Friday, February 24, 2012

DUNIA KIAN TERASA TIDAK AMAN...MANUSIA MELAKUKAN KERJA2 TANPA MEMPENDULI KESAN KEPADA ORANG LAIN....

Nurul Zakiah telefon keluarga

SAMER KHAN lelaki Pakistan yang didakwa membawa lari Nurul Zakiah pada 14 Februari lalu.


KUALA LUMPUR - Remaja hilang yang didakwa terkena ilmu pengasih Pakistan, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, telah menghubungi keluarganya kelmarin untuk menegaskan bahawa dia melarikan diri kerana ingin hidup berdikari.
Perkara itu disahkan oleh bapanya, Azman Saad, 51, yang turut memberitahu, Nurul Zakiah telah menghubunginya kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin untuk menyatakan perkara tersebut kepadanya.
Selain itu, dia memberitahu, anaknya itu turut merayu agar dia menarik semula laporan polis yang telah dibuat berkenaan kehilangannya sejak 14 Februari lalu.
"Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kekasihnya itu dan dia kini berhasrat untuk bekerja dan hidup sendiri," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan tentang ahli keluarga Nurul Zakiah yang merayu agar dia pulang selepas disyaki lari dari rumah kerana mengikut Samer Khan atau nama sebenarnya, Arsad Mohd., 20-an apabila cinta mereka mendapat tentangan keluarga.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting, Kuala Langat itu dikatakan telah terkena ilmu pengasih lelaki Pakistan tersebut hingga menyebabkan dia mula berbohong dan melawan cakap orang tua.
Mengulas lanjut, menurut Azman, walaupun hanya berbual selama seminit, dia berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit baharu anaknya.

Kereta terbabas rempuh rumah


AHMAD melihat kereta Toyota Camry yang terbalik selepas terbabas dan merempuh rumahnya di Taman Tiroi, Seremban malam semalam.


SEREMBAN - Sebuah kereta merempuh sebuah rumah di Taman Tiroi, Labu di sini malam semalam ketika penghuninya sedang solat Isyak.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya, Khairul Baiyinah, 11, terselamat.
Ahmad berkata, mereka terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum terdengar dentuman pada dinding bersebelahan bilik mereka solat.
"Anak saya menjerit ketakutan dan memeluk saya. Saya kemudian keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya dapati sebuah kereta Toyota Camry sudah terbalik dan orang ramai menolong mengeluarkan pemandunya yang cedera," katanya.
Ahmad berkata, dia kerugian hampir RM10,000 akibat dua buah motosikal, dinding rumah dan perkakasan dalam rumahnya rosak teruk.

Sijil cuti sakit palsu dijual RM25


MOKHTAR menunjukkan sijil cuti sakit palsu pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Rahsia seorang tauke kedai gambar yang kerap dikunjungi pelanggan yang bukan mahu mencuci gambar atau membuat salinan dokumen di kedai tersebut terbongkar apabila lelaki itu rupa-rupanya menjual sijil cuti sakit palsu.
Tembelang suspek berusia 36 tahun itu terdedah apabila polis membuat serbuan di sebuah kedai gambar di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pada 17 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedai gambar tersebut diserbu sepasukan anggota polis pada pukul 1.30 petang selepas mendapat maklumat awam yang curiga dengan kegiatan tauke kedai itu yang popular dengan ramai pelanggan.
"Pemeriksaan di kedai itu menemui 162 keping sijil cuti sakit palsu manakala sepuluh keping lagi sijil cuti sakit palsu itu berada di dalam poket seluar pemilik kedai gambar itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas 13 unit cop atas nama 13 orang doktor dari hospital kerajaan, tiga buah komputer, satu komputer riba, dua buah pencetak, dua keping disket serta peralatan-peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk membuat sijil cuti sakit palsu.
Kata Mokhtar lagi, siasatan mendapati di sebalik perniagaan menjual peralatan kamera dan perkhidmatan mencuci gambar serta perkhidmatan fotostat, kedai terbabit juga menjalankan aktiviti menjual sijil cuti sakit palsu sejak setahun lalu.
"Suspek dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu ini kepada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura dan sekitar Johor Bahru.
"Harga setiap keping sijil cuti sakit palsu itu dijual pada harga RM25," jelas beliau lagi.
Mengenai modus operandi suspek, beliau memberitahu, 'pesakit' yang datang ke kedai gambar itu hanya perlu membayar RM25 untuk mendapatkan sekeping sijil cuti sakit palsu.

Penyamun Geng Enam Jari tumpas

KAJANG – Kegiatan jahat sekumpulan penjenayah bergelar ‘Geng Enam Jari’ yang aktif melakukan pecah rumah di kawasan Semenyih dan Rinching sejak setahun lalu berkubur apabila lima anggota kumpulan itu termasuk ketuanya yang memiliki enam jari diberkas baru-baru ini.
Lima suspek termasuk seorang wanita yang berusia antara 28 dan 36 tahun terbabit ditahan di dua lokasi di Semenyih dan Rinching pada 13 Februari lalu.
Dalam serbuan pertama pada pukul 3 pagi, polis menyerbu sebuah hotel bajet di Jalan Semenyih di sini dan menahan empat suspek termasuk sepasang kekasih di dalam sebuah bilik di hotel tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pemeriksaan di dalam bilik hotel itu, polis menemui pelbagai senjata seperti lima bilah pisau lipat, sebilah parang, tukul besi, pemotong besi, kayu besbol dan pistol mainan.
“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga berwarna perak, kunci kenderaan dan allen key yang telah diubah suai,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, susulan penahanan itu, polis menangkap seorang lagi suspek lelaki di kawasan Rinching di sini dan merampas sarung tangan dan topeng.

50 maut letupan bom di Iraq

SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta di lokasi kejadian letupan bom di bandar Kirkuk semalam.


BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 50 orang maut semalam ekoran satu siri serangan bom bertubi-tubi di sebuah wilayah di Iraq dengan sasaran terhadap pasukan keselamatan yang kemungkinan dilakukan oleh militan Al-Qaeda untuk menghuru-harakan negara.
Pengeboman yang terancang dan tembakan secara terbuka yang berlaku lebih dua jam setengah di Baghdad yang menyebabkan berlaku banyak kematian selain di 11 buah bandar lain.
Para militan itu telah menyerang pejabat-pejabat pentadbiran, restoran dan satu serangan di pekan Musayyib berdekatan sebuah sekolah mengakibatkan lebih 200 orang cedera.
"Apa yang berlaku pada hari ini bukan pelanggaran keselamatan yang mudah, ia merupakan kegagalan keselamatan dan bencana yang besar," kata seorang pekerja sebuah pejabat Kementerian Pelajaran di Shiite, Ahmed al-Tamimi.
Ahmed turut menggambarkan situasi itu sangat buruk yang melibatkan cebisan daging manusia dan tompokan darah di tempat kejadian.
"Kami mahu tahu apa yang dilakukan oleh beribu-ribu anggota polis dan tentera di Baghdad pada hari ini ketika pengganas-pengganas berkeliaran di bandar dan melakukan keganasan," katanya.
Siri serangan besar-besaran oleh para pembrontak berlaku sejak tentera Amerika Syarikat meninggalkan Iraq pada pertengahan Disember lalu setelah peperangan hampir 10 tahun berakhir di negara ini. - Agensi

Nelayan tangkap udang karang gergasi


AIMEE HAYDEN-Rodriques memegang udang karang gergasi yang ditangkap oleh Robert Malone pada 17 Februari lalu.


ROCKLAND, Amerika Syarikat - Seekor udang karang gergasi telah ditangkap di luar perairan pantai Maine dekat sini tetapi ia tidak akan dimasak untuk dijadikan makanan.
Pengarah Akuarium Negeri Maine, Aimee Hayden-Rodriques menyatakan seorang nelayan yang menangkap udang, Robert Malone menangkap udang karang gergasi itu pada Jumaat lalu.
Dia kemudian memberikan udang itu kepada Jabatan Sumber Marin untuk dihantar ke Akuarium Negeri Maine.
Udang karang itu sepanjang hampir 101.6 sentimeter dan seberat 12.3 kilogram.
Haiwan itu diberi nama Rocky kerana ia ditangkap di kawasan berbatu.
Namun, menurut Hayden-Rodriques, udang karang tersebut perlu diberi nama petinju Rocky kerana penyepitnya yang besar mencukupi untuk memberikan pukulan.
Dia berkata, udang karang itu akan dilepaskan ke lautan kerana ia akan menjalani kehidupan yang lebih baik dalam habitat liar. - Agensi

No comments:

Post a Comment