Thursday, April 26, 2012

HANYA ALLAH YANG TAHU...APA YANG BERLAKU...NAFI DAN TERUS NAFI

Nor Ain dibunuh dua minggu lalu

Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki.


KOTA BHARU – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.
“Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.
Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.
Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.
Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.
Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain.

Saya bukan isteri menteri – Zahida




KUALA LUMPUR – Pelakon Zahida Mohamed Rafik (gambar) menegaskan sehingga kini beliau masih lagi solo, belum mendirikan rumah tangga dengan mana-mana lelaki termasuk dengan seorang menteri yang dikaitkan dengan dirinya berhubung pemberian wang sebanyak RM1.5 juta.
Dalam penampilan pertamanya di khalayak bagi menjelaskan isu itu, Zahida, 37, menarik perhatian bahawa segala kisah yang tersebar sejak kebelakangan ini yang mengaitkan beliau dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal adalah fitnah semata-mata.
“Sebelum ini, saya pernah terserempak dengan beliau (Mohd. Shafie) ketika hadir ke beberapa buah majlis, tetapi saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya cuma tahu beliau seorang menteri.
“Lagipun desas-desus yang mengatakan saya sudah berumah tangga dengan beliau juga tidak benar kerana sampai sekarang saya masih solo. Saya anggap apa yang berlaku ini cuma gosip yang menjadi lumrah kepada kehidupan seorang artis,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran aksesori Nur Of Alexandria di sini semalam.
Zahida sendiri hairan apabila namanya telah dikaitkan dengan kontroversi tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia turut bermotifkan politik.

Wanita terlepas hukuman mati


ROSMAWATI semasa dijatuhi hukuman gantung atas tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan pada Ogos 2009.


PUTRAJAYA – Seorang wanita Thailand terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana mengedar 865.8 gram kanabis, sembilan tahun lepas.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai panel lima anggota bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Rosmawati Che Ngah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya kerana memiliki dadah itu.
Wanita berusia 34 tahun dari Sungai Golok, selatan Thailand, hanya perlu menghabiskan hukuman penjara lapan bulan lagi berikutan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2003.
Dalam penghakimannya, Hakim Malanjum berkata, mahkamah mendapati sabitan mengedar dadah terhadap wanita itu tidak selamat ekoran wujud keraguan berhubung pengetahuan tertuduh mengenai dadah itu yang semata-mata berdasarkan kelakuannya.
Beliau juga berkata, malang bagi kes pendakwaan apabila pihak pendakwaan gagal menawarkan Dak Sak Che Moh, seorang warga Thailand kepada pihak pembelaan sebagai saksi.

Keluarga yakin Mohd. Nazaruddin masih hidup


SITI HAMIDAH bersama suaminya, Saidin Aziz, 65, merebus kerang untuk persiapan berniaga nasi lemak di Sungai Buloh semalam.


KUALA LUMPUR – Keluarga kepada rakyat Malaysia, yang diculik di kepulauan Jolo, Filipina oleh kumpulan penjenayah Abu Sayyaf sejak Mei tahun lalu yakin Mohd. Nazaruddin Saidin, 39, masih hidup.
Ibu mangsa, Siti Hamdah Ahmad, 61, berkata, beliau percaya anak lelakinya itu masih selamat kerana berpeluang berkomunikasi dengan Mohd. Nazaruddin melalui panggilan telefon kira-kira dua bulan lalu.
“Mohd. Nazaruddin sempat menghubungi kami dan beritahu dia selamat,” katanya ketika ditemui di Sungai Buloh semalam.
Nazarudin, bapa kepada enam orang anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina pada 8 Mei tahun lalu bagi menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di negara tersebut.

Pendawai elektrik dituduh bunuh guru


SEORANG anggota polis membawa Sritharan yang dituduh membunuh seorang guru ke Mahkamah Majistret Selayang semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pendawai elektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang guru wanita yang menunggu bas dengan menyimbah asid ke tubuh mangsa selepas meragut rantai emasnya pada bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, N. Sritharan, 19, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.
Sritharan didakwa bersama seorang lagi rakan yang masih bebas membunuh S. Usharani, 47, di perhentian bas PKNS, Batu 17, Jalan Ipoh, Rawang di sini pada pukul 7 pagi, 27 Mac 2012.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Abd. Raheem Aliyas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Guru rugi RM3,550 ditipu kenalan Internet


WONG menunjukkan gambar Adrian yang dirakam melalui web perbualan secara dalam talian kepada Chong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM3,550 ekoran terpedaya dengan seorang lelaki yang baru dikenali selama dua minggu yang turut mengaku meminatinya.
Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 36, berkata, dia mengenali lelaki tersebut, Adrian Steve yang mendakwa dirinya sebagai peniaga berbangsa British melalui laman web www.badoo.com pada awal April lalu.
“Adrian pernah meluahkan perasaannya serta melamar saya seminggu selepas kami saling berkenalan.
“Namun saya tidak menerima lamarannya dan hanya mahu berkawan memandangkan saya tidak pernah bersemuka dengannya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.
Jelasnya, selama ini, mereka hanya berhubung melalui kamera web dan telefon namun lelaki terbabit masih tidak berputus asa memujuknya untuk menerima lamaran itu.
“Pada 19 April lalu, Adrian memberitahu, dia akan menghantar satu bungkusan yang mengandungi wang sebanyak AS$3,000 (RM9,186) dan beberapa barang kemas sebagai tanda cinta dia terhadap saya.

Ikan paus kelabu ditemui mati


GAMBAR menunjukkan mulut ikan paus itu.


PULAU CAMANO, Amerika Syarikat - Seekor ikan paus kelabu ditemui mati terdampar di sini kelmarin.
Pemeriksaan awal mendapati haiwan itu mati bukan disebabkan trauma.
Beberapa serpihan ditemui dalam perut ikan tersebut termasuk sebiji bola golf namun ia bukan penyebab kematian haiwan berkenaan.
Ikan paus jantan itu sepanjang 11.27 meter. - Agens

No comments:

Post a Comment