Tiz tak gaduh
2010/06/13
KUALA LUMPUR: “Saya tak ada masa untuk goda atau cuba rampas kekasih orang,” kata dramatis popular, Tiz Zaqyah mengulas dakwaan dia adalah individu yang dimaksudkan cuba menggoda kekasih Fasha Sandha dalam laman sosial, Twitter, Rabu lalu.
"Biarpun sedar gosip dan artis tidak dapat dipisahkan, cerita ini menjejaskan imej saya" >Tiz Zaqyah
Katanya, tiada apa perlu diperbesarkan kerana dia tidak pernah bergaduh dengan Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan.
“Kami berhubung melalui telefon baru-baru ini dan mesra seperti selalu. Kalau ada yang tak kena pasti dibangkitkan dalam perbualan, tetapi dia okay saja. Saya hairan macam mana boleh timbul cerita kami bergaduh.
“Saya tahu perkara ini daripada kiriman SMS peminat. Saya hanya ketawa kerana ia tidak betul. Macam mana saya boleh goda teman lelaki orang, dakwaan itu mengarut.
“Semua kawan saya tahu cerita sebenar. Kalaupun keluar lepak, mesti beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi.
Kontroversi terbaru membabitkan pelakon yang terkenal dengan imej baik dalam drama popular Nur Kasih itu timbul apabila Fasha meluahkan hatinya dalam laman sosial itu.
“The best part was, perempuan tu called my love at 4am. I found out about it last month and I asked her (bahagian paling bagus, perempuan tu hubungi kekasihku jam 4 pagi. Saya mengetahuinya bulan lalu dan bertanyakannya).
“Then perempuan tu bagi alasan to me that she called on behalf of someone else (perempuan tu bagi alasan dia telefon bagi pihak orang lain).
“Finally my love told me the truth, that she called to ajak lepak with her in Subang (akhirnya kekasihku memberitahu cerita sebenar, dia hubungi untuk ajak lepak dengannya di Subang).
“To that lady, u better watch out, don’t mess with me ya (kepada perempuan tu, jaga-jaga, jangan main-main dengan saya). I got all the prove in the world (saya ada bukti).
“Dulu you dah call bf Almy Nadia pukul 3 pagi, dan semua orang production tahu (dulu awak hubungi teman lelaki Almy Nadia jam 3 pagi, semua orang produksi tahu). Jangan sampai aku and Almy reveal everything (dedahkan semuanya!)” kata Fasha yang memadam kenyataan ini dalam laman sosial itu.
Ditanya pendapatnya mengenai Fasha sepanjang perkenalan mereka, Tiz berkata, pelakon cantik itu rakan yang baik dan dia tiada masalah menyesuaikan diri meskipun Fasha sudah lama dalam industri sedangkan dia baru bertapak.
Bahkan kata Tiz, dia melayan Fasha sama seperti teman lain. Tidak pernah dia prejudis andai persahabatan dihulurkan dan kerana itu dia kecewa apabila timbul cerita kurang enak yang memburukkan namanya.
“Saya kini sibuk dengan pra produksi Filem Nurkasih dan hanya mendengar cerita dari pihak ketiga. Saya akan hubungi Fasha untuk bertanya hal sebenar.
“Biarpun sedar gosip dan artis tidak dapat dipisahkan, cerita ini menjejaskan imej saya. Pembabitan saya dalam bidang ini bukan kerana mahu mencari kekasih tetapi kecintaan terhadap dunia lakonan.
“Ini bukan masa untuk bercinta kerana karier saya baru bermula. Fokus saya hanya pada kerjaya, yang lain ketepikan dulu,” kata Tiz yang namanya mengenai isu itu dikaitkan dalam sebuah laman web hiburan tanah air.
Fasha dakwa dua kali artis sama cuba ganggu
2010/06/13
KUALA LUMPUR: “Laman sosial Twitter saya iaitu @NurFashaSandha adalah ruangan buat peminat dan sahabat saya. Justeru saya berhak meluahkan apa saja yang saya rasa atau pengalaman yang dilalui setiap hari,” kata Fasha.
“Saya terpanggil untuk meluahkan apa yang saya rasa di dalam Twitter kerana dua kali cerita membabitkan dramatis itu cuba mengganggu hubungan saya terpampang dalam ruangan pojok surat khabar. Ramai peminat dan teman bertanya perkara itu melalui laman Twitter saya.
“Sebenarnya cerita itu berlaku tiga bulan lalu yang mana dramatis dimaksudkan cuba mengganggu seorang teman yang saya sifatkan sebagai istimewa dalam hidup saya. Bagaimanapun saya memaafkan apa yang terjadi dan terus-terang saya ingin melupakan apa yang berlaku.
“Justeru saya tidak mahu mengulas panjang perkara itu,” katanya yang mendakwa individu terbabit menggoda teman lelakinya.
Fasha yang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Duyung Aridinata mengakui status di laman sosial itu adalah simbolik luahan perasaan dan apa ditulis pada ruangan itu adalah peribadi dan tidak perlu dipertikai mana-mana pihak.
Bintang filem Berlari Ke Langit, Cicakman dan Evolusi KL Drift ini turut mengakui luahan itu ditujukan kepada seorang dramatis yang rapat dengannya sebelum ini. Malah Fasha turut mengakui perkara itu terjadi disebabkan satu masalah yang terlalu peribadi untuk dikongsikan.
Bagaimanapun ketika disogok sama ada dramatis dimaksudkan adalah Tiz Zaqyah, Fasha enggan menyelongkar apa yang tersembunyi.
“Saya tidak mahu menyebut namanya kerana pada perspektif sebagai wanita dan selebriti, saya masih waras untuk menghormati aib seseorang individu. Seperti saya katakan tadi, laman Twitter adalah hak peribadi dan saya bebas meluahkan apa saja yang terbuku di hati.
“Biar peminat atau sesiapa yang ingin tahu mengandaikan sendiri kerana jika saya buka mulut, ia mengundang lebih banyak spekulasi atau memburukkan lagi keadaan.
“Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan dan berakhir di sini saja kerana saya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada lapangan lakonan,” katanya. Meneliti luahan pada status Twitternya, Fasha menyebut mengenai kekasih hatinya yang diganti dengan istilah ‘My Love’.
Terlintas pula persoalan adakah ‘My Love’ merujuk kepada bekas suami dramatis Nora Danish, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali dengan sapaan Jejai. Bagaimanapun reaksi Fasha masih sama, enggan mengulas lanjut.
“Yang mampu saya perjelaskan, My Love yang tertera pada status Twitter adalah seseorang yang istimewa untuk hidup saya. Saya tidak mahu bercerita lanjut dan biar orang terdekat saja tahu siapa orangnya,” katanya.
Meminta pandangannya jika dramatis yang dimaksudkan datang memberi penjelasan atau memohon maaf, Fasha memberitahu, dramatis itu tidak perlu berbuat demikian kerana dari awal lagi dia memaafkannya selain ingin melupakan perkara itu.
Fasha juga menegaskan dia tidak memerlukan penjelasan daripada dramatis itu.
Selain kemelut yang berlaku, terselit pula nama seorang lagi aktres kelahiran Pulau Pinang, Almy Nadia yang kononnya turut menghadapi masalah sama seperti mana Fasha tahun lalu.
Bertemu pelakon yang juga kekasih kepada aktor yang popular menerusi drama rantaian, Nur Kasih iaitu Fizz Fairuz di lokasi penggambaran drama terbaru arahan Mawi berjudul Pak Nil Mak Kirim Salam di Taman Tun Dr Ismail itu bagaimanapun gagal mendapatkan kenyataan sahih kerana Almy tidak mahu perkara itu terus diperkatakan.
“Biar isu ini berlalu begitu saja dan saya tidak mahu mengulas lanjut. Ada benarnya apa ditulis Fasha pada status Twitternya, namun jujurnya saya enggan mengulas perkara itu,” katanya
No comments:
Post a Comment