Anak bongkar rahsia dibelasah
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/06/16
KUALA LUMPUR: Bapa Iblis! Itulah panggilan yang layak diberikan kepada seorang bapa apabila dipercayai tergamak mencabul kehormatan dua anak perempuannya, sejak setahun lalu.
Lebih teruk, lelaki terbabit sebelum ditahan memukul anak perempuan sulung daripada tiga beradik sehingga lebam di muka dan badan berikutan perbuatan jahatnya itu terbongkar, kelmarin. Lelaki berusia 53 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai mengambil kesempatan mencabul kehormatan anak bongsunya berusia 14 tahun ketika mangsa berseorangan di rumah. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang, sekitar Mei lalu.
Menurutnya, ketika itu anak perempuan bongsu suspek berada di rumah bersamanya manakala dua lagi kakaknya tiada. “Suspek mengambil kesempatan itu dengan mendekati mangsa seterusnya memulakan adegan jijik itu dengan mencumbui dan meraba seluruh tubuh anaknya,” katanya. Menurutnya, lelaki itu kemudian mengugut akan membelasah anaknya jika dia melaporkan kejadian itu kepada sesiapa. Bagaimanapun, katanya, kerana tidak tahan selalu menjadi pemuas nafsu serakah bapanya, budak perempuan itu membuat laporan polis dengan mendakwa sering dicabul sejak setahun lalu. “Apabila anak sulungnya berusia 16 tahun tahu mengenai perangai bapanya, lelaki itu memukulnya di muka dan badan,” katanya. Oleh itu, katanya, kedua-dua perempuan yang masih bersekolah itu membuat laporan polis terhadap bapa kandung mereka. Khairi berkata, anak sulung lelaki terbabit kelihatan lebam di muka dan dipercayai baru ‘dibelasah’ bapanya ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. “Kami masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan anak sulung lelaki itu juga mungkin dicabul kehormatannya,” katanya.
Khairi berkata, lelaki itu ditahan dan direman seminggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/506 kanun sama
No comments:
Post a Comment