Wednesday, July 20, 2011

JIKA TAKDIR ALLAH...KITA TAK MAMPU MENOLAK..HANYA BERDOA...DISAMPING BERUSAHA....KITA JAGA AGAMA ALLAH...ALLAH AKAN JAGA KITA...KITA AKAN MENERIMA PADAH ATAS PERBUATAN. KITA JUGA...KECUALI ITU SEBAHAGIAN UJIAN TUK KITA...

‘Tolong wan, adik sakit...’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kasdi Ali
am@hmetro.com.my

SAKIT...keadaan mangsa yang cedera parah.
SAKIT...keadaan mangsa yang cedera parah. 
 
IPOH: “Tolong wan, adik sakit..., tolong adik...,” jerit kanak-kanak berusia tiga tahun kepada neneknya selepas diseret sejauh hampir 100 meter oleh van dinaikinya menyebabkan kulit kepalanya terkoyak sehingga menampakkan tempurung kepala, pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, turut mengakibatkan Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, cedera di perut dan tangan kirinya. Mangsa diseret di depan neneknya, Timah Sukaimi, 70, yang sedang menunggu di pintu untuk menyambut kepulangan cucunya taska.

Menurut Timah, ketika kejadian dia mahu membuka pagar sebelum dikejutkan dengan jeritan Muhammad Haziq. “Saya sangka adik (nama timangan mangsa) diculik kerana dia tidak kelihatan di tepi jalan selepas van dinaikinya bergerak pergi. “Jeritannya bertambah nyaring menyebabkan saya panik dan seperti orang tidak siuman mencarinya sekitar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Warga emas yang uzur dan berjalan menggunakan tongkat itu hampir pengsan selepas dimaklumkan jiran yang turut terdengar jeritan itu bahawa cucunya diseret van.

Kejadian dipercayai berlaku apabila beg galas dibawa mangsa tersangkut pada pintu van ketika menutupnya dan pemandu van yang menyangka mangsa sudah turun, memecut kenderaannya.

Tindakan pemandu van itu menyebabkan Muhammad Haziq terseret sejauh hampir 100 meter di bahagian bawah kenderaan dalam keadaan terbaring.

Mujur tindakan berani seorang wanita yang juga jiran keluarga mangsa melangkah ke tengah jalan untuk memberhentikan van itu berjaya menyelamatkan Muhammad Haziq daripada maut.

Pemandu van, seorang lelaki berusia 50-an mendakwa tidak mendengar jeritan mangsa ketika ditanya jiran wanita itu.
Jiran itu kemudian meminta orang ramai mengangkat mangsa yang meraung kesakitan ke dalam van sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan. Bapa mangsa, Muhamad Sazali Yahaya, 30, anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berkata, jirannya itu memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.

“Dia terlebih dulu memberitahu kejadian itu kepada ibu saya (Timah) sebelum menghubungi saya yang ketika itu berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi menghantar makanan kepada isteri yang bertugas sebagai jururawat di sana.

“Saya bersama isteri bergegas ke klinik berkenaan dan luluh hati kami melihat keadaan anak yang meraung kesakitan. Saya cuba tabahkan diri untuk menenangkan perasaan, tetapi gagal,” katanya sebak.

Muhamad Sazali berkata, dia bertambah sayu selepas Muhammad Haziq meminta dia dan isteri berhenti menangis.

“Haziq pintar biarpun baru berusia tiga tahun lima bulan. Dalam keadaan sakit dia masih sempat menasihatkan saya dan isteri supaya jangan menangis kerana dia tidak mahu mati lagi,” katanya.

Berikutan kecederaan parah dialaminya, Muhammad Haziq dimasukkan ke bahagian kecemasan HRPB sebelum menjalani pembedahan.

Muhamad Sazali berkata, menurut doktor, anaknya mungkin mengalami kecacatan kekal pada dua jari tangan kirinya selepas urat saraf di bahagian itu hancur dan putus.

Pembedahan awal yang dilakukan ialah untuk mengambil cebisan kulit paha bagi ditampal pada perutnya.

Muhamad Sazali tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu van terbabit, namun tumpuannya kini ialah terhadap anaknya yang bakal menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi menutup tempurung kepala.

Bertarung nyawa selamat lembu

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
TUMPAS...Faizul (kanan) dan Mohammad Ean  bersama bangkai buaya berusia dua tahun.
TUMPAS...Faizul (kanan) dan Mohammad Ean bersama bangkai buaya berusia dua tahun.
SARATOK: Operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu buaya di Sungai Sebelak di sini, sejak dua hari lalu mengembalikan ingatan seorang penduduk, Rashid Abu, 45, kejadian dia berdepan maut apabila terpaksa bertarung kira-kira setengah jam dengan haiwan itu, dua tahun lalu.
Menurut penduduk Kampung Emplam itu, pertarungannya dengan reptilia sepanjang kira-kira empat meter di tebing Sungai Sebelak berlaku ketika dia cuba menyelamatkan lembu peliharaan daripada dibaham seekor buaya.

“Meskipun peristiwa itu sudah dua tahun berlalu, ia tetap segar di ingatan saya,” katanya yang ditemui Harian Metro, semalam.
Rashid berkata, ketika kejadian itu dia langsung tidak menyangka sedang ‘berebut’ dengan reptilia ganas yang menjadi ketakutan penduduk di sepanjang sungai berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia berusaha membawa keluar ternakannya dari kandang yang dimasuki air sungai yang melimpah ke tebing akibat air pasang besar.

Katanya, pada awalnya, dia menyangka kaki lembu jantannya itu tersangkut pada celah akar pokok menyebabkan dia nekad masuk ke dalam air untuk menarik haiwan terbabit.

“Saya cuba memeluk tengkuk lembu dengan harapan dapat dibawa ke atas namun gagal. Tarikan buaya itu cukup kuat dan saya mencuba sekali lagi termasuk menarik kaki lembu itu.

“Selepas beberapa kali mencuba, tetapi masih gagal sebelum saya menggunakan tali dan akhirnya berjaya membawanya naik ke atas dan ketika itu saya ternampak kelibat seekor buaya sedang menggigit kaki lembu,” katanya.
Rashid berkata, menyedari buaya terbabit cuba menarik lembunya kembali ke dalam air, dia nekad ‘bertarung’ bagi menyelamat haiwan itu sehingga berlaku tarik menarik selama beberapa minit.

“Saya tidak tahu apa lagi perlu dilakukan bagi menyelamatkan lembu saya melainkan menariknya sedaya upaya sehingga menyebabkan reptilia terbabit mengalah dan melepaskan gigitan sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Mengimbau kembali tindakannya memasuki kandang lembu yang digenangi air paras dada, dia langsung tidak terfikir bahawa reptilia itu turut berada di dalam air dan menanti saat membaham lembunya itu.

“Memang saya tidak akan masuk ke kandang itu jika saya tahu ada buaya di dalam air,” katanya.

Rashid berkata, dua kejadian sebelum ini menyebabkan empat lembu peliharaannya menjadi habuan reptilia ganas itu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM14,000.

“Kejadian pertama berlaku pada 2002 apabila dua lembu saya dibaham. Kali terakhir kejadian sama berlaku iaitu dua tahun lalu,” katanya yang memiliki 14 lembu.

“Oleh kerana lembu yang diselamatkan itu cedera teruk pada paha kirinya, saya mengambil keputusan menyembelihnya sebagai hidangan kenduri kesyukuran kerana saya terselamat daripada menjadi korban buaya berkenaan,” katanya.

Sementara itu, operasi besar-besaran digerakkan pihak berkuasa yang masuk hari kedua semalam, dipercayai hanya berjaya membunuh seekor anak buaya yang bangkainya ditemui terdampar di tepi Sungai Sebelak di sini.

Bangkai haiwan berusia lebih dua tahun itu ditemui penduduk kira-kira jam 2.30 petang, tidak jauh dari jeti pusat operasi, dipercayai ditembak pada malam pertama operasi dijalankan.

Penduduk, Mohd Faizul Abu Bakar, 25, berkata dia menemui bangkai buaya itu ketika menaiki sampan menyusuri sungai berkenaan.

“Berdasarkan saiz bangkai buaya berkenaan dipercayai berusia dua tahun atau lebih dan kami yakin buaya ini bukan yang sering membaham penduduk,” katanya.

Bangkai buaya berkenaan dibawa menaiki sampan sebelum diangkat ke jeti menyebabkan penduduk berpusu-pusu mahu melihat reptilia yang didakwa menimbulkan ketakutan selama ini.

Sungai Sebelak terus menjadi tumpuan berikutan operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu reptilia yang didakwa menyebabkan beberapa penduduk menjadi mangsa, termasuk kejadian terkini dua bulan lalu.

Ibu mangsa bunuh mengamuk


VALLIAMAH (tengah) yang marah anaknya dibunuh mengamuk di Mahkamah Majistret Klang semalam.


KLANG – Sebutan semula kes pembunuhan melibatkan mangsanya seorang peguam bergelar Datuk di Mahkamah Majistret di sini semalam bertukar kecoh apabila ibu mangsa tiba-tiba menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap tertuduh.
Kejadian pukul 9 pagi di dalam kamar mahkamah itu berlaku apabila wanita dikenali sebagai Valliamah, 70-an, memarahi R. Narayanan dalam bahasa Tamil kerana didakwa menyebabkan kematian anaknya, Datuk R. Anbalagan yang juga merupakan majikan tertuduh.
“Kamu datang dari India dan bunuh anak saya, saya sudah habis beribu-ribu untuk dia jadi peguam, kamu senang-senang bunuh dia,” jeritnya sebelum dibawa keluar oleh anggota polis untuk ditenangkan oleh ahli keluarganya.
Sebaik tamat prosiding, Valliamah sekali lagi mengambil peluang untuk memarahi Narayanan ketika tertuduh dibawa keluar anggota polis dari kamar mahkamah.
Narayanan, 24, didakwa membunuh Anbalagan pada 13 Jun lalu di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat di sini pukul 9.30 malam dengan menggunakan parang selepas mendakwa majikannya itu tidak membayar gaji selain menyimpan dendam.

Derita amah didera berakhir

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my

SELAMAT...Mimi dibawa keluar dari kurungan majikannya.
SELAMAT...Mimi dibawa keluar dari kurungan majikannya.
KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung, dipukul dan didenda menjunjung sebaldi air penuh dalam tandas jika membuat kesalahan berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah kondominium di Cheras di sini, kelmarin.
Sebelum operasi menyelamat itu dilancarkan, wartawan Harian Metro menerima e-mel mengenai penderitaan pembantu rumah warga Indonesia terbabit sejak lebih setahun lalu dihantar individu mendakwa jiran mangsa.
Berdasarkan alamat diberikan, wartawan bergegas ke lokasi dimaksudkan pada jam 5 petang kelmarin dan berbual dengan pembantu rumah itu dikenali sebagai Mimi Suciyanti, 28, berasal dari Jakarta Timur.

Ketika itu, majikannya tiada di rumah dan Mimi kelihatan cemas dan takut kerana khuatir perbuatannya bercakap dengan orang tidak dikenali diketahui majikannya. Terdapat juga kesan lebam pada bawah pipi kanannya.


Menurut Mimi, dia mula bekerja dengan majikannya Februari tahun lalu dan sejak itu, bermula episod hitam dalam hidupnya apabila dia dikurung di dalam rumah dan langsung tidak dibenarkan keluar.

Warkah buat Lin dari penjara


CHE KU ZAIMAH (dua dari kiri) bersama Lin dan dua lagi anaknya membaca surat Mat Haizan di Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU – Ungkapan maaf kini tidak lekang daripada mulut Mat Haizan Mat Yassin iaitu orang yang bertanggungjawab menyebabkan wajah anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda cacat dan keluarganya menderita.
Malah, bapa kepada empat orang anak itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun di Penjara Marang juga amat berharap agar wajah anak keduanya itu yang lebih mesra dengan panggilan Lin dapat dipulihkan.
Ungkapan itu dinyatakan dalam satu surat yang dihantar kepada bekas isterinya, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, sebagai balasan selepas menerima sepucuk surat beserta gambar daripada keluarganya itu.
“Saya pinta awak supaya dapat usahakan untuk pulihkan wajah Lin semula, kasihanilah masa depannya,” katanya melalui surat yang ditunjukkan Che Ku Huzaimah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu dekat sini semalam.
Melalui surat itu juga, Mat Haizan, 33, memberitahu, dia sihat namun rindu pada bekas isterinya itu serta anak-anak dan berterima kasih kerana Che Ku Huzaimah telah mengirim gambar dia dan anak-anak kepadanya di penjara.


Ashraf boleh merayu



KUALA LUMPUR: “Dia masih ada hak untuk merayu ke peringkat mana pun, seperti kes lain,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip mengulas tuntutan Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, yang mahu menukar jantina dan nama kepada Aleesha Farhana Abd Aziz.
Menurutnya, walaupun Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan Isnin lalu dengan menolak permohonannya, Mohd Ashraf Hafiz masih mempunyai peluang untuk merayu seperti juga kes lain yang pernah didakwa di mahkamah.

Katanya, dari segi perundangan, kes itu meskipun sangat jarang berlaku tetap diadili seperti kes lain mengikut prosedur sewajarnya, namun keputusan kehakiman perlu juga mengambil kira pandangan syarak.

“Dari satu segi Mahkamah Tinggi memang sudah menolak, tapi mengikut prosedur dia masih berpeluang untuk merayu hingga ke peringkat tertinggi walau Persekutuan sekali pun....dia ada hak.

“Cuma kes dibawa sangat jarang berlaku di negara Islam seperti kita yang jelas menolak penukaran jantina...hukum syaraknya sudah jelas, jadi apabila mengadili kes begini perlu mengambil kira pandangan mufti dan fatwa tertentu...ia boleh menyentuh sensitiviti.

“Apapun, jika dia merayu, perlu juga bersedia menerima keputusan yang kita tak boleh jangka....semuanya bergantung kepada fakta dan alasan penghakiman,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Jerat SMS gambar seksi

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

KEPALA BATAS: “Helo sayang, esok sudah nak bertolak, saya telah tinggal msj (mesej) gambar untuk kamu,” begitulah kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima seorang lelaki.
Bagaimanapun, SMS itu bukan dihantar isteri kepada suaminya tetapi dipercayai taktik terbaru pihak tertentu cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah melalui kiriman pesanan berkenaan yang menawarkan gambar wanita seksi kepada pemilik telefon bimbit secara rambang.

SMS itu sengaja dihantar dipercayai bagi memperdayakan lelaki melihat gambar wanita seksi membolehkan kredit panggilan mereka dipotong sebaik membalas SMS untuk pendaftaran.

Penerima SMS berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zainal, 35, berkata, dia menerima beberapa mesej menawarkan gambar wanita memakai bikini dari beberapa nombor telefon bimbit tidak dikenalinya.

Katanya, pada mulanya dia tidak mempedulikan SMS itu kerana menganggapnya seperti SMS yang menawarkan hadiah.

“Beberapa hari kemudian saya dapat SMS sama daripada nombor berlainan menawarkan gambar wanita seksi.


“Saya balas mesej seperti diarahkan kepada nombor 32*** dan mengejutkan apabila kredit dipotong RM4 sebaik mendaftar.

“Bagaimanapun, gambar itu tidak diterima menyebabkan saya mengesyaki ia penipuan, pihak tertentu” katanya.

Menurut Zainal, dia belum membuat aduan kepada mana-mana pihak tetapi berharap pihak berkaitan dapat memantau syarikat telekomunikasi yang cuba memerangkap orang ramai melalui SMS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Seberang Perai Utara, Mohd Nasri Hassan berkata, taktik menghantar mesej kepada pemilik telefon bimbit itu satu bentuk penipuan.

“Kami belum menerima aduan berhubung perkara itu dan mereka yang menerima mesej seperti itu boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kerana ia dibawah bidang kuasa agensi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi SKMM Wilayah Utara, Ismail Othman, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memanjangkan isu itu kepada Forum Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.

Guru disiplin nafi mencabul


ISMAZI dituduh mencabul.


AMPANG JAYA – Seorang saksi memberitahu, ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 orang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini enggan meminta maaf dan tidak mengaku semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Ricky Toong Foo Weng berkata, tertuduh, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, berkali-kali menafikan dirinya terlibat dalam kejadian memalukan itu.
“Berlaku sedikit pertengkaran mulut antara tertuduh dan salah seorang bapa mangsa sehingga mencetuskan situasi tegang di luar bilik guru di sekolah itu.
“Namun tertuduh tetap enggan mengaku perbuatan cabul itu menyebabkan ibu bapa mangsa cabul membuat laporan polis,” kata Pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Ricky memberi keterangan selaku saksi pertama dalam perbicaraan Ismazi@Megat yang didakwa mencabul kehormatan 11 orang pelajar perempuan berusia 15 hingga 16 tahun dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa.
Kejadian itu didakwa berlaku di dalam bilik guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah di sini antara pukul 7.30 hingga 8.30 pagi pada 25 Februari lalu.
Difahamkan perbuatan cabul itu berlaku ketika 11 pelajar itu tidak hadir perhimpunan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Ricky semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff berkata, pada hari kejadian pada pukul 11.30 pagi, dia berada dalam bilik pusat khidmat masyarakat DAP di Ampang bersama salah seorang rakannya.

No comments:

Post a Comment