Monday, August 22, 2011

BILA ALLAH MENGHENDAKI ...TIADA SAPE BOLEH MENAHANNYA...KECUALI DOA ITU ALLAH MUSTAJABKAN@DIKABULKAN ALLAH SWT..

Calon UPSR putus jari



Noor Saipul menunjukkan tangannya yang cedera terkena mercun di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Ketika rakan seusia bergembira untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan, seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berhadapan keadaan sebaliknya apabila kehilangan jari tangan kerana bermain mercun.
Kejadian tersebut menimpa Noor Saipul Mohammad, 12, ketika dia cuba menyalakan mercun bola menggunakan api dapur gas di rumahnya di Kampung Laka, dekat sini pada kira- kira pukul 1 petang semalam.
Akibat kejadian malang itu, pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh dekat sini itu putus hujung jari telunjuk kanan selain cedera pada ibu dan jari tengah.
"Mercun bola itu terus meletup sebaik sahaja saya menyalakannya tanpa sempat saya melemparkannya," ceritanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini semalam.
Tambah anak ketiga daripada enam beradik itu, dia menyesal dan serik dengan apa yang berlaku.
"Saya tidak akan bermain mercun lagi selepas ini walaupun diajak oleh rakan-rakan,'' janjinya.

Enam korban panah petir



SEORANG pekerja menunjukkan lokasi tempat tiga lelaki Indonesia maut dipanah petir di sebuah tapak pembinaan di Shah Alam semalam.



SHAH ALAM - Enam lelaki Indonesia terkorban manakala lima rakan senegara mereka cedera akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Jalan Rektor, Glenmarie di sini dan sebuah kebun sayur di Sungai Choh, Hulu Selangor semalam.
Kedua-dua kejadian itu berlaku ketika hujan lebat pada pukul 2.30 petang dan 2.45 petang.
Dalam kejadian di Glenmarie, tiga lelaki Indonesia maut manakala tiga rakan senegara mereka yang lain cedera.
Mereka yang terkorban dikenali sebagai Hazarin, 29, Surady, 31, dan Mohd. Nasir, 46. Tiga lagi mangsa yang cedera belum dikenal pasti kecuali seorang mangsa wanita dikenali sebagai Som, 20.
Semasa kejadian, tiga mangsa yang terkorban berada di luar rumah kongsi mereka dan berdiri di dalam lopak air.
Petir dipercayai memanah ke kawasan lopak air tempat ketiga-tiga mangsa berdiri dan mengalirkan arus elektrik yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkena rencatan dan mati di tempat kejadian.

2,000 rumah berisiko runtuh

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,000 buah rumah yang terletak di kawasan berbukit di seluruh negara telah dikenal pasti berisiko tinggi mengalami tanah runtuh.
Penemuan tersebut merupakan hasil kajian dan analisis oleh semua 145 buah pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Hulu Langat dan Cameron Highlands baru-baru ini.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung, hanya 111 PBT sahaja yang memberikan laporan tersebut kerana terdapat lokasi yang berisiko tinggi untuk runtuh di kawasan mereka.
"Kita juga mendapati negeri Selangor, Sabah dan Pulau Pinang mempunyai bilangan kawasan berisiko yang paling banyak berbanding negeri lain dan semua risiko ini dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu serius, tidak serius dan biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ops Raya 2011 di Plaza Tol Sungai Besi di sini semalam.


Kes Raja Azmi, Roslin selesai

KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung kes khalwat yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membabitkan penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman dan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim telah diserahkan kepada mereka semalam.
Satu sumber Jawi berkata, keputusan tersebut diserahkan oleh pegawai dari bahagian siasatan Jawi kepada Raja Azmi dan Roslin ketika mereka datang ke pejabat itu semalam.
Raja Azmi, 51, dan Roslin, 39, hadir bersama menaiki sebuah kereta ke pejabat Jawi pada pukul 10 pagi sebelum mereka beredar 15 minit kemudian.
Raja Azmi dan Roslin sebelum ini dilaporkan disiasat berhubung kesalahan berkhalwat tanpa tangkapan mengikut Seksyen 58 subseksyen 1 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).
Pada 7 Ogos 2010, bekas isteri kedua Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama ahli keluarganya menyerbu bilik bernombor 533 Hotel Corus di Jalan Ampang di sini dan mendakwa menemui pemain badminton itu dan Raja Azmi berdua-duaan dalam bilik itu.
Berikutan itu, Roslin menceraikan Norhayati selepas mendakwa isterinya itu tidak mempercayai dirinya


Wanita hamil 7 bulan maut kemalangan


BEGINILAH keadaan kereta Honda CRV yang terbalik dan menyebabkan seorang wanita mengandung tujuh bulan maut di Jalan Bahau-Keratong kelmarin.


JEMPOL – Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Honda CRV yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil di Kilometer 15, Jalan Bahau-Keratong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Lai Siew Chin, 37, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan manakala suaminya, Lai Cheon Kee, 37, yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.
Berikutan kemalangan itu, anak dalam kandungan Siew Chin turut meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, tiga lagi penumpang kenderaan berkenaan yang merupakan adik mangsa turut cedera.
Ujarnya, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Ladang Geddes dekat sini menuju ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Waja.
“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Kancil itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh pula kenderaan mangsa,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran.
“Mangsa yang mengandung anak kedua tersepit di dalam kenderaan itu manakala pemandu Kancil dan Proton Waja hanya cedera ringan,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Polis buru dua lelaki kes tikam


ARMAN masih dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam.


SEREMBAN – Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam seorang lelaki sebanyak lapan kali sebelum membuang mangsa di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus Kuala Pilah dekat sini.
Jurucakap polis berkata, identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
“Hasil siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek bekerja bersama mangsa di Ladang Gaddes, Jempol dekat sini.
“Kejadian pada petang Khamis lalu itu dipercayai akibat salah faham berkaitan kerja antara kedua-dua suspek dengan mangsa,” katanya di sini semalam.
Katanya, berdasar keterangan mangsa, dia diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit di ladang itu sebelum dia dibuang di dalam hutan berhampiran jalan Bukit Putus Kuala Pilah.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki, Arman Shah, 29, masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan.
Lebih mengejutkan lagi apabila lelaki terbabit yang tersedar daripada pengsan pada pagi Jumaat lalu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah, kelmarin.

Difahamkan penyerang lelaki itu kemungkinan beranggapan mangsa sudah meninggal dunia dan bertindak membuang ‘mayatnya’ di dalam hutan berkenaan untuk melupuskan bukti.
Lelaki itu yang ditikam empat kali di bahagian depan dan belakang badan dipercayai masih hidup kerana tikaman berkenaan tidak mengenai organ penting mangsa.
Sementara itu, usaha Kosmo! untuk menemu bual Arman tidak berjaya kerana dia masih lemah selepas menjalani pembedahan untuk menjahit luka tikaman pada badannya kelmarin.

No comments:

Post a Comment