Friday, July 22, 2011

BAHAGIAN MASING2....ALLAH TENTUKAN...INI DILUAR ILMU KITA...

Bayi tercampak dari van

Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: Amat memilukan bagi pasangan suami isteri kerana hanya sempat mencurah kasih sayang kepada anak sulung yang dilahirkan 50 hari lalu sebelum bayi perempuannya itu maut selepas tercampak dari van dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 67, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.30 malam dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, berlaku ketika pasangan berkenaan bersama bayi perempuannya, Siti Nur Sazlina Mohd Sazwadi dan empat lagi ahli keluarga mereka dalam perjalanan dari Kuala Krai ke rumah mereka di Ladang Serasa, dekat sini, Turut cedera dalam kemalangan itu, pasangan suami isteri terbabit, Mohd Sazwadi Sidik, 23, yang juga pemandu van, Nur Alilidiana Mazlan, 20, ibu Nur Alilidiana, Hartini Ibrahim, 39, tiga adiknya yang dikenali Piza, 19, Khairudin, 17 dan Wafinuddin, 4.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang cedera membabitkan sebuah kereta Proton Wira sudah dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan segera, manakala identiti mereka belum diperoleh pihak berkuasa.
Difahamkan, kemalangan terbabit berlaku ketika van berkenaan dalam perjalanan ke simpang masuk rumah mereka di Ladang Serasa sebelum bertembung dengan Proton Wira dinaiki dua lelaki menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terhumban ke dalam longkang.

Adik ipar mangsa, Piza berkata, ketika kejadian, bayi berkenaan berada di pangkuan ibunya yang duduk di bahagian depan sebelum tercampak di tengah jalan sejurus kemalangan berlaku membabitkan kedua-dua kenderaan itu.

“Tidak dapat saya lupakan kejadian yang sungguh tragis dan memilukan. Bayi yang berada dalam dakapan ibunya tiba-tiba terlepas dari pelukan, menyebabkannya tercampak dari van berkenaan dan mengalami cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selain itu, semua ahli keluarga dalam keadaan cedera parah termasuk abang ipar yang tersepit di dalam van berkenaan sebelum mendapat bantuan orang ramai yang berada di situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Jenazah bayi berkenaan sudah dikebumikan di kampung datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting dekat sini, malam kelmarin.

Dapat AS$100 juta kerana jual laman web



GAMBAR menunjukkan Catherine Cook berdiri di dalam pejabat MyYearbook di salah sebuah pejabatnya di Amerika Syarikat.



NEW JERSEY, Amerika Syarikat (AS) - Seorang gadis, Catherine Cook dan dua saudara lelakinya, David serta Geoff bergelar jutawan selepas laman web ciptaan mereka, MyYearbook dibeli pada harga AS$100 juta (RM296.6 juta) oleh pihak laman jaringan sosial Latin, Quepasa, lapor sebuah akhbar semalam.
David mendapat idea untuk menghasilkan laman web berkenaan semasa dia dan kakaknya menyelak buku tahunan sekolah mereka pada 2005.
Ketika itu, dia berusia 15 tahun, manakala Catherine setahun lebih tua.
Buku tahunan sekolah di AS menyimpan gambar dan nama para pelajar senior selain maklumat mengenai pelbagai pertubuhan serta aktiviti sesebuah sekolah yang dicetak pada setiap tahun.
David dan Catherine kemudian berusaha untuk mencipta buku tahunan digital di Internet dan menamakan laman web tersebut, MyYearbook.
Dalam tempoh enam tahun MyYearbook beroperasi, adik-beradik Cook memperoleh pendapatan AS$17 juta (RM50.5 juta) dengan laman web mereka berjaya menarik minat 70 juta pengguna dan ia dilihat sebanyak 1.2 bilion kali sebulan.
Pada Rabu lepas, Quepasa mengumumkan pengambilalihan MyYearbook berjumlah AS$100 juta dengan AS$82 juta (RM244 juta) melibatkan pemberian saham Quepasa, manakala baki AS$18 juta (RM53.5 juta) lagi dibayar secara tunai. - Agensi

Anak Beckham tinggal rumah mewah


RUMAH Steven Spielberg yang disewa oleh Beckham di Los Angeles, Amerika Syarikat.


LOS ANGELES - Kebanyakan bayi lain melihat dunia dengan sekadar tinggal di atas katil bayi sahaja tetapi anak perempuan pasangan bintang bola sepak, David Beckham yang baru dilahirkan isterinya, Victoria nampaknya memiliki kelebihan tersendiri, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Anak keempat Beckham yang bernama Harper Seven itu kini tinggal di sebuah rumah mewah yang disewa oleh ibu bapa mereka di Malibu.
Rumah itu milik pemenang anugerah Oscar iaitu pengarah filem, Steven Spielberg.
Anak Beckham itu dilahirkan Victoria yang merupakan bekas penyanyi Spice Girls pada 10 Julai lalu menerusi pembedahan di sebuah hospital di sini.
Pasangan itu mendiami sementara di kediaman itu yang disewa dengan harga A$150,000 (RM439,050) sebulan.
Mereka dilaporkan menyewa rumah agam Spielberg sehingga mereka dapat mencari kediaman sendiri di sini.
Kediaman mewah milik pengarah filem Schindler List itu dilengkapi tujuh bilik tidur, 10 bilik air, sebuah bilik tayangan, sebuah kolam mandi dan halaman yang luas.
Beckham yang merupakan bintang bola sepak England kini bermain untuk kelab LA Galaxy di sini.
Sebelum ini Beckham mempunyai tiga anak lelakinya yang bernama Brooklyn, 12, Romeo, 8, dan Cruz, 6. - Agensi

'Dunia gelap'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Muka saya tiba-tiba menjadi panas selepas dibaling ‘air’ oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran,” kata Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, mangsa simbahan asid seorang lelaki kurang siuman dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Felda Jengka 9 di sini, Selasa lalu.
Beliau berkata, dia yang menunggang motosikal bersama adiknya, Shafiq Aiman, 9, baru pulang dari mengaji al-Quran dan bercadang ke rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran bersama tetapi secara tiba-tiba dikejar seorang lelaki sebelum membaling sesuatu ke arah mereka. “Lelaki itu berlari ke arah kami dan terus melempar sesuatu menyebabkan muka dan badan kami menjadi pedih serta terbakar.

“Motosikal yang ditunggang pula hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum terjatuh. Nasib baik saya menunggang perlahan dan tiada kecederaan parah tapi sedih apabila cecair itu menyebabkan hampir keseluruhan muka dan badan terbakar,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Katanya, dunianya bertukar gelap serta-merta selepas mata kiri cedera dan menarik tangan adiknya yang cedera di kedua-dua mata supaya bangun untuk meminta pertolongan.

Menurutnya, lelaki yang membaling cecair itu kemudian terus melarikan diri,” katanya yang kini di rawat di unit kebakaran kanak-kanak HKL.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohashimah Julaili, 33, tidak menyangka perkara itu menimpa anak sulung dan keduanya kerana sebelum ini lelaki berkenaan hanya mengamuk tetapi tidak pernah membuat tindakan di luar kawalan.

Ugut bunuh isteri minta baju raya



KAJANG: Hanya kerana inginkan sepasang baju baru untuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, seorang isteri bukan saja cedera ditumbuk, ditendang dan dipijak malah turut diugut bunuh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Semenyih, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi apabila suspek yang berusia 20-an berang kerana mangsa yang juga berusia 20-an sering kali memintanya membeli baju raya baru.

Akibat tidak tahan didesak mangsa, suspek bertindak luar jangkaan apabila menumbuk muka isterinya selain menendang dan memijak perut isterinya sehingga menyebabkan mangsa cedera di mata dan lebam di beberapa bahagian badan.
“Suspek juga turut mengugut untuk membunuh mangsa jika terus memintanya membelikan baju baharu.

“Mangsa yang kesakitan merayu tidak terus diperlakukan sedemikian, tetapi suspek tidak mengendahkan rayuan mangsa,” katanya.

Rashid berkata, jeritan mangsa berjaya menarik perhatian jiran berdekatan menyebabkan mereka bertindak pergi melihat apa yang berlaku sebelum menyelamatkan mangsa.

Bimbang suspek bertindak lebih kejam, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada hari yang sama.

“Sebaik mangsa membuat laporan, sepasukan polis dari IPD Kajang kemudian ke rumah suspek untuk menjalankan siasatan.
“Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan mengugut.

Pelajar UTP maut tercampak



IPOH: Seorang pelajar tahun akhir jurusan teknologi maklumat Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut dalam keadaan mengerikan apabila mangsa tercampak keluar dari kereta dinaiki.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, Hafiz Abdul Hamid, 22, cedera parah dan meninggal dunia sejurus kereta Perodua Kancil dinaiki terbabas dan terbalik berhampiran kilometer 364.8, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Slim River, di sini.

Ketua PolisTrafik dan Ketenteraman Awam Perak, Superitendan Wan Abddullah Ishak berkata, mangsa yang memandu kereta turut ditemani seorang lagi rakan kuliah, Mohd Fakrul Radi Hamthan, 22.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

“Rakan mangsa hanya cedera ringan di kepala dan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta terbabit terbabas akibat hilang kawalan lalu terbalik,” katanya.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Hajat ke Makkah dihalang

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Saya terkilan apabila hajat untuk ke Makkah bersama isteri dihalang tanpa sebab munasabah walaupun sudah membayar RM34,000,” kata Mohd Noor Musa, 39, suami kepada wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 108, ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Lebih memilukan pasangan suami isteri itu hanya diberitahu tidak boleh mengikut rombongan menunaikan umrah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam sebelum ahli kumpulan lain berlepas pada jam 9.30 pagi semalam.

Mohd Noor berkata, luluh hatinya mendengar berita menyedihkan itu sedangkan dia dan Mek Wook sudah menyiapkan dua beg pakaian dan peralatan untuk menunaikan ibadat di kota suci selain mengikuti kursus umrah serta persiapan lain.
“Beberapa hari lalu, ada wakil agensi pelancongan beritahu saya tidak boleh pergi umrah atas sebab tertentu yang tidak jelas, tetapi saya cuba berbincang dan akhirnya mereka minta saya dan isteri pergi ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu petang semalam (kelmarin) untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Makkah.

“Tetapi sebaik tiba di KLIA, lain pula jadinya apabila mereka beritahu saya dan isteri tidak dapat pergi ke Makkah dan tidak pula diberi pampasan bayaran yang dilunaskan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun berat hati, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi dan yakin ada hikmah tersembunyi di sebalik kejadian itu.

Katanya, selepas puas berikhtiar dia akhirnya mengambil keputusan menaiki bas dari Kuala Lumpur pada jam 11 pagi semalam untuk pulang semula ke rumah keluarganya di Tanah Merah, Kelantan.

“Saya tidak tahu hendak cakap apa lagi dan kepada siapa hendak mengadu masalah dihadapi ini. Kalau boleh, saya berharap sangat ada pihak sudi membantu mendapatkan kembali wang RM34,000 yang dibayar kepada wakil agensi pelancongan itu walaupun separuh.
“Saya juga harap impian kami suami isteri menjejakkan kaki ke tanah suci akan tercapai suatu hari nanti dan berharap ada pihak sudi membantu menjadikannya realiti,” katanya.

Ketika ditemui Harian Metro dua bulan lalu, Mek Wook berkata, semakin dekat menjelang tarikh ke tanah suci, dia diuji dengan pelbagai perkara termasuk rumahnya dipecah masuk pencuri April lalu buat kali kedua dan dia juga kehilangan dua cincin dipercayai terjatuh ketika menebas rumput di pekarangan rumah.

Rempuh peragut

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dua lelaki menyamun keretanya dengan memecah cermin belakang penumpang sebelum melarikan RM10,000 ketika berhenti di satu persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu, Rawang di sini nekad merempuh motosikal peragut itu menyebabkan seorang ditahan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki terbabit yang juga pemandu sebuah syarikat bersama rakan wanitanya baru mengeluarkan wang itu dari sebuah bank di pekan Rawang untuk membayar gaji pekerja.

Selepas mengeluarkan wang itu, mereka berdua masuk ke dalam kereta untuk pulang ke pejabat syarikat.
Bagaimanapun, ketika tiba di lampu isyarat Taman Bersatu, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki memecahkan cermin kereta dipandunya di sebelah penumpang sebelum merampas beg sandang berisi wang itu yang dipegang rakan wanitanya.

Menurut sumber, sebaik merampas beg sandang itu, kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri ke arah pekan Rawang.

“Lelaki itu yang terkejut dengan tindakan suspek mengejar mereka.

“Sebaik mengekori rapat motosikal suspek hingga di simpang Kampung Kenanga, suspek tiba-tiba membelok ke kiri simpang itu menyebabkan kereta mangsa yang mengekori rapat merempuh motosikal itu hingga kedua-duanya terpelanting,” katanya.

Sumber berkata, sebaik melihat kedua-dua suspek terpelanting, lelaki itu dan rakan wanitanya keluar menangkap mereka.
“Dua lelaki terbabit panik melarikan diri, seorang yang membawa beg sandang itu masuk ke dalam longkang besar berdekatan untuk menyorok.

“Bagaimanapun, orang ramai berhampiran kawasan itu membantu mangsa menangkap suspek yang menyorok dalam longkang itu,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian suspek dibawa keluar sebelum polis peronda membawanya ke Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan penangkapan suspek dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment