Saturday, July 28, 2012

DAHLAH MEREKA DAH KAWIN...PERKARA BAIK JANGAN DISOGEL2 LAGI...MALANG TIADA BERBAU...SENTIASALAH MOHON PERLINDUNGAN ALLAH SWT

‘Saya tak kisah pandangan umum’

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

KENANGAN...antara video perkahwinan Syafiq dan Yana dalam YouTube.
KENANGAN...antara video perkahwinan Syafiq dan Yana dalam YouTube.
PEKAN: Video majlis perkahwinan pengantin muda, Syafiq, 16 dan Yana, 14, yang dipaparkan di YouTube hingga menarik perhatian lebih setengah juta penonton mengejutkan ayah pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 37.
Man berharap, majlis perkahwinan anaknya itu tidak dijadikan isu kerana berkahwin pada usia muda seakan-akan sudah menjadi tradisi dalam keluarganya.
“Hampir semua ahli keluarga kami, baik di sebelah keluarga saya mahupun isteri menamatkan zaman bujang masing-masing pada usia muda iaitu 14 hingga 19 tahun.

“Saya berkahwin pada usia 19 tahun dan sehingga kini rumah tangga saya bahagia tanpa sebarang masalah, ” katanya ketika dihubungi.


Man agak keberatan untuk mengulas lanjut mengenai perkahwinan itu dan enggan membenarkan Harian Metro berjumpa serta menemu bual anak dan menantunya.

Pasangan dapat kebenaran bernikah



KUANTAN: Pasangan suami isteri bawah umur, Syafiq, 16 dan Yana, 14, sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama sebelum dinikahkan, baru-baru ini.
Sumber Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berkata, peruntukan undang-undang syariah negeri itu menetapkan, individu yang mahu berkahwin perlu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan dilakukan, pasangan itu sudah memohon di Mahkamah Rendah Syariah Pekan bagi membolehkan mereka berkahwin dan permohonan mereka dibenarkan.
“Oleh itu, tidak timbul sama ada pasangan terbabit melakukan kesalahan atau tidak kerana peraturan asas yang ditetapkan sudah dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Kuantan, Ahmad Nizam Abdul Manan berkata, mustahil pasangan pengantin bawah umur itu boleh meneruskan pernikahan jika tidak mendapat kebenaran kerana Jaip melakukan pemeriksaan status dan umur pengantin sebelum meluluskan permohonan mereka untuk bernikah.

Beliau berkata, peruntukan mengenai pasangan bawah umur yang ingin berkahwin sudah termaktub mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhak menolak mana-mana permohonan untuk bernikah jika syarat utama itu tidak dipatuhi.

“Bagi individu bawah umur yang mahu berkahwin mereka perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum meneruskan permohonan untuk bernikah,” katanya.

Remaja didakwa bunuh ibu angkat

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

DIDAKWA...remaja bawah umur (kanan) bersama kakak tirinya dibawa ke mahkamah, semalam.
DIDAKWA...remaja bawah umur (kanan) bersama kakak tirinya dibawa ke mahkamah, semalam.
KLANG: Seorang pelajar berusia 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh ibu angkat berusia 72 tahun dengan cara menekup muka mangsa dengan bantal di Klang dekat sini, dua minggu lalu.
Remaja itu dan pekerja, Zahidah Ahmad, 29, yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, remaja itu dilihat mengalirkan air mata, manakala Zahidah kelihatan tenang.


Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa membunuh Tanziah Zainuddin yang juga guru agama di sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar, Klang jam 5.30 petang pada 14 Julai lalu.

Rindu tak terlerai

Oleh Norasikin Daineh
hmkk@hmetro.com.my

KALIL...rancang temui anak Aidilfitri ini
KALIL...rancang temui anak Aidilfitri ini
LABUAN: Bapa seorang daripada mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan kapal MT Bunga Alpinia di jeti Petronas Methanol Labuan (PML), di sini, kelmarin, terkilan kerana tidak sempat berjumpa anaknya selepas 19 tahun mereka tidak bertemu.
Kalil Abdullah, 43, berkata anaknya, Mohd Hanafi, 24, dibesarkan oleh bekas isterinya sejak berusia lima tahun sebelum menetap bersama ibu saudara mereka di Bidor, Perak.

“Saya memang merancang untuk bertemunya pada Aidilfitri akan datang, namun amat sedih kerana hasrat itu tidak terlaksana,” katanya yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Nukleus Labuan, di sini, semalam. Kalil berpisah dengan ibu mangsa pada 1993 dan kini menetap di Sandakan berkata dia mengetahui mengenai kejadian letupan itu melalui media dan terkejut apabila mendapati nama anaknya tersenarai sebagai mangsa yang hilang.
“Sebaik mengetahui perkara ini, saya bergegas ke sini (Labuan) dengan harapan dapat bertemu dengan arwah dalam keadaan selamat, tapi harapan saya hancur apabila mendapati satu daripada dua mayat yang ditemui disahkan anak saya.

“Saya amat terkilan kerana tidak sempat berjumpanya dan tidak menyangka kami akhirnya bertemu dalam keadaan sebegini,” katanya.

Menurut Kalil, dia pernah berhubung dengan anak pertamanya itu menerusi telefon kira-kira dua tahun lalu dan merancang untuk bertemu.

“Saya dan dia (Mohd Hanafi) ada merancang untuk bertemu pada Disember tahun lalu bersama dua lagi anak saya yang juga adik kepada arwah, namun keadaan ketika itu menyebabkan perancangan itu terbantut,” katanya.

Kalil berkata, sebelum ini dia ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada adik Allahyarham Mohd Hanafi memintanya mendoakan keselamatan mangsa yang dipanggil ‘Abang Long’ kerana dikhuatiri terbabit dalam malapetaka ini.
“Kebimbangan kami menjadi kenyataan apabila laporan berita di televisyen mengenai kejadian letupan itu menyiarkan nama anak saya sebagai mangsa masih hilang sebelum mayatnya ditemui hari ini (semalam),” katanya.

Diragut ketika tunggu berbuka



ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas terpaksa menggunakan seluruh kudrat tuanya dalam usaha menghalang peragut melarikan rantai tangannya dalam kejadian di Kampung Paya Datuk, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa, Kalsom Ahmad, 62, yang menunggu waktu berbuka puasa di beranda rumahnya didatangi dua lelaki menaiki Perodua Kancil berwarna putih.

Menurut Kalsom, dia yang berada di beranda rumah melihat kenderaan itu masuk ke jalan mati berhampiran rumahnya.
“Kereta itu kemudian berpatah semula ke lorong arah rumah saya sebelum seorang lelaki keluar ke arah saya. Bimbang lelaki itu berniat jahat, saya bangun dan cuba masuk ke dalam rumah.

“Lelaki itu kemudian merentap rantai tangan saya dengan kuat dan saya cuba menghalang, namun tidak berdaya,” katanya di sini, semalam.

Katanya, selepas merentap rantai tangan, lelaki yang tidak memakai topeng muka itu terus berlari ke arah kereta dinaikinya sebelum melarikan diri bersama rakannya.

“Pada masa sama saya menjerit sekuat hati sebelum anak saudara, Zailani Ahmad, 49, yang tinggal tidak jauh dari rumah berlari untuk membantu,” katanya yang kerugian kira-kira RM2,000.

Sementara itu, Zailani berkata, ketika sedang mengopek buah kelapa di rumah, dia melihat Perodua Kancil itu berpatah balik selepas memasuki jalan mati.
“Mulanya saya perhatikan saja kerana beranggapan pemandunya tersesat jalan. Sambil mengopek kelapa saya sempat melihat nombor pendaftaran kereta itu dan menyalinnya di atas kertas.

“Pada masa sama saya lihat mereka berborak kuat sambil menunjuk isyarat tangan kononnya sedang mencari arah jalan sebelum seorang lelaki menunjuk ke arah rumah ibu saudara saya,” katanya.

Menurutnya, tidak berapa lama kemudian dia terdengar jeritan kuat mangsa.

Dia kemudian bergegas ke rumah ibu saudaranya sebelum melihat mangsa tersandar pada kerusi di luar rumah sambil memegang tangan kirinya yang bengkak dan lebam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis kini giat memburu dua suspek menjadikan warga emas sebagai sasaran ragut mereka.

2 hari mati dalam tandas

Oleh Jauhariatul Akmal Johar
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Beberapa hari lalu, ayah sering mendengar lagu nasyid berunsurkan ingatan terhadap kematian dari telefon bimbitnya. Tak sangka, ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Ilyas Farhad Mohd Khairudin, 19, anak kepada Mohd Khairudin Nordin, 55, yang mayatnya ditemui dalam keadaan terduduk di dalam tandas Masjid Kempas, Lati, kelmarin.
Mohd Khairudin yang juga seorang guru di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Banggol Kulim, di sini, dipercayai meninggal dunia sejak dua hari lalu akibat serangan jantung dan penyakit darah tinggi.

Mayat Mohd Khairudin ditemui pada jam 2.50 petang selepas seorang bilal masjid curiga dengan kehadiran lalat dan bau busuk dari sebuah tandas dan cuba membuka pintu tandas berkenaan, namun ia berkunci dari dalam sebelum memaklumkannya kepada Setiausaha Masjid Kempas dan polis.

Pintu tandas akhirnya dapat dibuka hasil bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas yang bertindak memecahkan pintu tandas yang diselak menggunakan kunci kereta mangsa.


Mayat Mohd Khairudin dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Penambang, di sini.

‘Saya serik’

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

PORT DICKSON: “Saya serik dan takut untuk menikmati makanan di bazar Ramadan lagi,” kata Tuan Maizatul Elmi Syed Mazlan, 18, seorang daripada 36 mangsa keracunan makanan selepas menikmati bihun sup yang dibeli di bazar Ramadan berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang, di sini, kelmarin.
Maizatul dan rakannya, Kartika Idayu Tajul Arifin, 19, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson (HPD) berikutan tekanan darah rendah akibat dehidrasi, kini dilaporkan stabil.

Daripada 36 mangsa, 12 dimasukkan ke HPD termasuk kanak-kanak perempuan, Nurul Sabrina Idris, 7, yang turut mengalami simptom sama selepas memakan sup dan bihun sup dijual peniaga terbabit.

Mangsa yang kebanyakannya pelajar kolej berkenaan dipercayai menikmati bihun sup dibeli daripada seorang peniaga di bazar itu ketika berbuka Rabu lalu dan mengalami simptom keracunan makanan, pagi kelmarin.


Warden kolej itu kemudian membawa 33 pelajar terbabit ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang sebelum sembilan daripada mereka dirujuk ke HPD, manakala 24 yang lain dibenarkan pulang.

‘Berbuka pun tak lepas’

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Nak beli baju raya guane gini (macam mana ni), nak dapatkan RM10 sehari pun susah, naik lemah gini,” kata seorang penarik beca, Hashim Omar, 60, dalam loghat Terengganu dari Kampung Laut, di sini, yang ditemui Harian Metro di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, semalam.
Hashim yang ditemui sugul menantikan penumpang di pekarangan Pasar Besar Kedai Payang meluahkan rasa bimbang berikutan khidmat becanya kurang mendapat sambutan pada Ramadan.

“Ketika keluar rumah tadi, saya berjanji pada isteri untuk membeli ikan, bawang dan barangan lain untuk juadah berbuka puasa, tetapi memandangkan dari jam 7 pagi hingga 1 tengah hari hanya memperoleh RM4, saya tidak mampu menunaikan permintaan isteri itu.

“Apa boleh buat, orang ramai sudah tidak berminat untuk menggunakan khidmat beca walaupun tambang yang dikenakan kini sudah murah berbanding beberapa tahun sebelum ini.


“Jika dulu kita tetapkan tambang, tetapi kini memandangkan sambutan yang hambar kita serahkan kepada penumpang untuk menentukannya, sama ada RM2 atau lebih berpandukan jarak atau destinasi yang dituju,” katanya.

4 guna renjatan elektrik samun pemilik butik



KUALA LUMPUR: Empat penyamun yang menggunakan alat renjatan elektrik terhadap seorang wanita ketika menyamun butik pengantinnya di Taman Tasik Permaisuri di sini, bukan saja melaram dengan pakaian dan barang curi bernilai lebih RM10,000 bagaikan orang kaya di sebuah pusat beli-belah, malah turut mencabul wanita berkenaan, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat penyamun berkenaan menyamar sebagai pelanggan ingin menempah pakaian untuk majlis akad nikah, mula mengintip pergerakan di kawasan butik beberapa jam sebelum itu.

Mangsa mahu dikenali sebagai Yati, 28, berkata ketika dia berehat di atas sofa butik yang terletak di tingkat satu, seorang lelaki masuk memberitahu mahu menempah pakaian untuk akad nikah melalui interkom.
Bagaimanapun katanya, sebaik membuka pintu butik, tiga lagi rakan lelaki itu menyerbu masuk sebelum mengenakan alat renjatan elektrik ke mukanya menyebabkan badannya lemah.

“Akibat terkena renjatan elektrik pada muka, saya terkencing dan terduduk lemah.

“Mereka menggeledah setiap ruang dalam butik dan melarikan beg tangan mengandungi 10 kad kredit, dua telefon bimbit, komputer tablet, barang kemas, wang tunai, cermin mata dan pakaian pengantin lelaki semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian tubuhnya turut diraba dan dalam tempoh 10 minit mereka dalam kedainya, seorang daripada suspek membuka seluarnya dan cuba mendekatinya tetapi dia sempat melarikan diri bersembunyi dalam tandas.

Sebaik mereka meninggalkan butiknya, Yati menghubungi bank bagi menamatkan perkhidmatan lapan daripada 10 kad kreditnya dan jangkaannya tepat apabila kumpulan itu cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama, di sini.
Katanya, mereka melaram dengan pakaian pengantin yang dicuri dari butiknya itu dan berlagak seperti orang kaya dengan memasuki beberapa kedai jam dan cermin mata.

Menurut Yati, berdasarkan rekod bank, penyamun berkenaan cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli jam tangan berharga RM900 tetapi gagal kerana kad kredit berkenaan sudah dibatalkan.

“Sebaik dimaklumkan pihak bank kad kredit saya digunakan di pusat beli-belah itu, saya bergegas ke sana dan menemui pihak pengurusan pusat beli-belah bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti wajah mereka,” katanya.

“Dalam rakaman itu jelas keempat-empat mereka memasuki beberapa kedai dengan bersahaja dan berlagak seperti orang kaya membeli-belah,” katanya.

Menurutnya, apabila beberapa transaksi pembelian mereka gagal, keempat-empat suspek melarikan diri. dan tidak sempat dikejar pemilik kedai.

Susulan itu, Yati membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment