Monday, May 31, 2010

BUANG ANAK DAN TERUS BUANG ANAK...TENTU HASIL ZINA....INILAH KESAN JIKA DEGIL TAK MAHU LAKSANA HUKUM ALLAH SWT...

Kejutan belakang bilik mayat



2010/05/31

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.

Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.


Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.


“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.


Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.


Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.


Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.


Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.

Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.


>Buang bayi dalam kotak Oleh Salman Hamat salman@hmetro.com.my KULAIJAYA: “Kali pertama melihat wajah bayi di dalam kotak susu itu, saya mahu menyelamatkannya malah sepanjang perjalanan ke hospital, saya tidak putus mendoakan bayi yang masih bertali pusat itu panjang umur dan dapat diselamatkan.


“Bagaimanapun, saya terkilan apabila tepat azan Subuh dilaungkan bilal surau hospital, doktor mengesahkan bayi perempuan malang itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan,” kata Zulkifli Samsi, 40, bapa kepada tiga anak menceritakan detik cemas cubaannya menyelamatkan bayi perempuan yang ditemuinya di dalam kotak susu di sebuah hentian bas depan Sekolah Menengah Munsyi Addullah, di sini, jam 4.50 pagi semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, dia secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk minum di gerai berhampiran sementara menunggu azan Subuh sebelum berjemaah di surau berhampiran.


Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba berhenti di kawasan berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memecut laju.


“Dalam keadaan samar-samar, saya dapat melihat kelibat manusia keluar daripada kereta terbabit sambil membawa sesuatu, dengan kelam-kabut dia terus meletakkan objek di hentian bas sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.


“Sifat ingin tahu menyebabkan saya berhenti dan mendapati sebuah kotak ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak susu berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu di balut menggunakan kain.


“Naluri kebapaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan terus mengambil kotak berisi bayi itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke Hospital Kulai (HK),” katanya.


“Ketika bayi itu dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi itu. “Hasil siasatan awal bayi perempuan itu dipercayai berketurunan Melayu dan kami percaya dia dilahirkan dalam tempoh 24 jam.


“Ketika dirawat tali pusatnya masih lengkap dia hanya dibalut menggunakan kain tanpa baju serta ditinggalkan dalam kotak berkenaan.


“Berikutan itu kami memohon bantuan orang ramai membantu siasatan kes ini serta mengesan ibu dan individu bertanggungjawab melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Johor 07-2212999 atau 07-6637222.


Akibat percayakan seorang 'ustaz', gadis jadi mangsa cabul

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Akibat percayakan seorang 'ustaz' untuk membantu menyelesaikan masalah dengan teman lelakinya, seorang pelajar perempuan sekolah menengah dicabul ketika menerima 'rawatan' lelaki itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, mangsa mengenali suspek berusia 38 tahun baru-baru ini, yang merupakan fasilitator di sebuah kem motivasi.

Katanya, kerana percayakan suspek, mangsa yang berusia 17 tahun menceritakan masalahnya iaitu sukar melupakan teman lelakinya sehingga terjejas pelajaran.

"Ustaz tersebut mengaku boleh merawat secara tradisional dan menelefon mangsa untuk melakukan rawatan di rumahnya, 21 Mei lalu.

"Dalam rawatan itu, mangsa diminta supaya menyediakan dua botol air dan tidak memakai seluar dalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau memberitahu, ketika melakukan 'rawatan' tersebut, suspek menyentuh dada dan memeluk pinggang mangsa.

"Selain itu, ustaz tersebut juga meramas punggung dan buah dada selain kemaluan mangsa.

"Mangsa turut diminta mencium pipi suspek selepas rawatan. Gadis itu hanya mengikut arahan kerana menyangka ia sebahagian daripada rawatan," ujarnya.

Manoharan berkata, mangsa yang merasa curiga dengan rawatan pelik itu kemudian menelefon agensi perunding di tempat suspek tersebut bekerja.

"Namun dia dimaklumkan suspek telah dipecat 12 Mei lalu kerana telah jauh terpesong. Mangsa lalu membuat laporan di Balai Polis Gong Badak di sini, pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin.

"Mangsa bersama ibu bapanya serta majikan suspek kemudian membuat perangkap dengan menelefon suspek dan menahannya di rumah itu," katanya.

Beliau memberitahu, suspek ditahan reman sehingga 3 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan


4 pelajar lahir anak luar nikah



2010/06/03

KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila empat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Difahamkan pelajar perempuan berkenaan yang terjebak dengan gejala sosial belajar di tingkatan tiga dan enam melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak April tahun lalu. Dalam kes terbaru, seorang pelajar tingkatan tiga pula melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu. Harian Metro difahamkan 16 lagi pelajar perempuan sekolah itu kini disahkan mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki termasuk rakan sekelas mereka.


Lantaran kes memalukan itu, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar terbabit dikatakan cuba menyembunyikan kelahiran berkenaan tetapi ia bocor apabila seorang pelajar mendedahkannya kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, baru-baru ini.


Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.


Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anaknya, baru-baru ini.


Katanya, dalam usaha menyembunyikan kejadian memalukan itu, seorang daripada pelajar terbabit sanggup membuat permohonan bertukar ke sebuah sekolah menengah di Setiu selepas mengetahui dia mengandung enam bulan. Bagaimanapun, katanya usaha pelajar itu berpindah sekolah tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya tinggal bersama kerana mengetahui dia mengandung anak luar nikah. “Pelajar berkenaan tiada pilihan dan melahirkan seorang anak lelaki pada 26 April lalu. Tidak tahan menanggung malu, pelajar berkenaan kini bertukar ke sebuah sekolah lain di daerah ini dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) September ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut. “Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya sambil menambah pihaknya kesal dan terkejut dengan perkembangan berkenaan

No comments:

Post a Comment