Friday, August 27, 2010

AWAS WAHAI SURI RAMAHTANGGA DAN KAUM BAPA YANG MEMBELI IKAN

Kesan pengawet mayat

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

2010/08/27

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperluaskan penyelidikannya dalam bidang Bioteknologi dengan menghasilkan alat ‘Biosenser Elektrod Enzim’ yang bertindak bagi mengesan penggunaan formaldehid iaitu bahan awet mayat yang terdapat pada ikan dan makanan laut.
Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof Madya Dr Fatimah Abu Bakar berkata, penggunaan bahan kimia terlarang yang digunakan secara berleluasa oleh hampir keseluruhan pasar raya di Malaysia untuk menyegarkan makanan laut mengundang kesan negatif terutama pada aspek kesihatan.
Menurutnya, perkara itu menjadi lebih serius apabila tiada keseragaman aspek kajian dan pengawasan kerana memerlukan kepakaran bagi mengesan penggunaan formaldehid dalam makanan laut.

Beliau berkata, menurut The National Occupational Safety and Health (NIOSH), formaldehid adalah karsinogen yang bertindak sebagai mutegan yang mampu menyerang dan memusnahkan bahan genetik yang terdapat pada sel badan manusia selain menyumbang kepada risiko barah paru-paru dan otak.

Katanya, teknologi biosenser yang dihasilkan UPM adalah alat bagi mengesan bahan kimia pada makanan laut dengan penggunaan mudah iaitu dengan meletakkan sampel yang dicurigai mengandungi bahan formaldehid ke dalam alat biosenser dan hanya 10 minit nilai keputusan akan diperoleh.

Katanya, kebiasaannya makanan laut yang bebas daripada kandungan formaldehid akan menghasilkan nilai bacaan tiga ke bawah dan bacaan pada nilai lima ke atas adalah nilai yang tidak dibenarkan dan bakal mendatangkan bahaya.

“Alat pengesan ini nyata mempunyai pelbagai kelebihan di mana penggunaan yang mudah dan pantas, tepat, sensitif iaitu dapat mengesan nilai 0.1 hingga 20 di mana tidak terdapat pada mana-mana alat pengesan lain,” katanya ketika Sidang Media Alat Bagi Mengesan Bahan Awet Pada Makanan Laut, di UPM, di sini, semalam.

Tambah beliau, UPM mensasarkan penggunaan alat ini dikalangan agensi pengawasan dan pemantauan, pemborong dan peruncit ikan selain Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk memiliki alat biosenser.

No comments:

Post a Comment