Monday, February 6, 2012

BILA PENGORBAN ATAU LEBIH KURANG TIADA DALAM RUMAH TANGGA KESANNYA BURUK...MUNGKIN LAIN SEMASA BERCINTA...SELAIN SYAITAN MENGAMBIL PERANAN DAN KESEMPATAN YANG ADA

Suami gigit jari manis isteri tak mahu dahulukan sewa


AMPANG: Pertengkaran sepasang suami isteri mengenai bayaran sewa rumah menjadi ganas selepas lelaki itu menggigit jari manis dan menumbuk pipi serta paha isterinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Pasir, Hulu Klang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, wanita terbabit berusia 20 tahun yang juga pencuci mengalami pendarahan pada jari selain bengkak pada muka dan tubuh kerana dibelasah suaminya.

Menurut sumber polis, sebelum bertengkar wanita terbabit bertanyakan suaminya bila mahu membayar sewa rumah mereka bagi bulan ini yang beberapa hari tertangguh.
“Suami mangsa berusia 30-an mendakwa tiada duit dan meminta mangsa mendahulukan duitnya.

“Namun, mangsa tidak bersetuju membayar sewa rumah menggunakan duitnya kerana tahu suaminya itu tidak mengganti semula wang berkenaan,” katanya.

Katanya, situasi itu menyebabkan pasangan terbabit bertengkar sebelum suami mangsa yang berang mengambil telefon bimbit mangsa dan merosakkannya.
“Mangsa yang terkejut dengan perbuatan suaminya cuba mengambil kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit yang terjatuh.

“Bagaimanapun, suami mangsa cuba merebut kad SIM itu dan menggigit jari manis mangsa supaya melepaskan kad berkenaan. Malah, suami mangsa juga menumbuk pipi kanan dan paha mangsa selepas dia enggan menyerahkan kad itu,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang bimbang suaminya bertindak lebih ganas melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati sejurus kejadian.

Ayah, anak naik pelamin


SUNGAI BULOH: Cuti umum sempena Maulidur Rasul, semalam, tidak hanya memberi makna besar kepada umat Islam tempatan apabila meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w, sebaliknya kegembiraan berganda kepada sebuah keluarga di Kampung Kubu Gajah, di sini.
Keluarga itu mengambil berkat tanggal 12 Rabiulawal untuk meraikan bukan sepasang pengantin baru, bahkan dua iaitu anak dan bapa yang disandingkan serentak di hadapan 1,000 jemputan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor.

Malah, tertera di kad undangan perkahwinan, tuan rumah diwakili Nur’ Aziyan Zainal Abidin, 33, yang juga anak sulung dalam keluarga itu mengundang tetamu ke majlis meraikan bapanya, Zainal Abidin Nordin, 60, yang naik pelamin bersama adik perempuan, Nur’ Rushda, 25.
Nur’ Aziyan ketika ditemui berkata, seluruh ahli keluarganya sangat gembira kerana majlis dirancang berlangsung meriah, malah dia tidak hanya mendapat ibu baru iaitu Noor Aliza Ahmad, 50, malah adik ipar, Mohd Firdaus Mohd Husin, 27, yang juga penjawat awam.

“Ayah (Zainal Abidin) bernikah dengan ibu (Noor Aliza) pada 5 Januari lalu, tetapi tiada majlis diadakan dan atas sebab itu kami sekeluarga merasa perlunya mereka dirai dalam majlis perkahwinan Nur’ Rushda yang dirancang pada hari ini (semalam).

“Kami adik-beradik seramai enam orang mahukan ayah berkahwin semula selepas ibu meninggal dunia pada Aidilfitri ketujuh tiga tahun lalu dan hari ini semuanya menjadi kenyataan, memang kami gembira.
“Ayah sudah ada orang yang boleh menjaganya dan kami percaya ibu tiri mampu menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Dia calon sesuai untuk ayah kami walaupun pertemuan mereka diatur Nur’ Rushda yang berkawan dengan anak ibu.

“Lagipun, kedua-duanya pun kematian pasangan pada Aidilfitri tahun sama. Jadi tiada halangan untuk hidup bersama,” katanya. Menceritakan bibit pertemuan itu, Nur’ Aziyan berkata, sebelum ayahnya berkenalan dengan Noor Aliza setahun lalu, mereka adik-beradik sepakat menguji ibu tirinya menggunakan pelbagai cara terutama menerusi masakan dan cara mengemas rumah.
“Ayah sangat cerewet, jadi kami menguji ibu dengan masakan dan cara dia mengemas rumah. Selepas mendapati dia sangat penyabar dan bijak melayani kehendak ayah membuatkan kami merasa dia calon paling sesuai, malah ayah terbuka hati untuk berkahwin lagi,” katanya.

Mayat 2 beradik lemas ditemui sendiri ibu bapa



SIBU: Kegirangan dua beradik menjala ikan di Sungai Antu, berhampiran rumah mereka, di sini, berakhir dengan tragedi apabila ditemui lemas dan lebih menyayat hati mayat dijumpai ibu bapa mereka sendiri, kelmarin.
Sebelum kejadian, Ismail William, 11, dan adiknya, Ismawi, 6, yang tinggal bersama kakak mereka berusia 17 tahun pergi ke sungai pada jam 5 petang selepas ibu bapa keluar bekerja.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, Ismail, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Hin Hua manakala adiknya masih di tadika dikatakan keluar menjala ikan tanpa pengetahuan kakak mereka.
“Ketika kejadian, si kakak tidak menyedari adiknya menyelinap keluar membawa jaring untuk menjala ikan di sungai berkenaan.

“Kehilangan mereka disedari selepas ibu bapa kanak-kanak itu pulang daripada kerja sebelum meminta bantuan jiran serta pekerja kilang papan mencari anak mereka,” katanya.

Dia berkata, ibu mangsa menemui mayat Ismawi pada jam 9 malam disusuli mayat Ismail yang ditemui tersangkut pada jala.
Menurutnya, ibu bapa mangsa berasal dari Mukah bekerja di sebuah kilang papan di bandar ini.

“Kami terkejut kerana langsung tidak mendengar suara mereka meminta tolong walaupun tempat kejadian tidak jauh daripada rumah kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungei Merah, Awang Mohd Farbu Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, mayat kedua-dua kanak-kanak ditemui ibu bapa mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.50 malam sebelum mengerahkan lapan anggota mencari dan menyelamat.

“Namun, sebaik tiba kami dimaklumkan mayat kanak-kanak terbabit ditemui ibu bapa mereka sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.” katanya.

Dua sepupu maut ditelan ombak


PEKAN: Kegembiraan dua sepupu bersama enam rakannya menghabiskan cuti hujung minggu sempena sambutan Maulidur Rasul berakhir dengan tragedi memilukan apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Selangor, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari, mangsa, Tengku Fara Izzaty Tengku Norman Aziza, 15, dari Seremban, Negeri Sembilan, dan Nurnadirah Zainal Abidin, 17, dari Tanjung Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa yang masing-masing menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tanjung Jaafar, di Seremban dan Sekolah Menengah Tengku Abdullah, di sini, datang bercuti sebelum menyatakan hasrat mahu bersiar-siar di tepi pantai sebelum mandi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, selepas setengah jam mandi, enam daripadanya naik meninggalkan kedua-dua mangsa.

Menurutnya, tidak sampai lima minit kemudian abang kepada Tengku Fara, Tengku Sahzmin Najmi, 20, secara kebetulan terpandang kedua-dua mangsa melambai meminta pertolongan.

Katanya, Tengku Sahzmin bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat dan Bilik Gerakan Balai Polis Pekan.
“Mayat kedua-dua mangsa terbabit ditemui 25 minit kemudian hasil bantuan penduduk kampung sebelum dibawa naik ke darat untuk diberi bantuan pernafasan.

“Kedua-dua sepupu terbabit disahkan meninggal dunia sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Pekan (HP), di sini, untuk bedah siasat dijalankan,” katanya di sini, petang semalam.
Menurutnya, polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur-unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Sementara itu, bapa kepada Nurnadirah, Zainal Abdin Awang Teh, 42, berkata, dia mendapat tahu kejadian berkenaan melalui isterinya ketika menyelesaikan urusan kerja di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebelum bergegas pulang ke Pekan.

“Arwah sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya dan meminta membeli barang keperluan di asrama sebaik saja sesi persekolahan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

Penduduk taksub guna bomoh



KUALA TAHAN: Kebanyakan penduduk di Kampung Kuala Sat, dekat sini, masih lagi taksub dengan kaedah rawatan tradisional dan menganggap perubatan moden sebagai alternatif semata-mata hinggakan ada yang mendapatkan rawatan apabila penyakit mencapai peringkat berbahaya dan sukar disembuhkan.
Jururawat Masyarakat Klinik Desa Kampung Kuala Sat, Nurfatin Abdul Hadi, 23, berkata, penduduk terbabit lebih percayakan ubat tradisional yang diperturunkan nenek moyang mereka.

“Sukar apabila terpaksa berhadapan dengan orang ramai yang tidak mahu menerima perubatan moden. Pada mereka, kepercayaan kepada ilmu tahyul dan semangat animisme masih kuat…bomoh dan pawang menjadi jalan utama untuk menyembuhkan pelbagai penyakit,” katanya.
Guru yang sudah bertugas selama dua tahun di kampung itu, Siti Khadijah Zulkifli, 30, berkata, perkara itu menjadi kelaziman bagi penduduk kampung terbabit yang lebih gemar dan selesa menggunakan kaedah perubatan tradisional.

“Saya pernah dimarahi ibu bapa anak murid ketika menasihati mereka supaya berjumpa doktor atau mendapatkan rawatan perubatan moden. Pemikiran anak murid saya juga mengikut telunjuk orang tua mereka yang lebih percaya kepada semangat animisme,” katanya.

Ketika rawatan, penulis sendiri memerhati betapa sempitnya pemikiran penduduk setempat ketika mendapatkan khidmat jururawat dan doktor di sini. Rata-rata mereka kurang yakin dengan keberkesanan ubat moden dan merasakan ia tidak mampu menyembuhkan penyakit mereka. Hanya segelintir yang percaya dengan kebolehan jururawat dan doktor.
Penduduk kampung, Siti Fatimah Mesah, 50, berkata, dia lebih selesa menggunakan khidmat bomoh dan perubatan tradisional herba berbanding ubatan moden kerana ia menjadi kepercayaan utama mereka.

“Di sini, apabila ada saja penyakit, kami akan mendapatkan rawatan daripada bomoh terlebih dulu. Sekiranya ia tidak menemui jalan penyelesaian, barulah kami dapatkan rawatan ubat moden pula,” katanya.
Situasi berlainan di Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Gusai dan Kampung Bantal apabila penduduk menerima baik perubatan moden dan sedikit demi sedikit meninggalkan kepercayaan animisme.

No comments:

Post a Comment