Monday, July 23, 2012

ALLAH BOLEH MUSNAH SATU2 TEMPAT DENGAN BERBAGAI CARA...KERANA ALLAH MAHA KUASA..TETAPI ADA LAGI MANUSIA YANG SOMBONG DAN BONGKAK...IBLIS KAFIR PUN SEBAB SOMBONG DAN BONGKAK

Badan menggigil dengar tembakan

petugas Persatuan Pelajar Malaysia Syria, Aman Akil dan Syahidan Abu Hanifah (kanan) mengemaskan barang-barang untuk pulang ke Malaysia di pejabat persatuan itu dekat Mujtahid, Damsyik semalam. - Gambar ihsan Muhammad Nadir Al-Nuri


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Malaysia yang baru pulang ke Syria setelah bercuti di Istanbul, Turki menceritakan saat cemas untuk kembali ke Damsyik yang merupakan ibu kota Syria apabila helikopter tentera berlegar-legar di udara sambil melepaskan tembakan bertalu-talu.
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, 25, berkata pada mulanya, dia menaiki bas dari bandar Aleppo menuju ke Damsyik.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Jisir Baghdad, pihak tentera menahan kumpulannya dan tidak membenarkan mereka meneruskan perjalanan.

Muhammad Nadir Al-Nuri


“Saya terpaksa berjalan kaki sejauh 25 kilometer untuk ke Damsyik namun bersyukur dapat menumpang sebuah lori bersama tiga rakan warga Syria,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Syria bergolak dengan perang saudara berikutan keengganan Presiden Bashar Al-Assad untuk meletakkan jawatan yang telah menyebabkan kumpulan pemberontak meneruskan perjuangan menentang askar-askar Syria sejak Mac tahun lalu.
Menurut Muhammad Nadir, ketika tiba di pinggir bandar Damsyik pada pukul 7.30 malam, sebuah helikopter berlegar di ruang udara sambil melepaskan tembakan ke arah sebuah bangunan.
“Bunyi letupan meletus dan berselang-seli dengan bunyi tembakan ke udara.

DERETAN bangunan mengalami kerosakan akibat pertempuran di pinggir bandar Erbeen, Damsyik.


“Kami begitu takut dan saya tidak putus-putus berzikir dalam hati supaya dapat pulang dengan selamat,” ujar pemuda itu yang merupakan Exco Penerangan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS).
Pelajar jurusan Syariah dan Bahasa Arab di Ma’ahad Dawil, Damsyik itu yang mempunyai keluarga di Bandar Baru Bangi, Selangor bersyukur kerana terselamat.
“Tidak ada mayat kelihatan tetapi kerosakan pada bangunan sekitar kawasan itu jelas dapat dilihat,’’ katanya.



Ketika ditanya mengenai keadaan rakyat Malaysia di sana, dia menjelaskan, rakyat Syria telah banyak membantu memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Jika ada pelajar Malaysia yang pulang lewat daripada kuliah, beberapa orang penduduk yang lengkap bersenjatakan parang dan kayu akan mengiringi pelajar kita pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.

Bekas banduan aktif beri ceramah


JAMIL menunjukkan sijil-sijil penghargaan yang diterimanya di Kampung Belimbing, Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG – Bekas banduan antara yang paling lama dipenjarakan di negara ini, Jamil Ahmad, 62, sentiasa dipanggil untuk memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Menurut Jamil, dia tidak pernah menolak sekiranya ada jemputan yang memintanya untuk berkongsi pengalaman hidup di dalam tirai besi kerana beliau berasa ia menjadi satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
“Saya tidak pernah berasa malu sebaliknya rasa bertanggungjawab untuk menceritakan mengenai kepahitan hidup di dalam penjara kepada orang ramai terutama golongan muda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belimbing di sini semalam.
Katanya, sejak dibebaskan daripada Penjara Sungai Buluh pada 3 Oktober 2006, dia telah mendapat lebih 300 jemputan untuk memberikan ceramah motivasi kepada orang ramai terutama pelajar sekolah.
“Saya pernah ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) Segamat dan banyak sekolah di seluruh negara termasuk di Kedah, Perlis dan Selangor untuk beri ceramah motivasi.
“Cuba bayangkan masa muda saya dihabiskan di dalam penjara iaitu sejak saya berumur 26 tahun dan dibebaskan setelah dipenjara selama 30 tahun, 11 bulan dan sembilan hari,” katanya dalam wajah benar-benar insaf dan bertaubat atas segala kesilapannya yang lalu.
Jamil memberitahu, dia akan terus aktif dalam program ceramah motivasi terutama kepada golongan belia bagi menyekat mereka daripada terlibat dalam gejala sosial termasuk jenayah seperti yang pernah berlaku kepadanya suatu ketika dahulu.

Mangsa ketiga putus tangan kiri


KIM SHENG (kanan) memerhatikan mayat Henry yang dibawa ke jeti Pekan Sebuyau semalam selepas ditemui dalam tragedi helikopter terhempas.


SAMARAHAN - Mayat mangsa terakhir penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau di sini ditemui semalam.
Mangsa Henry Loh, 42, ditemui pada pukul 8 pagi terapung di tengah laut berhampiran Pulau Tereso iaitu tidak jauh dari lokasi helikopter tersebut terhempas pada Jumaat lalu.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Sekan Anak Gundah berkata, hasil maklumat penduduk kampung pihaknya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari jeti Pekan Sebuyau.
"Semasa ditemui mangsa dalam keadaan masih lengkap berpakaian tetapi tangan kirinya hilang dipercayai dimakan ikan buntal.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti dan tiba pada pukul 8.28 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.
Berikutan penemuan mangsa terakhir, operasi mencari dihentikan pada pukul 8.40 pagi.
Bagaimanapun, bangkai helikopter tersebut belum ditemui.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat menggunakan empat buah bot pada hari ketiga semalam itu dimulakan seawal pukul 7.40 pagi dengan dibantu oleh 16 anggota dari Siburan, Kota Samarahan, Simunjan serta ibu pejabat bomba negeri.
Tinjauan Kosmo! ke Klinik Kesihatan Sebuyau semalam mendapati ahli keluarga arkitek tersebut yang tinggal di Kuching hadir untuk proses menuntut mayat selepas dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Adik ipar mangsa, Law Kim Sheng, 40-an, dilihat tidak dapat mengawal perasaan dengan kematian mangsa sehingga dia terpaksa ditenteramkan oleh saudaranya K.C. Law, 48.
Mayat Henry kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dekat sini.

Polis cedera diserang 30 samseng


DI sinilah dua anggota polis cedera selepas diserang sekumpulan 30 samseng dalam kejadian di Flat Muara Indah, Jalan PJS 4/27, Taman Medan semalam.


PETALING JAYA - Sekumpulan 30 lelaki bersikap samseng apabila mencederakan dua anggota polis selepas berang ketika diarahkan bersurai dan tidak membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian di sebuah Flat Muara Indah di Jalan PJS 4/27, Taman Medan di sini semalam.
Kejadian pukul 2.25 pagi itu berlaku apabila penduduk yang tidak tahan dengan bunyi bising ditimbulkan oleh kumpulan berkenaan telah menghubungi polis bagi mengawal keadaan.
Difahamkan, samseng-samseng berusia antara 20 hingga 30 tahun itu membuat bising serta membuka sistem audio dari kereta dengan bunyi kuat kononnya untuk menyambut sambutan majlis hari jadi seseorang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pada mulanya, sebuah kereta peronda dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima aduan penduduk.
Katanya, anggota yang tiba kemudian memberi nasihat supaya kumpulan tersebut bersurai dan mereka berpura-pura akur.
"Bagaimanapun, sebaik polis beredar, mereka bertindak membuat bising semula dan polis sekali lagi bergegas ke sana untuk memberi arahan serupa sebelum meninggalkan kumpulan itu.
"Polis kemudian pergi buat kali ketiga di situ selepas menerima aduan penduduk dan keadaan semakin tidak terkawal hingga memaksa sebuah lagi kereta peronda dihantar ke situ. Ketika itulah, berlaku pergelutan dan dua anggota kami mengalami kecederaan di kepala, lutut dan dada," katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, ekoran itu, seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan manakala bakinya dapat melarikan diri.
Menurut Arjunaidi, siasatan lanjut mendapati kumpulan lelaki tersebut tidak menggunakan sebarang senjata ketika kejadian dan polis masih menyiasat sama ada mereka berada di bawah pengaruh alkohol ketika itu.

Wanita dicabul dua pekerja hotel


Sakari (kiri) dan Mohd. Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan mencabul.


KOTA BHARU - Dua pekerja Hotel Grand Riverview di sini semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bersama-sama mencabul seorang wanita berusia 46 tahun di tangga hotel berkenaan pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Sakari Mohamad, 54, berasal dari Kuala Terengganu dan Mohd. Ridzuan Mahmood Maidin, 36, dari Pasir Puteh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel bertaraf empat bintang itu didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 46 tahun yang merupakan pengunjung hotel untuk mencabul mangsa di atas tangga di tingkat 11 hotel pada pukul 11.40 pagi, 16 Julai lalu.
Difahamkan, wanita dari Pasir Mas itu yang merupakan seorang ahli perniagaan mengunjungi hotel tersebut untuk menemui seorang rakan bagi berbincang mengenai perniagaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nora Abu Bakar.
Noor Dayana menawarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 namun Nora merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.
"Sakari mempunyai lima orang anak dan berpendapatan sebanyak RM500 sebulan manakala Mohd. Ridzuan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan. Masing-masing sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil.
"Sakari sudah bekerja selama 16 tahun di hotel berkenaan manakala Mohd. Ridzuan telah bekerja selama 12 tahun di situ," katanya.
Mohd. Fazaly Ali bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes. Kedua-dua suspek gagal membayar wang ikat jamin.

Guna sijil MC tipu pensyarah


SALAH sebuah klinik yang dikenal pasti menjual sijil cuti sakit kepada pelajar di Ipoh, Perak.


IPOH - Sebuah klinik swasta di sini dikenal pasti menjual sijil cuti sakit (MC) kepada pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang sengaja tidak mahu menghadiri kuliah atau peperiksaan pada hari yang ditetapkan.
Lebih menyedihkan, pelajar terbabit boleh mendapatkan sijil MC palsu bagi menghalalkan tindakan mereka ponteng kuliah dan peperiksaan dengan bayaran RM5.
Tempoh 'sah laku' sijil itu ialah sehari.
Masalah tersebut dikesan oleh pensyarah di salah sebuah IPT di sini yang mendapati 80 peratus daripada sijil MC itu diperoleh dari klinik sama.
Berikutan itu, kata pensyarah yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk tidak menerima sijil MC dari klinik terbabit.
"Jika seorang dua pelajar menghantar sijil MC dari klinik yang sama, ia mungkin satu kebetulan.
"Tetapi hampir 80 peratus daripada puluhan MC yang diterima adalah dari klinik yang sama, jadi kami syak ada sesuatu yang tidak kena," dedahnya kepada Kosmo! di sini.

Tentera Bashar bertempur di Damsyik


AFP
SEBUAH bangunan musnah akibat serangan tentera Bashar di pinggir Damsyik.


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.
Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.
Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.
"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.
"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.

REUTERS
SEBUAH trak musnah dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad di Erbeen, Damsyik kelmarin.


Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.
Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.
"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.
Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.
"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya. - Agensi

10 maut akibat hujan paling lebat di Beijing


AP
SEORANG lelaki mendukung seorang wanita dekat sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir di Beijing kelmarin.



AFP
BEBERAPA orang berjalan dalam hujan di tepi runtuhan sebuah struktur bangunan di Beijing kelmarin.


BEIJING - Seramai 10 orang maut selepas hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun melanda ibu kota China ini yang turut menyebabkan banjir, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Kira-kira 80,000 orang turut terperangkap di sebuah lapangan terbang utama di sini ekoran hujan tersebut.
Hujan itu bermula pada waktu tengah hari kelmarin dan berterusan sehingga malam.
Beberapa batang jalan raya turut dilanda banjir.
Menurut agensi berita tersebut, dua orang terbunuh selepas bumbung sebuah bangunan runtuh manakala seorang lagi maut dipanah petir di pinggir Tongzhou.
Beberapa kematian lain berlaku disebabkan kejutan elektrik ekoran tiang elektrik tumbang, lapor Xinhua.
Menurut Beijing News, lebih 500 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Bagaimanapun, sistem tren bawah tanah tidak terjejas walaupun terdapat ramai orang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah selepas mereka tidak dapat menggunakan teksi, bas dan kereta sendiri.
Menurut Xinhua, ibu kota ini menerima secara puratanya kira-kira 170 milimeter (mm) hujan.
Ia melaporkan daerah perbandaran Fangshan menerima sebanyak 460mm hujan. - Reuters

No comments:

Post a Comment