Monday, October 8, 2012

NAK DERMA JIKA ADA SUAMI MINTA IZIN PADA SUAMI...JIKA TAK ADA ...MINTA IZIN IBU BAPA...BAIK SOLAT ISTIHARAH DAHULIU

Wanita paling ramai derma organ


LAM THYE (duduk) melihat pelajar Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Nur Athirah Aripin, 21, (kiri) mendaftar nama sebagai penderma organ di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Golongan lelaki sepatutnya rasa tercabar untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan pemindahan organ selepas statistik Pusat Sumber Transplan Nasional mendapati bahawa wanita yang lebih ramai menandatangani ikrar mendermakan anggota tubuh masing-masing dengan membabitkan 112,224 orang.
Jumlah itu membentuk 55 peratus daripada 205,478 penderma di seluruh negara dengan lelaki pula seramai 92,263 orang atau 45 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, selain angka yang besar dalam kalangan penderma wanita, pihaknya juga bangga dengan kesediaan belia berumur antara 25 hingga 35 tahun yang mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penderma.
“Ini adalah hasil daripada usaha kita menumpukan kempen di sekolah, kolej dan universiti seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran golongan muda tentang kepentingan menderma organ.
“Golongan muda menjadi sasaran utama kempen dan kita berharap mereka bukan sahaja akan berminat untuk mendaftarkan diri sebagai pengikrar bahkan turut menyebarkan pula maklumat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Air terusan Sungai Sireh susut



PARAS air yang semakin surut di Terusan Besar Sungai Sireh, Tanjong Karang semalam.


TANJONG KARANG – Operasi Loji Pembersihan Air Sungai Sireh di sini dikhuatiri terjejas teruk ekoran penyusutan paras air di Terusan Besar Sungai Sireh yang membekalkan air mentah ke loji berkenaan sejak seminggu lalu.
Petanda awal sudah kelihatan apabila pengeluaran air dari loji terbabit mula berkurangan daripada 21 juta liter sehari (JLH) kepada 16 JLH sebelum ini.
Buat masa ini, kekurangan pengeluaran air di loji terbabit terpaksa ditampung oleh beberapa loji lain di Kuala Selangor yang mendapat sumber air dari Sungai Selangor.
Bagaimanapun, jika situasi buruk berlanjutan kira-kira 30,000 penduduk di kawasan Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sungai Besar pula dibimbangi akan menghadapi masalah bekalan air bersih.
Sumber berkata, ketika ini, paras air di Terusan Besar Sungai Sireh mencapai tahap serius iaitu 3.34 meter berbanding paras normal melebihi 4 meter.
“Sebelum ini, air sungai itu akan mengalir masuk secara semula jadi ke loji melalui saluran khas tetapi kali ini air terpaksa disedut dengan pam kerana air sungai susut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kontraktor ditahan bantu kes culik

Kontraktor suspek keenam kes culik anak doktor pakar kulit direman di Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang kontraktor ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes culik anak seorang doktor pakar kulit pada 25 September lalu.
Suspek difahamkan ditahan ketika menghadiri satu mesyuarat di Sungai Petani pada pukul 6 petang kelmarin.
Dia merupakan suspek keenam yang ditahan selepas polis sebelum ini menahan lima suspek termasuk dua warga asing dari India dan Myanmar.
Lima suspek yang ditahan sebelum ini berusia 20-an hingga 50-an dan mereka ditahan di sini dan Sungai Petani dekat sini pada 27 dan 28 September lalu.
Difahamkan, empat daripada lima suspek yang ditahan itu merupakan pekerja kepada kontraktor berkenaan.

Cip mikro RM11.5 juta dirompak



SEBUAH gudang menyimpan cip komputer yang dirompak oleh kumpulan penjenayah di kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tengah semalam.


BUKIT MERTAJAM - Lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, lelaki itu dipercayai berusia antara 20 hingga 40 tahun memecah masuk gudang kilang berkenaan melalui pagar belakang kira-kira pukul 2.30 pagi.
"Ketika kejadian enam pengawal termasuk penyelia kilang berada di tempat kejadian.
"Kumpulan perompak terbabit bertindak mengikat pekerja di situ sebelum membawa masuk sebuah lori ke tempat pemunggahan barang dan melarikan sejumlah cip mikro yang terdapat dalam tiga palet itu," kata beliau ketika dihubungi di sini.

3 jam jari lekat pada tombol pintu

DANISH menunjukkan tombol pintu yang menyebabkan sebatang jarinya tersepit selama tiga jam.


MELAKA – Gara-gara bermain tombol pintu, seorang murid tahun tiga terpaksa menahan sakit dan cemas selama tiga jam apabila jari hantu tangan kiri mangsa tersepit pada tombol tersebut di rumahnya di pangsapuri Ujong Pasir di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 11.45 pagi, Muhd. Danish Abbasi Mokhtar, 9, murid Sekolah Kebangsaan Banda Hilir di sini dikatakan bermain dengan tombol pintu di bilik kakaknya, Nurkia Satina Batrisyia, 12.
Ketika tombol itu dipusing-pusing oleh Danish, tiba-tiba jari hantu mangsa termasuk ke celah tombol tersebut yang juga tercabut dari pintu.
Cerita ibu mangsa, Sharifah Nazahatul Akmal Syed Abu Bakar, (gambar kecil) 38, dia mengetahui perkara itu selepas anaknya gagal menarik jarinya keluar dari tombol pintu yang tercabut itu.

Pesakit kanser usus perlu bantuan

NORASHIKIN membantu memasang beg khas pada perut Mohd. Hanafi ketika ditemui di rumah mereka di Taman Desa Jaya, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak menyangka dirinya menghidap penyakit kanser usus tahap ketiga selepas ibunya mendapat penyakit yang sama tiga tahun lalu.
Mohd. Hanafi Mohd. Bulkhini, 31, yang berkhidmat di bahagian keselamatan MBJB berkata, semuanya bermula apabila dia mengalami kesulitan untuk membuang air besar selain saluran najis berdarah.
Katanya, selepas mendapatkan rawatan pada Mac tahun lalu, doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus iaitu mewarisi penyakit ibunya, Saorah Maidin, 54.
“Kesihatan saya semakin buruk apabila laporan hospital seterusnya memaklumkan terdapat ketumbuhan baharu di saluran najis hingga pakar perubatan memutuskan untuk menutup dengan menjahit punggung.
“Sejak itu, bahagian perut saya ditebuk dan saya membuang air besar melalui beg khas yang kena diusung ke mana sahaja saya pergi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lembah 13, Taman Desa Jaya di sini semalam.

Filipina berdamai dengan barisan Moro


GAMBAR fail menunjukkan anggota-anggota Barisan Pembebasan Islam Moro berkawal di dalam sebuah pangkalan mereka di Kem Darapan, wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 5 September 2011.


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengumumkan semalam bahawa pentadbirannya mencapai persetujuan awal perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu.
Beliau berkata, persetujuan itu merupakan satu kejayaan besar ke arah menamatkan pemberontakan yang berlanjutan selama sedekad di selatan negara itu.
Menurut Aquino, rangka kerja persetujuan tersebut merupakan jaminan pemberontak MILF menamatkan perjuangan mereka untuk berpisah dari Filipina.
Persetujuan damai tersebut memberi laluan kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi untuk penduduk minoriti Islam di selatan Filipina.
Perjanjian damai tersebut yang akan dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila menggariskan prinsip asas berhubung beberapa isu utama termasuk pembahagian kuasa, hasil dan wilayah di rantau berpenduduk Islam tersebut.
Jika segalanya berjalan lancar, satu perjanjian damai yang muktamad akan ditandatangani menjelang tahun 2016 apabila penggal pemerintahan Aquino berakhir.
"Persetujuan asas memberi laluan kepada keamanan muktamad dan berpanjangan di selatan Filipina," kata Aquino.
"Ia bermakna tangan yang pernah mengangkat senjata (para pemberontak MILF) akan digunakan untuk berbudi kepada tanah, menjual produk dan membuka laluan untuk pelbagai peluang lain," tambahnya.
Persetujuan tersebut merupakan kejayaan terbesar proses rundingan dengan MILF yang memiliki 11,000 anggota sejak 15 tahun lalu.
Pemberontakan MILF telah menyebabkan lebih 120,000 orang terbunuh dengan sekitar dua juta orang lagi menjadi pelarian selain membantutkan pembangunan di selatan Filipina. - Agensi

Turki serang balas bedilan meriam Syria



ASKAR-ASKAR Turki mengawal pintu sempadan di bandar Akcakale semalam.


WASHINGTON - Tentera Turki di bandar Akcakale melepaskan bedilan meriam ke Syria semalam, lapor agensi berita Dogan.
Tindakan itu dilakukan selepas satu bedilan meriam tentera Syria mengenai sebuah kawasan di bandar tersebut yang merupakan insiden kedua dalam tempoh lima hari.
Bedilan itu mengenai pekarangan sebuah bangunan awam yang terletak tidak jauh dari bandar Akcakale.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pada Rabu lalu, lima penduduk awam Turki mati di bandar tersebut ekoran serangan mortar tentera Syria dari bandar Tal al-Abad.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta kelmarin berkata, insiden berbalas bedilan meriam antara Syria dan Turki akan merebak ke negara-negara jiran.
Menurutnya, AS sedang menggunakan saluran diplomatiknya untuk melegakan kebimbangan berhubung pertempuran tersebut dengan harapan ia tidak akan merebak.
Komen Panetta dibuat semasa beliau melawat Peru selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan amaran bahawa negaranya kini di ambang peperangan dengan Syria.
Turki dan Syria berbalas bedilan meriam ketika kumpulan pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad dekat kawasan sempadan pada Sabtu lalu.
Pertempuran itu meningkatkan kebimbangan krisis di Syria akan mencetuskan konflik di rantau tersebut.
Sebelum ini, Erdogan memberi amaran bahawa negaranya tidak akan bersabar dengan tindakan Syria yang membedil wilayahnya.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, Naib Presiden Syria, Faruq Al-Shara dianggap sebagai pengganti Presiden Bashar Al-Assad untuk menjadi ketua pentadbiran buat sementara waktu bagi menamatkan perang saudara di negara berkenaan.
"Faruq merupakan seorang lelaki yang munasabah dan memiliki perasaan belas kasihan. Beliau juga tidak terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Syria. Tiada siapa yang lebih arif daripada beliau tentang sistem pentadbiran negara itu," kata Davutoglu ketika diwawancara wartawan saluran televisyen TRT kelmarin.
Menteri berkenaan menegaskan bahawa pihak penentang di Syria cenderung untuk menerima Faruq sebagai pemimpin masa hadapan Syria. - Agensi

No comments:

Post a Comment