Tuesday, September 18, 2012

PATUT IA DIREJAM...PATUT IA DIREJAM...PATUT IA DIREJAM...YANG BELUM KAHWIN SEBAT 100 KALI...KODEM AIR DIKELANTAN MACAM LAH NEGERI2 LAIN TU BAGUS SANGAT...BILA ALLAH TARIK MALU PADA WANITA

Sukar sekat klip video asing


SEORANG pengguna internet di Kuala Lumpur masih dapat mengakses klip video Innocence of Muslims di YouTube semalam.



KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengakui sukar untuk menghalang penyebaran klip video Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. di Malaysia atas alasan Uniform Resource Locator (URL) atau alamat web klip video itu berasal dari luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar kecil) berkata, kebanyakan klip video filem berdurasi 14 minit itu telah disunting atau disalin daripada versi asal sebelum dimuat naik ke laman YouTube oleh pihak ketiga.
Katanya, klip video asal filem itu telah disekat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama enjin carian internet Google selaku pemilik YouTube.
"Namun selepas sekatan itu dibuat, muncul orang lain memuat naik banyak video yang sama dalam versi baharu dengan menggunakan alamat URL yang berbeza. Masalah ini sukar untuk kita halang kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Yogyakarta, Indonesia sewaktu menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan Asia dan Eropah (ASEM) Kelima semalam.
Kosmo! semalam melaporkan sekatan terhadap klip video itu tidak dilakukan secara menyeluruh memandangkan orang ramai masih boleh menontonnya di komputer peribadi atau telefon bimbit yang menggunakan pakej jalur lebar.
Rais berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan membangkitkan isu penayangan filem itu pada mesyuarat tersebut dan berharap ia dapat membuka mata dunia untuk menghormati sistem perundangan di semua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pakar komputer, Azli Paat berkata, penyebaran klip video Innocence of Muslims masih boleh disekat sepenuhnya melalui kawalan pada peringkat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) tempatan walaupun ia telah dimuat naik dari luar negara.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah-Alih Malaysia memberitahu, pengguna internet di negara ini yang ingin mengakses klip video berkenaan perlu melalui capaian ISP tempatan seperti Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis terlebih dahulu sebelum boleh mengakses klip video daripada sumber asing.
Katanya, kerajaan menerusi SKMM boleh mengarahkan ISP tersebut membatalkan alamat URL klip video terbabit.
"Jika alamat URL sesebuah laman web itu dibatalkan pada peringkat ISP, carian yang dikehendaki oleh pengguna pasti tidak akan dijumpai.
"Jika ada klip video terbaharu yang keluar di YouTube, SKMM boleh minta ISP di negara ini menghalang aksesnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Azli, SKMM tidak boleh terlalu bergantung terhadap Google dalam usaha menghalang penyebaran klip video itu kerana Google sebuah syarikat yang mempunyai kepentingannya tersendiri.
Katanya, Google juga ada kemampuan untuk menyekat akses kepada klip video tersebut melalui teknologi pengesanan video yang akan membaca terlebih dahulu kandungan video terbabit sebelum memberikan kebenaran untuk memuat naik.
"Sekarang saya lihat Google hanya menyekat alamat video berkenaan tetapi tiada sekatan untuk pihak lain memuat naik klip video yang sama," katanya.

Bunuh rakan untuk larikan wang



ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam.



TAIPING – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.
Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.
Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin (gambar kecil), 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.
Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.
Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.
“Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.
“Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.
Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222.

