26 motosikal, teksi hangus dibakar
|
PETALING JAYA – Angkara dendam, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi dibakar dalam satu kejadian di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari di sini pada pukul 4 pagi semalam.
Seorang mangsa yang ditemui, K. Elumalai, 44, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan penduduk yang ternampak api di kawasan tempat letak motosikal.
Katanya, dia terus berlari ke arah tempat kejadian dan terkejut melihat dua motosikal miliknya dan isteri sedang terbakar.
“Seorang penduduk kemudiannya menghubungi bomba dan polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.
Difahamkan, sebelum kebakaran itu, terdapat sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa lelaki dilihat melontarkan sesuatu yang dipercayai botol berisi petrol ke kawasan itu.
Seorang lagi mangsa, M. Guru, 40, berkata, dia hanya mampu melihat teksi miliknya yang turut disambar api dalam kejadian tersebut kerana api merebak dengan cepat,
“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini, mungkin orang luar yang sakit hati dengan penduduk di sini.
“Kebakaran ini menyebabkan saya hilang mata pencarian kerana teksi saya musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang mahu pihak berkuasa memantau kawasan tersebut kerana sering berlaku kejadian curi kereta, motosikal dan pergaduhan.
Ibu maut ketika mahu jemput anak
MELAKA - Tindakan seorang ibu keluar berjalan kaki bersendirian ke sebuah gelanggang futsal setelah risau terhadap dua orang anaknya yang belum pulang berakhir dengan tragedi apabila dia maut dilanggar lari di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi semalam.
Mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, maut setelah mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang bersebelahan jalan setelah dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dapat di kenal pasti.
Suami mangsa, Samad Saliman (gambar kecil), 38, berkata, sebelum kejadian, dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, keluar dari rumah di Rumah Pangsa Cheng Mutiara pada pukul 10.30 malam untuk bermain futsal di sebuah gelanggang serbaguna yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
"Namun sehingga pukul 12.30 tengah malam, dua anak saya masih belum balik menyebabkan isteri bimbang dan keluar rumah dan berjalan kaki ke gelanggang futsal untuk memanggil anak-anak saya pulang.
"Saya tidak menyedari isteri tidak pulang ke rumah kerana tertidur selepas dia keluar mencari anak.
"Namun, saya terjaga pada pukul 4 pagi, saya dapati isteri tiada di rumah sedangkan dua anak saya sudahpun pulang," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini semalam.
'Kilang' pelacur 24 jam di Meru
KLANG - Sebuah bangunan kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Meru dipercayai menjadi tempat menyediakan perkhidmatan seks sejak tiga tahun lalu.
Dengan bayaran serendah RM50, perkhidmatan itu disediakan khusus untuk warga asing. Difahamkan, lelaki tempatan tidak dibenarkan memasuki premis itu kerana pengusaha khuatir rahsia mereka diketahui.
Bagaimanapun, kegiatan tersebut mula terbongkar selepas penduduk berhampiran mendapati premis itu semakin kerap dikunjungi warga asing akhir-akhir ini.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, apa yang dibimbangi ialah aktiviti tidak bermoral itu akan mempengaruhi generasi muda di kawasan sekitar.
"Kita tidak mahu kawasan ini dijadikan pusat pelacuran. Kegiatan tidak bermoral itu sekarang semakin mengundang ketidakselesaan penduduk," ujarnya.
Kata Ahmad, pelanggan tempat tersebut terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.
"Saya difahamkan pengusaha premis terbabit menggunakan wanita warga Indonesia sebagai pelayan khidmat seks dan ia amat laris pada hujung minggu," katanya.
Jelasnya lagi, pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari. Semua pelanggan perlu menggunakan pintu belakang bagi memasuki tempat itu.
"Sekali pandang bahagian hadapan bangunan tidak ubah seperti penempatan setinggan warga Bangladesh," beritahu beliau.
Ahmad berkata, beliau pernah cuba memasuki tempat tersebut namun telah dihalang pengusaha terbabit yang mengetahui beliau orang tempatan.
GRO skirt paras punggung dicekup
PETALING JAYA - Seramai 21 Pegawai Khidmat Pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Indonesia yang memakai skirt paras punggung di sebuah pusat hiburan karaoke di Sunway Mentari di sini dicekup polis semalam.
Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, pusat hiburan itu diserbu selepas mendapat maklumat mengatakan premis tersebut mengupah wanita-wanita warga asing sebagai pelayan.
Selain itu, risikan polis juga percaya GRO terbabit bukan sahaja melayan pelanggan menyanyi malah memberi khidmat seks.
"Premis tersebut pernah diserbu sebanyak tiga kali tahun lalu.
"Kesalahan yang dilakukan adalah mengupah pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah kerana siasatan polis mendapati mereka memegang pas lawatan sosial," katanya.
Pemandu teksi cekik darah ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 12 pemandu teksi ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak menggunakan meter dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sini malam semalam.
Pengurus Besar Penguatkuasaan dan Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, enam pemandu ditahan kerana menetapkan tambang sesuka hati, dua tidak menggunakan meter, dua kerana tiada dokumen pemandu dan dua lagi kerana mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
"Kesemua mereka berumur 30 hingga 50 tahun itu ditahan selepas 30 penguat kuasa menyamar menjadi penumpang dengan menaiki teksi dari Terminal Tambang Murah sehingga ke KL Sentral," katanya selepas operasi selama tiga jam yang bermula pukul 8 malam itu.
Che Hasni berkata, pemandu yang tidak menggunakan meter akan didakwa di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jika sabit kesalahan akan didenda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.
"Pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih atau meletakkan harga sesuka hati pula akan disabit kesalahan di bawah Seksyen 75 akta yang sama dengan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.
No comments:
Post a Comment