Friday, February 18, 2011

BILA ZINA..ROGOL..RAGUT..BUNUH...KEMALANGAN JALAN RAYA..BUANG BAYI..EDAR DADAH..CURI...PELACUR..GRO...MEMENUHI DIDADA2 AKHBAR....TIADAKAH USAHA BERSUNGGUH2 UNTUK LAKSANAKAN HUKUM ALLAS SWT......

Bapa didakwa bunuh bayi perempuan berusia 10 hari



KUALA LUMPUR: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh bayi perempuannya berusia 10 hari dengan menanam bayi itu dalam lubang yang baru digali di belakang rumah, lima hari lalu.
Pertuduhan dibacakan terhadap Muhammad Rafiq Suresh Abdullah, di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin, namun tiada pengakuan direkodkan daripada bapa anak lima itu.

Muhammad Rafiq, 38, seorang penganggur didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 1, Jalan Kepong Batu 6 3/4, Jinjang, di sini, antara jam 11 pagi dan 6 petang, 13 Februari lalu. Tertuduh yang juga penganggur, dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan sehingga sebutan semula kes pada 18 April.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.-Bernama

Dua nyaris dihempap pokok



ALIH...anggota bomba mengalihkan pokok tumbang di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, malam tadi.
ALIH...anggota bomba mengalihkan pokok tumbang di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, malam tadi.
BANJIR...beberapa kenderaan meredah banjir di Jalan Universiti.
BANJIR...beberapa kenderaan meredah banjir di Jalan Universiti.
PETALING JAYA: Dua lelaki bermotosikal nyaris maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dihempap pokok besar dalam kejadian ribut di susur keluar Jalan Gasing berdekatan Lebuhraya Persekutuan, di sini, petang semalam.
Nasib menyebelahi mereka apabila sempat mengelak dan hanya dihempap ranting kecil pokok berkenaan sebelum orang ramai menghantar mereka ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, angin kencang menyebabkan beberapa pokok dan papan tanda sekitar Seksyen 5 dan kawasan berdekatan termasuk di dalam kawasan Universiti Malaya tumbang dan menghalang laluan.

Saksi kejadian, pekerja stesen minyak Bustani Abdullah, 32, berkata ketika itu dia berada di tempat kerjanya sebelum angin kuat menerbangkan kanopi bengkel di belakang stesen itu ke atas jalan sebelum menghempap kereta di situ.
Katanya, hujan tidak lebat, tetapi angin bertiup kencang sebelum menerbangkan kanopi serta beberapa lagi barangan di belakang premisnya itu.

“Ia berlaku hampir 15 minit dan saya melarikan diri ke dalam stesen minyak bersama beberapa lagi rakan saya.

“Saya lihat keadaan agak kucar-kacir dengan bunyi pokok tumbang dan orang melarikan diri di luar stesen minyak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, angin kencang menumbangkan beberapa pokok besar dan papan tanda di sekitar kawasan berkenaan. “Beberapa pokok juga tumbang dan menghempap kabel telefon di jalan berkenaan, namun ketika kejadian bekalan elektrik tidak terputus,” katanya.

Katanya, selepas setengah jam kawasan berkenaan kembali tenang dengan anggota bomba dan penyelamat serta beberapa kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya membantu mengalihkan pokok dan papan tanda yang tumbang.
Tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan mendapati kawasan paling terjejas teruk ialah berdekatan PPUM dan Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, di sini.

Beberapa kereta mewah di bilik pameran kereta di hadapan PPUM di sini juga rosak teruk selepas dihempap pokok.

Papan tanda jalan berlampu di susur masuk dan keluar ke Lebuhraya Persekutuan, di sini, roboh menutup jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan beberapa rumah serta kereta rosak teruk akibat dihempap pokok.

Katanya, polis menerima banyak laporan, tapi masih mengumpul semua laporan bagi menentukan jumlah kerosakan serta kerugian akibat kejadian ribut berkenaan.


Lelaki patah tulang terjun hotel elak dirompak



KUALA LUMPUR: Panik akibat takut dibelasah dan dirompak, seorang lelaki bertindak nekad terjun dari tingkap sebuah hotel menyebabkan dia patah tulang belakang dan tangan sejurus terhempas ke atas jalan.
Sumber polis berkata, kejadian terbabit disedari beberapa anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah selepas dimaklumkan seorang lelaki warga Myanmar berhubung penemuan seorang lelaki berusia 30-an terbaring berlumuran darah berhampiran Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, anggota polis itu pergi ke lokasi kejadian sebelum menemui seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat atas hotel berhampiran.
Mangsa yang terjatuh dari tingkat dua hotel itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan dengan menaiki ambulans.

Hasil siasatan mendapati suspek bukan cuba membunuh diri atau terjatuh dari tingkat dua hotel itu sebaliknya menyelamatkan diri daripada dirompak.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa datang ke sebuah bilik hotel di lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi selepas dipelawa seorang lelaki.


“Mangsa mendakwa minum dan berbual dengan tiga lelaki yang baru dikenali di dalam bilik hotel berkenaan. Bagaimanapun, mangsa mendakwa tiba-tiba dipukul dari belakang oleh seorang daripada suspek sebelum cincin dan rantai emas dipakai dirampas,” katanya.

Padah lari kereta bapa



KODIANG: Akibat merajuk dengan keluarganya, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun melarikan diri dari rumahnya di Kodiang, dekat sini, dengan memandu kereta Proton Wira dipercayai milik bapanya kelmarin, sebelum terbabit dua kemalangan berasingan, pagi semalam.
Dalam kemalangan pertama jam 9.15 pagi, remaja itu merempuh motosikal ditunggang seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun di Kampung Batu 4, Jalan Kodiang-Changlun sebelum melarikan diri.

Dia kemudian merempuh sebuah Perodua Kancil dari arah bertentangan kira-kira 10 minit kemudian di Kampung Batu 5 kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan pertama sebelum kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok.


Adik maut motor rempuh kerbau



KUALA TERENGGANU: “Ketika majlis kenduri kahwin saya Sabtu lalu, dia yang paling sibuk membantu melancarkan majlis berkenaan dan ketika itu, semua kerja dilakukan tanpa perlu disuruh,” kata Tengku Aina Tuan Mustafa, 23, kakak Tuan Mohd Shafiq Tuan Mustafa, 20, yang maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang merempuh seekor kerbau, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi di Jalan Alor Tuman, Pulau Kerengga, Marang, mangsa yang juga pelajar Politeknik Dungun dalam perjalanan dari rumahnya di Perumahan Jabatan Penjara Malaysia, Pulau Kerengga, Marang, ke tempatnya menjalani latihan amali di Kampung Losong, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Batu Burok selepas solat Asar, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian terbabit berkata, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian selepas merempuh kerbau melintas jalan.


Penyelia kilang mati ditetak di Rawang

RAWANG: Rutin harian seorang penyelia sebuah kilang untuk menikmati sarapan pagi di sebuah restoran tidak kesampaian apabila dia ditetak lebih daripada 10 kali hingga mati berhampiran Jalan R2/2, Taman Pelangi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, saksi memberitahu polis bahawa kira-kira jam 6.15 pagi, mangsa iaitu M Paraguna, 32, baru sahaja keluar dari kereta Wira berwarna merah untuk menuju ke restoran yang tidak sampai 20 meter dari kawasan parkir itu.

"Tiba-tiba mangsa diserang bertubi-tubi tiga lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan parang sehingga ditetak di bahagian tengkuk, tangan dan kaki sebelum mangsa mati serta merta," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, saksi turut memaklumkan suspek kemudian terus melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum orang ramai menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Abdul Rahim berkata, polis yang tiba kemudian mendapati terdapat lebih 10 tetakan namun tiada parang atau cap jari ditemui pada mayat.

Beliau berkata, polis menolak motif kejadian sebagai samun kerana tiada sebarang barang peribadi mangsa hilang dan tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan adalah sebagai membalas dendam.

 
Katanya, polis percaya suspek telah lama memerhatikan gerak-geri mangsa sebelum nekad bertindak menyerang mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu Bernama, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan singgah seperti biasa di restoran itu bagi menikmati sarapan pagi.

"Memang itulah rutin dia sebelum pergi kerja. Dia akan singgah di restoran itu untuk makan dan kemudian ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Batang Kali mempunyai dua anak, seorang perempuan berusia empat tahun dan lelaki berusia empat bulan.-Bernama


Mati terjerut lepas diugut

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

PETALING JAYA: “Adik saya pernah mengadu dipaksa seorang wanita supaya mengahwininya, namun saya tidak sangka dia ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas menceritakan ugutan wanita berkenaan,” kata Easah Amat, 55, kakak Pawera Amat, 42, yang ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan terikat selain leher dijerut wayar lewat malam kelmarin di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.
Dia berkata, adiknya yang bimbang dengan ugutan itu membuat laporan polis pada 24 Januari lalu.

Katanya, seminggu sebelum kejadian, adiknya turut berperangai pelik apabila menunjukkan gambar yang disimpan dalam komputer ribanya kepada adik-beradik lain ketika mengadakan kenduri tahlil untuk arwah ibu mereka.
“Arwah menyuruh kami menatap gambarnya puas-puas kerana mungkin selepas ini tidak berpeluang lagi.

“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan menganggap kata-kata itu sebagai gurauan semata-mata,” katanya.

Adik bongsu mangsa, Salmah Amat, 36, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui rakan serumah abangnya yang menghubungi memaklumkan abangnya sakit.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah itu, saya terkejut apabila mendapati keadaan abang yang terlentang berlumuran darah di kepala dengan tangan dan kaki terikat.

“Saya tidak menyangka ada orang sanggup memperlakukan abang saya sedemikian rupa dan berharap penjenayah terbabit ditangkap segera,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang pendiam, namun sangat mengambil berat hal mereka adik-beradik, malah suka menyanyi jika ada masa terluang.

“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa ketika arwah menyuruh kami melihat gambarnya, malah wang bagi menyediakan kenduri tahlil itu juga dibiayainya seorang dan memberitahu ingin bersedekah.

“Saya tidak menyangka ia petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Rakan serumah mangsa, Hamzah Humaidi, 46, pula berkata, pada malam kejadian dia ada menghubungi mangsa untuk bertanya sama ada rakannya berada di rumah atau tidak kira-kira jam 10.30 malam, namun tidak berjawab.

“Selepas habis kerja di Petaling Jaya, saya terus pulang ke rumah namun masih tidak mengetahui kejadian menimpa Pawera.

“Ketika membuka pintu rumah, saya lihat televisyen terpasang, namun dia tiada di ruang tamu. Saya masuk ke dalam biliknya dan ketika itulah saya terlihat mangsa mati dalam keadaan mengerikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang bekerja sebagai jurujual ditemui rakan serumah yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira jam 12 malam di rumah kedai tingkat dua di Jalan 2B/133 Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Menurutnya, ketika itu, pintu jeriji tidak berkunci dan ketika rakan mangsa masuk dia mendapati televisyen terpasang namun tidak melihat kelibat mangsa.

“Rakannya kemudian masuk ke dalam bilik dan mendapati mangsa terbaring berseluar pendek dengan leher dijerut manakala tangan dan kaki turut diikat menggunakan wayar elektrik.

“Setakat ini, saksi kejadian kes terbabit hanya rakan serumahnya dan siasatan masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dijel guna kad kredit isteri

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Gara-gara menggunakan kad kredit isteri tanpa kebenaran, seorang warga emas dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membabitkan kesalahan berkenaan.
Majistret Adibah Abdul Kadir menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Khalid Ismail, 60, dari Beserah, dekat sini, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang pesara didapati dengan curang menggunakan kad kredit kepunyaan isterinya yang berusia 60 tahun untuk kegunaan sendiri di mana dia membeli sebentuk cincin emas berharga RM530 tanpa kebenaran wanita berkenaan pada jam 12.04 tengah hari 17 Januari lalu, di sebuah kedai emas dan permata di tingkat bawah Pasaraya Kuantan Parade, di sini.
Mengikut pertuduhan kedua, Khalid didapati dengan curang menggunakan kad kredit kepunyaan isterinya untuk kegunaan sendiri di tempat sama pada jam 11.06 pagi 22 Januari lalu, dengan membeli seutas rantai leher emas berharga RM920 tanpa kebenaran wanita terbabit.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Adibah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun beliau mengarahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memberitahu mahkamah dia melakukan perbuatan itu kerana berdepan konflik kewangan keluarga selain tidak bekerja selepas bersara.

“Saya perlukan wang untuk perbelanjaan lain seperti membayar bil elektrik, air, isi minyak motosikal dan sebagainya,” katanya.

Tertuduh turut memaklumkan isterinya tidak memberikan wang kepadanya dan dia memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan perubatan akibat penyakit lelah dihidapinya.

“Saya hendak beli ubat pun tiada duit,” katanya yang turut merayu mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin, mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Penganggur dituduh cabul



KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencabul seorang wanita berumur 33 tahun, minggu lalu.
Choo Chee Kian, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan.

Choo didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul Yap Lee Hong, 33, dengan memegang payu dara mangsa di Jalan Raja Laut, 9 Februari 2011.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,900 dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.


Kes rogol ditunda 56 kali!

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Ada kes rogol di Sungai Petani ditangguhkan 56 kali. Cuba bayangkan orang ramai yang terpaksa datang ke mahkamah berkali-kali? Keadaan ini menyusahkan rakyat,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
Beliau berkata demikian ketika mendedahkan salah satu kes yang sering ditangguhkan atas sebab tertentu hingga menjejaskan orang ramai.

Zaki berkata, permohonan penangguhan perbicaraan oleh peguam dan pegawai pendakwa adalah punca sesuatu kes di mahkamah terpaksa melalui tempoh perbicaraan sehingga bertahun-tahun lamanya.
Katanya, biarpun begitu, orang ramai tetap mempunyai persepsi bahawa pihak mahkamah yang menyebabkan kes mereka tertangguh.

“Sekarang ini, orang ramai masih menyalahkan mahkamah kerana kes mereka ditangguhkan tetapi siapa yang pohon? Yang memohon penangguhan itu adalah peguam dan pendakwa atas pelbagai alasan.

“Memang mahkamah tangguh kerana ada perintah, jika hakim tidak membenarkan penangguhan, peguam akan kata ia tidak adil.

“Tetapi yang tidak adil sebenarnya ialah kepada mangsa sendiri. Kita kasihan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bulanan dengan kakitangan mahkamah di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Sementara itu, Zaki berkata, beberapa penambahbaikan yang dilakukan terhadap sistem kehakiman ketika ini dilihat dapat menyelesaikan lebih 50 peratus jumlah kes tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, antara faktor kes cepat diselesaikan ialah kecekapan pengurusan kes dan melakukan proses rundingan.

“Rekod terkini hanya menunjukkan kes yang didaftarkan pada 2010 belum selesai terutama di Mahkamah Sesyen dan Majistret.

“Ia berbanding pada 2009 apabila masih terdapat kes didaftar pada 1999 yang belum selesai,” katanya.


Mani lelaki lain sekitar dubur Mohd Saiful

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu terdapat mani seorang lelaki ‘Y’ ditemui pada sekitar dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tahun lalu.

Pakar Kimia DNA (deoxyribonucleic), Dr Seah Lay Hong bagaimanapun tidak menamakan atau memberikan identiti ‘lelaki Y’ dalam laporan kimia disediakannya.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan, hasil calitan di kawasan dubur Mohd Saiful mempunyai campuran DNA milik Mohd Saiful dan lelaki ‘Y’ serta seorang lelaki misteri.

Ketika menjelaskan sama ada wujud pihak ketiga sebagai penyumbang DNA ‘misteri’ itu, Dr Lay Hong berkata, jika berdasarkan andaian berkemungkinan akibat tercemar seperti penggunaan mangkuk tandas sama atau barang mandian lain.

Menurutnya, andaian itu diberikan kerana beliau bukan pakar untuk memperjelaskan mengenai keadaan itu.

Dr Lay Hong memberi keterangan berdasarkan laporan hasil ujian DNA beliau ke atas sampel Mohd Saiful ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Anwar, 64, juga Ahli Parlimen Permatang Pauh didakwa meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.

Menjelaskan mengenai ujian DNA dibuatnya, Dr Lay Hong juga saksi pendakwaan kelima berkata, beliau memperoleh hasil ujian menunjukkan dua tompokan mani sekitar kawasan zip depan seluar panjang hitam milik Mohd Saiful, 26.

Begitu juga pada seluar dalam bewarna kelabu Mohd Saiful terdapat dua tompokan air mani miliknya dan lelaki Y.

Pakar DNA juga Ketua Unit Jenayah Berat Jabatan Kimia Malaysia itu, melakukan ujian DNA selama lima hari bermula 1 Julai 2008 selepas menerima semua spesimen Mohd Saiful daripada Deputi Superintendan, Jude Blacious Pereira, sehari sebelumnya.:

Terdahulu, pada bicara sebelah pagi, tiga bukti baru dikemukakan di hadapan Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, sehelai permaidani pelbagai warna, sehelai selimut tebal dan bulu kemaluan.

Manakala empat bahan bukti sebelum ini turut dibuka melibatkan sehelai seluar panjang hitam, kemeja Ralph Lauren, sehelai kemeja hijau G2000, dua seluar dalam warna biru gelap dan kelabu jenama Levis.

Menerusi perbicaraan semalam, Anwar diwakili Peguam Sankara Nair dan Ram Karpal Singh.

Hadir sama, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan.

Perbicaraan bersambung hari ini.


Buruh rogol anak saudara

JOHOR BAHRU- Seorang buruh menerima padah dipenjara dua tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang anak saudaranya, tiga tahun lalu.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Nu’ Aman Mahmud Zuhudi di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan melakukan perbuatan terbabit ke atas seorang remaja bawah umur, 14 tahun di kediaman tertuduh di Parit Sulong, Rengit pada November 2007.

Mengikut fakta kes pada 13 November pada jam 10 pagi, pengadu iaitu ibu mangsa telah diberitahu anak perempuannya ketika itu berusia 14 tahun telah melahirkan seorang bayi lelaki di dalam tandas rumah mereka di Benut, Pontian.

Hasil daripada siasatan itu, remaja terbabit mengaku anak yang dilahirkan adalah hasil hubungannya dengan tertuduh di mana tertuduh adalah adik ipar ibu mangsa.

Menurut remaja tersebut, dia telah pergi ke rumah tertuduh pada hari kejadian, dan pada jam 4 pagi, mangsa telah diajak oleh tertuduh untuk melakukan: seks dan bertindak merogol mangsa.

Berikutan kejadian itu, tertuduh telah dirogol beberapa kali pada bulan Disember 2007 di rumah mangsa ketika ketiadaan ahli keluarga yang lain dan didakwa melakukan tindakan yang sama sebanyak 11 kali sama ada di rumah tertuduh mahupun mangsa.

Analisa darah tertuduh, mangsa dan seorang bayi lelaki telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya dan ujian paternity mengesahkan tertuduh dan mangsa adalah ibu bapa kandung bayi terbabit yang dilahirkan pada 13 November 2008.

Kes terbabit yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jasmee Hameeza Jaafar Azreen dan Yas Mohammad Ramli, manakala tertuduh diwakili Peguambela Tarmeze Mohd Taib.

Dalam rayuannya, tertuduh yang kini telah berkahwin dan mempunyai seorang anak merayu agar tidak dikenakan hukuman sebatan dan telah insaf atas perbuatannya.


Lelaki mati dibelasah ditemui

SENAI – Seorang lelaki yang dibelasah teruk ditemui mati oleh seorang pekerja ladang kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari Jalan Johor Bahru-Kong Kong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Roslan Zainuddin berkata polis menerima panggilan sekitar 2.15 pagi, Isnin lalu setelah seorang pekerja ladang yang sedang dalam perjalanan pulang, dikatakan telah tersandung pada tubuh yang berlumuran darah di ladang kelapa sawit :berhampiran Kong Kong.

"Siasatan awal mendapati bahawa lelaki tersebut telah dipukul beberapa kali di kepala dengan senjata tumpul.

"Bagaimanapun polis tidak menemui sebarang objek yang dijadikan senjata di tempat kejadian,” katanya semalam.

Roslan berkata, polis percaya mayat lelaki terbabit adalah warga tempatan walaupun tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.

”Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI) mengesahkan lelaki terbabit mati akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya.

Roslan berkata, setakat ini tiada penangkapan telah dibuat dan kes terbabit diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau rakan yang hilang atau maklumat mengenai kes terbabit memaklumkan ke talian hotline polis di 07-2212 999 atau kunjungi pejabat polis terdekat.


Isteri tipu suami, buat maksiat

SUNGAI ULAR - Isteri kepada pesara polis ditangkap khalwat bersama seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun di sebuah rumah kongsi dekat sini kira-kira jam 1.15 pagi kelmarin.

Ketika tangkapan dibuat, si perempuan hanya memakai baju kurung dan kain batik manakala lelaki itu berbaju kemeja T dan memakai kain pelikat.

Ketua Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK), Azmi Rejab berkata, dari siasatan dijalankan, perempuan itu masih bergelar isteri dan mempunyai tiga anak.

Katanya, perempuan itu tinggal di Sungai Buloh, Selangor dan bekerja sebagai juruwang.

Menurutnya, PADK sampai di tempat kejadian dan membuat pemantauan serta mengepung rumah kongsi berkenaan sebelum serbuan dibuat.

Beliau berkata, penguat kuasa PADK kemudiannya memperkenalkan diri dan meminta pasangan itu membuka pintu dan apabila pemeriksaan dibuat, PADK mendapati ada seorang wanita di dalam bilik dan pasangan itu mengaku mereka tidak mempunyai hubungan mahram.

“PADK menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kehadiran perempuan itu ke rumah kongsi berkenaan sebelum membuat serbuan. Perempuan yang masih berstatuskan isteri orang dan beranak tiga ini sudah lama berhubungan dengan lelaki warga Bangladesh ini. Dalam keterangan dibuat oleh perempuan itu ketika siasatan dijalankan mendapati dia berbohong kepada suaminya dengan menyatakan dia terpaksa pergi ke Pendang untuk mengikuti kursus penyediaan mi.

“Suaminya menghantar isterinya itu di hentian bas bagi tujuan berkenaan. Perempuan ini kemudiannya turun di stesen bas Kulim dan menghubungi lelaki terbabit dengan niat bermalam di rumah kekasihnya itu. Perempuan itu masuk ke rumah kongsi kekasihnya kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim dengan menaiki van PADK untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 kerana berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selepas membuat laporan terhadap kedua-dua pasangan itu, mereka kemudiannya di tahan di lokap secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata, mereka dibebaskan keesokan harinya setelah membayar wang jaminan diri RM1,000 setiap seorang.

“PADK akan mengarahkan pasangan itu hadir ke mahkamah untuk dibicarakan pada tarikh yang akan ditetapkan. Sekiranya ingkar berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya.


Padah buang bayi

AYER KEROH - Seorang pelajar :perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan setelah didapati bersalah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat seorang bayi, Ogos lalu.

Majistret Aishah Hijriah Arshad menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Ratinah Rahmat, 22, semalam, selepas meneliti segala fakta yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, termasuk pengakuan bersalah tertuduh.

Ratinah dituduh menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi lelaki berkenaan dengan sulit di dalam tandas perempuan Wad Kecemasan Hospital Melaka pada 17 Ogos tahun lalu, antara jam 2.30 dan 3 pagi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun berserta denda atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, dalam mitigasinya, Ratinah menerusi peguam belanya, Hisyammudin Al Amin, memohon supaya pihak mahkamah meringankan hukuman atas alasan ia adalah kesalahan tertuduh yang pertama.

“Selain itu, tertuduh juga sudah insaf dan oleh itu seharusnya diberi peluang untuk memperbaiki dirinya,” katanya.

Bagaimanapun, Mahadi memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh berikutan kes seumpama itu sudah terlalu kerap berlaku.



Kopiah, cek dipegang terpelanting sekelip mata


MELAKA - “Dalam sekelip mata saja saya terasa sesuatu menyondol belakang saya mengakibatkan saya tercampak dan terjatuh. Kopiah putih serta cek saya pegang terpelanting,” kata seorang warga emas, Ismail Bidin, 61, mengenai kemalangan yang menimpanya di hadapan :bangunan Digital Mall, Jalan Hang Tuah, dekat sini, semalam.

Ismail yang juga Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Yaakub Md Amin berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori membawa cecair kumbahan milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang secara tiba-tiba gagal dikawal, lalu terbalik hingga terkena kereta jenis Honda Civic miliknya yang diletakkan di ruang letak kereta di bahu jalan.

Mujur katanya, dia hanya mengalami sedikit luka di lengan kiri setelah tercampak lalu tertiarap di atas jalan.

“Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, sebaik saja saya mengambil barang iaitu buku cek yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta untuk melakukan urusan di sebuah bank berhampiran.

“Apabila saya menutup pintu belakang dan ketika itu saya masih berdiri di luar sebelah pintu pemandu secara tiba-tiba terdengar bunyi deruman.

“Semasa jatuh saya sempat menahan diri saya dengan siku menyebabkan siku kiri saya mengalami calar. Nasib baik hanya belakang kereta saya saja terkena rempuhan lori itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Ismail berkata, sekiranya dia masih dalam kedudukan membongkok mengambil cek berkenaan di tempat duduk belakang sudah pasti keadaannya lebih buruk lagi.

“Saya benar-benar tidak menyangka lori berkenaan boleh terbabas begitu jauh hingga tersasar ke ke tempat letak kereta saya. Kejadian ini memang amat memeranjatkan, bagaimanapun saya bersyukur kerana terselamat daripada sebarang musibah lebih buruk lagi,” katanya.

Sementara itu, difahamkan lori terbabit dipercayai gagal dikawal semasa membelok keluar dari lorong persimpangan lampu isyarat bersebelahan bangunan Bank Rakyat di situ.

Bagaimanapun, pemandu kakitangan MBMB dan rakannya itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Yaakub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, turut berada di tempat kejadian sejurus selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.


Samun pelajar sekolah, ‘polis’ masuk penjara

KUANTAN - Rayuan seorang ‘anggota polis’ mohon hukuman diringankan kerana terpaksa menyara ibu gagal melepaskan diri daripada hukuman penjara sebaliknya dia terpaksa meringkuk dalam tirai besi itu selama enam bulan dan didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Hukuman ke atas tertuduh, Abdul Khalil Kamarulzaman, 31 dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Balok Baru dekat sini itu diputuskan Majistret Nordiana Abdul Aziz selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis, 12 Februari lalu.

Dalam rayuannya juga, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui tidak mempunyai rekod lampau dan kesalahan itu kali pertama dilakukan.

Dia yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM80 seminggu terpaksa menyara ibunya bagaimanapun dia berkata tanggungjawab itu turut dipikul seorang lagi adiknya.

Berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Ahmad Nazari, tertuduh bersama seorang rakan yang masih bebas didakwa menyamar sebagai anggota polis sebelum mengarahkan dua mangsanya menyerahkan barang berharga ketika berada di sebuah hentian bas di Jalan Teluk Sisek di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, 12 Februari lalu.

Mangsa, seorang pelajar 14 tahun dan buruh berusia 19 tahun, yang ketakutan terpaksa menyerahkan sebuah telefon bimbit, cincin perak dan wang tunai RM10 membabitkan kerugian keseluruhan RM400.

Mangsa dalam kes ini bertindak bijak apabila bertindak mengekori tertuduh dengan bantuan seorang orang awam sehingga ke Taman Kerang di sini sebelum memaklumkan kepada polis.

Bertindak atas maklumat, tertuduh berjaya dikesan dan ditahan di lokasi itu bagaimanapun rakannya berjaya melarikan diri.


Memo Editor
Anak warden penjara maut

MARANG - “Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila adik beria-ria ingin tinggal dengan ibu dan ayah di berek Penjara Marang, tetapi ia sebenarnya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Tengku Alina Tuan Mustapha, 23.

Tengku Alina adalah kakak kepada Allahyarham Tuan Mohd Shafiq, 20, yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 26.5 jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan itu, mangsa dipercayai maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu apabila motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau semasa tiba di tempat kejadian kira-kira 7.30 pagi.

Tengku Alina berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibunya, Azizah Yusof, 40-an kira-kira 7.45 pagi bagi memaklumkan kejadian itu, namun dia masih tidak dapat menerima bahawa kejadian itu menimpa adik kesayangannya.

“Ibu menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu. Saya kemudiannya menghubungi suami saya untuk pergi ke tempat kejadian bagi melihat sendiri apa sebenarnya berlaku,” kata-nya kepada Sinar Harian.

Setiba di tempat kejadian Tengku Alina dan suaminya, Raimie Razali, 34, tidak dapat menahan air mata apabila melihat tubuh arwah adiknya masih terbaring di atas jalan raya.

Menurut Tengku Alina, arwah ialah pelajar di Politeknik Dungun dan baru mula bekerja dua hari lalu selepas cutinya berakhir Selasa lalu dan sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di Losong, Kuala Terengganu.



Kali terakhir kakak bonceng motosikal

Lebih menyedihkan kata Tengku Alina, sehari sebelum kejadian iaitu pada Rabu lalu dia juga menumpang motosikal adiknya itu untuk ke tempat kerja di Kuala Terengganu selepas kedua mereka bermalam di rumah keluarga di berek Penjara Marang.

“Saya tidak menyangka arwah menerima nasib sebegini malang kerana sehari sebelum kejadian saya juga membonceng motosikal bersamanya untuk ke tempat kerja dari rumah keluarga kami di berek Penjara Marang. Itulah kali terakhir saya bersama arwah,” katanya yang turut memberitahu bahawa adiknya bercuti selama empat hari kerana membantu melancarkan urusan perkahwinannya Jumaat minggu lalu.

Malah kata anak warden penjara ini, selepas cuti adiknya berakhir Selasa lalu, arwah seolah-olah tidak mahu tinggal di rumah sewanya di Losong bersama rakannya sehingga sanggup balik ke rumah keluarga di berek Penjara Marang sehari sebelum kemalangan untuk menonton perlawanan bola sepak.



Kawasan berisiko kemalangan


Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dilaporkan dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga manakala kerbau terbabit dipercayai masih hidup, tetapi gagal dikesan selepas kejadian.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan turut mengingatkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan utama dari Pulau Kerengga ke Kelulut di sini, sentiasa berhati-hati terutama penunggang motosikal kerana risiko kemalangan mudah berlaku di kawasan itu.

“Semua pengguna jalan raya perlu sentiasa prihatin terhadap keadaan jalan, pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal termasuk haiwan yang melintas bagi mengelak kejadian seperti ini berulang.

“Lebih-lebih lagi dengan keadaan jalan yang bengkang-bengkok sepanjang Pulau Kerangga ke Kelulut,” katanya yang turut menyifatkan kawasan berkenaan mudah berlaku kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Siti Maisarah Taib, 30, berkata, selain pihak berkuasa, masyarakat khususnya pemilik haiwan ternakan harus berganding bahu menangani masalah yang seakan-akan tidak berpenghujung ini.

Menurut Penyelaras Puteri UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang ini, masalah haiwan ternakan berkeliaran di atas jalan raya bukan satu masalah baru dan ia tidak seharusnya diletakkan di bahu satu pihak sahaja.

“Dalam hal sebegini, kita tidak boleh menuding jari kepada pihak berkuasa kerana pemilik haiwan juga perlu bertanggungjawab. Kemalangan seperti ini dapat dielakkan apabila semua pihak bekerjasama,” katanya.

Sementara, Abdullah Aziz, 34, berkata, apa yang dilakukan pihak berkuasa bukan sahaja untuk mencegah haiwan peliharaan mereka tidak berkeliaran, tetapi untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

Difahamkan, haiwan ditangkap dikenakan bayaran kompaun RM250 seekor manakala denda sebanyak RM10 sehari sepanjang di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan.

No comments:

Post a Comment