Wednesday, October 26, 2011

ZAMAN TIPU MENIPU....ZAMAN MUNGKAR DAN MAKSIAT...ZAMAN MANUSIA RAMAI MENJAUHKAN DIRI DENGAN ALLAH....

Rentung dalam kereta

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

SIASAT...anggota polis menyiasat mayat mangsa yang rentung dalam kereta, semalam.
SIASAT...anggota polis menyiasat mayat mangsa yang rentung dalam kereta, semalam.
BUTTERWORTH: Biarpun puas mencuba, beberapa orang awam tetap gagal menyelamatkan seorang lelaki daripada rentung dalam keretanya yang terbakar di tempat letak kereta Taman Tun Dr Awang, Bagan Ajam di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, orang ramai yang beriadah di tepi pantai berhampiran lokasi kejadian gempar apabila melihat sebuah kereta Proton Wira terbakar dan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.
Berikutan itu, mereka hanya mampu melihat mangsa rentung bersama kereta berkenaan kerana api dipercayai bermula dari dalam kereta, marak dengan pantas memusnahkan kenderaan itu dalam masa hanya beberapa minit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh berkata, mangsa dikenali sebagai Chang Wooi Teong, 44, berdasarkan pemeriksaan rekod pemilikan kereta berkenaan.


Menurutnya, usaha beberapa orang awam untuk menyelamatkan mangsa gagal kerana pintu kereta itu berkunci.



10 sekolah latih penipu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my

BELAJAR JADI PENIPU...sekolah melatih warga Nigeria jadi penjenayah.
BELAJAR JADI PENIPU...sekolah melatih warga Nigeria jadi penjenayah.
KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran.
Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.

Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan komputer dan Internet.

“Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu.

“Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis,” katanya kepada Harian Metro.

Victor berkata, ada sebahagian ‘pelatih’ sekolah menipu itu berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.

“Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money.

“Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.

“Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti memberi impak besar dalam penularan kegiatan jenayah lelaki Nigeria apabila siasatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah ‘lulusan’ sekolah itu.

Pada 29 September lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Siasatan polis mendapati, sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.


Dapat anak tidak sah taraf


ANTARA sijil dan dokumen sindiket nikah palsu yang dikesan oleh Jakim.


KUALA LUMPUR – Pasangan yang menggunakan khidmat sindiket nikah palsu di negara ini mungkin terdedah kepada bahaya dosa melahirkan anak tidak sah taraf.
Itu amaran Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar mengenai senario pasangan bernikah di luar undang-undang di Malaysia.
“Masalah yang paling serius ialah melibatkan isu nasab dan sistem kekeluargaan Islam kerana pernikahan dengan menggunakan sindiket dikhuatiri tidak sah dari hukum syarak dan menyebabkan hubungan seks luar nikah dan melahirkan anak tidak sah taraf,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Saimah, selain itu, masalah yang bakal dihadapi pasangan ialah kesukaran untuk mendaftarkan pernikahan, kelahiran dan pendidikan anak-anak pada masa depan.
“Malah golongan wanita juga berisiko apabila hak-hak dan nasib anak-anak mereka terabai apabila suami mereka meninggal dunia atau berlaku perceraian.
“Selain itu, timbul masalah hak pewarisan harta pusaka, hak hadhanah, hak mut'ah serta lain-lain perkara melibatkan sijil pernikahan yang sah,” ujar beliau.
Saimah memberitahu, kes-kes sedemikian dikesan oleh Jakim apabila pasangan yang dinikahkan itu ingin mendaftarkan perkahwinan mereka dengan jabatan agama Islam di negeri-negeri.
“Apabila kita periksa dan semak kesahihan dokumen didapati kesemua dokumen itu palsu malah ada kes di mana satu pasangan cuba untuk mendaftarkan perkahwinan mereka sebanyak dua kali dan kedua-dua sijil yang diberikan didapati tetap palsu,” katanya.
Mengenai modus operandi sindiket yang sama, katanya, rata-rata mereka menjalankan operasi di tempat-tempat yang tidak disangka-sangka.
Katanya, ada pernikahan dilakukan di restoran makanan segera, dalam kereta dan rumah kedai sebagai taktik sindiket itu mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.
Saimah berkata, selain lokasi pernikahan, sindiket yang sama turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan pengangkutan bagi memastikan segala urusan pernikahan berjalan lancar.
Menurutnya, pada bayaran di antara RM3,000 hingga RM5,000 sahaja, setiap pasangan dimaklumkan pernikahan mereka kononnya mendapat kelulusan daripada jabatan agama dan sijil disediakan sedangkan ia sebenarnya dokumen palsu.
Menurut Saimah, ciri-ciri umum nikah sindiket pernikahan palsu ialah mereka tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Biasanya, ia bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran tertentu kepada pasangan yang hendak berkahwin dengan cara yang mudah tanpa melalui syarat serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga jurunikah palsu yang mengenakan hanya beberapa ratus ringgit sahaja iaitu sekadar melebihi kadar mas kahwin biasa,” ujarnya.
Saimah menjelaskan, kebanyakan daripada kes didapati berpunca daripada hasrat lelaki yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri, terlanjur sehingga mengandung anak tidak sah taraf, halangan keluarga dan jahil mengenai hukum berkaitan pernikahan.
Selain itu, katanya, kebanyakan masyarakat Islam pada masa kini juga masih lagi tidak memahami konsep pernikahan dan perbezaannya dengan nikah di selatan Thailand atau di luar negara.
“Mereka selalunya keliru dan mungkin telah dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa nikah itu mudah dan tidak perlu bersusah payah semata-mata hendak bernikah,” jelasnya.
Tegas beliau, isu tersebut dipandang serius oleh Jakim dan menganggap ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kesahihan sesebuah pernikahan, pelaksanaan serta pematuhan undang-undang Islam di sesebuah negara.

Angkara syabu wanita Jepun ke tali gantung


MARIKO dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas dijatuhi hukuman gantung.


SHAH ALAM - Seorang wanita warga Jepun yang pernah menjadi jururawat menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu dua tahun lepas.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Wanita itu didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di kaunter pemeriksaan kastam, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.55 malam, 30 Oktober 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Siti Mariah antara lain berkata, Mariko dalam keterangan pembelaannya mendakwa dia pergi ke Dubai untuk mengambil wang daripada Alex yang dakwanya sebagai teman lelaki kepada rakan baiknya.
Hakim itu berkata, tertuduh memberitahu selepas berada di Dubai kira-kira lima hari, dia telah berjumpa dengan pemandu Alex yang kemudian meminta bantuan dia membawa sebuah beg yang katanya berisi pakaian ke Malaysia.
Setibanya di KLIA, Mariko ditahan pihak Kastam yang menjalankan operasi selepas menemui dadah dalam beg yang dibawa tertuduh.
"Saya mendapati pembelaan gagal mengemukakan keterangan bagi menangkis anggapan pengedaran dadah dan pembelaan tertuduh adalah direka-reka, tidak munasabah dan tidak logik.
"Alasan tertuduh bahawa dia pergi ke Dubai untuk dapatkan wang tidak munasabah dan mencurigakan. Alex boleh hantar sendiri wang kepada teman wanitanya dan tidak perlu tertuduh datang ambil," kata Siti Mariah.
Hakim itu juga berkata, tertuduh gagal membawa rakan baiknya untuk membantu pembelaan dan kegagalan mengemukakan rakan baik tertuduh itu menunjukkan keterangan yang diberikan hanyalah rekaan.
Siti Mariah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sejurus mahkamah membuat keputusan dan jurubahasa Kedutaan Jepun menterjemahkannya kepada Mariko, wanita itu yang memakai kemeja-T hitam dengan jaket berwarna coklat berseluar denim biru, menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenteramkan oleh anggota polis mahkamah.

Anjur seminar tipu orang

KUALA LUMPUR – Hanya bermodalkan bijak berkata-kata, seorang wanita mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit pada satu-satu masa selepas memperdaya sejumlah mangsa menghadiri temu duga dan seminar.
Lebih mudah, wanita itu menggunakan kemudahan Internet serta kain rentang bagi mengiklankan kegiatan jenayahnya untuk mencari mangsa bagi menghadiri temu duga dan seminar yang tidak wujud.
Bagi meyakinkan mangsa, suspek licik berusia 30-an itu turut menempah bilik atau dewan seminar di mana-mana hotel.
Suspek akan membayar tempahan hotel itu menggunakan cek yang akaun miliknya sudah ditutup.
Suspek kebiasaannya akan menempah hotel untuk tempoh dua hingga tiga hari untuk program tersebut.
Setiap mangsa yang terpilih dalam temu duga perlu menghadiri seminar yang dikenakan caj lebih kurang RM200 kononnya sebagai yuran penginapan dan makan.
Setakat ini, kegiatan penipuan yang dilakukan suspek sejak Jun lalu dikesan berlaku di Utara Semenanjung seperti Kedah dan Perak, dengan lima laporan polis diterima setakat ini.
Kes terkini, suspek mengiklankan di Internet dan kain rentang di sekitar Sungai Petani, Kedah kononnya dia mahu membuka sebuah sekolah agama di Sungai Petani.
Bagi merealisasi impian itu, suspek memerlukan beberapa kakitangan untuk menguruskan sekolah tersebut termasuk tenaga pengajar seperti guru agama.
Mangsa-mangsa yang berminat dengan iklan itu perlu menghadiri temu duga sebelum diminta mengikuti satu seminar berkaitan pengurusan sekolah terbabit yang turut dilakukan di hotel yang sama.
Difahamkan, mangsa-mangsa wanita tersebut mendakwa mereka berasa ditipu selepas suspek gagal dihubungi manakala seminar seperti dijanjikan di hotel itu pula tidak berjalan seperti yang dijadualkan.
Selain itu, pihak hotel turut diperdaya apabila wanita tersebut menyerahkan cek daripada akaun bank yang sudah tidak berfungsi.
Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung modus operandi itu yang dilaporkan di Kedah sejak bulan Jun lalu.

Jenazah Gaddafi dikebumikan

SEORANG jurugambar semalam merakamkan tempat mayat Muammar Gaddafi diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di Misrata sebelum ia dipindahkan untuk dikebumikan di gurun Sahara.


MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara.
"Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta.
Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu.
"Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya.
"Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya.
Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush.

SEORANG wanita melihat jenazah Muammar Gaddafi di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.


Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata.
Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya.
Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh.
Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu.
Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC.
Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.
Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.

JENAZAH Motassim Gaddafi yang dipamerkan kepada orang ramai di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.


Keputusan itu dibuat selepas ribuan penduduk Libya melihat sendiri jenazah bekas pemimpin Libya itu.
Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata.
Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk.
Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut.
Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi.
Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi. - Agensi

Kamera rakam gambar bogel penyanyi Lebanon


HAIFA WAHBI


BEIRUT - Penyanyi Lebanon, Haifa Wahbi merancang untuk menyaman sebuah kedai pakaian tempatan kerana meletakkan beberapa kamera tersembunyi di bilik persalinan dan merakam gambarnya dalam keadaan tidak berpakaian seterusnya menyebarkan gambar-gambar itu di Internet, lapor akhbar Al-Bawaba semalam.
Walaupun penyanyi yang popular dengan lagu Agoul Ahwak itu cuma membeli-belah di beberapa gedung pakaian terpilih, dia telah terpedaya satu komplot jahat yang dilakukan di kedai pakaian yang kerap dikunjunginya itu.
Haifa yang berang melihat gambar-gambar bogelnya tersebar di Internet segera menelefon pemilik kedai pakaian tersebut untuk memarahinya selain memberi amaran bahawa dia akan mengambil tindakan mahkamah berhubung isu tersebut.
Ekoran insiden tersebut, Haifa yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan Ratu Cantik Lebanon, mengarahkan seorang peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan kedai pakaian berkenaan sebagai pengajaran.
Sementara itu, penyanyi itu sedang melakukan persiapan untuk album terbaharunya yang turut menampilkan lagu duet bersama bintang rap Amerika Syarikat, Snoop Dog.
Haifa juga akan membintangi sebuah drama televisyen yang dijadual disiarkan dalam bulan Ramadan tahun depan. - Agensi

No comments:

Post a Comment