Tuesday, October 9, 2012

KEGIATAN MENIPU TERUS BERLAKU...MUNGKIN MEREKA JUGA MENGUNAKAN ILMU PUKAU@SIHIR

Senior melampau

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

GURUN: “Anak saya dimalukan apabila dipaksa telanjang sebelum seorang pelajar merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dengan alasan bergurau. Lebih mengecewakan, kejadian itu berlaku Februari lalu dan hanya diketahui apabila telefon bimbit pelajar berkenaan dirampas warden pada 30 September lalu.”
Demikian kata bapa pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kesal dengan sikap sambil lewa pengurusan sebuah sekolah menengah di sini, yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap aduannya berhubung kejadian itu.

Bapa berusia 36 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai rakaman video bogel anak lelakinya itu selepas isterinya dimaklumkan anaknya dipanggil Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar (PKHEP) pada 1 Oktober lalu berhubung kejadian buli di asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, anaknya baru sebulan tinggal di asrama dan difahamkan kejadian berlaku ketika dia ke tandas dengan memakai tuala sebelum dipanggil pelajar senior dan dipaksa berbogel sebelum disepak berulang kali.

“Pada keesokan hari, isteri saya bertemu pengetua untuk melihat rakaman telefon bimbit itu dan dimaklumkan seorang pelajar tingkatan lima terbabit perbuatan itu, tetapi beliau enggan membenarkan isteri melihat rakaman berkenaan dengan alasan telefon itu kehabisan bateri.


Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Sejak berbulan lalu, saya mengulang kaji pelajaran dengan bantuan anak lelaki berusia 12 tahun dan baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Hari ini (semalam), saya rasa seram sejuk dan berdebar-debar ketika membuka kertas soalan. “Bagaimanapun, kerana ingin mencabar diri sendiri, semua itu diketepikan malah saya tabahkan hati untuk ke pusat peperiksaan.” Itu kata calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 50, ketika ditemui di pusat peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, semalam.

Nordin bersama seorang lagi rakan berusia 40-an mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi calon persendirian paling tua menduduki PMR.
Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, usia bukan penghalang untuknya menduduki PMR, sebaliknya perlu dijadikan contoh kepada golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Saya menduduki PMR kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 35 tahun lalu.

“Saya mendaftar untuk menduduki PMR pada Februari lalu dengan yuran RM85. Walaupun sibuk, saya meluangkan masa mengulangkaji pelajaran.
“Pada mulanya anak dan isteri menyangka saya hanya bergurau, tetapi mereka kemudian memberi semangat dan dorongan,” katanya.

Bermula semalam, Nordin bersama rakannya itu mula menguji keupayaan diri dengan menjawab kertas soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, diikuti Pendidikan Islam pada sebelah petang.
Selain dua mata pelajaran itu, secara keseluruhan, calon PMR akan menjawab enam lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Sains serta Matematik.

“Memang gementar kerana persediaan dibuat hanya ala kadar, paling merisaukan saya mata pelajaran Matematik kerana ia memerlukan kecekapan untuk mengira.

“Agak kekok dan segan kerana kami dikelilingi ratusan murid yang jauh lebih muda. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila terjumpa seorang lagi calon hampir sebaya,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu turut berharap dia lulus semua mata pelajaran.

Selain Nordin dan rakannya itu, seramai 166 pelajar tingkatan tiga yang lain turut menduduki PMR di pusat peperiksaan sama. Sementara itu, seorang guru dikenali sebagai Yahya, 40, berkata, dia terharu apabila mendapati dua calon yang menduduki PMR ialah individu seusia dengannya.

Juara makan lipas maut



DEERFIELD BEACH: Pemenang pertandingan makan lipas mati selepas memuntahkan berpuluh-puluh serangga itu dan cacing yang masih hidup.
Edward Archbold jatuh sakit dan pengsan di sebuah kedai haiwan, tempat pertandingan diadakan.

Rakaman video menunjukkan Archbold menyumbat masuk lipas ke dalam mulutnya, tidak lama sebelum dia meninggal dunia.

Lelaki berusia 32 tahun itu memenangi hadiah seekor ular sawa. Dia merancang menjual haiwan itu kepada seorang rakan.

Seramai 30 lagi peserta menyertai pertandingan berkenaan di Deerfield Beach, Florida.

Bagaimanapun, tidak seorangpun sakit selepas itu.

Penganjur pertandingan, Ben Siegel berkata: “Kami berasa begitu sedih. Dia kelihatan seperti ingin menunjuk-nunjuk. Tetapi dia lelaki baik.”

Menurut Siegel, Archbold tidak menunjukkan tandasakit sebelum pertandingan.

Michael Adams, Profesor Entomology di Universiti California, Riverside, berkata, dia tidak pernah mendengar orang mati selepas memakan lipas.

“Kecuali lipas berkenaan tercemar bakteria atau patogen lain, saya tidak fikir lipas tidak selamat dimakan.

“Memang ada orang yang alah kepada lipas. Tetapi lipas atau serangga yang ada kaitan dengannya tidak ada toksin,” kata Adams.

Pegawai kini menanti keputusan bedah siasat untuk menentukan punca kematian Archbold. - DM

Ditipu ‘tunang’ hidup-hidup

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Dia ajak saya bercuti ke luar negara sebagai hadiah pertunangan, tapi saya tak mahu. Sebagai pengganti dia menempah sebuah kereta Ferrari untuk saya dengan menggunakan nama saya.
“Sudahnya, dia ghaib entah ke mana dan saya pula diburu penjual kereta yang meminta bayaran pendahuluan,” kata seorang wanita yang bukan saja terpaksa menanggung malu apabila majlis pertunangannya Sabtu lalu dibatalkan kerana bakal tunangnya menghilangkan diri, tapi turut kerugian RM50,000 selepas ditipu lelaki terbabit.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fauzana, 30-an, berkata lelaki terbabit berusia 40-an dikenalinya setahun lalu melalui laman web sosial, facebook sebelum mengadakan pertemuan buat pertama kali di Bukit Bintang, di sini, awal bulan ini.
Menurutnya, lelaki itu yang mendakwa dia kerabat diraja dan berpangkat Datuk kerap ‘menjual’ nama seorang ‘Tengku Mahkota’ serta seorang ‘Yang Dipertua Negeri’ dengan berkata seorang daripada mereka bakal menjadi ketua rombongan peminangannya.

“Bukan itu saja, dia juga menggunakan nama saya bagi menempah pelbagai barang kemas bernilai ratusan ribu sebelum menghantar gambar barang kemas dan kenderaan mewah itu melalui telefon bimbit kepada bapa saya.

“Dia turut menghantar pelbagai peralatan hantaran untuk majlis pertunangan kami ke rumah keluarga saya di Kota Bharu bagi meyakinkan pertunangan itu bakal menjadi realiti,” katanya.
Menurut Fauzana, lelaki terbabit juga mendakwa pertaliannya dengan keluarga diraja membolehkan dia menggunakan pesawat peribadi kerabat diraja itu bagi tujuan majlis pertunangan mereka.

Berikutan itu, bapa Fauzana berusia 60-an yang terpedaya status elit bakal menantunya mengadakan persediaan bagi majlis pertunangan Sabtu lalu, tetapi kecewa bakal menantunya itu menghilangkan diri serta gagal dihubunginya.
Berasakan dianiaya dan ditipu kekasihnya itu, Fauzana membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, keesokannya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai hubungannya dengan kekasihnya, Fauzana berkata biarpun pertama kali berjumpa pada 10 Mac lalu, dia percaya lelaki itu kerabat diraja dan berpangkat Datuk.
“Malah, dia juga berjanji akan memasukkan wang lebih RM15 juta ke dalam akaun saya sebelum memberi alasan gagal berbuat demikian kerana ada masalah dengan Bank Negara,” katanya.

Fauzana berkata, walaupun wujud perasaan curiga terhadap lelaki itu, dia seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa, sebaliknya akur semua arahan selepas diberi alasan apa yang dilakukan semata-mata bagi memastikan majlis pertunangan berjalan lancar.

“Ketika itu dia meminta saya menyerahkan kad kredit, barang kemas, wang tunai dan semuanya mencecah RM50,000 dan mendakwa akan membayarkan semula,” katanya.

Fauzana mendakwa selama beberapa hari bersama lelaki itu di Kuala Lumpur, dia seolah-olah berada di alam lain dan tidak menyedari apa yang dilakukan selain patuh arahannya.

“Malah, pada 13 Mac lalu, dia membawa saya ke sebuah kedai barang kemas bagi menempah cincin pertunangan bernilai lebih RM400,000. Dia meyakinkan saya biarpun barangan kemas ditempah itu menggunakan nama saya, pembayaran akan dibuat keluarganya.

“Saya langsung tak sangka tindakannya membawa saya menempah sebuah kereta Ferrari hanya lakonan dan helahnya untuk menipu saya. Mujur juga saya tidak mengikutnya ke luar negara, jika tidak mungkin saya dijualnya di sana,” katanya.

Sebelum lelaki itu gagal dikesan pada hari pertunangan Sabtu lalu, penipuan terakhir dilakukannya ialah pada 17 Mac lalu dengan janji untuk membawa Fauzana bersama ahli keluarga di Kuala Lumpur pulang ke kampung dengan menaiki pesawat peribadi keluarga diraja.

“Namun, beberapa jam sebelum waktu berlepas, dia memberitahu penerbangan itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk mendarat. Sudahnya, saya terpaksa pulang ke kampung dengan penerbangan biasa.

“Bagi meyakinkan saya, dia menyerahkan kad ATM (mesin juruwang automatik) miliknya yang kononnya mempunyai baki RM6 juta, namun sebaik tiba di kampung kad itu tidak boleh digunakan dan dia pula gagal dihubunginya sehingga kini,” katanya.

Fauzana berkata, dia membuat laporan polis atas penipuan dilakukan lelaki itu bagi memastikan tiada wanita lain menerima nasib sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Air mata suami

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Kami diperlakukan seperti binatang oleh mereka, kepala saya ditetak dengan parang dan bayangkan, isteri saya dirogol depan mata saya,” kata seorang lelaki yang juga mangsa samun sekumpulan lelaki, empat tahun lalu.
Lelaki berusia 27 tahun itu dalam nada sebak berkata demikian ketika Mahkamah Sesyen di sini, semalam memanggilnya dan isteri memberi keterangan impak menceritakan kesan dialaminya selepas insiden samun itu.

Hakim SM Komathy Suppiah mendengar keterangan pasangan suami isteri itu sebelum menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 20 sebatan terhadap B Puvaneswaran, 23, yang mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Tambah mangsa yang bekerja sendiri itu, selepas kejadian terbabit, dia dan isteri mengalami trauma yang amat mendalam sehingga malu berdepan dengan masyarakat.

“Saya hilang pendapatan, isteri pula yang ketika kejadian baru hari pertama memulakan latihan untuk bekerja di Kuala Lumpur, terus tidak dapat bekerja sehingga ke hari ini.

Nyawa 30 hari

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia 30 hari yang belum sempat didaftarkan nama di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), meninggal dunia selepas dipercayai dihempap abangnya ketika mangsa tidur di rumah keluarganya, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang mengalami lebam di pipi, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Jalan Putra, di sini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk urusan lanjut.

Difahamkan, abang bayi berkenaan yang berumur lima tahun, dikatakan nyenyak tidur di atas katil sebelum terjatuh lalu menghempap badan adiknya yang tidur di tepi katil.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, keluarga mangsa sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Filem satira singgung orang India diharam di Singapura



SINGAPURA: Kerajaan Singapura mengharamkam penayangan filem satira tempatan, tiga hari sebelum pelancarannya kerana ia didapati menyinggung penduduk minoriti India, kata pemerhati media, semalam.
Kenyataan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Media (MDA) berkata, “Seks.
Keganasan. Nilai Kekeluargaan.” pada mulanya dinilai sesuai untuk penonton berusia 18 tahun ke atas tetapi panel rujukan membuat kesimpulan satu daripada tiga cerita dalam filem bebas sepanjang 47 minit itu tidak sesuai untuk tontonon umum.

“Majoriti anggota panel merasakan filem itu tidak sepatutnya disiarkan kepada umum kerana melibatkan rujukan perkauman yang dianggap memperkecilkan dan menyinggung perasaan orang India.”

Kenyataan itu turut menyebut, pemilik filem itu boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Rayuan Filem.

Laman promosi filem itu di Facebook memuat naik kenyataan pengharaman filem berkenaan semalam dan menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap MDA dan meminta warga Singapura diberi kebenaran untuk menilai sendiri filem itu.

Walaupun diharamkan, treler filem tempatan yang memaparkan aktor Adrian Pang mengejek aktor dari keturunan India dalam cerita yang bertajuk “Porn Masala”, masih boleh ditonton dalam laman web rasmi filem itu, semalam. - Straits Times

Amir Khan, adik belasah 6 samseng



LONDON: Sekumpulan samseng bersenjata dibelasah apabila mereka cuba kereta Range Rover berharga RM500,000 milik peninju, Amir Khan.
Bekas juara dunia itu dan adiknya, Haroon, 20, juga peninju, diserang hendap semalam, ketika berjalan awal pagi ke kereta mereka.

Enam lelaki menggunakan kereta pacuan empat roda untuk menghalang laluan bekas juara welterweight dunia berusia 25 tahun itu.
Meskipun hanya berdua, Amir dan Haroon tidak mengalah, sebaliknya membelasah kumpulan berkenaan.

Seorang saksi berkata: “Mereka cuba memukul pasangan adik beradik itu. Mereka tersilap pilih mangsa.

“Mereka menghalang kereta Amir. Sekurang-kurangnya seorang bersenjata. Seorang daripada mereka menampar peninju itu. Tetapi Amir melawan dan menumbuknya hingga jatuh.
“Kemudian, lima yang lain menyerang kedua-dua peninju itu. Amir dan Haroon melawan dan menumbuk seorang demi seorang hingga jatuh.

“Peninju terbabit kemudian meninggalkan penyerang mereka yang luka dan calar-balar. Mereka hanya mempertahankan hak mereka.” Polis mengesahkan menerima panggilan mengenai satu pergaduhan. “Tetapi tidak ada yang membuat laporan,” kata jurucakap polis. - TS

Lelaki tanpa muka



LATIF tak boleh melihat selepas mata dilitupi lapisan ketumbuhan.
LATIF tak boleh melihat selepas mata dilitupi lapisan ketumbuhan.
IBU Latif menangis setiap kali melihat beliau.
IBU Latif menangis setiap kali melihat beliau.
KASHMIR: Seorang pemuda buat pertama kalinya menceritakan kehidupannya ‘tanpa muka’ dan bagaimana dia begitu takut keadaannya itu diwarisi oleh anak yang masih dalam kandungan isterinya.
Mohammad Latif Khatana, 32, dari Kashmir, India, tidak boleh melihat atau bekerja kerana mukanya dilitupi lapisan ketumbuhan.
Kerana kehodohannya, ada orang yang sanggup meludah ketika mereka melalui di depannya.

Dia kini begitu gembira selepas wanita yang dikahwinnya hamil tujuh bulan.

Tetapi dia begitu bimbang, anak yang akan dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.

“Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagian dalam kehidupan saya. Tetapi saya sentiasa bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya,” katanya.

Latif yang tinggal bersama isteri, Salima, 25, di kawasan pergunungan di Tuli Bana di Jammu dan Kashmir, pergi ke Srinagar selama empat bulan dalam setahun untuk meminta sedekah.

Dia dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya. Tetapi ketumbuhan itu membesar dan membentuk lapisan daging dan menutup seluruh mukanya. Ia menyebabkan Latif tidak boleh melihat.

“Ibu saya masih menangis setiap kali melihat saya. Dia merasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib itu.”

Latif mempunyai dua abang dan tiga kakak dan menjadi satu-satunya anggota keluarga yang menghidap masalah berkenaan.

Tanpa adik beradiknya, kehidupannya akan menjadi begitu sunyi kerana tidak ada orang yang ingin berkawan dengannya.

“Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain di kampung. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya ‘si mata satu.’”

Apabila dewasa, dia terus berdepan dengan banyak masalah. Dia lelaki yang kuat tetapi kerana tidak dapat melihat dan keadaan mukanya, tidak ada siapa yang ingin menawarkannya pekerjaan.

“Saya terpaksa mengemis dan mengharapkan simpati orang lain supaya dapat memberi makan kepada keluarga.”

Latif kadang-kala memperoleh 400 rupi (RM25) sehari dengan mengemis.

“Pernah tiga gadis berjalan di depan saya. Mereka ludah kaki saya dan berlari sambil menutup mulut dengan selendang masing-masing. Ia begitu memalukan saya.

“Ia juga membuat saya terkejut kerana melihat kekejaman mereka. Saya begitu tertekan selama beberapa hari. Tetapi saya terpaksa bangkit dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Empat tahun lalu, Latif menemui jodohnya.

Ibu bapanya berusaha mencarikannya isteri tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengannya, sehinggalah Latif mendengar mengenai Salima.

“Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki. Sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.

“Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami jodoh yang sesuai kerana masing-masing cacat,” katanya.

Mereka berkahwin pada Ogos 2008 dan kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis itu.

Sejak itu, pasangan berkenaan hidup bahagia. - TS

Suspek perkosa lari ke ibu negara



TAPAH: Seorang lelaki dipercayai penagih diburu polis apabila melarikan diri ke ibu negara selepas memperkosa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, pertengahan September lalu.
Suspek dikenali sebagai Mohd Hadi Baharom, 50, atau Adi dikesan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah selain turut diletakkan di bawah pengawasan polis sebelum ini.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 12 September lalu, suspek dikatakan memecah masuk rumah jirannya di Kampung Petalin Baru, Bidor, di sini sebelum menceroboh bilik mangsa yang ketika itu tidur bersendirian.
“Suspek kemudian merogol mangsa sebelum melarikan diri dari rumah berkenaan. Difahamkan, mangsa berasal dari Slim River tinggal sementara di rumah berkenaan milik keluarga angkatnya.

“Pada keesokan hari, mangsa yang juga anak sulung daripada lima beradik pulang semula ke rumahnya di Slim Village dan menceritakan kejadian menimpanya kepada ibunya,” katanya.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan kesihatan hospital mengesahkan mangsa dirogol.
“Polis kesal apabila keluarga angkat mangsa mendakwa suspek bebas keluar masuk rumah berkenaan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dipercayai masih bersembunyi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan gerakan mengesannya giat dijalankan.
Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai sebarang maklumat diminta melaporkannya kepada polis atau menghubungi talian 05-4015222.

2 rakan jenayah tumpas

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

RAMPAS...Mohan  menunjukkan peralatan pecah rumah dan curi kereta yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Mohan menunjukkan peralatan pecah rumah dan curi kereta yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...sebahagian daripada sembilan kereta curi yang ditemui semula.
BUKTI...sebahagian daripada sembilan kereta curi yang ditemui semula.
CHERAS: Kegiatan Geng Sek Taw dianggotai dua sahabat baik yang aktif menjalankan aktiviti jenayah curi kereta dan pecah rumah sekitar Lembah Klang berakhir selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pandan Perdana dan Cheras, di sini, 2 Oktober lalu.
Dua lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai terbabit dalam 21 kes curi kenderaan dan 13 kes pecah rumah sejak tiga bulan lalu serta berjaya dikesan selepas menerima maklumat awam.

Mereka dikatakan tidak memilih jenis kereta yang disasarkan asalkan boleh dicuri sebelum dijual semula pada harga murah. Begitu juga dengan pecah rumah, mereka melakukannya jika ada kesempatan tanpa mengira tempat dan masa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dua lelaki itu yang bersahabat baik sejak tiga tahun lalu melakukan kegiatan jenayah mereka secara rambang tanpa menyasarkan mangsa tertentu.

Katanya, hasil tangkapan berkenaan, polis merampas sembilan kenderaan pelbagai jenis yang dilaporkan dicuri dan lapan daripadanya dilaporkan hilang di Lembah Klang manakala satu di Pahang.

“Polis turut menemui kelengkapan mencuri kenderaan serta pecah rumah dan beberapa kunci kereta.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM400,000,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Seksyen 414 KK.

Lelaki diburu

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki lain selepas disyaki melarikan seorang gadis bawah umur dari Kuala Lumpur dalam kejadian di Jalan Air Itam di sini, awal pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang juga saudara remaja perempuan berusia 17 tahun itu diminta keluarga gadis itu mencari anaknya yang dikatakan dibawa ke Pulau Pinang oleh seorang lelaki. Jurucakap polis berkata, selepas usaha mencari dilakukan sejak beberapa hari lalu, mangsa berjaya menemui anak saudaranya di kawasan Bukit Jambul sebelum membawanya pulang ke rumah di Air Itam.

Menurutnya, suspek berusia 23 tahun kemudian bertemu mangsa di sebuah medan selera dan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak sebelum suspek mengugut mahu mencederakan mangsa sebelum beredar.
Katanya, mangsa yang bimbangkan keselamatan diri dan anak saudaranya itu kemudian membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment