Sunday, February 5, 2012

HABIS HUDUD MACAM MANA..PEREMPUAN TAK PAKAI TUDUNG...PECAH AMANAH...RASUAH...BANYAK MAKSIAT...ANJUR MAKSIAT..DLL....IKUT KONSEP MADINAH KE...CAKAP BIAR SERUPA BIKINLAH...JANGAN MALIKAN DIRI BALIK..KITA AKAN BALIK MENEMUI ALLAH...NAK JAWAB APE NANTI...CAKAP SIANG PANDANG2..CAKAP MALAM DENGAR2...SEKARANG BANYAK ORANG CAKAP CARI MAKAN@CARI DUNIA SERTA PUJIAN...DIRI YANG CAKAP PUN TAK BUAT APA YANG DIA CAKAP...KELENTUNG AJE...

Wanita ditemui mati ditikam dalam kereta sendiri



MAYAT Chew Peng ditemui mati di dalam keretanya sendiri dipercayai dibunuh
di Serdang Perdana, Serdang malam kelmarin.



SERDANG – Seorang pekerja swasta yang sepatutnya pulang untuk makan malam bersama keluarganya ditemui mati dibunuh di dalam keretanya sendiri di kawasan tempat letak kereta di Serdang Perdana di sini malam kelmarin.
Mangsa, Goh Chew Peng, 39, yang tidak pulang-pulang ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini selepas pukul 8 malam pada hari kejadian merisaukan ahli keluarganya dan mangsa gagal dihubungi melalui telefon bimbitnya.
Suami mangsa kemudiannya menelefon pejabat syarikat teknologi maklumat tempat isterinya bekerja sebagai pembantu peribadi itu dan memaklumkan apa yang berlaku.
Tidak lama selepas itu, isterinya ditemui oleh orang ramai mati di dalam kereta Honda City miliknya kira-kira pukul 9 malam.
Jarak di antara rumah mangsa dari tempat kejadian kira-kira 12 kilometer.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superitendan Abdul Razak Elias berkata, ketika ditemui, kereta mangsa tidak berkunci dan mangsa berada di tempat duduk pemandu.
Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kecederaan akibat tikaman di leher selain kesan jerut.
“Kita percaya mangsa telah dibunuh di dalam keretanya kira-kira pukul 8 malam,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Setakat ini, menurutnya, polis masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian bagaimanapun barangan seperti dompet, telefon bimbit dan jam tangan milik mangsa tiada.
Polis menemui sebilah pisau di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua negeri Australia tenggelam


GAMBAR disiarkan oleh pihak berkuasa New South Wales menunjukkan bahagian utara negeri berkenaan ditenggelami air bah kelmarin.



SYDNEY - Ribuan penduduk terputus hubungan semalam selepas hujan lebat menyebabkan air beberapa tebing sungai pedalaman timur Australia melimpah dengan sebahagian keluarga diancam ular berbisa ketika berlindung di bumbung rumah, kata pasukan penyelamat.
Di Queensland sahaja lebih 11,000 orang terputus hubungan, setahun selepas sekitar 35 orang maut dalam banjir kilat yang turut menenggelamkan 30,000 kediaman di negeri berkenaan dan New South Wales (NSW).
Beberapa pekerja penyelamat berkata, paras air sungai di beberapa bahagian meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh setengah abad dengan air bah menenggelami sebahagian besar tanaman termasuk kapas, tebu, kacang soya dan jagung.
Bacaan banjir di beberapa batang sungai di negeri NSW dan Queensland mencatat paras melebihi 13 meter.
Biro Meteorologi Australia pula meramalkan banjir akan berterusan selama beberapa hari malah, di beberapa kawasan, ia dijangka berlanjutan hingga beberapa minggu.
Beberapa pekerja penyelamat berkata, bandar Moree yang terketak di kawasan paling teruk terjejas banjir di utara NSW kini terputus hubungan dengan dunia luar.
Pihak berkuasa menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat untuk menyelamatkan mangsa dan menggugurkan bantuan dengan ramai penduduk diancam ular-ular berbisa yang mendiami bumbung rumah mereka bagi mengelak air banjir.
"Kawasan paling teruk terjejas bagi kami adalah di sekitar bMoree dengan 10,000 orang terputus hubungan," kata seorang jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negara, Phil Campbell
Menurutnya, setakat ini, lebih 2,000 orang sudah dipindahkan dengan lebih 16,000 orang terputus hubungan di NSW. - Reuters

Arnab jadi anjing penggembala



GAMBAR klip video YouTube menunjukkan 
Champis menggembala biri-biri tuannya 
di perkampungan Kal, Sweden.


STOCKHOLM, Sweden - Seekor arnab bernama Champis bukan sahaja pandai melompat tetapi ia juga mahir menggembala biri-biri peliharaan tuannya.
Champis dipercayai memiliki kebolehan tersebut selepas ia menyaksikan dan meniru perbuatan beberapa anjing penggembala terlatih di ladang ternakan tuannya di perkampungan kecil Kal, utara Sweden.
Arnab jantan berusia 5 tahun itu mencetuskan sensasi di internet pada minggu lalu selepas klip video memaparkan kebolehan ia menggembala biri-biri ditonton lebih 700,000 kali di laman perkongsian video YouTube.
Klip video yang dimuat naik pada Jun lalu itu menunjukkan Champis berkejar ke sana dan ke mari untuk mengawal ternakan biri-biri milik Nils-Erik dan isterinya, Greta Vigren di ladang mereka.
"Arnab ini mula berperangai pelik seperti seekor anjing penggembala sejak musim bunga tahun lalu tetapi ia tidak mengganggu ternakan ayam tuannya," kata seorang rakan pasangan itu, Dan Westman yang merakam dan memuat naik aksi Champis di YouTube. - AP

Pengasuh enggan serah anak


WANCHAK menunjukkan gambar Muhammad Ashraf sambil diperhatikan Syed Othman 
di Pasir Gudang semalam.



JOHOR BAHRU - "Sudah macam-macam usaha saya buat, saya mahu anak saya semula, saya sangat rindu padanya."
Demikian luahan seorang ibu warga Singapura, Wanchak Ibrahim, 43, yang mendakwa anaknya tidak dipulangkan setelah diserahkan untuk dijaga oleh sebuah keluarga di Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Pasir Gudang di sini, sembilan bulan lalu.
Ketika diserahkan pada 20 Mac tahun lalu, anaknya, Muhammad Ashraf Abdullah berusia 11 bulan.
Muhammad Ashraf merupakan anak Wanchak bersama suami pertama dan ketika ini dia turut mempunyai dua orang lagi anak hasil perkahwinan dengan suami kedua.
Sebelum ini, Wanchak menyewa sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dekat sini, iaitu lima kilometer dari Kampung Sentosa, Cahaya Baru.
Wanchak yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura mengambil keputusan menghantar anaknya ke rumah tersebut setelah diperkenalkan oleh adik angkatnya.
Selain itu, langkah itu dibuat kerana dia perlu keluar rumah seawal pukul 8 pagi manakala pulang pada pukul 12 tengah malam.
Wanchak menetap di Kampung Pasir Puteh kerana bapanya merupakan warga Malaysia dan ia memudahkannya melawat ahli keluarga.
Menurutnya, anaknya itu diserahkan kepada keluarga terbabit dengan bayaran RM10 sehari dan akan diambil semula pada hujung minggu.
"Namun, apabila saya cuba menghubungi salah seorang ahli keluarga terbabit, saya tidak dapat mendengar suara anak saya bahkan tiga empat hari kemudian panggilan telefonnya tidak lagi dijawab menyebabkan seminggu kemudian saya pergi ke rumah terbabit tetapi tidak dibenarkan masuk berjumpa dengan anak saya.
"Jika masuk ke dalam rumahnya, dia ugut akan membuat laporan polis selain memberitahu anak saya telah diserahkan kepada orang lain," katanya kepada pemberita di Pejabat Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Pasir Gudang di sini semalam.

Lebih seorang maut di Filipina

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat militan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) di selatan Filipina kelmarin.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat Malaysia yang terbunuh itu dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pertubuhan JI dan Darul Islam.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut mengenai identiti anggota kumpulan itu yang terbunuh masih dijalankan untuk membuktikan kewarganegaraan mereka.
Sumber keselamatan memaklumkan, polis sudah mengambil asid deoksiribonukleik (DNA) isteri, ibu, anak dan adik kepada Zulkifli Abdul Hir, (gambar kecil) manakala DNA keluarga Amin Bacho dan Jeknal Adil, dua anggota kumpulan militan Darul Islam yang dipercayai turut terbunuh dalam insiden itu akan diambil esok, di Tawau, Sabah.
"Saya ucapkan takziah dan terima kasih kepada anggota keluarga mereka yang terbunuh kerana memberi kerjasama membantu mengecam mereka yang terbunuh.
"Saya dimaklumkan proses pengesanan DNA ini tidak akan mengambil masa yang lama dan ketika ini wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Task Force dan Counter Terrorism berada di Filipina untuk membantu menguruskan jenazah mereka yang terbunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau mengulas serangan tentera Filipina ke atas kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan JI di Sulu, wilayah selatan Filipina hingga menyebabkan 15 militan kumpulan itu terbunuh.

Jaga rakyat ikut konsep Madinah

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam mendahulukan perpaduan, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan.
Beliau berkata, semua inisiatif itu jelas bertepatan dengan konsep negara Madinah yang telah diasaskan oleh Rasulullah dalam menjaga kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata demikian dalam mesej sempena sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah yang disiarkan melalui laman blog beliau, www.1Malaysia.com.my.
Menurut beliau, antara inisiatif kerajaan melalui jenama 1Malaysia yang telah diperkenalkan Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia),
Dalam pada itu, Perdana Menteri menarik perhatian bahawa tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Perpaduan Asas Perpaduan Ummah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam menjayakan agenda transformasi negara.
"Persefahaman inilah yang saya utarakan melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) ke seluruh dunia dengan seruan bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan manusiawi.
"Sememangnya keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi hari ini menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia," katanya.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini pula berkata, cabaran bagi umat Islam di Malaysia amat besar tetapi mereka tidak boleh leka atau hanyut dibawa cabaran tersebut kerana ini boleh menjurus kepada keruntuhan ummah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu menerapkan nilai-nilai murni termasuk mengukuhkan kepimpinan serta sahsiah diri sebagaimana yang disarankan Rasulullah untuk menghadapi cabaran itu dengan penuh kejayaan.

Hadiah mayat

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

SUNGAI SIPUT: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bertindak menggantung diri sebagai hadiah hari jadi buat bekas teman lelakinya dalam satu kejadian di Taman Tun Sambanthan, di sini, pagi semalam.
Lima minit sebelum mengambil keputusan menggantung diri, mangsa dikenali L Valarmathi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Abdul Wahab itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas teman lelakinya itu.

Difahamkan, mangsa baru putus cinta dengan teman lelakinya itu yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah lain bertindak demikian kerana mengalami tekanan perasaan. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Valarmathi ditemui maut apabila menggantung diri pada kipas di dalam biliknya menggunakan sehelai kain sari.
Mayat mangsa ditemui ibubapanya yang bergegas pulang ke rumah selepas mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya yang memaklumkan mengenai SMS yang mengejutkan itu.

Bapa mangsa, M Lingam, 46, ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sungai Siput semalam berkata, dia mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya itu sebelum bergegas pulang bersama isteri ke rumah.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah, dia cuba memanggil anaknya yang berada di dalam bilik, namun tidak berjawab sebelum menendang pintu bilik berkenaan.

“Saya terkejut mendapati badan Valarmathi tergantung pada kipas dengan leher dililit sehelai kain sari dan muka kebiruan.

“Ketika kejadian, Valarmathi keseorangan di rumah, manakala saya dan isteri keluar bekerja selain anak yang lain bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi berkata, mangsa bertindak membunuh diri dipercayai kerana mengalami masalah peribadi dan tekanan perasaan.

Katanya, kejadian itu disedari bapa mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menemui mangsa sudah tidak bernyawa.

“Mangsa tidak ke sekolah pada hari kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan punca kejadian masih disiasat. Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment