Saturday, April 16, 2011

SENTIASA BERHATI2...MALANG TIDAK BERBAU...SENTIASALAH MEMOHON PERLINDUNGAN DARI ALLAH SWT

2 maut kereta terbabas



REMUK...kereta dan mangsa yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
REMUK...kereta dan mangsa yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
KAJANG: Dua lelaki termasuk seorang yang belum dikenal pasti identitinya terbunuh apabila kenderaan dipandu mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 302, Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, sebuah Perodua Kembara dipandu mangsa yang berusia 52 tahun bersama rakannya, 40-an dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tepi lebuh raya.

Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketika kejadian, kereta mangsa di lorong kiri tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan ia memasuki susur keluar Plaza Tol Kajang sebelum terbabas di tepi jalan lalu merempuh pembahagi jalan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.


3 wanita curi kereta dicekup

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sekumpulan tiga wanita dan seorang lelaki dipercayai geng curi kenderaan yang bergiat aktif di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran kerajaan di sini ditangkap dalam operasi berasingan selama tiga hari berakhir semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata semua suspek terbabit berusia 30-an ditangkap di tiga lokasi berbeza di Selangor.

Menurutnya, dua wanita terbabit ditangkap di kawasan Cheras manakala seorang lagi di Puchong, masing-masing pada tengah malam Rabu dan awal pagi Khamis lalu.
“Suspek lelaki ditangkap dalam satu lagi operasi di daerah lain iaitu di sebuah bengkel di Selangor pada awal pagi Jumaat. “Dalam tangkapan itu, kami merampas komponen kereta seperti papan pemuka, stereng dan Smart Tag serta buku cek.

“Kami juga merampas sebuah kereta Toyota yang dilaporkan hilang di daerah lain,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, beliau percaya dengan tertangkapnya suspek terbabit, pihaknya menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan bukan saja di Putrajaya, malah di kawasan lain.

Namun, katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai suspek terbabit dan kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan lain kerana dalang kumpulan itu belum ditahan.

“Suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 (A) iaitu kecurian kenderaan. “Kami juga menyiasat melalui barang kes yang dijumpai seperti melalui Smart Tag yang digunakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kes kecurian kenderaan di Putrajaya bagi tiga bulan pertama tahun ini tidak menunjukkan peningkatan berbanding dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagi Januari hingga Mac lalu ada 15 kes. Tempoh sama tahun lalu pun sama jumlahnya, tiada peningkatan,” katanya.

Menurutnya, kecurian kenderaan kebanyakannya didapati berlaku di kawasan tempat letak kereta terbuka sama ada di kawasan perumahan dan pejabat kerajaan pada waktu siang. “Kebanyakan kenderaan dicuri adalah pacuan empat roda dan tiada kunci tambahan,” katanya.


‘Kami sempat mohon maaf’

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

ALOR SETAR: “Saya dan anak-anak sempat memohon maaf kepada arwah dan memberitahu kami begitu sayang kepadanya walaupun dia mungkin langsung tidak sedar kerana berada dalam keadaan koma sejak hari kejadian.”
Begitu kata Salma Saad, 47, isteri kepada Allahyarham Zinol Ismail, 51, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat melecur teruk di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, kira-kira jam 10.25 pagi semalam.

Mangsa sebelum itu dimasukkan ke HSB selepas dipindahkan dari Hospital Yan pada malam Rabu lalu apabila membakar dirinya menggunakan petrol yang diambil dari motosikalnya di dalam bilik di rumahnya di Kampung Ruat, Yan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, dua anak mangsa iaitu Badrul Amin Zinol, 14, bersama adiknya, Amirul Hadi, 12, turut melecur antara 30 hingga 40 peratus pada anggota badan selepas cuba menyelamatkan bapa mereka.

Salma berkata, arwah suaminya memang tidak sedarkan diri sepanjang tiga hari menerima rawatan, tetapi dia bersama anak-anak mengambil peluang berbual dengannya sambil memohon maaf kerana begitu menyayanginya.

Menurutnya, dia juga berasa sebak dan sedih apabila melihat keadaan arwah ketika masih ada hayat kerana fizikalnya berubah disebabkan melecur, selain tidak menjangka kejadian berkenaan menimpa keluarganya.

