Friday, July 22, 2011

SEGALA KITA NAK BUAT AGAK2LAH....MEWAH DIDUNIA JADI SIA2 JIKA AKHIRAT DIAZAB ....KALAU DA SUKA...APA KITA CAKAP TETAP IA LAKUKAN...KERANA TAK FIKIR KESAN KEMUDIANNYA...

Robert Kuok beli kapal bersalut emas RM13 bilion



BAHAGIAN atas dek History Supreme yang kemas untuk bersantai.



LONDON - Beberapa buah laman web akhbar membuat spekulasi bahawa bilionair Malaysia, Tan Sri Robert Kuok merupakan pemilik sebuah kapal bersalut emas paling mewah di dunia yang dibelinya pada harga AS$4.5 bilion (RM13.38 bilion).
Menurut akhbar dalam talian, thejournal i.e di Ireland semalam, jika harga itu benar, ahli perniagaan Malaysia yang didakwa menjadi pemilik kapal tersebut pastinya Kuok.
Akhbar itu menyatakan, lelaki terkaya di Malaysia ialah Kuok yang memiliki kekayaan sebanyak AS$12.5 bilion (RM37.2 bilion).
Beliau merupakan pengasas kumpulan Hotel Shang-ri La yang beroperasi di seluruh Asia.
Namun, kebanyakan kekayaannya datang dari sahamnya dalam Wilmar, syarikat minyak kelapa sawit terbesar dunia yang tersenarai dalam bursa saham, lapor akhbar itu.
Kapal mewah itu mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.
Keseluruhan badan kapal History Supreme dari dasarnya sehingga ke bahagian dek termasuk ruang makanan, rel dan sauh disalut emas padu.
Bilik tidur utamanya dihias mewah dengan menggunakan logam platinum dan menampilkan dinding bertatahkan sejumlah batu meteor serta artifak prasejarah seperti tulang dinosaur ganas, T-Rex.
Kapal History Supreme merupakan hasil kerja tangan pembuat hiasan emas terkenal dari Liverpool, Stuart Hughes yang mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkannya.

Kotak rokok imej lebih ngeri


ANTARA imej penyakit kronik pada kotak rokok ketika ini.


PUTRAJAYA - Semua enam imej penyakit kronik pada kotak rokok sedia ada akan digantikan kepada yang baharu dan lebih ngeri mulai Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abd. Rahman berkata, ia bertujuan mengingatkan kira-kira tiga juta perokok di negara ini terhadap bahaya tabiat merokok dengan lebih berkesan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai imej baharu yang bakal diperkenalkan itu.
Imej penyakit kronik pada kotak rokok ketika ini ialah kelahiran bayi pramatang, kanser paru-paru, kanser mulut, kanser leher, gangren dan keguguran janin.
"Kami belum memutuskan imej yang bakal digunakan tetapi ia tetap diganti setiap dua tahun sekali sebagaimana perancangan asal,'' katanya pada sidang akhbar selepas hadir ke Seminar Pendidikan Fatwa-Merokok Adalah Haram di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.
Kerajaan memperkenalkan imej penyakit kronik akibat merokok yang meliputi 40 peratus di bahagian depan dan 60 peratus di bahagian belakang berkuat kuasa 1 Jun 2009.

Pegawai Imigresen ditahan ISA

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang pegawai Imigresen di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) kerana terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pegawai Imigresen berusia 29 tahun yang bertugas di bahagian Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu ditahan di ibu negara kelmarin.
“Suspek disyaki telah memalsukan dokumen perjalanan bagi membolehkan seseorang keluar masuk ke sini berdasarkan bukti dari saksi-saksi yang kita peroleh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penganugerahan Balai League Table Siri 1 2011, Polis Diraja Malaysia.
Ismail berkata, melalui siasatan rapi, pihaknya mengambil keputusan untuk menahan suspek mengikut ISA.
Susulan itu tambahnya, polis menahan seorang lelaki Sri Lanka berusia 36 tahun mengikut akta yang sama kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pegawai tersebut.
“Lelaki asing itu terlibat dengan kes penyeludupan manusia dan mendapat kerjasama dengan pegawai Imigresen tersebut,” katanya.

Dua mati tersepit, tercampak



BEGINILAH keadaan treler yang membawa muatan gelung besi selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Mayandy dan Ravi mati di Seremban semalam.



SEREMBAN - Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas kenderaan yang mereka naiki itu merempuh belakang sebuah lagi treler membawa muatan kereta di Kilometer 264.6, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan di sini semalam.
Kejadian pukul 6 pagi itu menyebabkan M. Mayandy, 38, dan B. Ravi, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan lapan buah kereta jenis Proton Persona berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan tayar.
Katanya, tidak lama kemudian, treler membawa muatan gelung besi yang dinaiki mangsa telah merempuh belakang kenderaan terbabit.
"Rempuhan itu menyebabkan treler mangsa terhumban ke dalam parit bersama muatannya. Kedua-dua mangsa dari Simpang Renggam dan Segamat, Johor mati di tempat kejadian," katanya di sini semalam.
Menurutnya, Mayandi yang tersepit di tempat pemandu cedera parah di kepala dan badan manakala Ravi tercampak kira-kira lima meter dari kenderaan itu.

Dua mangsa simbahan asid ingin ke sekolah


KEADAAN Shafiq Aiman (kiri) dan Syafiq Haikal (kanan) ketika dirawat di HKL semalam.


KUALA LUMPUR - "Mak, macam mana adik nak pergi sekolah?"
Demikian rintihan salah seorang mangsa kejadian simbah asid, Shafiq Aiman Mat Safar Zaidi, 10, kepada ibunya, Rohashimah Julaili, 33, setelah disimbah asid oleh seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman berdekatan rumah mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang Selasa lalu.
Seorang lagi mangsa, Syafiq Haikal, 13 dan adiknya itu kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Jengka.
Kata Rohashimah, Shafiq Aiman yang paling teruk terkena simbahan asid kerana kecederaannya meliputi muka dan separuh daripada badan manakala abangnya hanya terkena sebelah muka sahaja.
"Doktor memberitahu mata kedua -dua anak saya berkemungkinan tidak buta tetapi perlukan rawatan teliti bagi mengelakkan sebarang komplikasi lain yang tidak dijangka," katanya ketika ditemui Kosmo! di HKL semalam.

Tiara Pesona labur RM12 juta untuk bas ekspres Perdana


LAILI ISMAIL (kiri) meninjau bas ekspres Perdana dua tingkat yang baru dalam pembuatan di kilang pemasangan badan bas terkemuka SKS Holdings Sdn. Bhd. di Puchong, Selangor semalam.


KOTA BHARU - Bermula dengan empat buah bas sahaja pada Mac 2009 lalu, Syarikat Tiara Pesona Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres Perdana, terus melebarkan sayap apabila melabur sebanyak RM12 juta untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laili Ismail berkata, pertambahan tersebut dibuat selepas perkhidmatan bas kelolaan syarikatnya terus mendapat sambutan dan sokongan padu daripada para penumpang yang menggunakannya.
Menurutnya, sehingga kini syarikatnya sudah pun mempunyai sebanyak 12 buah bas dan akan menambah sebanyak lapan buah lagi pada tahun ini menjadikan 20 buah kesemuanya.
"Bermula 15 Julai lalu, kita telah menggunakan dua buah bas model dua tingkat keluaran syarikat pemotoran dari Sweden iaitu Scania. Pertengahan Ogos ini kita akan tambah dua buah lagi bas model yang sama.
"Pada bulan November pula nanti, kami akan memperoleh empat buah lagi bas dari model yang sama. Buat masa sekarang bas-bas tersebut masih lagi dalam proses pembinaan," katanya kepada Kosmo! ketika majlis memperkenalkan bas baharu di sini baru-baru ini.


Penduduk bantah pembinaan kuil



SEBAHAGIAN penduduk yang mengadakan bantahan pembinaan kuil Hindu di Taman Lagenda Suria, Hulu Langat baru-baru ini.



HULU LANGAT - "Kami bukan membantah pembinaan kuil Hindu tetapi minta tidak dibina di kawasan ini yang cuma sembilan meter sahaja dari kediaman kami yang 95 peratus penduduknya beragama Islam."
Itulah suara hati penduduk Taman Lagenda Suria di sini terhadap pembinaan sebuah kuil di kawasan berdekatan taman tersebut yang disifatkan lebih sesuai dibina di kawasan penduduk yang ramai menganut agama Hindu.
"Kami tetap bertegas agar kuil tersebut tidak dibina di kawasan ini dan berharap Kerajaan Negeri Selangor tidak berdiam diri," kata Pengerusi Persatuan Penduduk taman tersebut, Johari Seman ketika dihubungi semalam.
Menurut Johari, pihaknya telah mengemukakan aduan rasmi kepada pelbagai pihak termasuklah kerajaan negeri.
"Kami telah menghantar surat bantahan kepada pihak berkuasa, termasuklah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun masih belum ada maklum balas diterima.
"Bantahan yang kami buat bukannya menghalang kerana kita faham tentang kebebasan agama tetapi apa yang kami mohon ialah tapak kuil itu dipindah ke tempat lain," katanya di sini semalam.

Jual barang elektrik curi ke Afrika



ZAKARIA (kiri) menunjukkan sebahagian barangan elektrik yang dirampas daripada tiga individu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Kegiatan haram dua wanita tempatan yang bersekongkol dengan seorang lelaki Nigeria membeli barangan elektrik curi untuk dijual ke Afrika sejak enam bulan lalu terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Fadason di sini Selasa lalu.
Dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, polis merampas pelbagai barangan seperti televisyen, komputer, peti sejuk, mesin basuh, radio, kipas, mesin pencetak dan bedak bayi yang dianggarkan bernilai RM200,000.
Difahamkan, suspek membeli barangan curi tersebut di kedai di sekitar Lembah Klang dengan harga murah sebelum diseludup ke Afrika menggunakan kapal kontena ekoran permintaan tinggi di negara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis diketuai Asisten Supritendan Hussin Junus telah menyerbu gudang berkenaan ketika sekumpulan lima hingga lapan lelaki Nigeria dan dua wanita berada di premis tersebut.
Katanya, suspek kemudian bertempiaran lari dan hanya tiga termasuk dua wanita terbabit berusia di antara 25 dan 44 tahun yang dapat ditahan.
"Siasatan mendapati lelaki Nigeria berusia 25 tahun yang mendakwa sebagai pelajar sebuah kolej di ibu negara itu memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen. Dia juga mendakwa bekerja sebagai penjaga gudang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment