Wednesday, August 25, 2010

BERITA2 DIMALAYSIA PATUT JADI IKTIBAR

Kubur misteri

Oleh Mohd Sabran Md Sani

2010/08/26

TANAH MERAH: “Kubur misteri itu disedari beberapa pelajar sekolah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan mereka terkejut melihat sepasang batu nisan berhampiran pagar masuk dan memaklumkannya kepada penduduk kampung,” kata Abdul Kadir Mat Jusoh, 50.
Abdul Kadir yang juga penduduk Kampung Telaga Bijih, Batu Gajah, dekat sini, dimaklumkan mengenai penemuan kubur terbabit lima hari lalu dipercayai milik bayi yang ditanam berhampiran tanah perkuburan Islam kampung terbabit.
Berikutan penemuan kubur misteri itu, penduduk kampung kemudian memaklumkan kepada polis dan sepasukan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dikejarkan ke lokasi kejadian, semalam.

Bagaimanapun tanda tanya yang bermain di fikiran penduduk kampung berakhir apabila polis menemui objek seakan bayi yang lengkap berkain kapan dan diikat pada kaki serta kepala dikeluarkan jam 11.35 pagi. Polis mengesahkan menemui rangka bayi yang tidak diketahui jantinanya di dalam kubur itu.

Abdul Kadir yang juga penoreh getah berkata, berita penemuan kubur terbabit meniti dari bibir ke bibir penduduk kampung sejak beberapa hari lalu kerana musykil dengan kedudukannya yang agak terpinggir berbanding kubur lain.

“Berikutan penemuan kubur itu, penduduk mengesyaki ia milik seorang bayi kerana bentuknya agak kecil jika dibandingkan dengan kubur sedia ada manakala dua batu diletakkan di atasnya sebagai simbolik batu nisan.

“Nak kata ada kematian kanak-kanak baru lahir, tidak juga kerana tiada sebarang khabar berita daripada penduduk setempat dan kampung bersebelahan menyebabkan penemuan kubur itu dimaklumkan kepada polis kelmarin,” katanya ditemui di tanah perkuburan terbabit.


Suami isteri kebas barang kemas majikan dicari



2010/08/26

KUALA LUMPUR: Tidak kenang budi. Itu ungkapan buat pasangan suami isteri yang sanggup mencuri barang kemas majikannya bernilai kira-kira RM7,000 selepas diberikan pekerjaan dan makan minum, malah tinggal di rumah majikan itu di Flat Sri Sarawak, di sini secara percuma.
Mangsa, J Lindawathi berkata suaminya mengambil pasangan berkenaan bekerja dengannya kerana berasa simpati nasib mereka yang tiada pekerjaan.
Malah, disebabkan mereka datang dari Seremban, Negeri Sembilan dan tiada tempat tinggal, mereka dibenarkan tinggal di rumah mangsa tanpa meminta bayaran.

Katanya, suaminya mempercayai pasangan berkenaan kerana mengenali mereka sejak enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kepercayaan itu tercalar apabila pelbagai barangan kemas miliknya dianggarkan bernilai RM7,000 disimpan di dalam bilik di rumahnya hilang dipercayai dilarikan pasangan berkenaan, tengah hari kelmarin.

“Saya cuba menghubungi mereka tetapi telefon bimbit dimatikan dan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari sama kira-kira jam 5.35 petang


Suami simbah asid kena 10 tahun, sebat



2010/08/26

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang menyimbah asid terhadap anak dan isterinya bukan saja terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi apabila dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan, malah berdepan penalti lebih berat apabila dihadapkan ke dua mahkamah berasingan atas lima tuduhan semalam.
Di Mahkamah Sesyen semalam, tertuduh, Mat Haizan Mat Yasin, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan pertama menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dengan menggunakan benda melecur, sejenis asid pada 15 Ogos lalu kira-kira jam 1.45 pagi di dalam rumah beralamat No 30A, Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Terdahulu, Mat Haizan dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana ia kesalahan pertama dan sudah insaf serta menyesal dengan perbuatan kejamnya. “Sudah empat tahun saya bersabar dengan isteri. Dua tiga kali dia minta cerai dan saya merayu padanya dan dia berjanji tidak mengulangi (minta cerai), tetapi dia tetap buat. Pada malam kejadian, saya bukan sengaja hendak buat (simbah asid). Barang (asid) ada dalam plastik, bila berebut dengan dia plastik itu pecah.

“Memandangkan ini kesalahan pertama saya, saya memohon hukuman seringan-ringannya. Selepas ini, saya menumpukan perhatian kepada anak-anak saya. Saya sangat menyesal dan insaf dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Hakim M Bakri mempertikaikan tujuan tertuduh membawa asid ketika bertemu isterinya dan menegaskan kesalahan yang dilakukannya tidak berperikemanusiaan, apatah lagi ia membabitkan perlakuan seorang suami terhadap isterinya.


'Enggan ambil ubat'



2010/08/26

KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental dan menyembelih mati anak lelakinya berusia tiga tahun, Mohamad Adam Muszahffar, kelmarin, dikatakan sudah berhenti mengambil ubat penyakitnya itu sejak tiga bulan lalu.
Isterinya, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata suaminya enggan mengambil ubat itu kerana mengadu sakit kepala selepas memakannya.
Katanya, dia memang menyedari penyakit suaminya itu sejak mula berkahwin namun tidak menyangka lelaki berkenaan akan bertindak ganas sehingga sanggup membunuh anak sendiri.

“Saya tidak pasti sama ada ingin meneruskan hidup bersamanya lagi selepas ini kerana bimbang keselamatan dua anak perempuan berusia lapan dan dua tahun.

“Memang saya akui dia enggan mengambil ubat sejak tiga bulan lalu dan mungkin ia menjadi punca kepada berlakunya kejadian ini “Saya tahu dia mempunyai penyakit berkenaan sejak kami mula berkahwin lapan tahun lalu namun tidak sangka dia boleh bertindak ganas seperti itu,” katanya.

Terdahulu, keluarga Nik Suzila menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudian menyampaikan sumbangan bagi pihak kerajaan negeri.

Nik Abdul Aziz ketika ditemui menyeru kepada setiap keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental serius supaya berhubung segera dengan doktor agar penyakit itu dapat dirawat.

Dalam kejadian kelmarin, suspek yang berusia 33 tahun dan menghadapi masalah mental bertindak menyembelih anak lelakinya menggunakan sebilah pisau di dapur rumahnya


Tak mati gantung diri

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/08/26

KUALA LUMPUR: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan situasi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang tergantung hampir sejam dalam bilik rumahnya, di Damansara Damai, di sini, sebelum diselamatkan kakaknya, semalam.
Difahamkan, pelajar terbabit nekad untuk membunuh diri selepas terbabit dalam pertengkaran dengan kakaknya berusia lewat 20-an yang menghalangnya daripada bersekedudukan dengan teman lelaki berusia awal 20-an dalam sebuah rumah.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pelajar terbabit dikatakan menggantung dirinya di siling rumah berkenaan menggunakan tali dibuatnya sendiri menggunakan kain.

Bagaimanapun, selepas tidak tahan dengan kesakitan ditanggung selain tindakannya itu gagal meragut nyawanya, pelajar terbabit yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan bertindak menjerit meminta tolong.

Menurut sumber, kakak mangsa yang terdengar suara adiknya itu segera bergegas ke bilik berkenaan sebelum mendapati adiknya berada dalam keadaan tergantung.

“Sebaik menurunkan adiknya itu, wanita berkenaan bergegas membawanya ke Hospital Sungai Buloh (HSB), untuk rawatan susulan,” katanya.

Kejadian itu bermula apabila kakak kepada pelajar itu pergi ke rumah teman lelaki adiknya di Damansara, di sini, sebelum memaksanya yang sedang bersekedudukan pulang ke rumah kira-kira jam 11 malam.

Difahamkan, pasangan itu sudah tinggal bersama sejak seminggu lalu dan pelajar itu tidak bersekolah sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber berkata, disebabkan marah tindakan kakaknya, menyebabkan berlaku pertengkaran. “Sebaik tiba di rumah, kakak mangsa dan ahli keluarga yang lain mendakwa mahu mengurungnya dalam rumah sekiranya pelajar terbabit masih berkeras bersekedudukan dengan kekasihnya.

“Bagaimanapun, pelajar terbabit tidak bersetuju keputusan itu sebelum berlari dalam biliknya,” katanya.

Sumber berkata, pelajar perempuan itu mengambil kain dan menggunting sebelum menjadikannya sebagai tali untuk menggantung diri
“Bagaimanapun, dia gagal membunuh diri selepas hampir sejam menggantung diri sebelum menjerit meminta pertolongan.

“Pelajar itu dikejarkan ke HSB untuk rawatan susulan selepas diselamatkan kakaknya yang terdengar jeritannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan


Guru tadika maut ditikam penyamun

SUBANG JAYA – Hasrat seorang guru tadika memulakan rutin harian seperti biasa di sebuah tadika di Sunway tidak kesampaian apabila maut ditikam seorang lelaki yang cuba menyamunnya, di jejantas Sungai Way, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, Leong Lai Yoong, 57, menaiki bas dari rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam dan turun di sebuah hentian bas di sekitar kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, mangsa kemudian menyeberangi jalan mengguna jejantas untuk ke tadika berdekatan.

“Mangsa tidak sedar dia diikuti seorang lelaki lingkungan 20-an, bagaimanapun mangsa cuba melarikan diri ke arah seberang jalan.

“Lelaki itu mengejarnya kira-kira 50 meter di atas jejantas sebelum mereka bergelut dan mangsa ditikam di bahagian rusuk kiri sebelum mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Omar berkata, dua saksi cuba membantu mangsa dengan mengejar suspek, bagaimanapun gagal.

Suspek melarikan diri kira-kira satu kilometer ke arah sebuah stesen minyak sebelum berjaya meloloskan diri


Lelaki ditemui mati terikat pada pokok

SHAH ALAM – Seorang penoreh getah tergamam apabila menemui satu mayat lelaki dalam keadaan terikat pada sebatang pokok dalam kebun getah di Sungai Kandis, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, penoreh terbabit dikatakan melalui kawasan terbabit untuk memulakan kerjanya di ladang itu sebelum memaklumkan penemuan mayat itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berpakaian lengkap serta kesan luka di tangan dipercayai mati dalam tempoh 48 jam.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Noor Azam berkata, polis sedang menyiasat sama ada mangsa yang ditemui mati itu sama dengan mangsa yang dilaporkan hilang di Alam Impian semasa memancing.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati di dalam ladang getah itu,” katanya

No comments:

Post a Comment