Saturday, June 16, 2012

USTAZ YAHYA OTHMAN YANG DIKAGUMI

Murabbi Pas, meninggal dunia
Wartawan Sinar Harian
15 Jun 2012
MACHANG - Tokoh dakwah yang disegani, Datuk Yahya Othman, 73, meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang di rumahnya, di Kampung Labok, di sini, semalam.

Selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggol Judah, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama, ahli jawatan kuasa Pas Pusat dan ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Pas Machang selama kira-kira 20 tahun.

Di dalam kerjayanya pula, beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihan raya tahun 1978.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan jam 9 pagi ini di Tanah Perkuburan Labok.
Perginya seorang Murabbi
Wartawan Sinar Harian
16 Jun 2012
Perginya seorang Murabbi
Keluarga, sahabat handai dan orang ramai mengusung jenazah Allahyarham ke Tanah Perkuburan Labok.
Perginya seorang Murabbi
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan.
MACHANG - Kehilangan murabbi dan juga tokoh dakwah disegani, Datuk Yahya Othman yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang kelmarin ditangisi ahli keluarga, rakan taulan dan seluruh rakyat Kelantan amnya.
Di kala khidmat dan ilmunya masih ditagih, Allahyarham menyahut panggilan ALLAH akibat sakit tua.
Namun, beliau sempat meninggalkan pesanan terakhir kepada anaknya agar menyumbangkan sebahagian hasil jualan kitab dan buku-buku susunannya kepada anak-anak yatim.
Difahamkan pada saat-saat akhirnya, Allahyarham masih menyusun helaian-helaian terakhir susunan Kitab Hierarki Perjuangan dan berjaya menyiapkannya.
Khidmat dan sumbangan
MENYOROT khidmat dan bakti beliau, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama (pernah menyandang jawatan setiausaha pertama majlis) selain pernah menjadi ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dan AJK Dewan Ulama Pas Pusat.
Malah beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Machang selama kira-kira 20 tahun.
Menyingkap kerjayanya pula, beliau menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihan raya tahun 1978.
Dikenali sebagai seorang pendidik, beliau juga merupakan Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (Kias), pengasas Maahad Dakwah wa-Imamah, selain pengasas
dan pengarah Institut al-Nur.
Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiah Islamiyyah.
Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan ahli-ahli Pas yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya)
dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.
Pas sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi (Pendidik dan Pembimbing) Pas sepanjang zaman.
Kehilangan besar
JENAZAH Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 10 pagi semalam di Tanah Perkuburan Labok selepas solat jenazah yang disertai hampir 1,000 jemaah dan diimamkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Ustaz Yahya sebagai seorang yang banyak berjasa. Beliau berkata, Ustaz Yahya merupakan seorang kawan dan
guru yang banyak berjasa dalam memperkasakan tarbiah ahli-ahli Pas dan mendambakan diri sejak sekian lama kepada tugas itu.
“Sama ada ketika berjawatan di dalam parti, daripada Dewan Ulama kepada Ahli Majlis Syura Ulama dan juga sebagai Exco Kerajaan Negeri di awal pemerintahan Pas ataupun setelah tiada jawatan di dalam jemaah, beliau meneruskan tugasnya dengan penuh gigih.
“Semoga ALLAH SWT memberi ganjaran yang besar kepada Allahyarham dan kegigihannya menjadi ikutan kepada pendukung Pas dan ditempatkan beliau bersama orang soleh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Nik Abdul Aziz pula menyifatkan kehilangan itu satu kehilangan besar kepada Pas dan kepimpinan ulama serta seluruh rakyat Kelantan.
Katanya, Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada perjuangan mendaulatkan Islam terutamanya dalam aspek pentarbiahan.

Ribuan iringi perjalanan akhir Ustaz Yahya

Aslani M | Foto Yusri Amin, 15 Jun 2012


MACHANG: Ribuan rakyat Kelantan mengiringi perjalanan akhir bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, almarhum Datuk Ustaz Yahya Othman, 73 di Kampung Labok pagi tadi.

Sejak pagi lagi orang ramai datang bagi merakamkan ucapan takziah sambil menunggu menunaikan solat jenazah. Di kiri kanan jalan sesak dengan kenderaan.

Turut hadir Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan, Datuk Abu Bakar Chik dan wakil-wakil rakyat serta pegawai kerajaan.

Solat ke atas jenazahnya kali pertama diadakan kira-kira jam 8.30 pagi di rumahnya diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud.

Rumahnya terletak tidak jauh daripada Masjid Labok, kemudian solat kali kedua diadakan di masjid diimamkan Menteri Besar.

Ramai terpaksa menunaikan solat di luar bangunan masjid kerana sesak. Jenazahnya kemudian diusung ke tanah perkuburan Islam yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berjalan kaki mengiringi jenazah bersama orang ramai.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Habshah Hussin Rahimin dan empat anak iaitu Dr Salwa, Najwa (guru), Suraya dan Nidana (pensyarah).

Anak saudaranya, Kamaruddin Omar, 56 berkata, petang semalam Allahyarham memanggil seorang pembantunya, Ustaz Rosli Ismail bagi menulis kata-kata akhir bagi menyiapkan bukunya yang sedang dikarang.

“Ustaz memanggil Rosli untuk menulis kata-kata akhir, pesan dan wasiatnya. Tidak lama selepas selesai memberi pesanan beliau tiba-tiba menghempus nafas terakhir.

"Turut berada di sisinya ketika itu, isteri dan anaknya Suraya yang tinggal bersama di rumah,” katanya yang menyifatkan perjalanan akhir bapa saudaranya begitu mudah.

Empat buku terakhir yang sudah dicetak juga kelihatan diletak di kawasan masjid antaranya Sebahagian Taujid Tarbiah Gerakan Islam dan Himpunan kertas kerja tarbiah.

Menteri Besar ketika takzirah ringkas berkata, Allahyarham Ustaz Yahya seorang yang banyak berjasa kepada Islam sama ada di Kelantan dan Malaysia.

“Di atas dunia sekarang kita boleh buat apa sahaja, tetapi kena ingat ada pembalasan di akhirat kelak. Ahli ekonomi, ahli demonkrasi tidak pernah memberitahu apa yang akan berlaku selepas mati,” katanya.

Turut merakam ucapan takziah Ikhwanul Muslimin Mesir melalui laman webnya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman menyifatkan Allahyarham seorang idola bagi anak muda dan kehilangannya sukar dicari ganti.

Ustaz Yahya: Pejuang, murabbi, guru dan sahabat

Saifuddin Nasution Ismail, 15 Jun 2012
Saya mula mengenali Ustaz Yahya Osman ketika menjadi mahasiswa di UPM tahun 1980an. Ustaz Yahya seringkali hadir sebagai pembentang kertas kerja dalam program-program tamrin kampus. Wataknya yang lemah lembut, penyampaian dan kupasan yang padat dan sarat dengan mesej perjuangan, keupayaan mengaitkan dengan perkembangan dan realiti politik semasa, menjadikan sesi beliau sentiasa dinantikan. Pesannya prinsip perjuangan biar teguh dan kekal namun pendekatannya boleh sahaja berubah. Impak dan kesannya kepada mahasiswa yang diasuh dan dibimbingnya amat luar biasa.

Pada awal 1994 ketika itu Ustaz Yahya Osman menjadi Exco Kerajaan Kelantan. Kelantan baru sahaja meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan perdebatan tentangnya cukup panas dan meluas. Saya pula bertugas sebagai Setiausaha Politik Menteri Undang-Undang Dato Syed Hamid Syed Jaafar Albar. Ustaz Yahya Osman menghubungi saya minta diaturkan pertemuan dengan menteri untuk maksud menyampaikan isi kandung enakmen tersebut. Ustaz Yahya memilih pendekatan bersemuka dan menerangkan setiap fasal demi fasal darihal enakmen tersebut kepada menteri dan pegawai-pegawai tinggi kementerian ketika itu. Saya akan sentiasa mengingati bagaimana Ustaz Yahya yang mengetuai delegasi tujuh orang mewakili kerajaan negeri Kelantan, menyampaikan penerangan dengan penuh hikmah dan menjawab persoalan yang ditimbulkan dengan tenang dan meyakinkan. Nampak kehebatan dan wibawanya sebagai seorang da’ie, berhujah berdasarkan ilmu dan melihat orang yang belum faham sebagai sasaran dakwah. Dato Syed Hamid Syed Jaafar Albar kemudiannya menulis sebuah makalah ringkas “Keadilan di dalam Islam” dan kandungannya banyak berupa sedutan pandangan-pandangan Ustaz Yahya Osman!

Empat belas tahun kemudian, 2006 saya bertugas sebagai pengurus Tabung Amanah Tok Kenali kerajaan negeri Kelantan. Fungsi utama Tabung Amanah Tok Kenali seperti disebut di dalam undang-undang tubuhnya “ ..menjalankan program-program pembangunan sumber manusia”. Orang pertama saya temui ialah Ustaz Yahya Osman untuk meminta pandangan. Ustaz Yahya Osman seterusnya menjadi tenaga utama dalam program-program latihan anjuran Tabung Amanah Tok Kenali membabitkan pelbagai segmen masyarakat Kelantan sepanjang 2006 dan 2007. Setiap minggu – penghulu, imam, belia, mahasiswa, ahli-ahli majlis, pimpinan masyarakat dihimpunkan dalam program tiga hari dua malam di Lata Belatan Besut, Kem Desa Mahmud, MADU dan Putik. Ustaz Yahya Osman menjadi tenaga pembimbing utama. Nasihat, asuhan dan tegurannya kepada saya secara peribadi akan terus meninggalkan kesan besar terhadap saya.

Apabila nama saya diumumkan sebagai calon parlimen machang pada Mac 2008, Ustaz Yahya Osman sendiri mengadakan satu majlis di rumahnya di Labok Machang menghimpunkan semua pimpinan parti dan masyarakat untuk memperkenalkan saya sebagai anak didiknya yang diasuh sejak zaman pelajar dan meminta kalangan yang hadir bekerja  membantu memenangkan saya. Seringkali apabila berkunjung ke rumahnya ada sahaja buku terbaru yang diberikannya kepada saya. Makalah kecil “Pesanan Saidina Ali” antara rujukan utama pemberian Ustaz Yahya Osman. Tatkala menziarahi beliau sejurus saya selesai menyampaikan pembentangan kepada tamrin mahasiswa di Darul Quran, beberapa bulan lepas, Ustaz Yahya Osman memberitahu hasratnya menulis buku berupa kompilasi kertas-kertas kerjanya. Tidak pula saya ketahui sama ada hasratnya terlaksana!

Satu ketika awal tahun 2009 saat menemani Dato Seri Anwar ke Mesir menziarahi Sheikh Mehdi Akif, saya diperkenalkan oleh Dato Seri Anwar kepada Sheikh Mehdi sebagai Ahli Parlimen dari Kelantan. Masih saya ingat tatkala Sheikh Mehdi kemudian bertanya balas, “saudara datang dari Kelantan? Apa khabar sahabat saya Ustaz Yahya Osman?” Sheikh Mehdi kemudian menceritakan bagaimana mereka ketika usia belia saling mengenali dan bergiat aktif memperjuangkan isu-isu umat Islam dalam pelbagai platform belia Islam antarabangsa. Maka fahamlah saya mengapa Ustaz Yahya Osman muncul sebagai seorang pendakwah dan murobbi yang sangat dihormati kewibawaanya. Kenalan, jaringan antarabangsa dan digabungkan pula dengan pengalaman gerakan Islam adalah ramuan nya.

Kelebihan tersendiri Ustaz Yahya Osman ialah penguasaan beliau dalam bahasa Arab. Dato Seri Anwar sering berseloroh bagaimana Ustaz Yahya Osman kalau berbicara dalam bahasa Melayu sekalipun lebih banyak tersasul dan mencampuradukkan dengan istilah-istilah Arab!

Saat saya menulis catatan ringkas ini, Dato Seri Anwar Ibrahim sedang berada di Jepun. Saya mengirim email kepada beliau memaklumkan berita kematian Ustaz Yahya Osman. Saya cukup pasti Dato Seri Anwar amat merasai kehilangan seorang sahabat yang  beliau kasehi. Saya pula akan terus mengingati Ustaz Yahya Osman sebagai seorang guru, murobbi dan sahabat yang bertanggung jawab besar membentuk pandangan dan pemikiran saya. Semoga rohnya ditempatkankan Allah swt bersama roh orang–orang yang beriman. Amin.


Penulis ialah Ahli Parlimen Machang dan Setiausaha Agung PKR.

Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Amran Ab Ghani berkata, Ustaz Yahya begitu dikenali dalam gerakan Islam di peringkat dunia.

“Biar pun saya tidak kenal rapat namun banyak mendengar cerita keilmuan yang ada pada Ustaz Yahya. Lagi pula mertua saya mempunyai hubungan keluarga,” ujarnya.

Bekas Presiden Abim, Dr Yusri Muhamad berkata, pemimpin muda Abim begitu menghormati ketokohannya kerana disiplin ilmu tarbiah yang begitu mantap.

Menurutnya, Allahyarham sangat rapat dengan pemimin Ikhwan Muslimin di Mesir sejak menuntut di negara terbabit.

Ustaz Yahya: Murabbi tak pernah lelah mendidik

Riduan Mohamad Nor, 15 Jun 2012
Langit petang ini seperti rawan berduka, awan mengarak berita yang memeritkan sukma seperti petir membelah langit. Segalanya seperti kebetulan mengapa beberapa hari ini saya merasa begitu teringatkan Ustaz Yahya Othman terutama janji untuk menyusun kertas kerja tarbiah yang puluhan atau ratusan yang ditulis almarhum. Petang menjelang jumaat yang berkat ini, saya  bersama Dr Supyan membelek foto-foto lama program MISNA yang diadakan pada tahun 1991. ”Wah, Ustaz Yahya masih muda bertenaga” kata saya teruja pada teman apabila melihat Ustaz Yahya yang kelihatan merenung para peserta program musim sejuk anjuran MISNA. Bersebelahnya ialah almarhum Ustaz Fadhil Noor yang juga kelihatan masih bertenaga. Berselang sejam lebih selepas itu, teman saya wartawan Harakah, Nazri menelepon dengan suara cemas “Ustaz Yahya telah dijemput untuk berkelana ke alam abadi”. Airmata terasa deras mengalir kerana tokoh murabbi PAS ini  sangat tidak asing dengan program tajnid (pembinaan kader-kader dakwah PAS).  Anak muda aktivis gerakan Islam negara ini rasanya semua mengenali dengan dekat  sesepuh besi khursani tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan pernah diasuh secara sistematis  oleh Ikhwanul Muslimin.

Beliau mewakafkan diri untuk perjuangan Islam semenjak zaman muda sehinggalah tubuhnya mula disengat penyakit namun masih tidak menguzurkan diri di medan amal Islami. Kertas kerja tarbiah Ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwanul Muslimin  yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim thaghut Mesir. Jika menziarahi bumi Jordan, biasanya Dr Muhammad Said Hawwa (anak Sheikh Said Hawwa) akan menjemput beliau di lapangan terbang. Beliau mempunyai kenangan kolektif bersama Sheikh Said Hawwa dan tokoh-tokoh besar Ikhwan yang terbuang di merata tempat, termasuk akrab dengan Dr Kamal Helbawi dan Dr Mehdi Akif.

Ustaz Yahya mendapat pendidikan di Mekah, antara pelajar genius yang disayangi oleh guru-guru di Masjidil Haram, beliau menyambung pengajian di Iraq seterusnya di Universiti al Azhar sehingga  mendapat MA (Sarjana). Beliau sangat menyintai dunia pendidikan, sehingga jasanya ada di belakang penubuhan YPTIK, Maahad Tahfiz Pulai Condong, KIAS, Kolej An Nur, Maahad Darul Quran Machang dan pelbagai institusi pendidikan Islam di Kelantan bahkan negara ini. Akses beliau dengan Universiti al Azhar begitu sekali baik, ini adalah kerana latarbelakang pendidikan dan jaringan yang dimiliki oleh beliau ketika aktif di dalam gerakan belia Islam antarabangsa. Tidak pelik jika apabila PAS memenangi Kelantan pada tahun 1990, beliau diamanahkan sebagai exco Pendidikan negeri Kelantan. Beliau menjadi ADUN Banggol Judah dan pernah bertanding di Parlimen Pasir Puteh pada tahun 1978.

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah, memesrai anak muda supaya menjadi amilin yang menyambung risalah perjuangan Islam. Dirinya adalah mercu keteladanan kepada kita kerana kata-katanya dibenarkan dengan tindakan dan amalan, beliau bergulat dengan perjuangan secara serius semenjak tahun 70an lagi. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai exco WAMY serta ahli majlis Syura ABIM saat ABIM adalah gerakan simbiosis kepada PAS dalam dekad 70an. Almarhum juga adalah tokoh ulama PAS Pusat yang juga begitu akrab dengan tokoh-tokoh besar Ikhwanul Muslimin. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz Yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Saat itu, kesan daripada percikan kebangkitan Islam, negara dahagakan sentuhan ulama-ulama haraki dan beliau sebaris namanya dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Wan Mustapha Rusdi, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar dan nama-nama besar lain penggerak tarbawi. Tidak menjadi rahsia bahawa kesan daripada tarbiah beliau kepada ahli PAS terutama pemuda PAS di penghujung dekad 1970an dan awal 80an, akhirnya berlaku transformasi kepimpinan pada tahun 1982 yang dikenali sebagai kepimpinan ulama.

Almarhum bukan sahaja menjadi tenaga pengisi penting untuk program pelajar dan pemuda dalam negara tetapi juga sentiasa diundang ke luar negara termasuk di United kingdom dan US. Perawakan lembut tetapi tegas, hujjahnya sentiasa disepuh ayat-ayat Allah dan hadith Nabi SAW. Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dan meranum hijau dengan usrah, tamrin, daurah, jaulah, ijtimak dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau. Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.  Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu membuncah ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak di atas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong. Almarhum juga di belakang penubuhan ILHAM dan juga menggerakkannya.

Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan almarhum, bahkan akan terus merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan utama yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda khususnya. Beliau sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh di hadapan beliau semasa program seolah didera dalam penjara Guantanamo atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya. Wajahnya sebening air yang membersit cahaya tetapi ketegasannya menggerunkan.

“Ayat apa tadi akhi? surah apa ana sebut tadi?” Tanya sang murabbi dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid. Tak berkutik, semua tunduk seolah tak mendengar soalan ustaz. Dia tak mengalah, terus mengasak peserta. Dada bergelombang turun naik, bimbang diterjah soalan daripada beliau.

“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, peserta  akan menunduk dan menikus  seperti tikus disimbah dengan air sirap bandung. Tak berkutik.

“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?”  Tanya sang Murabbi dengan tatapan tajam di sebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah ‘kopi janda’.  Saya juga, walaupun sebagai  panitia program, turut merasa  kecut perut seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi atau melintasi jirat Cina yang baru menyimpan mayat gadis mati membunuh diri. Semua diam, tenang dalam ketakutan yang cukup payah diungkap dengan lukisan kata-kata. Hormat dan gerun, sekaligus merasa bersalah kerana tidak serius mencatat.

“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, bibirnya kelat menelan air liur. Lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.

“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam,” kata sang murabbi dengan lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat. Di akhir program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang dihidangkan bersama peserta tamrin tanpa omelan. Keakraban beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.

Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan, meredah kawasan yang paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, Ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin. Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah keutamaan. Selepas melepaskan jawatan Eksekutif dalam kerajaan negeri, belia masih di papan carta utama program tarbiah termasuk penglibatannya dalam Lujnah Tarbiah Pusat dan murabbi tarbiah jamaah.

“Mula pukul berapa akhi program ni…” Tanya almarhum Ustaz Yahya pada saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal untuk mendisiplinkan peserta. Apa pun teguran yang diberi, saya dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan, terakam indah dalam lipatan ingatan kolektif kita semua.

Dalam program Ijtimak Tarbawi yang berlangsung di Masjid Rusila dua tahun lepas, ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali sosok ini namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan. Kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh. Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang tekun mendengar. Suaranya bergetar sayu sebelum berpamitan dengan peserta, matanya melihat dengan penuh bahagia kepada seluruh peserta Ijtimak Tarbawi.

“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu” ujarnya tegas, matanya berkaca menatap peserta. Dia seperti disihir untuk tidak meninggalkan majlis yang baginya menghimpunkan anak-anak didiknya dari seluruh negara. Usai beliau memberi pengisian, tubuhnya yang uzur masih melekat di kerusi khas di belakang pentas. Matanya memerhati dengan penuh teruja ke arah anak muda yang jumlahnya ribuan orang dan dia dengan tekun menangkap butiran yang disampaikan oleh penceramah-penceramah lain. Dalam keadaan uzur serta jauh lebih berilmu dan berpengalaman, beliau masih mendengar dan ditarbiah. Inilah watak keikhlasan sang murabbi yang sukar dicari ganti pada hari ini.

“Nama apa ustazah yang bercakap tu?” Tanya ustaz Yahya perlahan, cuba mengingat sesuatu. “Oohh, Dr Asiah Ali…Pengerusi tarbiah Muslimat” jawab saya. Ustaz tekun menangkap butiran yang keluar daripada mulut penceramah. Ustaz Asri Daud, sekali sekala melayan pertanyaan Ustaz Yahya, yang tergambar sangat bahagia pada hari itu. Sesekali dia membetulkan duduknya pada kerusi khas yang kami sediakan.

Sukarnya untuk melupakan jasa  Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam, juga kepada kita semua di dalam harakatul ummah ini. Hari ini dan seterusnya kita akan merindui sang murabbi ini, suara lirihnya juga tatapan mata bahagia dalam program tarbiah. Nuansa sentiasa  untuk mengukuhkan jamaah yang kita cintai, kerana kita dan almarhum menjiwai setulusnya bahawa tarbiah adalah tunjang kekuatan perjuangan. Gagah dan konsistennya harakatul ummah pada hari ini ialah kerana tarbiah yang berterusan untuk para pendokongnya. Kita ahli-ahli PAS  tidak akan menjadi pahlawan kesiangan yang sarat dengan mimpi-mimpi indah untuk merengkuh Putrajaya namun mengambil mudah dan culas dengan program tarbiah.

Selamat  berehat buat sang Murabbi, demi Tuhan, kami adalah saksi mata bagaimana gigihnya dirimu membina dan mengisi dada kami. Bergerak menyambangi seluruh belahan negara ini untuk berdakwah dan membina para duat dan amilin. Kami berjanji untuk meneruskan jalan dakwah ini dan memastikan harakatul ummah ini terus berada di orbit perjuangan Islam walaupun kami tahu betapa rindunya kami pada sebuah kerusi kosong di medan tarbawi yang biasanya, menyandar tubuh kurus namun sarat dengan kata-kata inspiratif yang meluncur daripada sumur akalmu yang jernih. Alfatihah.

Penulis adalah Ketua Penerangan dan dakwah DPP Malaysia dan mantan Ketua Pemuda PAS WP.

Ustaz Yahya: Dewan Ulamak PAS rakam takziah

Harakahdaily, 15 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Allahyarham Datuk Ustaz Yahya Othman, 76, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang semalam di kediamannya di Kampung Labok, Machang, Kelantan.
Dewan Ulamak PAS Pusat dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian allahyarham sebagai satu kehilangan besar tokoh murabbi dan pendakwah tanahair yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan dan kemajuan Islam tanahair.

Dewan Ulamak PAS mendoakan agar roh beliau ditempatkan bersama-sama para anbia, para sahabat dan para solihin di atas sumbangan beliau selama ini kepada umat Islam.

Ustaz Yahya Othman sangat berjasa

Kita baru sahaja mendapat khabar pemergian, Al Murabbi Ustaz Yahaya Othman, Mantan Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Sesungguhnya berita ini amat mengejutkan kami pimpinan dan ahli-ahli Parti Islam Se-Malaysia PAS.

Beliau pergi dikala jamaah amat memerlukan khidmat beliau.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia PAS, kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh kenalan serta muridnya diatas pemergian tersebut.

Ustaz Yahya Othman merupakan kawan dan guru yang berjasa besar di dalam memperkasakan tarbiah ahli-ahli PAS dan mendambakan diri sejak sekian lama kepada tugas-tugas tersebut.
Samada ketika berjawatan didalam parti, daripada Dewan Ulama kepada Ahli Majlis Syura Ulama dan juga sebagai exco kerajaaan negeri Kelantan diawal pemerintahan PAS ataupun setelah tiada jawatan didalam jemaah, beliau meneruskan tugasnya dengan penuh gigih.

Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada almarhum dan kegigihannya menjadi ikutan kepada pendokong-pendokong PAS dan ditempatkan beliau bersama orang yang soleh.
Kepada keluarga dan sahabat handai, kita doakan diberi kesabaran oleh Allah SWT.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

 

1 comment:

  1. assalamualaikum... asiff jiddan... skiranya ana mngganggu akhi pnulis.. ana ingin bertanya buku apakah yg dikarang oleh Almarhum tok guru yahya yg di jual di ijtima' tarbawi di melewar tempoh hari? ana inin mndapatkannya.. kata ustaz ana tajuknya lebh kurang Tunang Tarbiyah.. betulkn jika ana salah.. ana cuma ingin dapatkan tajuk sebenar.. terima kasih..

    ReplyDelete