Hui Yee mati di pangkuan bapa

DINO Bato Sam bua meratapi kematian anak kesayangannya, Tee Hui Yee di kediamannya di Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT - Selepas lima tahun menikmati kehidupan sebagai insan normal, Tee Hui Yee yang merupakan penerima organ jantung baharu menerusi satu pembedahan maraton pada 2007, meninggal dunia secara mengejut di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Besar di sini semalam.
Gadis berusia 19 tahun itu yang pernah menyentuh hati nurani rakyat Malaysia kerana terpaksa menyorong jantung mekanikalnya yang diletakkan di dalam beg untuk ke mana-mana, disahkan meninggal dunia di pangkuan bapanya, Tee Ah Soon pada pukul 10.02 pagi semalam.
Ibunya, Dina Bato Sam Bua, 51, berkata, anak kesayangannya itu mengadu sakit dada dan bahagian kiri tengkuknya selepas dia keluar makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran hidangan kukus berhampiran kira-kira pukul 9 malam kelmarin.
Menurutnya, selepas anaknya muntah, dia bersama rakan baik anaknya, Thong Liew Sze Yun, 17, mengurut badannya perlahan-lahan dan dia sempat menjamah sekeping roti sebelum muntah sekali lagi.
Ketika itu, katanya, dia turut memujuk anaknya itu supaya mendapatkan rawatan di hospital malam kelmarin tapi anaknya itu enggan kerana beranggapan dia hanya diserang gastrik.
"Saya mula cemas apabila melihat anak bongsu daripada empat beradik itu menggigil dan kedua-dua tangannya kejang kira-kira 9 pagi semalam sebelum menjerit memanggil bapanya, Tee Ah Soon," katanya ketika ditemui di pusat persemadian di Jalan Fatimah di sini.
Sementara itu, Ah Soon berkata, isterinya itu cuba mengurut mendiang tetapi tidak berhasil malah situasi anaknya itu makin teruk sehingga dia terpaksa membuat bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) selama 10 minit tetapi masih tidak berjaya.
"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku lalu menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.
"Doktor tidak memberitahu kami punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak," kata pekebun sayur itu.
Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun mendapat liputan meluas media apabila terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal sebelum menjalani pemindahan jantung pada Oktober 2007.

Janin ditemui di tangga kuarters KLIA



SAIFUL NIZAM menunjukkan tempat janin yang ditemuinya
di atas tangga di kuarters KLIA, Nilai.



NILAI - Seorang kakitangan Jabatan Imigresen terkejut apabila menemui janin manusia di tangga tingkat satu sebuah blok kuarters KLIA dekat Nilai semalam.
Saiful Nizam Abas, 40, berkata, dia ternampak janin itu ketika keluar dari rumah berhampiran lokasi kejadian untuk mengambil seorang kanak-kanak yang dijaga oleh isterinya.
"Sebaik sahaja membuka pintu rumah, saya terkejut melihat beberapa tompokan darah di lantai berhampiran tangga untuk naik ke tingkat atas.
"Saya ikut kesan tompokan darah itu sebelum ternampak objek yang bergulung seperti janin manusia," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, selepas memaklumkan perkara itu kepada jiran, dia kemudian segera menghubungi polis.
Jelasnya, dia difahamkan oleh jururawat Klinik Kesihatan Kuarters KLIA yang tiba di lokasi bagi membantu siasatan, berdasarkan pemerhatian awal ia janin manusia berusia dalam lingkungan tiga bulan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Yusof Awang berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan sedang menunggu keputusan forensik daripada Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-758 3222.

Kena curi di Johor, rentung dibakar di Selangor


JOSEPH ENTULU



KLANG – Polis menemui semula kenderaan rasmi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun yang dilaporkan hilang di Seri Alam, Pasir Gudang, Johor pada 2 Jun lalu dalam keadaan rentung Sabtu lepas.
Kereta jenis Proton Perdana Executive menggunakan nombor pendaftaran WRM 1146 itu ditemui di tepi Jalan Akob di sini pada pukul 7.30 malam. Jarak antara dua tempat itu ialah kira-kira 364 kilometer.
Difahamkan, penjenayah bertindak demikian untuk melupuskan bukti dan menyukarkan polis mengesan mereka.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya dan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan oleh orang awam.
Katanya, sebaik api dipadamkan, pihaknya yang memeriksa nombor enjin dan casis kereta itu mendapati ia kereta milik timbalan menteri tersebut yang pernah dilaporkan hilang di Pasir Gudang.
“Kini kes itu disiasat oleh dua daerah iaitu polis Johor mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan manakala kami pula menyiasat mengikut Seksyen 435 kanun yang sama iaitu melakukan khianat dengan api.
“Kami masih menjalankan siasatan bagi mencari suspek yang terlibat,” katanya di sini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di tempat kejadian mendapati kesan terbakar di laluan sunyi yang dikelilingi pokok kelapa sawit itu masih jelas kelihatan.
Laluan itu juga turut dilalui kenderaan lain termasuk lori pengangkut sampah sebagai jalan pintas ke Bukit Kapar.
Dalam pada itu, Joseph Entulu ketika dihubungi terkejut sebaik dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Katanya, dia percaya penjenayah bertindak sedemikian untuk menghilangkan bukti.
“Saya baru tahu mengenainya (penemuan kereta). Terima kasih kepada orang ramai yang telah menjumpai kereta ini dan saya harap polis dapat menangkap penjenayah terlibat,” katanya.
Kereta rasmi timbalan menteri hilang di Johor ditemui terbakar
HASNIZA HUSSAIN
18 September 2012
Anggota polis memeriksa kereta timbalan menteri yang terbakar di Kapar.
Anggota polis memeriksa kereta timbalan menteri yang terbakar di Kapar.
KLANG - Kenderaan rasmi milik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu anak Belum yang dilaporkan hilang di Seri Alam, Johor Bahru pada 2 Jun lalu, ditemui terbakar kurang 500 meter dari simpang Jalan Akob, Kapar di sini, Sabtu lalu.
Kereta jenis Proton Perdana Executive itu ditemui oleh orang awam di tepi jalan kawasan terbabit kira-kira jam 7.30 malam, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kereta yang terbakar sepenuhnya itu berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba.
Beliau berkata, siasatan awal gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kereta terbabit kerana kenderaan itu musnah teruk.
"Setelah kita periksa nombor chasis serta enjin kereta tersebut mendapati ia adalah kenderaan rasmi yang digunakan oleh timbalan menteri berkenaan.
"Semakan juga menunjukkan kereta bernombor pendaftaran WRM 1146 itu dilaporkan dicuri di kawasan Seri Alam, Pasir Gudang kira-kira tiga bulan lalu," katanya ketika ditemui di Balai Polis Kapar di sini, hari ini.
Mohd Shukor berkata, kereta itu dibawa balik ke Balai Polis Kapar untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan jenayah bencana dengan api.
"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan menjurus pelbagai aspek sedang dijalankan," katanya.
Menurutnya, bagi kes kehilangan kenderaan rasmi itu di Johor, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Gadis kilang campak bayi direman



PEKERJA kilang yang direman dibawa keluar dari Mahkamah Majistret
Petaling Jaya semalam bagi membantu siasatan kes mencampak bayi.



PETALING JAYA - Seorang ibu muda yang dipercayai tergamak mencampak bayinya hidup-hidup dari tingkat 3 Blok 1, Flat Desa Mentari di sini sebaik sahaja anaknya selamat dilahirkan direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes perbuatan kejam itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Suraya Syawal pada pukul 11.30 pagi semalam.
"Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, laporan bedah siasat ke atas mayat bayi yang cukup sifat itu mengesahkan mangsa mati akibat mengalami kecederaan serius di kepala.
"Bayi itu mengalami kecederaan teruk di kepala selepas dicampak dari tempat tinggi sebelum terhempas ke bawah," kata beliau.
Arjunaidi memberitahu, suspek yang berusia 20 tahun dan belum berkahwin itu melahirkan bayinya secara sendirian ketika dia berada seorang diri di rumah keluarganya.
Difahamkan bayi yang cukup bulan itu merupakan anak hasil hubungan suspek yang bekerja di sebuah kilang dengan teman lelakinya. Bagaimanapun, keluarga suspek tidak menyedari gadis itu mengandung.
Polis setakat ini tidak menyiasat atau menahan kekasih suspek kerana belum ada keperluan dengan kes bunuh yang dihadapi suspek wanita itu.
Suspek yang memakai baju T warna hitam, bertudung, berjaket merah jambu, berkain sarung batik, berstoking dan berselipar kelihatan bersahaja ketika diperintahkan ditahan reman oleh majistret.
Wanita itu yang tidak ditemani ahli keluarga ketika dibawa ke mahkamah masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Semalam akhbar melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui mati dipercayai dicampak dari tingkat tiga flat Desa Mentari di sini.
Polis yang memeriksa mayat bayi itu kemudian menahan seorang gadis yang kelihatan lemah selepas dipercayai baru lepas bersalin di tingkat tiga blok 1 di rumah flat itu.
Ketika ditemui, bayi yang masih bertali pusat itu sudah tidak bernyawa lagi.

 
Apa yang telah terjadi di negara kita? Kejam!!!


PETALING JAYA: Kejam apabila seorang bayi perempuan yang cukup sifat dicampak dari tingkat tiga sebuah apartmen 11 tingkat ke kawasan tempat letak kereta Blok 1, Apartmen Desa Mentari, di sini, kira-kira jam 11 pagi, semalam

Suspek campak anak dihantar kaunseling



SHAH ALAM: Suspek wanita pekerja kilang yang dipercayai mencampakkan bayi baru dilahirkannya di Blok 1, Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya, Ahad lalu akan dirujuk ke hospital bagi menjalani sesi kaunseling.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Adnan Abdullah berkata, suspek yang berusia 21 tahun dan belum berkahwin itu kini ditahan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Katanya, beberapa saksi kejadian turut dipanggil bagi merekodkan kenyataan.
“Berdasarkan siasatan awal, bayi terbabit meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala.

“Kami sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital bagi memastikan sama ada bayi berkenaan masih hidup sebelum dia dicampak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam.

Mohamad Adnan berkata, polis juga percaya bayi terbabit yang sihat tubuh badan dan cukup sifat dilahirkan ibunya ketika bersendirian di rumah.
Katanya, polis turut memburu bapa bayi terbabit yang juga teman lelaki suspek bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kami belum kenal pasti siapa bapa kandung bayi berkenaan. Apabila sudah dikenal pasti, dia akan dipanggil bagi merekodkan kenyataan,” katanya.

Bomoh nikah batin didakwa



KEADAAN Mohd. Sombas ketika ditahan oleh JHEAINS dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu kelmarin.



SEREMBAN - Seorang lelaki yang diberkas berhubung dakwaan memperdayakan wanita untuk tujuan seks dilepas tanpa dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM15,000 bagi empat kes berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Bon jaminan itu dikenakan terhadap Mohd. Sombas Abdullah, 48, sementara menunggu keempat-empat pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan dibacakan terhadapnya pada 9 Oktober depan.
Di Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd. Sombas dikenakan bon jaminan RM12,000 dengan enam penjamin kakitangan awam atas tiga kesalahan mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad mengeluarkan perintah bon jaminan tersebut bagi kesalahan mencela agama Islam, mempermain ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.
Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, Hakim Syarie Hamizan Mohd. Nor mengenakan bon jaminan RM3,000 terhadap Mohd. Sombas dengan dua penjamin kakitangan awam.
Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan iaitu memperdaya serta melarikan wanita untuk tujuan seks.
Pendakwa Syarie Kanan, Wan Mohd. Helmi Masran dan Zulzaidi Mahmod dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengendalikan kesemua kes yang dikenakan terhadap tertuduh manakala Mohd. Sombas tidak diwakili peguam.
Mohd. Sombas yang sudah berkeluarga gagal membayar bon jaminan tersebut. Tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan di mahkamah. Malam tadi tertuduh ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai sebelum dia kemudian ditahan di penjara.
Kosmo! semalam melaporkan seorang bomoh yang didakwa memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan terperangkap apabila dia ditahan oleh JHEAINS di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini kelmarin.
Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki itu didakwa turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.

Abang Som dilepas dengan bon jaminan

SEREMBAN: Seorang penganggur dilepaskan tanpa dibebaskan dengan bon jaminan RM15,000 sementara menunggu didakwa atas empat pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 di dua Mahkamah Syariah, di sini, semalam.
Mohd Sombhas Abdullah atau dikenali sebagai Abang Som, 48, dibawa ke mahkamah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi memohon jaminan untuk membolehkan pendakwaan meneruskan siasatan berhubung empat kesalahan iaitu mempermainkan ayat al-Quran serta hadis, mencela dan menghina agama Islam, melakukan perbuatan atau ajaran yang salah dan memikat atau menahan dengan niat jahat perempuan bersuami atau anak dara.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad ketika melepas tanpa membebaskan Mohd Sombhas dengan jaminan itu bagi empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah turut menetapkan lapan penjamin iaitu enam daripada kakitangan awam biasa manakala dua penjawat awam dengan Gred 54.
Mohd Sombhas akan dituduh mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu mempermainkan ayat al-Quran serta hadis, Seksyen 50, mencela dan menghina agama Islam dan Seksyen 52, iaitu perbuatan atau ajaran salah serta Seksyen 77 akta sama, memikat atau membawa pergi atau menahan dengan niat jahat perempuan bersuami atau anak dara. Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Syarie Kanan, Wan Mohd Helmi Masran dan Zulzaidi Mahmod manakala Mohd Sombhas tidak diwakili peguam. Terdahulu, Wan Mohd Helmi menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin terdiri daripada penjawat awam.

“Saya yakin dan percaya kes Mohd Sombhas mendapat publisiti meluas di media elektronik dan cetak, berikutan itu masyarakat awam menanti keputusan daripada kes ini. “Malah, tindakan suspek yang menjadikan agama sebagai bahan gurauan harus dipandang serius selain menggunakan agama untuk kepuasan seks,” katanya. Dalam rayuannya, Mohd Sombhas meminta jaminan dikurangkan berikutan tiada pekerjaan dan memohon mahkamah membenarkan penjamin terdiri daripada ahli keluarganya. Bagaimanapun, Abu Zaky membenarkan wang jaminan dikurangkan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin terdiri daripada penjawat awam. Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, di hadapan Hakim Syarie, Hamizan Mohd Nor, Mohd Sombhas dilepaskan dengan bon jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin terdiri daripada penjawat awam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 9 Oktober depan tarikh pertuduhan.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang bomoh tradisional ditahan dipercayai terbabit dalam memperdaya pesakitnya terdiri golongan wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan.

Malah, bomoh ini dipercayai melakukan kegiatan nikah batin dengan menikahkan dirinya sendiri apabila dia menjadi kadi serta saksi selain mengambil upah RM200 daripada mangsa.

Kereta terbabas, banduan hilang



KEADAAN kereta polis membawa banduan yang merempuh belakang lori di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid, Kuantan semalam.



KUANTAN - Seorang banduan yang baru dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah bertindak agresif dengan bergelut dan menendang anggota polis yang mengiringinya menyebabkan kereta polis yang mereka naiki terbabas dan merempuh belakang sebuah lori.
Kejadian pada pukul 11.45 pagi di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid di sini itu menyebabkan tiga anggota polis cedera parah manakala banduan itu pula berjaya melarikan diri.
Anggota polis yang cedera ialah pemandu kereta polis, Konstabel Filyx Lansaver Jinol, 25, Koperal Zulhairi Ramli, 24, dan Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusuff berkata, ketika kejadian, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953. Mereka bertolak dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor di sini.
"Sampai di tempat kejadian banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, tiba-tiba bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum menendang pemandu hingga menyebabkan kereta polis hilang kawalan. Kereta itu terbabas dan melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu kiri jalan menghala ke Kuantan.
"Selepas kejadian itu, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan tangan bergari menuju ke kawasan hutan berhampiran taman berkenaan," kata beliau kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, seorang saksi yang berada di tempat kejadian cuba mengejar banduan terbabit dan menyuruh banduan itu menyerah diri namun dia tidak mengendahkan arahan itu dan terus menghilangkan diri.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohd. Zamri Abdul Kadir, 22, yang sedang menggantikan tayar sebelah kiri lorinya yang pancit di situ turut mengalami kecederaan di betis kiri akibat rempuhan kereta polis yang membawa banduan itu.
"Polis kini membuat sekatan jalan di sempadan daerah Kemaman, Maran, Temerloh dan Pekan bagi memburu banduan terbabit," kata beliau.
Polis pada pukul 10.25 malam tadi berjaya memberkas semula banduan itu ketika penjenayah terbabit pergi ke rumah penduduk di Taman Dato Rashid untuk meminta air dengan tangan masih bergari.
Banduan yang berasal dari Terengganu itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berkuat kuasa pada 28 Jun lepas.

50,000 penduduk guna air bukit



BEBERAPA penduduk menunjukkan air takungan di kawasan bukit yang disalurkan ke rumah mereka di Kampung Kalai, Jeli semalam.



TANAH MERAH – Ketika kebanyakan penduduk di negara ini menikmati air bersih daripada paip, hampir 50,000 orang di sini dan Jeli masih menggunakan air bukit untuk keperluan harian mereka.
Penduduk di kampung-kampung di kawasan terlibat terpaksa berharap kepada air takungan semula jadi dari bukit yang disalurkan melalui paip ke rumah mereka.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Jakar di sini semalam mendapati bekalan air diperoleh daripada bukit yang terletak kira-kira 7 kilometer dari penempatan mereka.
Penghulu Kampung Jakar, Mohd. Hanapiah Jaafar, 57, berkata, mereka menubuhkan Jawatankuasa Air yang bertugas menyelenggara takungan air di atas bukit jika berlaku sebarang masalah seperti saluran tersumbat oleh pasir atau sampah sarap.
“Walaupun sudah sebati dengan air bukit, kami masih berharap mendapat bekalan air yang sempurna daripada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) suatu hari nanti,” katanya di sini semalam.
Mohd. Hanapiah mendakwa, selain Kampung Jakar masalah itu turut dialami beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Nibong, Kampung Lawang, Kampung Kelisa dan Kampung Chedok.
Seorang penduduk Kampung Jakar, Zah Omar, 43, memberitahu, bekalan air bukit tidak menentu dan ia bergantung kepada jarak rumah penduduk dari bukit.
“Biasanya semasa musim kemarau, air akan kering dan kalau musim hujan lebat pula air menjadi keruh,” katanya.
Seorang penduduk, Hamat Tuji, 46, mendakwa pihak AKSB telah memasang batang paip besi di kampung tersebut kira-kira dua tahun lalu tetapi sehingga kini tiada bekalan air disalurkan.
Sementara itu di Kampung Kalai, Jeli, penduduk berkata, air bukit yang digunakan tercemar ekoran aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk, Othman Omar (gambar kecil), 41, berharap kerajaan negeri menghentikan aktiviti itu kerana ia akan menjejaskan bekalan air kepada 3,000 penduduk.
“Kami tidak memiliki sumber air bersih dan hanya mengharapkan air dari bukit dan ia disalurkan ke sekolah, klinik, masjid dan rumah penduduk,” katanya.

Jangan salah guna laman sosial

KUALA LUMPUR - Calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi pemilihan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012-2013 diingatkan supaya tidak menyalahgunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter sehingga menimbulkan provokasi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ir. Dr. Othman A. Karim berkata, mahasiswa tidak dihalang menggunakan laman sosial sebagai medium untuk meraih undi tetapi pelaksanaannya mestilah berhemah.
"Pihak universiti tidak ada badan khas untuk memantau laman sosial yang membincangkan perkara berkaitan PRK.
"Bagaimanapun, sekiranya terdapat laporan, pihak universiti akan siasat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mahasiswa yang terlibat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas mengenai PRK yang akan berlangsung melibatkan 20 institusi pengajian tinggi awam seluruh negara dengan pembabitan antara kumpulan proaspirasi dan promahasiswa.
Katanya, taklimat akan diberikan kepada warga UKM sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan pada 21 September ini dan pembuangan undi pada 25 September.
"Sekiranya ada calon melanggar peraturan yang ditetapkan pada PRK, pihak universiti tidak teragak-agak membatalkan pencalonan mereka," jelasnya.
Mengulas lanjut, Othman memberitahu, 28 kerusi akan dipertandingkan iaitu 19 kerusi fakulti dan sembilan kerusi umum melalui penggunaan kaedah pengundian separa iaitu tidak menggunakan sistem komputer sepenuhnya.
"Bagi pengundian dan pengiraan jumlah, UKM menggunakan kaedah sistem komputer manakala penamaan pula secara manual.
"Seperti tahun lepas, kaedah separa ini tidak menimbulkan sebarang masalah dan segala urusan mampu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, penggunaan laman sosial sememangnya mampu menarik ramai pengundi kerana ia lebih interaktif.
"Universiti Putra Malaysia pernah menyekat penggunaannya untuk berkempen sebelum ini tetapi ia sebenarnya tidak relevan dengan keadaan semasa.
"Namun, mahasiswa perlu bijak menggunakan medium ini untuk tujuan kempen secara sihat," katanya.
Tambahnya, mahasiswa perlu menggunakan PRK sebagai platform untuk membudayakan politik baharu di kampus.
"Calon-calon yang bertanding hendaklah menganjurkan forum ataupun perdebatan di antara mereka untuk memberitahu pembaharuan yang akan dibawa.
"Dengan ini barulah mahasiswa sedar dan tahu mengenai idea dan pembaharuan yang cuba dibawa serta tidak hanya mengenali calon pada hari mengundi," tegasnya.

11 peniaga lagi dakwa jadi mangsa tipu



MAN FAI (duduk, tiga dari kanan) dan Michael (duduk, dua dari kiri) menunjukkan sijil yang kononnya anugerah restoran terbaik di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Isu dua lelaki yang giat menipu pengusaha restoran dengan menyamar wartawan masih belum selesai apabila 11 lagi pengusaha restoran di Lembah Klang mendakwa menjadi mangsa.
Wakil pengusaha restoran tersebut, Leong Man Fai, 43, berkata, mereka hanya menyedari kejadian itu selepas kes itu disiarkan di akhbar akhir bulan lalu.
“Jumlah wang yang ditipu kali ini melibatkan RM31,000 yang mana kesemua mangsa diminta membayar antara RM1,800 hingga RM5,000 kononnya untuk tujuan pengiklanan bagi memenangi anugerah restoran terbaik di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Kosmo! pada 29 Ogos lalu melaporkan 10 pengusaha restoran menjadi mangsa kepada dua lelaki yang mendakwa wartawan majalah dalam talian dikenali Jonathan dan Edmund yang memperdaya pengusaha restoran membayar sejumlah wang supaya berpeluang memenangi anugerah berkenaan.
Kedua-dua lelaki itu mendakwa, program tersebut mendapat sokongan media tempatan terkemuka dan meyakinkan mangsa membayar wang yang keseluruhannya berjumlah lebih RM30,000.
Jelas Man Fai, sehubungan itu, mereka mahu kedua-dua lelaki terbabit mengembalikan semula wang kepada semua pengusaha terlibat.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, siasatan pihaknya mendapati, media yang sebelum ini didakwa penganjur program anugerah restoran terbaik mengaku tidak tahu menahu apa yang berlaku dan tidak terlibat dalam program berkenaan.

Serangan berani mati di Kabul


BEBERAPA pegawai keselamatan memeriksa lokasi serangan pengebom berani mati di Kabul, Afghanistan semalam.



KABUL, Afghanistan - Seorang pengebom berani mati perempuan menyerang sebuah van di sini dengan menyebabkan 12 orang termasuk lapan warga Afrika Selatan terbunuh dalam serangan bagi membalas dendam penerbitan filem anti-Islam, Innocence of Muslims di Amerika Syarikat (AS).
Penyerang dilaporkan meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta semalam.
Pengeboman di sebuah lebuh raya menuju ke lapangan terbang antarabangsa Kabul itu merupakan serangan berani mati kedua di bandar ini dalam tempoh 10 hari.
Serangan tersebut membangkitkan persoalan berhubung kestabilan Afghanistan selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara menyegerakan pengunduran askarnya dan menyerahkan kawalan keselamatan kepada tentera Afghanistan menjelang penghujung 2014.
Seorang jurugambar agensi berita AFP melihat sekurang-kurangnya enam mayat terbaring dalam van berkenaan dengan sebuah lagi kenderaan masih terbakar di tengah lebuh raya akibat letupan tersebut.
"Pada sekitar 6.45 pagi, seorang pengebom berani mati yang memandu sebuah kereta sedan meletupkan dirinya di lebuh raya menuju ke lapangan terbang di Daerah 15," kata polis dalam satu kenyataan.


SEJUMLAH wanita Muslim menyertai tunjuk perasaan anti filem Innocence of Muslims di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Bangkok, Thailand semalam.



"Seramai sembilan pekerja sebuah syarikat asing dan tiga penduduk tempatan maut manakala dua anggota polis cedera dalam serangan ini," tambah kenyataan tersebut.
Seorang pegawai Afghanistan dan Barat memberitahu, sembilan warga asing terbunuh dalam pengeboman kali ini.
"Semua warga asing itu bekerja untuk sebuah syarikat persendirian di lapangan terbang Kabul," kata seorang pegawai tempatan.
Kumpulan Hezb-i-Islami mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Sementara itu di Indonesia, penduduk negara berkenaan mengadakan demonstrasi bagi menuntut AS menghukum penerbit filem biadab itu.
Sekitar 200 penunjuk perasaan membakar bendera AS dan beberapa buah tayar di luar Pejabat Konsulat AS di bandar ketiga terbesar di Indonesia, Medan semalam.
Sebahagian mereka membawa kain rentang yang menyatakan: "AS pergi ke neraka". Para penunjuk perasaan itu menuntut Washington menghukum pembikin filem tersebut.
Di sebuah lagi negara rantau Asia Tenggara, Thailand, sekitar 400 orang mengadakan bantahan aman di luar Kedutaan AS di Bangkok.
Sekitar 700 anggota polis dikerahkan di lokasi tunjuk perasaan semalam bagi memastikan penunjuk perasaan mematuhi undang-undang.
Bantahan berkenaan dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Persekutuan Al Quds Antarabangsa Thailand.
Sementara itu, sebuah cawangan Al-Qaeda di Afrika Utara mendesak para diplomat AS diserang bagi membalas dendam terhadap filem tersebut.
Cawangan itu, Al-Qaeda di Tanah Islam Maghreb mengancam melakukan serangan di Algeria, Tunisia, Maghribi dan Mauritania.
Tunjuk perasaan turut berlaku di Srinagar, India yang menyebabkan sebuah kereta polis dibakar. - Agensi

Pejabat penunjuk perasaan separuh bogel di Paris



SEORANG wanita memotong reben dengan menggunakan gergaji di pintu ibu pejabat Femen di Paris semalam.



PARIS - Ibu pejabat kumpulan pembela wanita, Femen yang terkenal dengan anggota-anggotanya mendedahkan payu dara dibuka secara rasmi di sini semalam.
Beberapa acara diadakan sempena majlis perasmian itu di sebuah bekas pawagam yang diubah suai menjadi ibu pejabat kumpulan tersebut.
Antara acara itu ialah perarakan anggota-anggota kumpulan tersebut yang berjalan dengan mendedahkan payu dara mereka.
Pertandingan menggunakan gergaji rantai dan membaling pai turut diadakan.
Sejumlah anggota kumpulan tersebut hadir pada majlis perasmian itu tanpa memakai baju.
Kumpulan tersebut terkenal dengan perjuangan menentang diskriminasi terhadap wanita.
Anggota-anggota kumpulan itu pernah mengadakan tunjuk perasaan dengan mendedahkan payu dara mereka di beberapa buah bandar raya di dunia. - Agensi

Lelaki Korea Selatan bermekap untuk kerjaya



GIL-NAM mencari produk penjagaan kulit di sebuah kedai di Seoul pada 10 Ogos lalu.



SEOUL - Jika dahulu, pemakaian mekap sinonim dengan kaum wanita namun kini semakin ramai lelaki di Korea Selatan gemar bersolek bagi membantu mereka berjaya dalam kerjaya yang diceburi.
Seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di sini, Cho Won-hyuk berkata, dia akan menggunakan bedak dan celak pada setiap pagi sebelum keluar rumah.
"Memiliki wajah bersih dan licin membuatkan anda kelihatan memiliki penjagaan diri yang baik," kata pelajar kolej berusia 24 tahun tersebut.
Seorang lelaki lain, Cho Gil-nam memberitahu, dia akan bersolek pada setiap pagi selepas mencuci dan memakai krim pelembap pada wajahnya.
Bekerja sebagai seorang penyiasat insurans di sini, lelaki berusia 27 tahun itu berkata, dia turut membawa kotak mekap untuk digunakan di dalam tandas awam bagi memastikan wajahnya kekal bersih dan licin sepanjang hari.
Mengulas fenomena yang kini melanda lelaki Korea Selatan, pakar kajian Korea di Universiti Nasional Australia, Roald Maliangkay berkata, kecantikan diri penting di negara berkenaan kerana ia menjadi penanda aras kejayaan seseorang lelaki.
"Bagi masyarakat Korea Selatan, gambaran pertama amat penting. Kulit seseorang lelaki memainkan peranan utama tentang gambaran itu," kata seorang pelajar berusia 20 tahun, Kim Deuk-ryong yang sependapat dengan Maliangkay. - AP

No comments:

Post a Comment