tualang di sini sebelum menyertai perlawanan bola sepak bersama pasukan pilihan Menteri Besar Perak, malam kelmarin.

Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar berkata, Malek sebelum itu dilihat ceria dan bersemangat untuk menyertai perlawanan berkenaan yang berlangsung jam 8.40 malam kelmarin.
Menurutnya, Malek masuk ke padang untuk melakukan sesi pemanas badan dan berjalan menuju ke arah tiang gol stadium untuk memulakan perlawanan.

“Namun, lima minit selepas wisel perlawanan ditiupkan, Malek dilihat seolah-olah rebah namun sempat bergayut pada jaring di pintu gol berkenaan.

“Ketika itulah pengurus keahlian Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir, segera meluru masuk ke dalam padang bersama doktor pakar yang disediakan pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, Malek hanya memberitahu pening lalu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Hospital Pantai, Ipoh.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana Malek sempat berseloroh petang kelmarin, menasihati saya supaya jangan terlalu kuat bekerja kerana bimbang diserang penyakit jantung,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin yang ditemui berkata, Malek mulanya menyangka dia hanya diserang angin dalam tubuh dan tidak mahu dihantar ke hospital.

“Ketika dirawat di hospital, Malek berulang kali memberitahu serangan mendadak dialami berpunca dari panas dan angin dalam badan. Namun, selepas doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit jantung, Malek terus tergamam dan terkejut.

“Saya percaya dia sendiri tidak tahu dia ada penyakit itu, namun saya bersyukur kerana doktor kedua-dua hospital cepat memberi bantuan kecemasan kepadanya,” katanya selepas melawat Malek di wad ICU, Hospital Pantai, di sini.

Menurutnya, Malek baru saja pulang dari mengerjakan umrah 19 Mac lalu dan banyak menghabiskan masa bersama anak angkatnya, Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmod, setahun tujuh bulan.

Sementara itu, tinjauan mendapati Malek yang juga Pengarah Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd dilihat masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Ipoh, Doktor Chan Chong Guan yang ditemui berkata, keadaan Malek akan dipantau rapi sepanjang tempoh 48 jam bagi memastikan dia kembali stabil.

Menurutnya, penyakit jantung dialami Malek akibat saluran darah koronari tersumbat tapi belum di tahap serius dan tidak memerlukan pembedahan segera.

“Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana diberikan bantuan kecemasan dan segera dibawa ke hospital. Ketika kejadian denyutan jantungnya terlalu perlahan dan hanya peralatan di hospital dapat menyelamatkan nyawanya.

“Pemeriksaan perubatan dilakukan mendapati tahap kolesterolnya tidak terlalu tinggi dan dia dijangka keluar dari wad ICU selewat-lewatnya esok sebelum dipindahkan ke wad biasa,” katanya.


Bergetar hati isteri

Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

NGERI...mayat mangsa tersepit dalam kereta.
NGERI...mayat mangsa tersepit dalam kereta.
GUA MUSANG: “Saya pelik apabila arwah suami kelihatan tergesa-gesa keluar rumah kira-kira jam 8 pagi sambil memberitahu mahu ke Kuala Krai melalui Jeli.
Sebelum ini, arwah tidak pernah memberitahu arah tujuannya jika keluar rumah, tetapi sentiasa pulang awal, sekurang-kurangnya sebelum jam 4 petang.

“Hari itu (kelmarin), saya berasa tidak sedap hati apabila suami tidak pulang selepas jam 4 petang dan langsung tidak menghubungi saya. Rupa-rupanya arwah maut dalam kemalangan,” kata Wan Rosmah Wan Harun, 29, isteri kepada seorang pengawal keselamatan, Sa’ade Mohd Nor, 38, yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Sa’ade yang menetap di Jalan Kesedar Inn di sini, terbunuh di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kancil dipandunya merempuh sebuah treler pengangkut kenderaan sebelum ‘dilenyek’ sebuah lori kontena dari arah belakang.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan Sa’ade, seorang peniaga kedai makan, Mat Dahri Yusoof, 35. Turut maut, pemandu lori kontena dari Pedas, Negeri Sembilan, Muhammad Fathimy Hassan, 29, yang hampir putus kepala.

Difahamkan, kemalangan berlaku selepas pemandu treler pengangkut kenderaan itu membrek kenderaannya secara mengejut selepas menyedari sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak di hadapannya.

Akibatnya, kereta dipandu Sa’ade merempuh treler berkenaan sebelum sebuah lori kontena di belakang merempuh pula kereta Perodua Kancil itu. Pemandu treler tidak cedera, manakala kelindan lori kontena, Mohamad Zukhairi Baharom, 23, juga Pedas, Negeri Sembilan, cedera selepas tercampak keluar.

Wan Rosmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas diberitahu rakan suaminya kira-kira jam 9 malam.
“Kini, terpaksalah saya membesarkan tiga anak yang masih kecil,” katanya yang turut memberitahu suaminya sempat menghantar salah seorang anaknya ke sekolah tadika.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan tiga kematian itu.

Katanya, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Penjaga, Che Rusli Che Sulaiman mengambil mangsa hampir sejam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit.



Merangkak atas landasan

Oleh Mohd Fakri Awang Lah
am@hmetro.com.my

MACHANG: Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang baru pandai berjalan mati dilanggar kereta api selepas dia bertatih keluar dari rumah datuknya dan merangkak ke landasan kereta api kira-kira 40 meter dari rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohamad Adam Mukhriz, anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan tercampak kira-kira 10 meter dari landasan selepas dilanggar.

Mangsa berada dalam jagaan datuk dan neneknya dan mereka tidak menyedari kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah.
Datuknya, Mahmud Mat Daud, 58, berkata, biasanya Adam bangun agak lewat, namun semalam dia bangun awal dan menuju ke landasan kereta api tanpa disedari sesiapa. “Saya dan isteri yang ketika itu berada di luar rumah, langsung tidak perasan kelibat Mohamad Adam. Saya dan isteri hanya tersedar dia tiada di dalam rumah apabila mendengar bunyi hon kereta api. “Isteri saya cuba menyelamatkan Mohamad Adam, namun tidak sempat,” katanya yang menjaga Mohd Adam kira-kira dua bulan lalu selepas mendapat kebenaran daripada menantunya.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Afif Jaafar, 27, berkata, tiga hari lalu, dia bermimpi cedera parah di kepala dan mati akibat terbabit kemalangan dan mimpi itu berulang selama tiga hari. “Saya sangka mimpi itu hanya mainan tidur, tapi rupa-rupanya ia petanda anak sulung akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurut Mohd Afif yang menetap di Marang, Terengganu, selepas mengalami mimpi aneh itu, dia berasa tidak sedap hati dan memutuskan pulang ke kampung petang kelmarin selepas memohon cuti dua hari untuk menjenguk Mohd Adam.

“Bagaimanapun, hasrat untuk melihat anak tak kesampaian selepas dihubungi seorang saudara kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) mengenai kemalangan itu,” kata pekerja syarikat swasta itu ketika ditemui di Hospital Machang, semalam.

Sementara itu, Pengurus Keretapi Tanah Melayu (KTM) Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan kereta api Tren Ekspres Senandung Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.
“Kereta api itu melanggar kanak-kanak berkenaan di landasan kereta api di Kampung Sungai Bedal selepas dia secara tiba-tiba muncul di landasan. Kini, kami bekerjasama dengan polis menyiasat kes ini,” katanya.

Ketua Bahagian Pengurusan Polis (KBPD) Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan muka selepas tercampak kira-kira 10 meter. Mangsa dilanggar kereta api di KM457.5, Kampung Sungai Bedal, Temangan, pagi ini (semalam),” katanya .


2 pelatih inspektor wanita masih dirawat di hospital


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR : Dua lagi pelatih inspektor wanita masih ditempatkan di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh sejak seminggu lalu selepas dijangkiti bakteria leptospirosis (kencing tikus) dan adenovirus di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak.
Komander Pulapol, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, pihaknya sedang memantau keadaan dua pelatih berkenaan yang dirawat di wad biasa dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil dan bertambah baik.

Menurutnya, secara keseluruhan keadaan bertambah baik dan bilangan pelatih yang ditempatkan di berek pengasingan Pulapol juga sudah berkurangan.
“Sehingga jam 8 pagi semalam, 40 orang pelatih berada dalam bilik pengasingan namun jumlah berkenaan berkurangan kepada 29 orang pada jam 4 petang semalam dan itu petanda yang baik,” katanya. Beliau berkata, daripada 29 orang pelatih itu, tiga orang daripadanya adalah pelatih inspektor wanita, 13 pelatih inspektor lelaki, 12 pelatih konstabel dan seorang staf.

Katanya, pihaknya sentiasa meneruskan langkah menaik taraf tahap kebersihan kawasan persekitaran terutamanya zon latihan, kawasan kediaman staf dan asrama pelatih bagi memastikan penyebaran virus berkenaan dapat dielak.

“Kami juga menjangkakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengisytiharkan cuti seminggu untuk semua pelatih bagi membolehkan mereka pulang ke kampung masing-masing.

“Dalam tempoh yang sama, Pulapol akan menganjurkan gotong-royong besar-besaran yang disertai agensi lain untuk membersihkan kawasan ini,” katanya.


Lokasi tragedi berbau mayat



MIYAGI: Gempa bumi disusuli tsunami yang melanda Jepun tiga minggu lalu meninggalkan kesan dahsyat dan pemandangan mengerikan apabila timbunan ribuan kereta serta serpihan rumah yang ranap dilihat di setiap pelosok kawasan terjejas terutamanya di pesisir pantai.
Kumpulan sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Jepun, Kelab Putera 1 Malaysia berpeluang melihat dengan lebih dekat kesan kemusnahan dibawa ombak besar akibat gegaran gempa bermagnitud 9 skala ritcher itu apabila memasuki Ichinomaki, Sendai di sini, semalam.

Lebih menyayat hati, bau mayat turut dapat dihidu sebaik menghampiri pekan yang terkenal dengan aktiviti perikanan itu.
Seorang remaja, Matsumura Hayami, 17, yang ditemui ketika melawat rumahnya yang musnah berkata, selepas tiga minggu kejadian, masih ramai rakan dan saudaranya gagal dikesan.

Menurutnya, ketika kejadian 11 Mac lalu dia berada di dalam rumah dan bernasib baik apabila dapat menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah.

“Kira-kira 30 minit selepas gegaran berlaku, ombak besar setinggi kira-kira dua meter merempuh seluruh kawasan. Saya dan keluarga berjaya menyelamatkan diri,” katanya.



Hospital banjir

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Penduduk di sekitar bandar ini kini dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi banjir selepas air yang surut di sebelah Perlis utara mula mengalir hingga menenggelamkan beberapa jalan utama dan memasuki premis perniagaan, jabatan kerajaan serta swasta, semalam.
Kekecohan turut berlaku di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) apabila air memasuki wad kecemasan dan ortopedik yang terletak di tingkat bawah bangunan, manakala laluan ke hospital hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Pengarah HTF, Dr Ahmad Nordin Mohd Jais berkata, hospital itu masih beroperasi termasuk menerima pesakit, tetapi bahagian tertentu di tingkat bawah terpaksa dipindahkan ke tingkat atas apabila ditenggelami air setinggi 0.2 meter (m).
Katanya, setakat ini bahagian klinik pakar dan blok bangunan lama sudah ditutup.

“Pekarangan hospital mula dimasuki air sejak jam 1 pagi dan meningkat dengan cepat hingga memasuki ruang bangunan bawah yang menempatkan bahagian kecemasan dan ortopedik.

“Bagaimanapun, tiada pesakit yang dipindahkan kerana mereka ditempatkan di tingkat atas dan bekalan elektrik masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Selain itu, beberapa bangunan kerajaan termasuk Klinik Kesihatan Kangar, kompleks mahkamah, wisma kerajaan negeri, ibu pejabat polis trafik Kangar, bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan premis perniagaan turut dinaiki air.

Laluan Persiaran Jubli Emas, Jalan Jubli Perak, Jalan Hospital, Jalan Penjara dan Jalan Tun Razak turut ditenggelami air.
Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 3,397 mangsa membabitkan 893 keluarga ditempatkan di 35 pusat pemindahan banjir yang dibuka oleh kerajaan negeri.



Kepala rakan hampir putus

GUA MUSANG: Kelindan lori kontena, Mohamad Sukhairi Baharom, 23, hanya mampu menahan perasaan pilu melihat kepala rakannya hampir putus dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini, petang kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 petang itu, rakannya, pemandu lori kontena, Muhammad Fathimy Hassan, 29, hampir putus kepala selepas tengkuknya terkena besi lori treler pengangkut yang dirempuhnya serta sebuah kereta Perodua Kancil.

Mohamad Sukhairi, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di tempat duduk sebelah pemandu dan hanya tersedar apabila sudah berada dalam longkang akibat tercampak keluar dari lori dinaikinya.


Wanita hamil rempuh lori trauma

MASJID TANAH: Seorang wanita sarat mengandung trauma selepas Perodua ViVA dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang terbabit kemalangan di Kampung Solok Duku, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, wanita yang enggan dikenali itu tidak cedera.

Menurutnya, dia yang memandu berseorangan mengekori belakang lori itu terkejut apabila kenderaan berkenaan berhenti mengejut kerana terbabit dalam kemalangan.
“Saya tidak tahu hendak buat apa-apa kerana lori itu tiba-tiba saja berhenti menyebabkan saya terlanggar belakangnya. Rupa-rupanya ada sebuah kenderaan lain berlanggar dengan lori itu menyebabkan ia berhenti secara mengejut.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk pemeriksaan kesihatan berikutan kejadian itu.

Dalam kejadian itu, sebuah Proton Waja dipandu seorang jurujual kereta dari arah Masjid Tanah-Sungai Udang dikenali Mohd Yatim hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di situ lalu bertembung sebuah lori membawa muatan makanan ringan dari arah bertentangan menyebabkan kakinya tersepit.

Mohd Yatim dikeluarkan dari kenderaannya dengan bantuan orang ramai dan di hantar ke Hospital Melaka dengan ambulans Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

Tidak lama selepas kejadian, sebuah Produa VivA dipandu wanita sarat mengandung itu merempuh belakang lori yang terbabit dalam kemalangan sebelum itu.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan, S Partiban, 36, berkata dia tidak dapat mengelak dan hanya mampu menekan brek selepas Proton Waja itu memasuki laluannya berikutan kenderaan dipandunya sarat dengan muatan.




Tangisan pilu arwah suami

PORT DICKSON: “Ketika berada dalam kereta untuk bertolak ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu, saya nampak suami melambai tangannya sambil mengesat air mata, namun pada masa sama sempat melemparkan senyuman,” kata isteri pesara polis yang ditemui mati di tempat pembuangan sampah di Kampung Teluk, Paris Panjang, dekat sini, Selasa lalu.
Fatimah Mahmud, 79, berkata, hatinya berdetik dan tertanya-tanya mengenai sikap pelik suaminya Murad Yusof, 83, yang sebelum ini tidak pernah bersikap sedemikian.

“Biarpun arwah sudah agak berusia, dia rajin mengemas rumah dan ringan tulang selain suka keluar membuang sampah di tempat pembuangan sampah di tempat mayatnya ditemui.
“Kali terakhir berbual dengan suami ketika makan tengah hari di rumah Ahad lalu sebelum anak perempuan datang menjemput saya ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, mayat Murad ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan pergi membuang sampah di situ.

Menurutnya, suaminya hanya diam apabila dia memberitahu anaknya akan datang menjemputnya ke Kuala Lumpur pada sebelah petang (Ahad).

“Suami mengajak saya makan di depan rumah dan ketika menjamu selera, dia memberitahu hendak memperbaiki bumbung rumah yang bocor.

“Dia berseloroh meminta saya tambahkan air kosong kerana bimbang tercekik dan tidak sangka itu gurauan terakhir,” katanya.



Dihukum mati

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pendandan rambut yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah terhadap tuduhan bersama dua remaja menculik dan membunuh pelajar pintar, Lai Ying Xin, 16, di Kulai, Johor, tiga tahun lalu, dilihat menenangkan bapanya yang menangis teresak-esak di Mahkamah Tinggi, semalam.
Teh Kim Hong, 25, dilihat berbuat demikian selepas Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menjatuhkan hukuman itu apabila mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya di akhir kes pembelaan.

Dua remaja bawah umur yang turut terbabit bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman gantung itu apabila dikenakan hukuman penjara selama tempoh diperkenankan Sultan Johor di bawah Akta Kanak-Kanak kerana masih di bawah umur ketika kejadian berlaku.
Terdahulu, Mohd Zawawi dalam penghakimannya berkata, jenayah dilakukan ketiga-tiga tertuduh adalah serius dan kejam.

“Walaupun ibu bapa mangsa membayar tebusan, tertuduh yang tidak mahu mangsa mendedahkan identiti mereka, dibunuh tanpa belas kasihan sebelum dibakar dan dicampak di tempat terpencil.

“Mahkamah juga perlu mengambil perhatian penderitaan dihadapi keluarga mangsa yang dibunuh sebegini kejam,” katanya.

Teh bersama dua rakannya yang masing-masing berusia 17 dan 16 tahun, dituduh bersama-sama membunuh Lai di Lot 2841, Jalan Alor Bukit, Kulai, Johor antara jam 9.45 malam, 11 September 2008 dan jam 12 tengah malam, 12 September 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menculik mangsa pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim, Kulai di pasar raya besar Jalan Kulai-Air Hitam dengan niat mendapatkan wang tebusan RM60,000, kira-kira jam 9.45 malam, 11 September 2008. Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibacakan bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, mangsa dilihat kali terakhir menaiki Perodua Kembara warna perak di hadapan pasar raya besar Jalan Kulai selepas habis bekerja sambilan.

Seorang lelaki membuat panggilan telefon kepada keluarga mangsa memberitahu mangsa berada dengannya dan meminta RM60,000 sebagai tebusan.

Selepas tempat meletak wang tebusan ditukar berkali-kali, ibu bapa kepada anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu meletakkan RM30,500 dalam beg di tepi Jalan Indahpura, Kulai, Johor.

Pada 15 September 2008 ketiga-tiga tertuduh ditangkap dan polis menemui wang tebusan yang ditanda RM22,000 di dalam beg di tempat duduk belakang dan wang tunai RM800 di dalam dompet tertuduh.

Mayat mangsa ditemui di kawasan semak Taman Puteri, Kulai dalam keadaan rentung dan berulat.

Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan dari Johor, Umar Saiduddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlih Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela Norman Fernandes dan Sukhaimi Mashud.

Kes yang terdahulu dibicarakan di mahkamah di Johor Bahru dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas Mohd Zawawi dipindah bertugas memanggil 39 saksi pendakwaan termasuk empat pakar forensik dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang prosiding berjalan. Ibu mangsa, Chia Siew Phen, 48, yang ditemui media selepas prosiding memberitahu dia masih tidak tenang dengan keputusan hakim itu.

“Saya tidak rasa apa-apa kerana mereka buat rayuan. Saya hanya lega selepas semuanya selesai,” katanya.

No comments:

Post a Comment