Air sungai melimpah umpama tsunami
BEIJING – Seramai 20 orang cedera apabila air Sungai Qiantang melimpah dari tebing dalam satu fenomena alam semula jadi di timur China kelmarin.
Ketika kejadian ramai orang berkumpul di tepi sungai itu untuk melihat arus deras yang menghempas tebing sehingga ia kelihatan seperti ombak besar.
Ia berlaku pada setiap tahun akibat graviti bulan yang menyebabkan arus deras dari laut bergerak ke sungai berkenaan.
Namun, tanpa disangka-sangka kekuatan arus itu menyebabkan air sungai berkenaan melimpah umpama ombak tsunami menyebabkan orang ramai berlari sehingga ada yang terjatuh dan cedera dalam kejadian itu. – Agensi
Perompak gerudi kedai pajak
|
PETALING JAYA – Niat enam lelaki cuba merompak sebuah kedai pajak dengan menggerudi dinding premis itu bukan saja tidak tercapai malah kesemua penjahat terlibat ditahan polis dalam kejadian di Sungai Way di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 3 pagi itu, keenam-enam suspek pada mulanya menceroboh masuk sebuah kedai kasut sebelum menggerudi dinding di premis itu untuk dijadikan laluan ke kedai gambar yang terletak bersebelahan kedai pajak.
Selepas berjaya masuk ke kedai gambar melalui lubang digerudi berukuran 50 sentimeter, suspek-suspek kemudian menggerudi pula dinding di kedai gambar.
Bagaimanapun, nasib kumpulan penjenayah itu malang apabila sistem penggera yang dipasang di kedai pajak itu berbunyi. Semasa itu, lubang digerudi sudah hampir siap.
Anggota polis dari Balai Sungai Way yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian bergegas untuk membuat tinjauan sebelum menahan semua penjenayah itu yang panik dan mahu melarikan diri.
Jurucakap polis berkata, semasa ditahan semua suspek yang merupakan lelaki berketurunan Cina dipercayai telah berada di kedua-dua lokasi tersebut selama satu jam.
Suspek-suspek telah merosakkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai gambar dan cuba mencabut CCTV itu namun gagal.
“Anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sungai Way yang menerima isyarat bunyi penggera itu telah menghantar pasukan untuk membuat rondaan.
Dua bersaudara lemas ketika berkelah
BALIK PULAU – Kegembiraan tiga buah keluarga berkelah di pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini sempena meraikan hari ketiga sambutan Aidilfitri bertukar duka apabila dua daripada mereka ditemui mati lemas semalam.
Mangsa, Abdullah Mukmin Ahmad Nasser, 12, dan bapa saudaranya, Abdul Razak Osman, 32, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau (HBP).
Abdul Razak ditemui kira-kira 25 meter dari lokasi dia dihanyutkan ombak manakala Abdullah Mukmin dijumpai tidak jauh dari kedudukan bapa saudaranya.
Sebelum kejadian, Abdullah Mukmin dan Abdul Razak bersama empat yang lain termasuk ayah remaja itu, Ahmad Nasser Osman, 42, bermain air di persisiran pantai walaupun menyedari keadaan laut yang bergelora dan ombak kuat.
Mengimbas kembali kejadian itu, Ahmad Nasser berkata, ketika mereka bermain air tiba-tiba datang ombak besar setinggi satu meter menghanyutkan mereka ke tengah laut.
Gadis kutip hutang ah long
KUALA LUMPUR – Pemberi pinjaman haram ah long kini menemui formula baharu untuk mengutip hutang daripada peminjam apabila menjadikan remaja perempuan sebagai orang tengah untuk melaksanakan misi tersebut.Remaja berkenaan diberi upah antara tiga hingga lapan peratus daripada jumlah kutipan atau RM5,000 hingga RM10,000 daripada setiap peminjam. Antara kriteria yang diperlukan, remaja pengutip hutang itu mestilah bersikap lemah lembut dan berperwatakan menarik.
Taktik itu dilihat berjaya kerana gadis-gadis terbabit diarahkan untuk menggunakan kata-kata manis ketika berurusan dengan peminjam yang liat membayar hutang.
Cara itu juga didakwa mampu mengelakkan keganasan seperti bergaduh, simbah cat atau ah long mengurung peminjam.
Difahamkan, jumlah kutipan hutang menggunakan khidmat remaja amat memberangsangkan dan mula menjadi budaya ah long sejak awal tahun lalu.
Penarik kereta mati ditembak ketika minum
SEREMBAN – Seorang penarik kereta mati ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama tiga rakannya di sebuah restoran di Taman AST di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 pagi, mangsa P. Vickneswaran, 33, dikatakan sedang minum bersama rakan-rakannya sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar dan berjaket gelap.
“Lelaki itu turun dari motosikal dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid.
Mangsa yang terkena tiga das tembakan di belakang badan dan satu das di kepala mati di tempat kejadian.
Seorang rakan mangsa pula cedera di paha kiri apabila sebutir peluru yang menembusi badan mangsa terkena pula paha rakannya itu.
Enam motosikal, dua kereta hangus terbakar
KUALA LUMPUR – Enam buah motosikal dan dua buah kereta hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai akibat perbuatan khianat di Taman Muda, Ampang di sini semalam.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.30 pagi di Apartment Rivera.
“Kejadian berlaku ketika penduduk nyenyak tidur. Asap daripada motosikal dan kereta yang dibakar itu naik ke tingkat atas menyebabkan kesemua mereka terjaga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, penghuni blok apartmen berkenaan turun untuk melihat apa yang berlaku dan setelah menyedari terdapat kenderaan terbakar mereka memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.
Amiruddin berkata, ia kejadian kebakaran kedua di kawasan sama. Tahun lepas, lapan buah motosikal dan sebuah kereta dibakar.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.
Orang muda dapat penyakit tua
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang terlalu banyak menggunakan bahan kimia dalam industri seperti plastik dan produk penjagaan peribadi tercemar mungkin terdedah kepada hormon berbahaya xenoestrogen.Hormon itu diserap secara berterusan menerusi penggunaan kosmetik, plastik, petroleum dan bahan pencuci sehingga menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah kesihatan tanpa disedari.
Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan PrimaNora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar mendedahkan, ia menjadi punca ramai orang muda yang berusia seawal 15 tahun terdedah kepada penyakit dan ketumbuhan yang biasanya dihidapi golongan dewasa.
“Sekarang ramai remaja yang menjadi pesakit saya sudah ada fibroid dalam perut, ketumbuhan di payu dara, gangguan hormon malah lelaki pula ada masalah kesuburan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga pakar obstetrik dan ginekologi menambah, jika penggunaan bahan-bahan itu tidak diawasi dan dikurangkan ia menyebabkan xenoestrogen semakin berleluasa dalam badan dan mendorong kepada berlakunya masalah hormon tidak seimbang.
Tempah produk penjara di Internet
KAJANG – Orang ramai yang berminat untuk membeli produk jualan yang dihasilkan oleh banduan di penjara boleh membuat tempahan di Internet dengan melayari laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di www.prison.gov.my,
Daripada produk berasaskan kayu, besi, rotan, makanan dan pakaian, semuanya boleh ditempah di Internet dengan syarat nilai urus niaga ialah RM50 dan ke atas.
Pegawai Pemasaran, Penjara Wanita Kajang, Inspektor Penjara Shahrulbariah Sabdin (gambar kecil) berkata, tempahan menerusi Internet mempermudahkan usaha orang ramai untuk membeli barangan hasil kerja banduan yang mengikuti bengkel kemahiran Program Pembangunan Insan (PPI).
“Sesuai dengan perkembangan teknologi, JPM turut menyediakan ruangan tempahan barangan dan perkhidmatan di laman sesawang kami bagi menarik minat orang ramai untuk membuat tempahan.
“Penyediaan laman sesawang ini juga satu langkah untuk mempromosikan barangan kerana pelbagai contoh produk akan dipaparkan mengikut kategori sama ada makanan, pakaian serta perkhidmatan lain,’’ katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, setakat ini kebanyakan pelanggan yang membeli produk banduan adalah dalam kalangan ahli keluarga banduan sendiri, kakitangan penjara serta kakitangan agensi kerajaan dan swasta yang membuat lawatan di penjara.
Bukit Bintang bertaraf dua bintang
KUALA LUMPUR – Percaya atau tidak, di sebalik kemegahan nama Bukit Bintang sebagai destinasi membeli-belah terkemuka rupa-rupanya ia hanya bertaraf dua bintang.
Penarafan itu diberikan sendiri oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan.
Menurutnya, walaupun ia terkenal sebagai pusat membeli-belah dalam kalangan pelancong luar negara namun masih banyak perkara perlu diperbetulkan di kawasan berkenaan.
Ia termasuk keadaan di lorong-lorong belakang di kawasan berkenaan selain flat-flat dan perniagaan restoran makanan yang dilabelkan sebagai kotor dan tidak terurus.
“Satu malam ketika saya berjalan di lorong berhampiran Jalan Alor, kepala saya nyaris terkena sampah yang dibuang oleh penduduk tidak bertanggungjawab dari atas sebuah flat.
“Ini bukti mentaliti mereka masih rendah dan perlu dididik,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Malah, menurut Saravanan, beliau sendiri akan berjumpa dengan para pemilik bangunan sekitar Bukit Bintang bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan supaya kawasan tersebut bersih dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment