Thursday, October 11, 2012

DIZAMAN NI LA @ KETIKA INI....PEMBANGKANG KUAT

‘Ulat Arab’ caj hingga RM5,000

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

OPERASI...gelagat seorang ulat teksi Arab mencari penumpang.
OPERASI...gelagat seorang ulat teksi Arab mencari penumpang.
pix_topright
KUALA LUMPUR: Kemasukan pelancong dari Timur Tengah sepatutnya membawa rezeki melimpah kepada pemandu teksi Malaysia, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila rezeki mereka dicuri dengan kehadiran ratusan ‘ulat teksi Arab’ yang bergiat aktif di kawasan tumpuan pelancongan negara ini tanpa kawalan pihak berkuasa.
Kegiatan dipercayai dijalankan pelajar dari Iran, Arab Saudi, Jordan dan Mesir itu hanya disediakan khas untuk pelancong dari negara asal mereka kerana faktor bahasa dan komunikasi.
Difahamkan, pendapatan tahunan diperoleh semua ulat teksi terbabit dianggarkan mencecah RM100 juta setahun dan ia merugikan pendapatan negara yang sepatutnya dikutip daripada sektor pelancongan.

Perkembangan ini didedahkan Presiden Persatuan Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang), Mohamed Asharaf Yasin yang kesal apabila wujud 300 ulat teksi Arab di kawasan itu dengan menawarkan pakej perjalanan eksklusif untuk pelancong Timur Tengah.Menurutnya, pendapatan diraih pemandu teksi tempatan hanya RM4,000 sebulan, tetapi hasil dikaut setiap ulat teksi Arab yang beroperasi secara haram di Bukit Bintang, di sini, melebihi RM30,000 sebulan dengan menawarkan pakej perjalanan eksklusif kepada pelancong Timur Tengah dan mereka difahamkan sudah bertapak di ibu kota sejak 10 tahun lalu.

3 beranak gian bersama

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

CHUKAI: Seorang ibu berusia 45 tahun ditahan bersama anak lelakinya berumur 29 tahun ketika masing-masing berkongsi dadah dalam sebuah bilik di rumah mereka di Jalan Cheteng, Kampung Tengah, Kijal, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam, polis turut menahan seorang lagi anak lelaki wanita terbabit berusia 24 tahun yang berada di bilik berasingan dalam keadaan khayal dipercayai baru melepaskan gian.
Tangkapan terhadap tiga beranak terbabit dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman yang melakukan serbuan susulan maklumat penduduk kampung mendakwa rumah terbabit menjadi ‘port’ penagih dadah di kampung itu.

“Wanita terbabit mendakwa baru pulang ke rumah dan masuk ke bilik berkenaan kononnya untuk melihat sama ada dua anaknya berada di rumah atau tidak. Dia juga mendakwa tidak mengambil dadah.

“Bagaimanapun, ujian air kencing terhadap wanita terbabit dan dua anaknya mendapati mereka positif methamphetamine sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.


10 lelaki bergelut buaya



GAGAH...empat lelaki duduk di atas Si Ganas ketika dipasang penanda.
GAGAH...empat lelaki duduk di atas Si Ganas ketika dipasang penanda.
KINABATANGAN: Lebih 10 tenaga lelaki dewasa termasuk sepasukan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah diperlukan, sebelum berjaya menumpaskan seekor buaya gergasi sepanjang 5.2 meter yang ditemui di Sungai Kinabatangan, di sini, Ahad lalu.
Namun, buaya jantan yang digelar ‘Si Ganas’ itu ditangkap bukan kerana membaham atau mengganggu manusia, sebaliknya bagi membolehkan sepasukan penyelidik memasang penanda bertujuan memantau pergerakan sang bedal terbabit.

Dalam pemburuan itu, JHL bersama Tasik Girang Field Centre (DGFC) memasang jerat, sebelum umpan yang diberikan disambar reptilia berkenaan.
Sebaik ditangkap dan dibawa ke darat, buaya itu dipasang penanda yang membolehkan ia dijejaki menerusi satelit bagi tujuan penyelidikan.

Projek berkenaan dijalankan menerusi pembiayaan Zoo Chester dan DGFC.

Pengarah JHL Sabah, Dr Laurentius Ambu, berkata reptilia itu adalah buaya jantan ketiga ditandakan penanda satelit di Kinabatangan menerusi projek yang dijalankan Unit Menyelamat Hidupan Liar jabatan itu dan DGFC.
“Bagaimanapun, dua buaya yang ditandakan pada Jun 2011 dan Januari lalu tidak dapat dikesan selepas dua bulan ditanda.

“Kami berharap penanda pada Si Ganas dapat bertahan lama bagi membolehkan pergerakannya direkodkan,” katanya, di sini, semalam.
Laurentius berkata, lebih 10 lelaki diperlukan bagi ‘menawan’ Si Ganas sebaik memasuki perangkap dipasang sebelum diukur, dipasangkan penanda dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Sementara itu, Pengarah DGFC yang juga Ketua Program Buaya Kinabatangan, Dr Benoit Goossens, berkata hasil pemantauan dalam tempoh tiga hari selepas ditanda dan dilepaskan, buaya berkenaan sudah bergerak sejauh kira-kira lima kilometer.

“Keadaan itu seolah-olah menunjukkan ia bukan haiwan pemastautin,” katanya.

Goosens berkata, pasukannyajuga menjalankan kaji selidik menerusi pemetaan lokasi bersarang yang menunjukkan penurunan habitat dan campur tangan manusia mempengaruhi tingkah laku buaya di lokasi berkenaan.

Pekerja haram di Putrajaya

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

DITAHAN...dua daripada 10 pekerja asing yang ditahan dalam operasi, semalam.
DITAHAN...dua daripada 10 pekerja asing yang ditahan dalam operasi, semalam.
pix_topright
KUALA LUMPUR: Walaupun medan selera beroperasi di dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, namun masih ada majikan yang berani menggaji pekerja asing tanpa dokumen sejak awal tahun lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya membuat serbuan melalui Ops 6P Daya dan menahan 16 orang termasuk 10 warga asing dan enam majikan warga tempatan.

Serbuan selama satu jam bermula 11 pagi itu turut mengambil tindakan ke atas pemilik enam gerai makanan dan minuman kerana menggaji warga asing.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II), Mohd Izzat Mohd Jamil berkata, melalui pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati ramai majikan mengambil jalan mudah dengan menggaji warga asing tanpa dokumen sah walaupun mengetahui ia menyalahi undang-undang.

Katanya, pihaknya yang mendapat maklumat awam yang mengatakan ramai majikan di kawasan itu menggaji pekerja asing sejak awal tahun ini melakukan siasatan sebelum membuat serbuan.

“Kami membuat pemeriksaan ke atas 17 kedai serentak dan mendapati tujuh daripadanya terbabit pelbagai kesalahan iaitu mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Kami menahan 16 orang termasuk 10 warga asing termasuk enam Indonesia, tiga (Thailand) dan seorang (Myanmar) serta enam majikan warga tempatan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Tiga penyakit akibat stres di tempat kerja



KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenal pasti hilang pendengaran, penyakit kulit dan penyakit paru-paru sebagai penyakit berbahaya yang sering menghantui kalangan pekerja di abad ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, pekerja menghidap tiga penyakit itu akibat tekanan atau stres di tempat kerja.

“Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga sudah mengenal pasti tekanan di tempat kerja sebagai satu bencana paling utama dan perlu ditangani segera,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Menurutnya, penyakit hilang pendengaran disebabkan bunyi bising di tempat kerja mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 867 kes pada tahun lalu, tetapi menurun 26 peratus berbanding 1,173 kes pada 2010.

Beliau berkata, mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967, Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bising), pekerja tidak boleh terdedah melebihi 90 decibel secara berterusan atau melebihi had-had yang dinyatakan dalam Jadual Pertama atau melebihi dos bising harian serta tiada pekerja boleh terdedah kepada paras bising melebihi 115 decibel pada bila-bila masa.

Menurut beliau, 102 kes penyakit kulit dilaporkan tahun lepas menurun empat peratus berbanding 106 kes pada 2010, manakala penyakit paru-paru mencatat 101 kes tahun lalu iaitu meningkat 37 peratus, berbanding 63 kes pada 2010. — Bernama

10 tahun tiada penyelesaian



KUALA LUMPUR: Lambakan ulat teksi Arab yang beroperasi secara haram di Bukit Bintang, di sini, disifatkan sebagai sesuatu merugikan kerajaan kerana hasil yang sepatutnya diraih penduduk tempatan dikaut warga asing.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah yang kecewa dengan masalah itu yang berlarutan sejak 10 tahun lalu di Bukit Bintang belum menemui jalan penyelesaian.

Beliau ketika dihubungi mencadangkan supaya penggubalan akta baru dibuat kerajaan bagi menghalang kegiatan ulat teksi Arab selain pelaksanaan penguatkuasaan ketat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Masalah ulat teksi bukan perkara baru untuk diperkatakan kerana masalah ini wujud sekian lama. Dikesalkan kerana kehadiran teksi sapu atau ulat Arab seperti mencantas pendapatan pemandu tempatan,” katanya.

Menurut Aslah, perkara itu pernah disuarakan persatuan teksi, namun masalah itu bagaikan tiada noktah.

“SPAD perlu lebih tegas menghalang kegiatan ulat teksi asing bukan hanya mengenakan hukuman ke atas pemandu tempatan,” katanya.
Aslah berkata, dengan hasil diperoleh ulat teksi terbabit, ia menjejaskan ekonomi Malaysia dan mengakibatkan aliran wang negara keluar.

“Lebih tepat pelancong pastinya menuding jari kepada kerajaan sekiranya berlaku kemalangan sedangkan mereka menggunakan prebet sapu. Tambahan pula pemandu asing tidak memiliki lesen memandu, insurans dan cukai jalan,” katanya.
Menurut Aslah, selain pakej perjalanan, ulat tiket asing turut menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelancong selain kumpulan itu memilik persatuan, syarikat dan pejabat yang berpusat di ibu kota.

“Ini masalah rakyat dan perlu diselesaikan. Kehadiran ulat teksi diibaratkan mencuri hasil Malaysia,” katanya.

‘Ini Perdana Menteri baik’



SITTWE: “Ini adalah Perdana Menteri yang baik,”. Memang tidak menyangka perkataan itu dilafazkan pelarian Rohingya, Jilal Abdul Rahman, 35, sambil mengangkat tabik pada wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada kotak yang diangkat sukarelawan.
Bukan setakat tabik diangkat sebagai tanda hormat, air matanya menitis bagaikan ada sesuatu yang ingin diceritakan namun tidak dapat dilafazkan disebabkan kurang fasih dan tidak mahir berbahasa Inggeris.

Apabila melihat air mata mula membasahi pipinya, wartawan cuba mencari jurugambar, Supian Ahmad yang ketika itu sibuk mengambil gambar sukarelawan mengangkat kotak.
Namun apabila melihat jurugambar datang, dia melarikan diri dengan menutup mukanya dan tidak membenarkan gambarnya diambil kerana bimbang akan dibunuh.

Pada waktu itu, wartawan tidak dapat menggambarkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia, masyarakat lain mampu menghormati Perdana Menteri kita dan Jalur Gemilang.

Sehinggakan ada pelarian Rohingya sanggup mengubah posisi kotak barangan bantuan dibawa Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang diangkat diatas bahu mereka supaya wajah Najib serta lambang 1Malaysia dapat dilihat semua rakan mereka.
Pengorbanan besar rakyat Malaysia dihargai Pelarian Rohingya. Apa tidaknya, 500 tan bantuan makanan dapat dikumpulkan atas sumbangan masyarakat yang prihatin dengan penderitaan yang ditanggung mereka akibat pertelingkahan kaum dan agama di wilayah Sittwe.

Bukan setakat barangan bantuan makanan yang dibawa, malah khidmat serta kepakaran doktor yang diketuai Ketua Pasukan Perubatan KP1M, Datuk Dr Mohammed Alwi Abdul Rahman bersama ubat-ubatan turut dibekalkan. Sukarelawan yang diketuai Presiden KP1M, Datuk Azeez Abdul Rahim tiba di Malaysia jam 11 malam tadi selepas misi berakhir Selasa lalu.

Jari berhias jadi identiti unik



ANTARA wajah yang pernah digunakan Von Tease ialah (dari kiri) Gaddafi, Hilter serta satu daripada watak filem fiksyen sains popular, Avatar.
ANTARA wajah yang pernah digunakan Von Tease ialah (dari kiri) Gaddafi, Hilter serta satu daripada watak filem fiksyen sains popular, Avatar.
ROME: Seorang artis menggunakan kreativitinya mencipta nama menggunakan jari yang dihias bagi membentuk pelbagai wajah orang terkenal.
Berasal dari Bologna, artis yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran Dito Von Tease itu menggunakan jarinya bagi memaparkan wajah seperti Dalai Lama, Jesus, Muammar Gaddafi dan Hitler.

Dia memilih nama samaran Dito sempena nama seorang penari, Dita, serta perkataan bahasa Itali il dito (bermaksud jari).
Kata Von Tease, projek “Ditology” itu dilakukan bagi melihat kepada kepekaan terhadap identiti serta bagaimana seseorang menggunakan samaran - terutama apabila mereka meninggalkan “cap jari digital” dalam talian. “Ia bermula tiga tahun lalu ketika saya mencari imej asli sebagai gambar profil di Facebook,” katanya.

Menurut Von Tease, 33, dia memilih jari sebagai pengenalan kerana tidak mahu identitinya terdedah. Katanya di Itali, ada ungkapan agak popular, nascondermi dietro un dito, yang bermaksud “bersembunyi di balik jari.” “Ia adalah kiasan kepada tindakan bersembunyi yang tidak berkesan,” katanya. Von Tease berkata, dia menggunakan kiasan itu untuk menyatakan bahawa, semua manusia cuba menyembunyikan diri di balik imej yang direka sendiri.

Mengenai jarinya, Von Tease berkata, dia menghiasinya untuk memaparkan wajah sesiapa saja, terutama individu terkenal. Dia menukar watak jarinya setiap harian berdasarkan kepada berita dan perkembangan semasa, membabitkan isu sejarah, seni, muzik, televisyen dan politik. Untuk melengkapkan imej itu, Von Tease menukar warna kulit pada jarinya dan menambah gaya rambut, mekap dan ciri khusus yang dikaitkan dengan tokoh yang dipilih. - DM

Scotland Yard ‘tersilap’ sita kereta anak Raja Ajman



LONDON: Scotland Yard didakwa memulangkan sebuah kereta Ferrari FF yang dipamerkan di depan pejabat pihak berkuasa itu sebagai peringatan untuk pemandu degil sebaik saja mengetahui pemiliknya.
Kenderaan mewah bernilai �200,000 (RM984,024) itu dipamerkan bagi membuktikan pihak berkuasa tetap menyita kereta yang didapati melakukan kesalahan walau apa pun jenisnya. Namun, ia dikembalikan selepas polis menyedari ia dimiliki anak lelaki Sheikh Rashid Humaid al-Nuaimi, anak kepada pemerintah Ajman di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Insiden itu diketahui ramai selepas Sheikh Rashid bermegah-megah memaklumkannya di Facebook. “Duit Arab memang berkuasa,” katanya. Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, kereta disita hanya dipulangkan selepas pemiliknya membayar denda dan menyediakan dokumen sebenar. “Berhubung kes Ferrari itu, ia telah dituntut pemiliknya” katanya. Sheikh Rashid memuat naik gambar Ferrari itu di Facebook bersama catatan: “Ferrari saya disita di London, kemudian mereka mengetahui siapa saya dan kereta itu dikembalikan.” Dalam komen pada pos itu, Sheikh Rashid berkata, dia tidak membayar insurans untuk keretanya. - DM

Sekolah rendah ketepi bahasa Inggeris

JAKARTA: Sebagai sebahagian pindaan kurikulum yang akan berkuat kuasa tahun depan, bahasa Inggeris tidak lagi menjadi subjek yang akan diajar di sekolah rendah di Indonesia, kata Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Musliar Kaslim.
Menurutnya pindaan itu bertujuan memberikan lebih banyak masa untuk murid menguasai bahasa Indonesia terlebih dulu sebelum mempelajari bahasa asing.

“Sekolah rendah tidak akan mempunyai pelajaran bahasa Inggeris kerana murid belum lagi belajar untuk memahami bahasa Indonesia,” kata Musliar semalam.
“Malah, sekarang sesetengah murid tadika mengambil kursus bahasa Inggeris. Itu dilarang oleh undang-undang Islam (haram). Saya kasihankan kanak-kanak berkenaan,” katanya. Dia menegaskan semua sekolah perlu melaksanakan perubahan dalam kurikulum mereka. Bagaimanapun, kementerian masih memikirkan sama ada sekolah persendirian akan dibenarkan untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar mereka sebagai subjek sampingan. “Namun, untuk sekolah awam ia dilarang sama sekali,” katanya sebagaimana dipetik oleh kompas.com. Bagi sekolah antarabangsa yang biasanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, kementerian belum memutuskan apa yang patut dilakukan.

Selain mengetepikan bahasa Inggeris sebagai subjek, kementerian juga merancang untuk mengurangkan subjek sedia ada di sekolah rendah kepada enam iaitu agama, bahasa Indonesia, pendidikan sivik, seni dan kemahiran, pendidikan fizikal dan pengetahuan am. Rancangan pengurangan subjek itu, termasuk matemati, sains, pengajian sosial, kandungan tempatan dan pembangunan insan. Musliar berkata, sains dan pengajian sosial tidak akan diketepikan langsung daripada kurikulum baru, tetapi akan digabungkan dalam subjek lain seperti bahasa Indonesia. - kompas.com

No comments:

Post a Comment