Monday, May 9, 2011

BILA KES JENAYAH BEGITU MEMBIMBANGKAN....BEGITU JUGA KES TIPU....AKHIRZAMAN MEREKA DAH TAK KIRA HALAL HARAM....SUMBERNYA....JANJI DUIT@WANG..

Kaca berterbangan kondo mewah meletup

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

MUSNAH...sebahagian unit rumah rosak selepas letupan dipercayai berpunca daripada tekanan gas, semalam.
MUSNAH...sebahagian unit rumah rosak selepas letupan dipercayai berpunca daripada tekanan gas, semalam.
KUALA LUMPUR: “Saya terkejut melihat banyak kaca berterbangan selepas terdengar bunyi letupan kuat disusuli gegaran,” kata penghuni Kondominium Hampshire Park, Jalan Ampang, Daniela Semeraro, 42, semalam.
Dia yang tinggal di tingkat 12, segera turun bersama suami untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, satu letupan kuat berlaku pada sebuah unit di tingkat 17 kondominium mewah berkenaan hingga menggegarkan kawasan sekitarnya.
Difahamkan, letupan itu menyebabkan puluhan rumah rosak, malah sebuah hotel yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian turut mengalami kerosakan.

“Saya difahamkan penghuni rumah iaitu seorang lelaki cedera di tangan dan terbakar rambut berikutan letupan itu.

“Selain itu, saya diberitahu mangsa baru pindah ke rumah berkenaan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, punca kejadian tidak dapat dikenal pasti, namun percaya ia berpunca dari letupan gas.

“Beberapa hari sebelum kejadian, terdapat gangguan pada tekanan gas apabila menunjukkan ia semakin rendah,” katanya.
“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan letupan yang kuat petang tadi (semalam),” katanya.

Difahamkan, penghuni rumah berkenaan seorang lelaki warga British berusia 61 tahun melecur 70 peratus badan. Mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court.

Sehingga malam tadi, pasukan bomba dan penyelamat, polis dan ambulans masih menjalankan usaha mengenal pasti punca kejadian dan menyelamatkan penghuni lain yang mungkin cedera.


Bapa mangsa buli buat laporan


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun digunting rambut, leher dijerut dengan tali leher, selain berulang kali ditampar dua rakan sekelas dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Jinjang, di sini, minggu lalu.
Perbuatan buli tidak berakhir di situ apabila perbuatan itu dirakam dengan telefon bimbit dan dimuat naik di laman sosial Facebook sebelum tersebar meluas di YouTube bermula kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku hanya kerana mangsa meminta mereka supaya tidak membuat bising berikutan ketiadaan guru di dalam kelas.
Dalam kejadian antara jam 8 hingga 10 pagi itu, semua pelajar sedang menunggu guru mata pelajaran lain selepas menamatkan sesi pembelajaran.

Rentetan tersebarnya rakaman kira-kira tiga minit di Internet, bapa mangsa berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Zakaria berkata, berdasarkan keterangan mangsa kejadian buli itu berlaku seminggu lalu ketika guru tiada di dalam kelas.

“Mangsa dan dua pelajar yang membulinya belajar dalam kelas yang sama. Mangsa mendakwa ditampar beberapa kali di kepala, rambutnya digunting dan lehernya dijerut menggunakan tali leher.
“Tiada kecederaan serius dialami mangsa, namun polis mengarahkan rujukan dilakukan di hospital untuk keselamatannya selain bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Zakaria berkata, mangsa pada mulanya sudah mengabaikan kejadian itu, malah cuba melupakannya, namun kecewa apabila mengesan klip video dia dibuli dimuat naik di laman sosial Facebook pada 6 Mei lalu sebelum tersebar di Internet mulai kelmarin.

Dalam rakaman video berkenaan, terdapat kelibat dua pelajar perempuan bergilir-gilir membuli mangsa sambil disaksikan beberapa pelajar lain.

Mangsa yang ditampar menangis sambil merayu dikasihani. Namun, rayuannya tidak diendahkan sebelum seorang daripada pelajar perempuan itu mengambil tali leher dan menjerut lehernya.

Rakan sekelasnya turut menggunting rambutnya sebelum mereka menghentikan perbuatan itu selepas menyedari kehadiran guru kelas.

Semalam, rakaman kedua adegan buli berkenaan yang selama 3.09 minit sekali lagi dimuat naik di YouTube kira-kira jam 4 petang yang turut menyiarkan sari kata serta muzik latar.


Petanda anak meraung

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

SUNGAI SIPUT: “Dua minggu sebelum anak saya hilang, saya mengalami beberapa mimpi pelik termasuk pada kali terakhir tidur bersamanya iaitu malam Jumaat lalu.
“Malah, malam itu, anak saya itu menangis dan meraung menyebabkan saya hairan memandangkan dia tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini,” kata Kartika Sari Dewi Sukarno, 33, ibu kepada Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, kanak-kanak yang hilang dipercayai jatuh ke dalam Sungai Perak tengah hari kelmarin.

Muhammad Azfar adalah anak sulung kepada Kartika, wanita yang mencetuskan kontroversi selepas dijatuhkan hukuman sebat tahun lalu kerana meminum arak.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di kediaman inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang, di sini ketika menonton televisyen bersama sepupunya yang lain.

Bagaimanapun, kehilangan itu mencetuskan misteri berikutan tiada jejak tapak kaki ditemui.

Malah, kanak-kanak istimewa itu dikatakan keluar dari rumah dengan tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang serta berkaki ayam. Malah, kebanyakan pengamal perubatan tradisional yang membuat tilikan mengenai kehilangan kanak-kanak itu mendakwa Muhammad Azfar ‘disembunyikan’ di dalam hutan berhampiran.

Selain itu, usaha mencari dan menyelamat dijalankan 113 anggota dan penyelamat terdiri daripada Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung juga gagal menemui sebarang jejak hingga petang semalam.

Kartika ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka mimpi pelik dialaminya sepanjang dua minggu lalu adalah petanda kehilangan anak sulungnya itu.
“Saya sering bermimpi ular putih yang bercahaya. Malah, ular itu membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya.

Katanya, sebelum ini, dia bersama Muhammad Azfar berada di Johor bagi menguruskan persekolahan anak sulungnya itu di sekolah khas.

Beliau berkata, dia mula berada di inap desa milik keluarganya itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan semula kawasan pelancongan berkenaan.

“Saya harap anak saya selamat ditemui jika hilang di hutan kecil itu. “Saya percaya dia tidak terjatuh ke dalam sungai kerana sepanjang di inap desa ini sejak kecil, anak saya itu tidak berani pergi ke sungai itu.

“Memang dia suka main air, tetapi kami tidak membenarkannya mandi di situ,” katanya.

Menceritakan detik kehilangan anaknya itu, Kartika berkata, ketika kejadian dia di dapur menyiapkan makan tengah hari sementara anaknya bersama anak saudaranya menonton televisyen di dewan.

Katanya, seketika kemudian, semua anak saudaranya pergi ke dapur manakala anaknya dibiarkan seorang diri di dewan.

“Kehilangannya disedari anak saudara saya, Muhammad Ramadan Mohd Ridzwan, 12, selepas gagal menemui kelibat anak saya di dewan itu sekembalinya dari dapur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi semalam berkata, operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang

Jakim tarik balik sijil halal

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sijil pengesahan halal sebuah syarikat pengeluar daging dan produk nilai tambah berasaskan ayam seperti sosej dan bebola daging yang beribu pejabat di Pulau Pinang ditarik balik serta-merta berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam produk keluaran syarikat terbabit.
Menurut laman web Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), keputusan itu dibuat pada mesyuarat Panel Pengesahan Halal yang diadakan pada 22 April lalu.

“Kajian terhadap produk keluaran syarikat berkenaan mendapati terdapat DNA babi, menyebabkan sijil halal syarikat itu ditarik balik serta-merta.
“Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru sijil halal yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit perlu menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal diiktiraf,” kata kenyataan dalam laman web itu.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan resit pembelian produk baru, melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Tindakan itu diambil selepas mendapati syarikat itu melakukan kesalahan serius dalam Pensijilan Halal Malaysia (PHM) kerana membabitkan hukum syarak dan aspek teknikal.

Antara kesalahan membabitkan hukum syarak termasuk pengesahan status tidak halal terhadap produk, bahan ramuan dan peralatan oleh pihak berkuasa agama yang diiktiraf selepas dipersetujui Panel Pengesahan Halal, menggunakan ramuan tidak halal selepas memiliki sijil halal dan menyimpan bahan ramuan atau produk halal dengan tidak halal di tempat sama.

Kesalahan lain termasuk menggunakan peralatan dan perkakasan yang bercampur antara halal dengan tidak halal, memproses kenderaan yang tidak sempurna sembelihannya dan membawa masuk bahan tidak halal ke premis atau syarikat yang mendapat PHM serta menggunakan ‘stunning’ menyebabkan haiwan mati.
Kesalahan dari segi teknikal pula adalah perpindahan premis atau kilang tanpa memaklumkan Jakim, perubahan pengurusan dan nama syarikat tanpa memaklumkan kepada Jakim, penyembelih dan pemeriksa yang tidak memiliki tauliah atau tamat tempoh serta penggunaan ‘stunning’ tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

10 ajaran sesat masih aktif

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sepuluh kumpulan ajaran sesat yang dipercayai masih bergerak aktif di seluruh negara perlu dihapuskan segera kerana dikesan mengamalkan pelbagai amalan yang bercanggah ajaran Islam dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Amalan itu termasuk mengajar ilmu tasawuf dan tarekat bercorak kebatinan; memperkenalkan aliran pemikiran lama dan baru; mengamalkan wirid bercorak kebatinan dalam persilatan, amalan khurafat dan perbomohan.

Kumpulan berkenaan adalah Syiah; al-Arqam atau Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) atau Global Ikhwan Sdn Bhd; Islam Jamaah; Ajaran Azhar Wahab (Pengasas Al-Mansor Holding Sdn Bhd), Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah; Pemuda Kahfi, Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Sheikh Nazim; Qadiani/Ahmadiah; Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan ajaran Aurad Islamiah. Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 95 pergerakan yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam dan pegangan Al-Sunnah Wal-Jamaah sama ada oleh Muzakarah Jawatankuasa Majli Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri di seluruh negara dalam tempoh 20 tahun lalu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustafa, berkata semua kumpulan itu perlu dihapuskan secepat mungkin oleh pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara.

“Kita memandang serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal akidah umat Islam serta boleh menjejaskan keamanan di negara ini.

“Jadi, sepuluh kumpulan ini akan diberi keutamaan untuk dihapuskan bagi mengelakkan ia terus tersebar dalam negara,” katanya.

Othman berkata Jakim dan pihak berkuasa agama negeri juga sedang memantau cubaan sesetengah pihak yang cuba menyebarkan pelbagai ideologi baru seperti pluralisme dan fahaman berbentuk ekstremis dengan memperalatkan golongan pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Katanya, fahaman seumpama itu bukan saja merosakkan akidah umat Islam, tetapi turut mengundang pelbagai masalah lain seperti rusuhan agama dan perang saudara.
“Namun, kita terpaksa menghadapi beberapa masalah dalam menangani masalah ini seperti ketidakseragaman undang-undang syariah di peringkat negeri dan salah faham umat Islam terhadap isu akidah termasuk ilmu tarekat dan tasawuf.

“Keadaan itu memaksa kita meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri melakukan kajian, sekali gus menyelaras keputusan berhubungan fatwa pengharaman sesuatu kumpulan ajaran sesat,” katanya.

Beliau berkata, Jakim turut menubuhkan unit penyelidikan untuk memantau dan mengenalpasti mereka yang cuba menyebarkan ajaran sesat dan tarikat yang menyeleweng menerusi blog, laman web sosial seperti Facebook dan twitter.

"Kita mengakui kumpulan ajaran sesat hari ini sentiasa memanipulasi teknologi baru untuk mengembangkan fahaman dan merekrut ahli baru,” katanya.

Bekal amah hamil

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Waspada amah mengandung. Kini terdapat ejen pembantu rumah dikesan bertindak licik membekalkan amah warga Myanmar yang sedang mengandung dan selepas pelanggan mengetahuinya mereka berjanji menggantikan baru, namun ia alasan semata-mata.
Pelanggan yang terpaksa membayar kos pengambilan pembantu rumah warga asing berjumlah RM3,000 hingga RM5,000 seorang, pada awalnya gembira kerana selepas membuat pembayaran kepada ejen berkenaan, mereka terus menerima pembantu rumah yang dijanjikan.

Seorang daripada mangsa yang ingin dikenali sebagai Kamal berkata, selepas beberapa hari, baru dia mengetahui amah dibekalkan itu mengandung dua bulan dan dia memulangkannya semula kepada ejen berkenaan serta meminta wangnya dikembalikan.
“Ejen itu enggan memulangkan semua duit saya, tetapi berjanji menggantikan amah baru dalam masa terdekat dan meminta saya bersabar serta tidak memperbesarkan perkara itu.

“Mereka mendakwa tidak mengetahui amah berkenaan sedang mengandung dan saya bersetuju menerima cadangan penggantian itu kerana memerlukan pembantu rumah,” katanya.

Menurutnya, ejen pembantu rumah terbabit dikenali melalui kenalannya pertengahan tahun lalu dan mempercayai ejen wanita berusia 38 tahun itu kerana syarikatnya mempunyai daftar perniagaan.

Katanya, dia dibekalkan dengan amah mengandung itu pada Ogos tahun lalu dan sehingga kini masih tidak menerima pembantu rumah gantian atau wangnya dikembalikan.

“Ejen itu pada awalnya dapat dihubungi, namun memberi pelbagai alasan serta mengelak daripada ditemui dan kini langsung tidak dapat dikesan,” katanya.
Selepas beberapa bulan masih tidak menerima pembantu rumah, Kamal membuat laporan polis di Wangsa Maju berhubung penipuan itu. Difahamkan juga, ejen terbabit turut menipu beberapa individu lain berhubung perkhidmatan amah dan pembekalan pekerja asing membabitkan kerugian hampir RM30,000 kerana semua pekerja yang disediakan menggunakan permit palsu.

Taktik dan alasan sama digunakan dengan mengatakan tidak sedar mengenai permit berkenaan. Sementara itu, Presiden Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavuty berkata, terdapat kemungkinan ejen yang terbabit dengan penipuan itu tidak berdaftar dengan pihaknya dan Jabatan Imigresen kerana menjadi amalan sejak dulu lagi, mana-mana agensi perlu memastikan pembantu rumah menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

“Kami beri tempoh sebulan bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan. Jika gagal dalam ujian agensi akan menghantar mereka pulang.

“Justeru kami menasihatkan majikan supaya memeriksa terlebih dulu status pembantu rumah yang ingin diambil bagi mengelakkan ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


Mengaku bunuh ibu angkat

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Pakatan seorang anak bersama dua rakannya merompak sebelum membunuh ibu angkatnya di Kemaman, berakhir apabila rahsia tindakan kejamnya itu terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor, Rabu lalu.
Lelaki berusia 25 tahun berasal dari Johor itu ditahan bersama tiga rakannya dalam satu operasi yang dijalankan bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

Operasi diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang menjejak pergerakan lelaki terbabit sebaik dia menghilangkan diri selepas kejadian pembunuhan ibu angkatnya pada 30 April lalu.
Difahamkan, ketika serbuan, lelaki terbabit bersama tiga rakannya yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan rompak dikatakan baru selesai melakukan satu rompakan di Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, soal siasat yang dijalankan terhadapnya membongkar perbuatan kejam suspek terhadap ibu angkatnya yang menyebabkan kematian.

“Suspek mengaku terbabit dalam kejadian rompak dan bunuh wanita berkenaan dan daripada siasatan lanjut, suspek mengaku melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakan termasuk seorang jiran mangsa,” katanya.

Isnin lalu akhbar ini melaporkan seorang suri rumah berusia 53 tahun mati akibat lemas selepas mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh sekumpulan perompak yang memecah masuk rumahnya di Taman Desa Darul Iman, Bukit Kuang, Kemaman.

Difahamkan, kumpulan perompak terbabit bertindak kejam bagi mengelak mangsa menjerit meminta tolong selepas perbuatan mereka memecah masuk rumah berkenaan disedari mangsa, kira-kira jam 4 pagi.
Berikutan itu, berlaku pergelutan dan mangsa dikatakan cedera di muka dan lebam di beberapa bahagian badan sebelum ditemui pengsan dalam bilik tidurnya oleh jiran yang mengesyaki kejadian buruk berlaku selepas mendapati pintu rumah mangsa terbuka.

Ketika kejadian, suami mangsa yang berusia 56 tahun berada di Kota Bharu, Kelantan kerana urusan kerja dan mangsa hanya tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Manoharan berkata, susulan tangkapan lelaki berkenaan, jiran mangsa yang berusia 34 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Darul Iman 2, Bukit Kuang, Kemaman pada jam 8.50 pagi , keesokannya.

Beliau berkata, ekoran tangkapan itu, polis menemui semula barangan kemas milik mangsa yang sudah dijual kepada peraih emas di Kuala Krai, Kelantan yang dianggarkan bernilai RM8,000 termasuk komputer riba yang dirampas ketika serbuan.

Menurutnya, semua barangan kemas itu dirampas dalam pemeriksaan mengejut di beberapa premis pajak gadai dan peraih emas di Kuala Krai kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Kereta ‘tukar’ jadi motosikal

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Gara-gara terlalu mempercayai jiran, seorang lelaki mendakwa kehilangan kereta Honda Civic 1.7 Vtech warna biru miliknya selepas bertukar tuan tanpa kebenarannya.
Mangsa, Zaidi Zakariah, 46, berkata, dia menyedari tertipu apabila kereta yang diberikan sementara waktu kepada jirannya yang juga seorang ejen kereta terpakai didapati tiada, tanpa memaklumkan di mana kereta itu berada. “Saya memberikan kereta itu sementara waktu kepadanya selepas tidak mampu membayar ansuran hampir tiga bulan kerana menghadapi masalah kewangan dan dia membayar RM6,000 sebagai pertukaran kepada kereta itu. “Apabila wang mencukupi, saya berjumpa semula ejen berkenaan untuk membayar dan menuntut semula kenderaan itu seperti yang dijanjikan, tetapi dimaklumkan kereta saya tiada. “Saya kemudian bertanya kepada pemilik kedai kereta tempat saya beli di Johor dan jawapan yang diberikan sama,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro di sini semalam. Zaidi yang berasal dari Kajang berkata, dia yang pelik dengan kejadian itu kemudian ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bandar Baru Bangi untuk mengetahui status kenderaannya. “Saya terperanjat sebaik mengetahui nombor pendaftaran kereta itu sudah bertukar menjadi nombor pendaftaran motosikal, manakala nombor pendaftaran motosikal itu bertukar menjadi nombor pendaftaran kereta saya. “Saya tidak pernah membuat sebarang pertukaran pada dokumen kenderaan itu,” katanya. “Saya buntu dan tidak tahu kepada siapa boleh saya ajukan masalah ini,” katanya. Zaidi berkata, dia membuat empat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengenai kehilangan kenderaannya. Menurutnya, kereta berkenaan dibeli atas nama isterinya, Noriah Hashim, 49, dengan harga RM65,000, pada Mei 2009. Dia mendakwa hanya sempat menggunakan kereta itu selama 11 bulan sebelum memberikannya kepada ejen berkenaan kerana masalah kewangan.


Pukau guna tisu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dengan hanya menggunakan tisu, satu kumpulan pakar pukau dianggotai tiga lelaki berjubah dipercayai warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an dikesan aktif memukau mangsa sebelum melarikan barangan berharga.
Kumpulan yang dilaporkan sudah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dikesan mensasarkan mangsa wanita yang berseorangan di tempat tumpuan ramai seperti pusat beli-belah.

Malah, lagak alim dengan berpakaian berjubah dikatakan menjadi satu kelebihan kepada kumpulan terbabit untuk memudahkan mereka menghampiri mangsa sebelum menunjukkan ‘tisu hikmat’ berkenaan sekali gus memukau mangsa.

Dalam kejadian terbaru di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju, kelmarin, seorang wanita berusia 56 tahun kerugian lebih RM5,000 selepas barang kemas dan wang tunai lebih RM700 dilarikan kumpulan itu.


Sebaik tersedar 15 minit kemudian, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.


ZAMAN DIMANA ORANG TAK PEDULIKAN DARI MANA MENDAPATKAN HARTA
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw, "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram".



H.R. Muslim


Keterangan
Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisme, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan. Mereka tidak memperdulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment