Monday, May 31, 2010

Israel bunuh aktivis misi Gaza


2010/06/01

KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan

ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.
Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa

Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.

“Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.

Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.

Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup.
“Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu.

Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.

“Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.

Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.

Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.

Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.

“Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.

Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.

Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.

Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh. – AFP



Isteri sukarelawan Malaysia yakin misi ke Gaza selamat
Oleh Nor Hatina Shuib dan Mohd Idris Sulaiman
bhnews@bharian.com.my
2010/06/01

YUHANIS Fazlina  memangku anaknya Mohd Nursharir    selepas mendapat berita satu dari kapal misi Gaza diserang rejim Zionis.
YUHANIS Fazlina memangku anaknya Mohd Nursharir selepas mendapat berita satu dari kapal misi Gaza diserang rejim Zionis.
Berita dinanti penuh debaran, keluarga doa keselamatan konvoi

SHAH ALAM: Isteri kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai Pasukan Pengurusan Krisis dan Sokongan Keluarga Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) mendoakan keselamatan suami masing-masing ketika menanti berita daripada Gaza dengan penuh debaran.
Isteri kepada Ketua Misi LL4G, Mazlina Ghazali berkata, kali terakhir beliau menerima panggilan telefon daripada suaminya pada jam 10 pagi semalam yang menceritakan kapal Marvi Marmara yang dinaikinya itu diawasi Israel melalui tinjauan helikopter dan beberapa kapal yang muncul sebelum tiba-tiba hilang

“Suami saya, Noorazman Mohd Samsuddin, sempat menelefon saya semalam dan hanya sempat bercakap sekejap saja. Beliau menceritakan bagaimana kapal dinaikinya diserbu Israel Deffence Forces (IDF) ketika berada di perairan antarabangsa.

“Saya yakin Allah akan selamatkan suami saya dan beliau akan pulang dengan selamat. Marilah kita sama-sama membuat gesaan supaya Israel dapat menghentikan kekejaman ini, " katanya pada sidang media semalam.

Beliau dan beberapa isteri sukarelawan lain hadir bersama pada sidang media yang diadakan Pengerusi LL4G, Zulkifli Mohd Nani bagi memaklumkan perkembangan terkini misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, selepas sebuah flotila keamanan diserang Israel kira-kira jam 11 pagi semalam.

Nor Dalilah Abdul Halim, berkata suaminya Abd Halim Mohamed Redzuan sempat menyampaikan wasiat kepadanya supaya membiarkan jasadnya berada di Gaza jika beliau terkorban dalam misi bantuan itu.
“Suami ada berpesan sebelum pergi ke sana supaya jangan dibawa pulang mayatnya jika beliau terkorban, " katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, isteri Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, Dr Yuhanis Fazlina Fazil, 36, ketika dihubungi berkata beliau sudah melahirkan kerisauan terhadap suaminya sejak tengah malam kelmarin lagi apabila beliau mencuba lebih 10 kali untuk menghubunginya namun gagal.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapat panggilan telefon daripada suaminya kira-kira jam 6 petang semalam bagi memaklumkan dirinya terselamat daripada serangan itu.

Dalam perbualan telefon selama 10 minit Mohd Nizar sempat bertanya keadaan bayi lelakinya, Mohd Nursharir yang baru lahir pada 22 Mei lalu dan ibu mentuanya masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, kerana sakit tua.

No comments:

Post a Comment