Thursday, January 26, 2012

BERGEMBIRA MELAMPAU BATAS..KESAN SENDIRI TANGGUNG...BILA PENYELEWENGAN@PENIPU BANYAK...LAGI HARU KALAU ADA PIHAK MELINDUNGINYA...HANYA HUKUM DIAKHIRAT SEDANG MENUNGGU....

Lepas pelukan setelah dipujuk


ANGGOTA polis memerhatikan seorang lelaki memeluk mayat Kah Kah selepas dia tidak dapat menerima hakikat wanita itu telah mati setelah terjatuh dari tingkat 17 Flat Taman Utara, Batu Uban, George Town semalam.



GEORGE TOWN - Penduduk di Flat Taman Utara di Batu Uban di sini semalam menyaksikan satu kejadian ngeri bercampur sayu apabila mendapati seorang lelaki bertindak memeluk mayat kekasihnya yang terbujur selepas terjatuh dari tingkat 17 selama satu jam sebelum dia mengalah dengan pujukan polis.
Sebelum itu, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengatakan terdapat dua mayat yang terjatuh dari flat tersebut pada pukul 1.20 pagi.
Bagaimanapun, selepas diteliti, polis kemudian mendapati hanya wanita itu sahaja yang mati manakala lelaki berusia 21 tahun itu berbaring di sebelah mangsa sambil memeluk mayat kekasihnya itu.
Dia yang enggan menerima hakikat kematian wanita itu bagaimanapun akur dengan pujukan polis supaya melepaskan mayat kekasihnya kira-kira sejam kemudian.
Difahamkan, wanita itu, Lau Kah Kah, 22, terjatuh selepas dia dikatakan telah berselisih faham dengan kekasihnya menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 12.30 malam.

Pindaan sekat salah laku



TREND mencarut dan memfitnah di Internet semakin berleluasa dengan antara yang terlibat adalah generasi muda yang menganggap ia satu ekspresi diri. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meminda peraturan mengenai 'salah guna talian atau jaringan' dalam Akta Komunikasi Multimedia 1998 (AKM) bagi mencegah trend penyalahgunaan Internet sebagai medan maki hamun serta penyebaran fitnah dan ugutan daripada terus berleluasa.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sudah tiba masa isu itu ditangani dengan lebih serius kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan identiti masyarakat Malaysia malah satu bentuk jenayah.
"Berdasarkan undang-undang sedia ada, kita tidak boleh meletakkan kesalahan ini di bawah kategori saman malu kerana kriterianya masih tidak mencukupi, justeru akan berlaku pindaan terhadap undang-undang tersebut.
"Usaha ini dijalankan bagi memastikan penjenayah alam siber ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," jelasnya sewaktu dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas laporan khas Kosmo! semalam yang memaparkan sikap segelintir masyarakat gemar menjadikan laman sosial dan sembang di Internet sebagai medan untuk melepaskan kemarahan dan komen dengan menggunakan bahasa provokasi dan lucah.

Tipu KWSP, enam pencarum didenda

KUALA LUMPUR - Enam pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diambil tindakan undang-undang kerana kesalahan menipu pengeluaran simpanan antara Oktober dan Disember 2011.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, mereka didapati bersalah dan didenda RM5,900 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991 atas kesalahan melibatkan pengeluaran perumahan dan hilang upaya.
"Mengikut Akta KWSP, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Nik Affendi berkata, KWSP juga telah memfailkan 52 kes saman atas kesalahan yang sama dari Januari hingga Disember 2011.
"Pada 2011, seramai 47 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan manakala 13 kes lagi dalam tindakan mahkamah," katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli KWSP agar tidak dipengaruhi sindiket yang menawar untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP secara penipuan.

Tiada penyelewengan dalam laporan audit PFN - Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, in a mess atau penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (PFN).
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataannya semalam berkata, perkataan-perkataan itu digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.
Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulang kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau berkata, pada perspektif audit, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya pada Mei 2009 iaitu sebelum pengauditan dijalankan sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dibuat.
"Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan kerajaan sememangnya sedar kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek," katanya.

Pejabat dipecah masuk lapan kali



JASON menunjukkan alat pendingin hawa yang dirosakkan pencuri yang memecah masuk pejabatnya di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa lalu tidak lagi bermakna buat seorang pengurus syarikat perkakas teknologi apabila pejabatnya di Jalan 6E/91, Taman Shamelin Perkasa di sini dipecah masuk buat kali kelapan semalam.
Termasuk kejadian pada pukul 6 pagi itu, Jason Ong, 52, mendakwa dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM120,000 sejak awal tahun lalu sebaik projek pembinaan jejambat dekat Jalan Cheras di sini bermula.
Mengimbau semula kejadian itu, Jason memberitahu, dia menyedari pejabatnya dipecah masuk pencuri selepas telefon bimbitnya menerima isyarat dari alat penggera di premis itu berbunyi.
Katanya, dia kemudian bergegas ke situ sebelum menghubungi polis.
"Termasuk kejadian ini, pejabat saya sudah dipecah masuk sebanyak lapan kali dan saya rugi RM120,000. Selain kehilangan komputer, wang dan pelbagai barang berharga, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membaik pulih.

1,200 pembeli rumah ditipu



SEBAHAGIAN daripada pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Pulau Indah, Klang yang menghantar laporan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Kira-kira 1,200 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Pulau Indah, Klang berada dalam dilema apabila rumah yang dibeli sejak 1999 masih belum dapat didiami.
Paling menyedihkan sebahagian mereka kini telah diisytiharkan muflis dan disenarai hitam akibat kegagalan melunaskan bayaran pinjaman kepada pihak bank.
Lebih mengecewakan lagi, para pembeli tersebut berasa teraniaya dan mendakwa kemungkinan wujudnya komplot yang dilakukan oleh beberapa pihak dalam urusan penjualan perumahan tersebut.
Wakil pembeli projek perumahan itu, Anuar Ibrahim, 41, komplot itu timbul apabila mendakwa pemaju telah menjual perumahan tersebut tanpa mendapat arahan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).
"Kami ditipu selama ini apabila pemaju menggunakan nama MPK sebagai 'batu loncatan' bahawa projek tersebut telah diluluskan dengan menyertakan surat pengesahan dari pihak berkuasa tersebut.
"Tapak tanah yang dibangunkan juga adalah berstatus pertanian yang tidak pernah ditukar kepada status kediaman," dedahnya lagi ketika ditemui di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.
Anuar mendakwa pihak bank meluluskan bayaran penuh kepada pemaju tanpa mengikuti perkembangan kerja-kerja pembinaan pangsapuri yang terbengkalai itu walaupun mengikut jadual sepatutnya siap pada tahun 2003.

Culik pemuda Lombok, enam lelaki Madura ditahan

MELAKA - Gara-gara cemburu wanita mereka digoda pemuda Lombok, enam lelaki Indonesia berketurunan Madura yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di stesen bas Melaka Sentral di sini menerima padah apabila ditahan pada pukul 12.30 pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila dua kumpulan berusia di antara 28 dan 36 tahun telah berkelahi sebelum sekumpulan lelaki Madura itu bertindak menculik lelaki Lombok lalu meminta wang RM1,500 sebagai ganti rugi daripada rakan-rakannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang tiba di tempat kejadian sejam kemudian menahan enam lelaki Madura sebelum sempat mereka mengambil wang tersebut.
"Polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah di Taman Bachang Permai dan berjaya menyelamatkan lelaki Lombok berusia 28 tahun yang cedera ringan di badannya," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, siasatan mendapati cemburu merupakan motif kejadian selepas lelaki Lombok itu menggoda wanita Madura.
Menurut Raja Shahrom, pergaduhan itu tidak menggunakan senjata dan enam suspek yang merupakan buruh binaan itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan peras ugut.

Lelaki mati lemas terkena bom buatan sendiri

PASIR MAS - Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjatuh dari perahu dipercayai akibat terkena bom buatan sendiri ketika menangkap ikan di Sungai Lemal berhampiran Kampung Lubok Keli, Chetok dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, Yunus Yusoff, 46, dipercayai ke sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah untuk menangkap ikan.
Pegawai Kanan Bomba II Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 10 malam dan bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pemantauan.
Menurutnya, cuaca gelap menyebabkan 10 anggota unit skuba Balai Bomba Kota Bharu dan Pengkalan Kubor serta tiga anggota dari Balai Bomba Pasir Mas hanya memulakan operasi mencari dan menyelamat pukul 9 pagi semalam.
"Kami menemui mayat mangsa berhampiran bot yang dinaikinya pada pukul 9.55 pagi dan ketika ditemui, mangsa mengalami kecederaan di muka dan dada manakala pergelangan tangan kirinya hancur dipercayai terkena bom buatan sendiri ketika dia menangkap ikan.

Rundingan gagal, pilih lembaga siasatan



UMI KALSUM mendukung Nur Amani Nasuha sambil diperhatikan oleh Mohd. Hasmadi selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Hospital Taiping semalam.



TAIPING - Bapa kepada bayi kudung, Nur Amani Nasuha mahu satu lembaga siasatan bebas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian punca anaknya itu yang terpaksa dipotong pergelangan kaki kanannya sewaktu mendapat rawatan di Hospital Taiping pada 1 Disember tahun lalu.
Mohd. Hasmadi, 30, berkata, ia selaras dengan jaminan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir sebelum ini mengenai penubuhan lembaga berkenaan bagi mengenal pasti punca kaki bayi malang itu terpaksa dipotong.
"Demi keadilan kepada anak saya, lembaga siasatan itu perlu ditubuhkan. Saya hargai penjelasan pengurusan Hospital Taiping hari ini (semalam) namun ia tidak cukup memuaskan hati kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan pengurusan hospital itu di bilik mesyuarat hospital berkenaan di sini semalam.
Perjumpaan yang turut dihadiri ibu bayi itu, Umi Kalsum Baharuddin, 24, bertujuan menjelaskan insiden yang membawa kepada tindakan memotong kaki Nur Amani Nasuha.
Ia dipengerusikan oleh Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassin Abdul Rahman.

Empat mati kerana letupan bunga api



KEBAKARAN (kanan) akibat bunga api yang berlaku di wilayah Suphan Buri, Bangkok kelmarin.



BANGKOK - Satu letupan besar bunga api pada sambutan Tahun Baru Cina di Thailand menyebabkan empat orang mati dan hampir 90 lagi cedera manakala lebih 100 buah rumah terbakar, kata beberapa pegawai semalam.
Pihak berkuasa percaya, letupan yang berlaku kelmarin disebabkan oleh api daripada bunga api yang tersilap dibakar di bandar Suphan Buri, 100 kilometer ke barat daya Bangkok.
Tiga penganjur terbunuh dengan serta-merta, kata seorang pegawai kerajaan, Somjate Phromsunthorn manakala seorang penonton wanita mati kerana cedera semalam.
"Saya melihat bunga api datang ke arah rumah saya," kata seorang saksi, Krianee Kitpat.
Seorang sami, Suran Sahaidee dari sebuah kuil berdekatan berkata, bunga api tersebut meletup pada ketinggian rendah dan memasuki sebuah khemah yang menyimpan bunga api sekali gus mengakibatkan satu letupan besar dan kebakaran.
Pihak berkuasa mendirikan khemah kelmarin bagi menempatkan penduduk yang berpindah daripada kawasan kebakaran. - AFP

No comments:

Post a Comment