“Arwah sebelum ini seorang bapa penyayang, bertanggungjawab dan mesra dengan anak-anak selain begitu mementingkan pelajaran kerana menyifatkan ia mampu menjamin masa depan keluarga.

“Malah, sepanjang lebih 20 tahun hidup bersama, kehidupan kami sekeluarga begitu gembira dan tiada masalah sehinggalah pada awal Mac lalu apabila arwah mula berubah sikap secara tiba-tiba dan kelihatan murung. “Dia (arwah) ada bercakap soal mati sejak kebelakangan ini dan turut berpesan kepada saya supaya menjaga anak-anak dengan baik apabila dia sudah tiada nanti,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.
Salma yang juga ibu kepada enam anak berusia antara 22 dan tiga tahun berkata, anak keduanya sempat membaca surah Yasin untuk arwah, tetapi tidak dapat bertemu dengannya buat kali terakhir kerana keluar membeli makanan.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain juga tidak berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir kerana perlu menjaga dua lagi anaknya yang dirawat di wad sama sebelum dimaklumkan pemergian suami oleh doktor.

“Apa yang pasti, kami sekeluarga kini sudah hilang tempat bergantung dan saya perlu berusaha untuk menyara keluarga. Saya juga mahu pastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran kerana ia adalah kemahuan arwah,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Zinol, Harun Saad, 49, berkata, dia hanya mengetahui pemergian arwah selepas menerima panggilan daripada anak saudaranya ketika berada di Guar Chempedak kerana mempunyai urusan.

Menurutnya, arwah seorang petani pernah memberitahunya dia sudah bosan untuk hidup dan tidak mahu mengambil ubat-ubatan selepas mengalami masalah kemurungan sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada awal Mac lalu.


Ciuman terakhir

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

MARANG: “Pada hari kejadian arwah kerap mencium pipi saya ketika bermain sedangkan dia jarang buat begitu sebelum ini,” kata Liza Abd Razak, 26, ibu kepada Izzah Badrina Mohd Faizul, berusia 17 bulan yang maut selepas dirempuh kereta dipandu neneknya di Batu 23, Kampung Pulau Rusa, Merchang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Izzah Badrina yang parah di kepala meninggal dunia di pangkuan ibunya ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Merchang untuk rawatan kecemasan.

Menurut Liza, arwah turut kelihatan lebih rapat dengan bapanya, Mohd Faizul Mohd Nawi, 27, apabila mereka menghabiskan banyak masa bermain bersama pada malam sebelum kejadian malang itu.
“Arwah memang rapat dengan saya berbanding suami yang jarang berada di rumah disebabkan kerap turun ke laut tetapi malam itu (Rabu) dia banyak menghabiskan masa bersama ayahnya.

“Malah, arwah juga kelihatan gembira ketika bermain bersama ayahnya. Saya sama sekali tidak menduga sikap manja itu petanda dia meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Menceritakan kejadian malang menimpa anaknya, Liza berkata, Izzah Badrina bermain di kawasan rumah ibu mentuanya, Fatimah Muda, 56, manakala dia pula menyapu sampah di halaman rumah memandangkan mereka tinggal berjiran.

Ketika kejadian, katanya, dia bersama dua anak termasuk arwah dan keluarga mentua berada di rumah sebelum ibu mentua mengalihkan keretanya ke tempat redup disebabkan panas.

“Kejadian itu berlaku apabila arwah muncul secara tiba-tiba di hadapan kereta menyebabkan ibu mentua yang terkejut secara tidak sengaja tertekan pedal minyak dan merempuhnya.
“Dalam keadaan panik, saya meminta bantuan jiran membawa Izzah Badrina ke klinik berhampiran tapi Allah lebih menyayanginya apabila arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya.

“Walaupun masih bersedih dengan kejadian ini, saya sama sekali tidak berdendam dengan ibu mentua kerana ia berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Jenazah Izzah Badrina yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dikebumikan selepas solat Asar pada hari sama di Tanah Perkuburan Serating, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa dipercayai dilanggar secara tidak sengaja neneknya yang mengalihkan Proton Wira.

“Pada mulanya kes ini disiasat Bahagian Trafik sebelum diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment