Thursday, January 26, 2012

BUKAN ITU SAJA YANG HARAM..BANYAK LAGI YANG HARAM TAPI TAK DINYATAKAN ATAU DITEGUR...LEBIH2 YANG MELIBAT DASAR DAN ORANG YANG BERKUASA...CONTOH BUKA AURAT@ARTIS2..BERCAMPUR GAUL...MERATA2....SENYAP AJE...KOTOR NI DIMANA2...MALAS ANGKUT..NAK UNTUNG LEBIH...NAK JIMAT OPERASI...AKHIRAT KAUORANG JAWAB JE LAH...

Apple miliki wang RM1.26 trilion



SEBUAH telefon bimbit iPhone (kiri), komputer MacBook Air dan iPad dipamerkan di sebuah kedai Apple pada Selasa lalu.



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Apple sekali lagi memintas Exxon sebagai syarikat AS paling berharga selepas ia mencatat suku kewangan yang mengagumkan.
Harga saham Apple Inc. meningkat enam peratus dalam dagangan tengah hari kelmarin untuk diniagakan pada harga AS$445.29 (RM1,354.35) sesaham dengan modal pengilang gajet iPhone dan iPad itu kini mencecah AS$415 bilion (RM1.26 trilion).
Ia jauh lebih besar daripada Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM429.7 bilion setakat 15 November tahun lalu.
Sementara itu, saham Exxon Mobil Corp. turun satu peratus kelmarin kepada AS$86.52 (RM263) sesaham manakala modal syarikat pula berjumlah AS$414 bilion (RM1.21 trilion).
Apple pertama kali mengatasi ExxonMobil sebagai syarikat paling bernilai pada Ogos tahun lalu dengan kedua-duanya bersaing sengit sejak itu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa lepas, Apple memberitahu, pendapatan bersihnya untuk suku kewangan terbaharu yang berakhir pada Disember tahun lalu meningkat lebih dua kali ganda manakala perolehan syarikat pula melonjak 73 peratus.
Apple mengetepikan syarikat perisian komputer, Microsoft Corp yang kini berada di tempat ketiga dengan modal AS$247 bilion (RM751.25 bilion) untuk menjadi syarikat terbesar AS pada 2010.
Apple menyatakan ia menjual 37.04 juta iPhone pada suku kewangan tersebut, meningkat 128 peratus berbanding setahun lalu manakala jualan komputer iPad pula meningkat 111 peratus kepada 15.43 juta unit.
Pada suku kewangan sama, Apple turut menjual 5.2 juta komputer meja Macintosh, meningkat 26 peratus.
Namun, jualan pemain muziknya, iPod menurun 21 peratus kepada 5.4 juta berbanding setahun lalu.
Sebelum ini, kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs selepas dia menghidap kanser pada 5 Oktober 2011 ketika berusia 56 tahun menimbulkan spekulasi bahawa jurutera-jurutera Apple gagal meneruskan legasi kejayaannya.
Tim Cook, 51, yang mengambil alih tugas Ketua Eksekutif Apple pada Ogos 2011 dalam satu kenyataan pada Selasa lepas bagaimanapun percaya kesinambungan tersebut akan dapat diteruskan. - Agensi

Paku bertaburan di jalan raya Jakarta


SEORANG anggota sukarelawan menunjukkan paku-paku yang ditemui di sebatang jalan raya yang melekat pada peralatan magnetnya
di Jakarta pada 19 januari lalu.



JAKARTA, Indonesia - Taktik kotor sebahagian mekanik motosikal dan penukar tayar di sini yang menabur paku di atas jalan raya untuk mencari pelanggan menyebabkan orang ramai hilang sabar.
"Kalau si penjahat ini dapat saya tangkap, saya akan pastikan seluruh tubuhnya ditusuk paku," kata seorang pemilik teksi motosikal, Talib.
"Biar mereka telan paku-paku itu," kata seorang rakannya yang berusia 50 tahun, Sulaiman Daud.
Seorang jurucakap polis di sini, Rikwanto memberitahu, perbuatan sabotaj itu sudah berlaku selama bertahun-tahun.
"Mereka dicaj dua kali ganda lebih tinggi daripada harga biasa," tambah Rikwanto.
Menurutnya lagi, mekanik dan penukar tayar terbabit memperoleh pendapatan harian sekitar AS$22 (RM66.90), amat lumayan di Indonesia kerana hampir separuh daripada 240 juta rakyatnya bergaji kurang AS$2 (RM6) sehari.
Seorang pemilik bengkel, Darmito, 57, memulakan perniagaan menukar tayar di tepi sebatang jalan raya di sini dua bulan lalu untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan.
Namun, katanya, dia tidak tahu tentang sindiket atau pihak yang melakukan kegiatan tersebut.
Pada bulan lalu, polis menangkap lapan orang yang disyaki melakukan jenayah berkenaan. - AFP

Tiga bangunan runtuh di Rio


LOKASI salah sebuah bangunan yang runtuh di Rio de Janeiro, Brazil semalam.


RIO DE JANEIRO - Pasukan penyelamat Brazil menggali timbunan runtuhan awal semalam selepas tiga bangunan termasuk sebuah bangunan setinggi 20 tingkat runtuh di pusat bandar raya di sini.
Sekurang-kurangnya lima orang cedera manakala sejumlah mangsa dipercayai tertimbus dalam tragedi berkenaan.
Kejadian itu yang berpunca daripada masalah struktur, berlaku ketika Brazil bertungkus-lumus menyiapkan prasarana sebagai tuan rumah Piala Dunia 2014 dan temasya Sukan Olimpik 2016.
"Tiga buah bangunan runtuh, sebuah bangunan 20 tingkat, sebuah bangunan 10 tingkat dan sebuah bangunan kecil setinggi tiga atau empat tingkat," kata Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes lewat kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kesihatan, Sousa Aguiar berkata, lima orang cedera ringan dalam kejadian itu dengan mereka kini dirawat di sebuah hospital di sini.
Menurutnya, ketiga-tiga bangunan pejabat itu runtuh pada waktu malam ketika kebanyakan pekerja pulang ke rumah manakala kerja-kerja menyelamat mangsa dan mencari mayat diteruskan semalam. - Agensi

Berdosa percaya ramalan kiamat


ENTRI blog johneox.wordpress.com mengaitkan kemungkinan berlaku kejadian huru-hara pada tahun 2012. Gambar kecil mohamad shukri.



KUALA LUMPUR - Kiamat bukan satu teka-teki dan orang Islam ditegah daripada mempercayai sebarang teori ramalan mengenai perkara itu sebaliknya perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi detik itu.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perbuatan mempercayai ramalan hari kiamat adalah berdosa kerana tiada seorang pun di dunia ini mengetahui bilakah hari berlaku kiamat.
Menurut beliau, hari kiamat ialah perkara ghaib yang wajib dipercayai orang Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada Rukun Iman dan disebut di dalam al-Quran.
"Nabi Muhammad sendiri pernah memberitahu umatnya perkara-perkara yang menandakan hari kiamat telah hampir tiba tetapi tidak menyatakan bila ia akan terjadi.
"Justeru, persoalan utamanya kini ialah bukan bila hari kiamat akan tiba tetapi apakah persiapan yang telah kita lakukan untuk menyambut ketibaannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas entri blog johneox.wordpress.com yang bertajuk 2012: Tarikh Keramat Atau Kiamat yang disebarkan melalui Internet sejak kebelakangan ini.

Tiada puntianak di Menara Condong


INILAH imej puntianak yang didakwa dirakam di Menara Condong Teluk Intan, Perak baru-baru ini.


TELUK INTAN - Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai penyebaran imej puntianak yang kononnya dirakam di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua (YDP) MPTI, Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya percaya imej entiti tersebut yang sekarang ini berleluasa disebarkan di laman rangkaian sosial, Facebook dan blog tidak sahih dan sengaja disensasikan.
Beliau juga kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka cerita cuba mengaitkan imej puntianak itu dengan kisah seorang wanita yang kononnya membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas Menara Condong Teluk Intan beberapa tahun lalu.
"Wanita yang dikatakan mati membunuh diri itu hanya cerita sensasi yang sengaja direka-reka untuk mengelirukan orang ramai.
"Saya kesal kerana penyebaran foto yang diragui keasliannya itu kerana ia boleh memberi imej negatif kepada Menara Condong Teluk Intan yang merupakan antara ikon pelancongan terkemuka Perak," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Sehubungan itu, Ibrahim berharap masyarakat umum dapat membuat penilaian dengan baik berhubung penyebaran imej puntianak terbabit dan tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita mengarut itu.

Kena cekup sebelum 'terbang'



NOOR RASHID (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Hasrat dua lelaki Nigeria yang mempergunakan dua gadis tempatan sebagai keldai dadah untuk membawa 1.2 kilogram kokain melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkubur apabila tindakan mereka itu dapat dihidu polis minggu lalu.
Kesemua suspek tersebut ditahan di KL Sentral pada 20 Januari lalu selepas pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki mereka menemui dadah berkenaan disembunyikan di dalam besi troli beg pakaian beroda.
"Siasatan lanjut mendapati, salah seorang wanita yang ditahan itu pernah beberapa kali menjadi keldai dadah dan dia turut ditugaskan untuk merekrut ahli baharu," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Difahamkan, kokain itu hendak dibawa ke luar negara melalui KLIA dan wanita berkenaan sempat merekrut beberapa gadis tempatan untuk dijadikan keldai dadah sebelum dia ditahan.
Menurut Noor Rashid, dua hari kemudian, pihaknya menahan tiga lelaki Pakistan dan merampas 40.2 kilogram heroin yang disorokkan di dalam beberapa kotak set pinggan mangkuk dan sebuah beg sandang di sebuah rumah kedai di Puchong, Selangor.

Rogol, cabul murid dalam makmal



MAHKAMAH Sesyen di Kota Bharu, Kelantan di dalam bangunan ini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Hock Soon (gambar kecil) selepas didapati bersalah merogol dan mencabul seorang murid berusia 12 tahun tiga tahun lalu.



KOTA BHARU – Perbuatan jahat seorang guru sains dan bahasa Cina yang sanggup memperkosa serta mencabul seorang murid darjah enam berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh, Yek Hock Soon, 29, dari Sitiawan, Perak, didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.
Hock Soon yang telah berkahwin dan baru mendapat seorang cahaya mata dua bulan lalu dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang awal bulan Ogos 2009.
Dakwaan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara lebih 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, denda atau sebat.
Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan, dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman.
“Hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Jenayah seperti ini penting untuk dibendung oleh perundangan.
“Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berasingan,” kata Rofiah.


Hukuman berat jual ubat haram




KUANTAN - Hukuman lebih tegas termasuk penjara terhadap pihak yang menjual ubat tidak berdaftar dan berisiko kepada orang ramai sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, kementeriannya sedang meminda beberapa peraturan berhubung akta berkaitan ubat-ubatan bagi melindungi pengguna.
Antara akta tersebut termasuk Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956.
Tambah beliau, pindaan terhadap undang-undang berkaitan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.
"Kita sedang pertimbang untuk mengenakan hukuman penjara sebab apabila dikenakan penalti dan kompaun, didapati mereka ini tidak serik-serik.
"Ia amaran kepada orang ramai supaya tidak sesuka hati menjual ubat yang tidak berdaftar dengan kementerian. Ini kerana ubat-ubat tersebut boleh menyebabkan implikasi kepada orang ramai," katanya di sini semalam.

Penduduk rimas Pekan Bahau kotor



BEGINILAH keadaan sampah-sarap yang berlonggok serta berbau busuk sehingga mencemarkan pemandangan berhampiran Perhentian bas Bahau, baru-baru ini.



JEMPOL – Penduduk dan pengunjung Pekan Bahau dekat sini melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan yang gagal menguruskan timbunan sampah-sarap di tepi-tepi jalan di sekitar pekan itu.
Seorang penduduk, Lim Boon Hiong, 25, berkata, masalah itu telah berlarutan sejak setahun lalu namun sehingga hari ini tiada tindakan berkesan diambil.
Menurut beliau, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat segelintir pihak yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sesuka hati di tempat yang tidak sepatutnya.
“Sudahlah busuk, sampah pula bersepah di tepi jalan. Bayangkan bau busuk itu juga dapat dihidu walaupun berada di dalam kenderaan.
“Masalah ini mencemarkan imej pekan ini apatah lagi ramai orang luar datang ke Bahau dengan menggunakan perkhidmatan bas. Turun sahaja di perhentian bas, mereka disajikan dengan pemandangan kotor,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Phung Er Cheng, 54, pula mempersoalkan sikap segelintir peniaga yang gemar mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tepi-tepi jalan.
“Apa yang saya dapat lihat, mereka membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya asalkan dekat dengan premis mereka.
“Saya sudah menetap di sini sejak sekian lama, dahulu tempat ini cantik dan banyak kemudahan yang disediakan. Namun sekarang dengan keadaan seperti ini sudah tentu memalukan warga pekan ini,” katanya.
Er Cheng meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan kempen kesedaran tentang kebersihan selain menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang degil.
“Pihak bertanggungjawab juga perlu menyediakan lebih banyak tong sampah berskala besar bagi membolehkan para peniaga membuang sampah di tempat yang disediakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment