Saturday, September 22, 2012

APA DE HAIRAN DIHINA MAKHLUK...BUKAN MEREKA MENENTU SYURGA NERAKA...BIAR KITA DIBENCI MAKHLUK DIBUMI TAPI DIKASIH OLEH MAKHLUK DILANGIT

AES berkuat kuasa esok


KAKITANGAN Unit Teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuh Sentosa,
Putrajaya baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 14 lokasi panas sekitar Perak, Selangor, Putrajaya dan di ibu negara berkuat kuasa esok.
Pelaksanaan kamera berteknologi tinggi itu merupakan fasa pertama yang terdiri daripada 10 lokasi bagi merakam kesalahan memandu melebihi had laju dan empat lokasi lagi merakam kesalahan melanggar lampu isyarat.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pemasangan kamera AES untuk 817 lokasi lagi akan dibuat dalam fasa kedua melibatkan pelaksanaan di seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah satu langkah serius kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
“Oleh itu, orang ramai harus melihat pelaksanaan AES sebagai cara untuk mendidik pengguna jalan raya, bukan untuk memberi lebih kuasa kepada JPJ untuk keluarkan saman,” katanya di sini semalam.
Menurut Solah, notis saman yang telah diproses dan disahkan akan dihantar kepada pemilik berdaftar kenderaan dalam tempoh lima hari dari tarikh kesalahan dirakam menggunakan sistem AES.
Katanya, jika pemilik berdaftar bukan merupakan individu yang memandu kenderaan pada masa kesalahan dirakam, mereka boleh mengemukakan maklumat pemandu kepada JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diterima.
“Dalam notis saman itu, maklumat kenderaan, tarikh kesalahan, jenis kesalahan dan imej kenderaan yang dirakam akan disertakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Solah memberitahu, pengguna jalan raya boleh mengetahui lokasi pemasangan kamera AES melalui papan tanda yang dipasang sebelum mereka memasuki zon operasi kamera tersebut.
Tambahnya, bagi kamera yang merakam kesalahan memandu melebihi had laju, papan tanda akan diletakkan dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer dari lokasi kamera AES dipasang.
“Bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pula, papan tanda akan dipasang dalam lingkungan 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.
“Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk senarai lokasi pemasangan kamera AES di laman web JPJ iaitu www.jpj.gov.my,” ujarnya.
Pemilik kenderaan yang menerima notis saman AES boleh mengajukan pertanyaan dengan menghubungi Pusat Kawalan AES di talian 03-7846 4400 bagi negeri Perak dan 03-7628 8268 untuk negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sarjan, Lans Koperal dituduh makan rasuah


YANG GHAZALI (kanan) dan Vathumalai menutup muka masing-masing ketika berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen George Town semalam.


GEORGE TOWN - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki pada 13 dan 14 Mei lalu.
Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 56, dan Lans Koperal M. Vathumalai, 50, masing-masing dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Siti Salwa Ja'afar.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan RM400 daripada Tan Seong Soon, 41, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua warga China, Fan Qiyan dan Wei Youmei yang bekerja tanpa permit yang sah.
Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat kerja warga China itu di sebelah premis makanan, Loo Yee Fish Spa & Restaurant, Lorong Madras di sini pada pukul 11.20 malam, 13 Mei lalu.
Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh memperoleh RM400 daripada Seong Soon bagi pihak sepupunya, Tan Seong Hooi pada pukul 12.10 malam keesokan harinya di tempat yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap warga China terbabit.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Siti Salwa memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. Mereka membayar ikat jamin tersebut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Firdaus Abdullah dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jannu Babjan.

Peniaga bergelar Datuk Seri didakwa


JAAFAR (kiri sekali) dan anaknya, Ahmad Jiwari (tiga dari kiri) berusaha menutup muka mereka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen
Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Hanya kerana berebut sebuah meja usang, seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang peniaga air minuman di Downtown The Mines dekat sini bulan lepas.
Bagaimanapun, Datuk Seri Jaafar Shaari, 50, yang juga berniaga air minuman di tempat sama dan anaknya Ahmad Jiwari Jaafar, 23, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz.
Jaafar dan Ahmad Jiwari didakwa bersama-sama melakukan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian terhadap Azahari Sidek, 44, di bazar larut malam di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Selangor antara pukul 3.40 pagi dan 5.30 pagi 13 Ogos lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Jaafar yang hadir berpakaian kemeja-T warna kelabu dan Ahmad Jiwari yang berkemeja-T berkolar warna hitam kelihatan tenang. Jaafar sesekali memandang ke arah isteri dan adik iparnya yang duduk di galeri awam.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab. Rashid menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Datuk Abd. Halim Yahya yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jaminan itu dikurangkan kerana penjamin bagi Jaafar iaitu isterinya didakwa hanya bekerja kilang manakala penjamin bagi Ahmad Jiwari pula ialah ibu saudara tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan anak-beranak itu diikat jamin setiap seorang RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 23 Oktober depan untuk tarikh sebutan kes itu.
Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Pada 14 Ogos lepas, akhbar melaporkan seorang peniaga air minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di bazar larut malam di kawasan Downtown The Mines pada waktu awal pagi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas mangsa yang merupakan seorang duda mengambil sebuah meja usang yang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian dan meletakkan meja tersebut berhampiran gerainya.
Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi oleh seorang lelaki yang mendakwa meja itu miliknya hingga berlaku pergaduhan antara mereka sebelum mangsa kemudian dibelasah sekumpulan lelaki.
Tindakan tersebut menyebabkan mangsa cedera teruk sebelum dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian semalam mendapati gerai milik mangsa masih beroperasi dengan perniagaannya diambil alih oleh salah seorang adiknya.
Bagaimanapun, gerai milik Datuk Seri Jaafar dan anak lelakinya yang didakwa menyebabkan kematian mangsa tidak dapat dikesan lokasinya.
Difahamkan, sebelum tragedi tersebut, Azahari dan Datuk Seri terbabit berkawan baik.
Namun hanya disebabkan perebutan sebuah meja usang, dua sahabat itu bergaduh sehingga menyebabkan Azahari yang berasal dari Temerloh, Pahang meninggal dunia.
Mangsa mempunyai tiga anak lelaki masing-masing berusia antara 12 dan 15 tahun.

Pekerja KLIA maut kemalangan


Keadaan van yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 21.9, Jalan Sepang-Port Dickson semalam.


PORT DICKSON - Seorang wanita terbunuh selepas van dinaiki bersama empat yang lain bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 21.9, Jalan Sepang-Port Dickson berhampiran ladang kelapa sawit dekat sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 10 pagi, tiga lelaki dan dua wanita yang berusia 40 hingga 50-an dan bekerja sebagai penjaga bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dalam perjalanan dari KLIA menuju ke Lukut selepas habis waktu bekerja.
Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, tiba di tempat kejadian van syarikat dipandu salah seorang pekerja itu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki dari arah bertentangan.
Akibat kemalangan itu, mangsa, Nek Siti Mera Ibrahim, 54, yang duduk di sebelah pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa maut akibat mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.
Menurut beliau, empat lagi rakan mangsa termasuk pemandu van itu mengalami cedera ringan.
Mayat mangsa dan empat yang cedera dihantar ke Hospital Port Dickson.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd. Wahab Harun yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca kemalangan masih disiasat dengan pihaknya akan mengambil keterangan daripada mangsa-mangsa yang cedera dan saksi-saksi yang menyaksikan kemalangan itu.

Kapal seludup diesel ditahan


PEGAWAI SPRM dan Maritim Malaysia memeriksa kapal yang disyaki menyeludup diesel lebih 330,000 liter di Kuala Kedah semalam.


ALOR SETAR - Sebuah kapal tangki yang didaftarkan Thailand ditahan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Kedah di sini semalam kerana disyaki cuba menyeludup lebih 330,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000.

Bantahan rakyat besar-besaran


SEBAHAGIAN daripada ribuan orang ramai yang membanjiri pekarangan Masjid Kampung Baru dalam demonstrasi anjuran Pemuda UMNO berhubung isu filem Innocence of Muslims
di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik semalam menunjukkan solidariti bagi mengecam penerbitan filem Innocence of Muslims dan karikatur yang mempersenda dan memfitnah Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan protes besar-besaran di beberapa tempat di seluruh negara.
Di ibu negara, Pergerakan Pemuda UMNO, pergerakan pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini sejurus selesai solat Jumaat bagi mengecam penerbitan filem itu.

RIBUAN orang menyertai perarakan anjuran Pas bagi membantah filem Innocence of Muslims ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


Ia dimulakan dengan ucapan wakil NGO yang kesemuanya mengutuk keras penyiaran filem anti-Islam arahan pengarah dari California, Amerika Syarikat (AS), Sam Bacile dan karikatur yang disiarkan dalam majalah Perancis, Charlie Hebdo.
Selain Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, pemimpin NGO lain yang mengambil bahagian pada perhimpunan hampir sejam itu ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Zahid Md. Arip; Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Perhimpunan yang turut disertai Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Hasan dan selawat beramai-ramai.

UMAT Islam berhimpun bagi membantah filem Innocence of Muslims di Masjid Melayu Lebuh Acheh, George Town semalam.


Pada masa sama, ribuan lagi berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak diketuai Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub diikuti beberapa pemimpin pakatan pembangkang dan wakil-wakil NGO.
Memorandum bantahan turut diserahkan kepada Kedutaan AS yang diterima oleh ketua keselamatan kedutaan itu.
Di GEORGE TOWN, hujan lebat tidak mematahkan semangat kira-kira 200 umat Islam termasuk ahli-ahli NGO mengadakan demonstrasi aman di Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Masjid Jamek Sheikh Eussof, Jalan
AHLI Gabung membuat demontrasi secara aman selepas membuat laporan polis berhubung filem Innocence of Muslims di Balai Polis Sentral, Johor Bahru semalam.


Datuk Keramat sejurus selesai solat Jumaat.
Turut terlibat ialah Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Pas, Perkasa, Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Di JOHOR BAHRU, sebanyak 320 NGO Johor yang diwakili Majlis Gabungan NGO Johor (Gabung) membuat laporan polis bagi membantah pembikinan filem dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketua Penerangan Gabung, Abdullah Md. Yusof berkata, pihaknya sudah tidak boleh berdiam diri apabila ada pihak yang sengaja menaikkan kemarahan umat Islam dengan melakukan perkara yang menghina Nabi.

ORANG ramai mengadakan demonstrasi secara aman membantah filem Innocence of Muslims di pekarangan Masjid Bahagian Kuching di Kuching semalam.


"Kami menyeru pihak kerajaan membuat bantahan rasmi kepada kedutaan Amerika Syarikat dan kerajaan Perancis supaya mereka mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan biadab ini," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini.
Di KUCHING, hampir 1,000 umat Islam berhimpun bagi membantah pembikinan serta penyebaran filem Innocence of Muslims di Masjid Bahagian Kuching selepas solat Jumaat sebelum berarak kira-kira 500 meter ke Balai Polis Sentral di sini dengan membawa pelbagai sepanduk dan Jalur Gemilang.
Moderator perhimpunan, Datuk Idris Buang berkata, satu laporan polis kemudiannya dibuat terhadap mana-mana pihak yang menerbit, menyalin dan mengedar klip video filem berkenaan.
Menurut Idris, pihaknya juga akan menulis surat kepada Kedutaan AS, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil tindakan tegas terhadap produser filem tersebut.

Tukang besi bina badan helikopter


REUTERS
SHENGYING (kanan) memeriksa bilah kipas helikopter yang dibinanya di Shenyang semalam.


SHENYANG, China - Seorang tukang besi, Tian Shengying membina badan sebuah helikopter hanya dalam tempoh setengah bulan.
Shengying, 55, turut menghasilkan ekor dan kipas helikopter tersebut.
Dia tidak menggunakan sebarang pelan ketika membuat badan dan peralatan tersebut.
Tukang besi tersebut menghasilkan ciptaannya itu selepas mendapat permintaan daripada sebuah pusat penyelidikan pesawat tanpa juruterbang. - Reuters

Usah pinggirkan perubatan Islam

PERUBATAN Islam wajar dikitiraf kerana ia telah diterima pakai oleh majoriti rakyat di negara ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gappima) meminta Kementerian Kesihatan menyemak semula Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dikatakan tidak menyenaraikan kaedah rawatan perubatan Islam di dalamnya.
Penolong Setiausahanya, Azian Ab. Rahman yang kesal dengan perkembangan tersebut mendakwa, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil Kementerian Kesihatan pada satu mesyuarat yang turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin dengan alasan tiada bukti saintifik dalam perubatan Islam.
“Kami dimaklumkan rang undang-undang itu yang telah dibacakan buat kali pertama di Parlimen pada Jun lalu hanya menyenaraikan perubatan tradisional Melayu seperti urutan, herba dan rawatan selepas bersalin, perubatan tradisional Cina seperti akupuntur, moxibustion dan Qi Gong serta perubatan tradisional India iaitu ayurveda, siddha dan yoga.
“Gappima yang disertai 20 pertubuhan perubatan Islam kecewa dengan perkembangan itu dan meminta Kementerian Kesihatan menyenaraikan perubatan Islam dalam rang undang-undang itu sebelum ia dibaca buat kali kedua di Parlimen pada minggu depan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Azian berkata, kerajaan wajar mengiktiraf perubatan Islam sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif kerana terdapat banyak bukti pesakit gagal sembuh melalui rawatan moden tetapi pulih menggunakan kaedah rawatan Islam.
Malah, katanya, Gappima kini dalam usaha mengumpul bukti-bukti pesakit yang telah pulih melalui rawatan Islam untuk digunakan sebagai testimoni bagi menunjukkan kebenaran rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran.
Katanya lagi, penyenaraian perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan garis panduan untuk diamalkan para pengamal perubatan Islam dari segi etika, profesionalisme dan caj perkhidmatan.
Jelas beliau, langkah itu juga dapat mengelak pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan istilah perubatan Islam untuk memperdaya orang ramai bagi meraih keuntungan secara tidak sah seperti beberapa kes yang dikesan oleh pihak berkuasa sebelum ini.
Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut membuat gesaan serupa berpendapat, langkah menyenaraikan perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut akan mengiktirafnya sebagai salah satu rawatan alternatif di Malaysia.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, Kementerian Kesihatan tidak boleh mengenepikan perubatan Islam kerana ia diyakini dan diterima pakai oleh majoriti umat Islam di negara ini.
Menurutnya, alasan saintifik tidak boleh dijadikan penyebab untuk tidak mengiktiraf perubatan Islam kerana kebanyakan ilmu perubatan masa kini berasaskan penemuan para ilmuwan Islam pada zaman dahulu.
Bagaimanapun, jelas beliau, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengenal pasti antara perubatan Islam sebenar dan perubatan palsu yang menggunakan nama Islam.

Pusat korban lembu era Firaun dibuka


REUTERS
BINAAN yang terdapat di dalam Serapeum of Saqqara di selatan Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Pemerintah Mesir kelmarin membuka semula Serapeum of Saqqara di selatan bandar raya ini yang merupakan tempat lembu jantan dikorbankan.
Ia digunakan pada era pemerintahan Firaun pada 1,400 Sebelum Masihi.
Lembu-lembu jantan yang dikorbankan ditanam di kawasan tersebut.
Kawasan tersebut ditemui oleh seorang pakar sejarah purba Mesir dari Perancis, Auguste Mariette pada tahun 1851.
Bagaimanapun, ia ditutup pada tahun 2001 kerana pergerakan Bumi dan masalah peresapan air. - Agensi


Anakanda Sultan Brunei berkahwin


AFP
GAMBAR di laman YouTube semalam menunjukkan Pengiran Muhammad Ruziani.


BANDAR SERI BEGAWAN - Anakanda perempuan pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkahwin dengan Pengiran Muhammad Ruziani kelmarin di Istana Nurul Iman yang mempunyai 1,700 bilik, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Anakanda Sultan Brunei itu, Puteri Hafizah Surusul Bolkiah, 32, berkahwin pada majlis yang diadakan di depan sejumlah tetamu pada Rabu lalu.

AFP
SULTAN HASSANAL BOLKIAH mengetuai upacara menepung tawar anakanda baginda, Puteri Hafizah Surusul Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada Rabu lalu.


Puteri Hafizah merupakan anakanda kelima Sultan Hassanal Bolkiah dengan isterinya, Permaisuri Pengiran Anak Saleha.
Anakanda Sultan Brunei itu mempunyai ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan dan bekerja sebagai seorang pegawai di Kementerian Kewangan.
Pengiran Muhammad Ruziani, 29, pula bekerja sebagai seorang kakitangan awam.
Sultan Hassanal Bolkiah mempunyai 12 anak, lima lelaki dan tujuh perempuan daripada tiga perkahwinannya.
Baginda pernah bercerai dengan Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas pengacara stesen televisyen TV3. - Agensi

Hakim tolak permohonan aktres filem hina Nabi


GARCIA


LOS ANGELES - Hakim sebuah mahkamah di sini menolak permohonan seorang aktres filem yang menghina Nabi Muhamaad SAW kelmarin.
Aktres itu, Cindy Lee Garcia memohon supaya sedutan filem Innocence of Muslims selama 14 minit dikeluarkan daripada laman YouTube.
Bagaimanapun, Hakim Luis Lavin menolak permohonan itu kerana dia tidak mengemukakan sebarang perjanjian bertulis bahawa dia ditipu untuk berlakon dalam filem yang sebenarnya menghina Nabi Muhammad.
Garcia menyaman syarikat Google yang memiliki YouTube.
Menurut aktres itu, dia mendapat ancaman bunuh ekoran filem berkenaan.
Peguam bela Garcia, Cris Armenta memberitahu pemberita, dia akan mengemukakan bukti untuk kes tersebut. - Agensi

iPhone 5 dijual semula pada harga tinggi


RYAN WILLIAMS (berbaju putih) mengangkat kedua-dua tangannya selepas dia menjadi orang pertama memasuki kedai Apple untuk membeli iPhone 5 di London semalam.


HONG KONG - Beberapa orang menjual semula iPhone 5 pada harga yang tinggi selepas mereka membelinya di sini semalam.
Menurut seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Suen, dia membeli telefon bimbit itu pada harga HK$8,000 (RM3,154.23).
Dia kemudian memberitahu, telefon itu kemudian dijual kira-kira HK$9,000 (RM3,542.22) hingga HK$10,000 (RM3,941.05).
Suen bekerja di sebuah kedai gajet menyebabkan dia mudah untuk menjual semula telefon bimbit tersebut kepada para pembeli.
Harga normal telefon bimbit itu bermula pada HK$5,588 (RM2,202.26) di kedai-kedai syarikat Apple yang merupakan pengeluar telefon tersebut.
Menurut Suen, keuntungan segera boleh diperoleh sebanyak HK$3,000 (RM1,182.54) untuk setiap satu iPhone 5 yang dijual.
Dia berjaya membeli 15 unit iPhone 5 dalam tempoh sejam walaupun Apple menghadkan hanya dua unit telefon sahaja.
Kebanyakan kedai yang menjual semula telefon tersebut terletak tidak jauh dari kedai Apple.
Telefon bimbit itu turut dijual buat kali pertama kepada pembeli di Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Perancis dan Jerman semalam.
iPhone 5 lebih ringan, mempunyai skrin lebih besar, perisian yang terkini dan pemprosesan yang lebih pantas.
Ramai pembeli di Tokyo, New York, Sydney dan London sanggup berbaris di luar kedai Apple untuk membeli telefon tersebut. - Agensi

AS tutup kedutaan di Indonesia


BEBERAPA buah kenderaan berperisai diletakkan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.


JAKARTA - Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaannya di seluruh Indonesia ekoran bantahan berterusan terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims.
Beberapa demonstrasi kecil dan teratur berlangsung di luar Kedutaan AS di sini dan bandar raya Surabaya serta Medan selain di beberapa buah bandar lain di negara itu semalam.
Tiada keganasan dilaporkan berlaku.
Kedutaan AS di sini dan pejabat konsulatnya di Surabaya, Medan dan Bali ditutup semalam.
Turut tidak beroperasi ialah Pejabat AS ke negara-negara ASEAN di Jakarta.
Sebelum ini, bantahan besar-besaran kerap diadakan selepas selesai solat Jumaat di Indonesia yang memiliki penduduk Islam paling ramai di dunia.
Orang Islam di seluruh dunia marah terhadap filem terbitan AS tersebut kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Tunjuk perasaan turut berlaku di luar Kedutaan Perancis berhubung penyiaran kartun Nabi Muhammad SAW di sebuah majalah negara itu.
Beberapa tunjuk perasaan juga diadakan di luar restoran yang mempunyai kaitan dengan AS.
Perancis turut menutup pejabat kedutaan, konsulat dan pusat kebudayaan serta beberapa buah sekolah antarabangsa di 20 buah negara Islam semalam. - Agensi
AP
BEBERAPA buah kenderaan berperisai diletakkan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.



Majalah hina pejuang Islam

BERLIN - Selepas filem anti-Islam yang dihasilkan di Amerika Syarikat dan penerbitan sebuah majalah mingguan di Perancis yang memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW kini sebuah majalah satira di Jerman pula telah melakukan perkara yang hampir sama.
Majalah itu yang bertajuk Titanic memaparkan satu lakaran kartun isteri bekas presiden Jerman Christian Wulff didakap oleh seorang pejuang Islam yang memakai serban sambil mengacukan pisau di muka hadapan majalah untuk edisi bulan Oktober.
Majalah tersebut yang dicetak sebanyak 100,000 naskhah sebulan akan diterbitkan pada 28 September depan.
Editor majalah itu, Leo Fischer berkata kepada majalah berita mingguan Der Spiegel: "Sekarang ini nama Mohammad menjadi perbualan setiap orang di bibir dan kami memberi tindak balas." - AFP

No comments:

Post a Comment