Monday, February 6, 2012

JENAYAH AKAN BERKURANGAN...JIKA HUKUM ALQURAN@ISLAM DIJALANKAN DENGAN SEPENUHNYA..

Mayat wanita dalam beg ditemui di hotel
AHMAD ISMADI ISMAIL
6 Februari 2012
Mayat
KUALA LUMPUR - Mayat seorang wanita, yang dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam sebuah beg pakaian, ditemui di hadapan sebuah bilik di tingkat tiga hotel bajet di Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.
Polis telah mengenal pasti suspek dan usaha untuk memburunya telah digerakkan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat wanita itu ditemui oleh pengurus hotel kira-kira jam 11 malam.
Maklumat diperoleh lewat pagi ini menunjukkan wanita itu dikenali sebagai Rumiyati dari Indonesia.
"Pengurus itu temui sebuah bagasi besar. Disebabkan curiga dengan berat beg itu, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa, lalu menghubungi polis," katanya kepada pemberita.
Berdasarkan semakan pendaftaran kemasukan hotel, mangsa telah mendaftar masuk kira-kira jam 2 petang semalam.
Beliau berkata, polis tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan ada kesan jerutan di bahagian leher.
Nahas libatkan lima motosikal
NORDIANA JOHARI
6 Februari 2012
nahas 5 motor
JASIN – Kegembiraan empat sahabat dalam perjalanan untuk menjamu selera selepas bermain futsal berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kesang - Jasin, malam kelamrin.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu kemalangan membabitkan empat motosikal jenis Honda EX5 dan satu Honda Wave menyebabkan tiga maut, manakala dua lagi cedera parah.

Keempat sahabat berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Jasin untuk menjamu selera selepas bermain futsal.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Hitam berkata, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Jasin, di sini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Zafran Zainudin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Is­­kan­dar Shah; Mu­hammad Nazri Musa, 18, seorang pekerja stesen minyak di Jasin dan Muhammad Firdaus Ibrahim, 19.

“Dua lagi mangsa iaitu Mohammed Izhar, 18, dan Haffiszudin Firdaus, 17, di antara mereka cedera, patah kaki dan kini di rawat di hospital sama.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal yang gagal dikawal Firdaus dari arah Jasin - Kesang bertembung dengan empat sahabat ini dan dipercayai juga berlaku rem­puhan kuat,” katanya.
Pemilik lembu naik angin, tetak warga emas
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2012
lembu-diracuni
SEREMBAN – Hanya kerana disyaki meracun lembu ternakan milik orang lain, seorang warga emas cedera parah dibelasah empat lelaki dipercayai pemilik haiwan peliharaan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditetak dengan parang oleh keempat-empat suspek yang berang kerana tiga lembu ternakan mereka mati.

Kejadian berlaku di Kampung Wong Seng Chow, Sikamat, di sini, kelmarin apabila lelaki warga emas berusia 64 tahun itu didatangi empat lelaki bersenjatakan parang di ladang ternakan ayamnya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, salah seorang suspek berusia 60-an kemudian bertindak menyerang dan menetak di bahagian kepala, badan tangan tangan kiri mangsa dengan parang.

Menurut sumber, empat lelaki terbabit mula naik berang selepas mengesyaki mangsa meracun tiga lembunya yang tiba-tiba ditemui mati.

“Empat lelaki terbabit mendakwa lembunya diracun oleh mangsa selepas melihat lembunya mati di sebuah ladang berdekatan dan mengesyaki mangsa melakukan perbuatan itu berikutan pernah berlaku perselisihan faham antara mereka.

“Salah seorang suspek kemudian bertindak menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di ladang ternakan ayam berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terkejut serta panik melihat tindakan suspek turut cuba mempertahankan diri dengan menyerang salah seorang daripada mereka.

“Dalam pergelutan itu, salah seorang daripada mereka mengalami cedera parah di bahagian pergelangan tangan dipercayai akibat ditetak,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini oleh orang awam yang kebetulan berada tidak jauh di kawasan berkenaan serta melihat suspek diserang.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, manakala suspek yang cedera pula menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa berusia 60-an, berkata, dia menyedari kejadian menimpa adiknya selepas diberitahu orang awam yang menyaksikan mangsa parah.

Mangsa dan suspek yang cedera difahamkan belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Miliki kebolehan luar biasa
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2012
Budak ajaib
BESUT - Pelik tetapi benar tetapi itulah realiti kebolehan luar biasa seorang pelajar tingkatan lima yang secara tiba-tiba boleh bertutur pelbagai bahasa selepas dia terlibat dalam kemala-ngan jalan raya pada jam 2 petang, 13 Januari lalu.
Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alor Lintang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun sepanjang hayatnya tidak pernah ikuti kelas bahasa itu.
 
Menurutnya, kebolehan luar biasa itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dibonceng dirempuh oleh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.
 
“Ketika kejadian saya membonceng motosikal yang ditunggang abang saya, Jefri, 18, yang tiba-tiba dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk kepala atas jalan. Mujur saya pakai topi keledar,” katanya.
 
Sementara itu menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, kemalangan itu menyebabkan Noraini koma selama 11 jam dan sebaik sedar dia berada di Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
 
Kata Ismail, selepas doktor menjalankan imbasan kali pertama mendapati terdapat darah beku di bahagian belakang kepalanya.
 
Bagaimanapun katanya, ketika dilakukan imabasan kali kedua untuk melakukan pembedahan, doktor terperanjat kerana mendapati darah beku tidak ada lagi.
 
“Bagi mengesahkan perkara itu, doktor HUSM mengulangi ujianebanyak tiga kali namun ternyata darah beku dikesan peringkat awal memang tidak ada,” katanya.

 
Bercakap bahasa Korea selepas terjaga dari tidur
 
Ismail berkata, pada jam 5 petang pada hari keempat selepas dibenarkan pulang ke rumah, sebaik Noraini terjaga daripada tidur tiba-tiba dia bercakap bahasa Korea.
 
Katanya, anaknya itu meminta air daripada ibunya dalam bahasa Korea namun ketika itu ibunya tidak mengetahui bahasa apakah yang dituturkan Noraini.
 
“Kami sekeluarga tidak faham maksudnya dan langsung tidak tahu bahasa Korea kerana ia mirip bahasa Cina tetapi selepas dia menunjukkan isyarat ingin minum air baru ibunya beri air,” katanya.
 
Kata Ismail, selain Korea dia juga kadang-kadang bertutur dalam bahasa Mandarin dan paling aneh lagi ketika dia berbahasa tersebut dia langsung tidak akan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
 
Pada mulanya, Ismail dan keluarga meragui maksud bahasa yang dituturkan itu betul atau tidak tetapi apabila Noraini menonton cerita Korea di televisyen, dia dapat menterjemahkan cerita tersebut dengan tepat seperti sarikata dipaparkan pada skrin televisyen yang ditutup dengan tangan oleh ahli keluarganya.
 
Menurut Noraini, seorang doktor pakar berbangsa Cina di HUSM yang menjalankan rawatan susulan ke atasnya baru-baru ini juga menganggap kejadian dia boleh bertutur bahasa Cina juga aneh malahan kejadian itu pertama kali ditemuinya semenjak 17 tahun bertugas sebagai doktor.
 
“Doktor itu minta saya membaca nombor dalam bahasa Cina dan apa yang saya sebut adalah benar,” katanya.

 
Tidak boleh bercakap loghat Kelantan
 
Satu lagi keanehan pada Noraini ialah dia kini bertutur bahasa baku sepenuhnya malahan dia langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan lagi seperti pertuturan hariannya sebelum ini.
 
Menurutnya ibunya, Masina Daud, 48, sejak kemalangan anak keenam daripada tujuh beradik itu hanya boleh bercakap bahasa Melayu standard (baku) seperti loghat Kuala Lumpur sahaja manakala bahasa Kelantan sekarang dia boleh menyebut beberapa perkataan, seperti ‘mok’ dan ‘ayah’.
 
“Sebelum ini dia nak sebut perkataan mok (emak) memang langsung tidak boleh tetapi kalau perkataan Mama lancar. Saya pun hairan bagaimanana pertuturan boleh berubah,” katanya.
 
Dalam pada itu Noraini berkata, sejak belakangan ini dia hanya bertutur dalam bahasa Cina atau Korea sekiranya dia tidur semula selepas menunaikan solat Subuh.
 
“Kalau saya tidur semula selepas solat Subuh pasti apabila bangun saya tidak boleh langsung bercakap bahasa Melayu sebaliknya hanya boleh bertutur dalam bahasa Korea yang berlarutan sehingga jam 11 pagi pada hari sama sebelum boleh bertutur semula bahasa Melayu.
 
“Kalau saya tidak tidur selepas solat Subuh saya tidak akan bercakap korea,” katanya yang juga hairan dengan perubahan yang dialami.
 
Katanya, dia memahami bahasa Korea atau Cina di kaca televisyen hanya ketika dia boleh bertutur bahasa tersebut tetapi apabila ketika boleh bercakap bahasa Melayu, dia langsung tidak faham makna bahasa berkenaan.

 
Jalani rawatan alternatif
 
Bapanya pula agak tertekan dengan masalah yang dihidapi anaknya dan sudah beberapa kali dia membawa anaknya menjalani rawatan alternatif namun setakat ini tidak berhasil.
 
Kata Ismail, lebih memeritkan keadaan kerana boleh dikatakan setiap hari sama ada sebelum atau selepas Maghrib, Noraini akan tiba-tiba diserang sakit kepala menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besut untuk mendapat suntikan.
 
“Sekarang hampir setiap hari saya terpaksa membawa dia mendapat suntikan kerana Noraini tidak akan sedarkan diri jika lambat dibawa ke hospital,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini.
 
Ismail merayu orang ramai atau ahli perubatan alternatif untuk tampil membantu menyelesaikan masalah yang dihidapi anaknya kerana dia tidak berkemampuan untuk lebih kerap membawa anaknya mendapatkan rawatan.
 
Ismail menetap di alamat 2672, Kampung Baru Gong Medang dekat Tembila dekat Kampung Raja
3 geng pecah rumah ditembak mati di lebuh raya
MOHD ISKANDAR OTHMAN
5 Februari 2012
3 geng pecah rumah ditembak mati di lebuh raya
JAWI - Tiga ahli geng pecah rumah ditembak mati di Kilometer 160 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran hentian rehat dan rawat Sungai Bakap dekat sini, awal pagi ini.

Pemeriksaan polis dalam kenderaan yang mereka gunakan menemui sepucuk pistol, dua bilah parang, satu keris dan peralatan digunakan untuk pecah rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Zahrudin Abdullah berkata, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia itu ditembak apabila salah seorang dari mereka cuba melarikan diri ketika diperiksa dengan melepaskan dua das tembakan ke arah polis.
Ketika bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, kata beliau, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 dan 40 tahun itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.
Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Zahrudin berkata, dengan tertumpasnya kumpulan yang memang  dikehendaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 56 kes pecah rumah di sekitar negeri ini.
Polis menemui sepucuk pistol, dua butir peluru dan dua butir kelongsong peluru di tempat kejadian dalam insiden kira-kira 1.30 pagi itu.
Selain itu, katanya polis turut menemui pisau, tali, parang, topeng muka, sebatang besi, sarung tangan, keris, pisau lipat dan sebuah komputer riba dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu.
Menurutnya, pada awalnya polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di laluan PLUS mendapat maklumat mengenai kumpulan berkenaan daripada sumber dan telah mengesan mereka.
"Polis berjaya mengesan kumpulan itu pada pukul 1.30 pagi di tol Juru menghala selatan dan kita mengekori mereka sebelum memintas kenderaan jenis Hyundai yang dinaiki mereka," katanya.
Beliau berkata sebaik anggota polis mendekati kereta yang berhenti itu dan memperkenalkan diri sambil meminta tiga lelaki terbabit mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu, seorang daripada penumpang belakang bertindak
keluar dan melarikan diri ke arah semak berhampiran.
"Lelaki itu juga bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah  polis manakala dua rakannya turut cuba melarikan diri. Bagaimanapun  usaha mereka gagal kerana terkena tembakan daripada polis yang mempertahankan diri," katanya.
Zahrudin berkata, ketiga-tiga lelaki itu mati di tempat kejadian dan menurutnya, warga Indonesia itu masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah.
Beliau berkata, polis sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang.
 

Isteri tinggal suami


KUALA LUMPUR: Terlalu taksub dengan ideologi dimomokkan Azhar Wahab, rumah tangga seorang pengikut wanita yang dibina selama 18 tahun musnah dan lebih malang, anak bongsunya tidak dapat mengalami alam persekolahan akibat berpindah-randah.
Bekas suami pengikut ajaran sesat itu dikenali sebagai Rahim, 52, mendakwa mahligai dibina bersama isteri sejak 1986 runtuh pada 2004 sebaik isterinya mendekati ajaran berkenaan dan semakin kerap pulang ke kampung halaman hingga mengabaikan keluarga.

“Sejak kami berkahwin, saya membenarkan Normah (bukan nama sebenar) pulang ke Rembau, Negeri Sembilan sekurang-kurangnya dua kali sebulan. “Tempoh dua tahun terakhir perkahwinan kami, hampir setiap minggu dia pulang ke sana bermula petang Jumaat hingga Ahad. Lebih teruk, anak dibiarkan di rumah hingga terabai.
“Permulaannya, saya tak kisah dia pulang kampung dengan alasan menjenguk ibu bapa, namun kebelakangan itu, Normah mula bersikap pelik, malah gaji bulanan sebagai setiausaha di syarikat swasta mencecah RM3,000 turut habis sedangkan segala perbelanjaan rumah, dapur, bil, anak ditanggung sepenuhnya oleh saya kerana ia tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Jadi mustahil, duitnya habis begitu saja,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Balai Berita, di sini.

Katanya, apabila disoal mengenai gajinya, Normah hanya mendiamkan diri.

Rahman berkata, kemuncaknya sebaik pulang daripada kampung, bekas isterinya menyatakan hasrat untuk ‘berubah’, menyebabkan dia gembira dengan keinginan Normah.
“Saya gembira jika dia ingin berubah dan berubat, tapi menimbulkan keraguan ialah amalan bai’ah (perakuan sumpah setia) dilakukan mereka seperti memakan ketulan ais sebagai syarat mendapatkan karamah (kemuliaan) daripada guru.

“Lebih mengejutkan, dia memaklumkan guru itu bagus dan memiliki keistimewaan seperti berbicara dengan semua jenis binatang, termasuk dugong yang dulunya popular di Johor.
“Sejak itu, saya melarang Normah balik kampung kerana bimbang dia terpengaruh dengan ajaran menyeleweng. Namun, niat itu disalah erti apabila dia menganggap saya ingin memutuskan silaturahim dengan keluarganya,” katanya.

Kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin ajaran itu, Rahman mengambil pendekatan menasihati Normah, malangnya bekas isterinya seolah-olah terlalu taksub dengan setiap kata-kata diluahkan Azhar Wahab.

Kemuncaknya, bekas isterinya sanggup menggantungkan potret ‘tok gurunya’ berlatarbelakangkan helikopter di ruang tamu rumah, sedangkan gambar keluarga mereka tidak pernah digantung sedemikian.

Menurut Rahman, dia pernah bertemu Azhar Wahab pada satu majlis di rumah bekas mentuanya di Kampung Batu, Rembau dan ketika itu perwatakannya kelihatan warak.

Sebaik berakhirnya ikatan perkahwinan, Rahman menyerahkan rumahnya di Ampang kepada bekas isteri untuk diduduki bersama tiga anak lelaki mereka. Bagaimanapun, kediaman itu kemudian dijual tanpa pengetahuan Rahman dan mereka menyewa di Sri Damansara.

Sejurus berakhirnya tempoh edah, Rahman diberitahu bekas isterinya berkahwin semula dengan seorang pengikut Azhar Wahab.

Naluri seorang bapa ingin menemui warisnya membawa kepada pendedahan mengenai tiga anaknya diabai tanpa penjagaan bekas isteri yang sibuk menguruskan hal berkaitan Azhar Wahab selepas berhenti kerja.

Nekad untuk membela nasib anaknya, Rahman cuba mendapatkan hak penjagaan sebelum bekas isterinya berpindah ke Sabah sebelum menetap di Sungai Petani hingga sekarang.

Katanya, akibat kerap berpindah-randah, anaknya tidak menerima pendidikan sempurna, malah anak bongsunya dilaporkan menuntut di Pusat Tahfiz Amal, Yan, Kedah.

Rahman mengesyaki anak sulung dan keduanya bekerja dengan syarikat milik Azhar Wahab berikutan pernah melihat komputer riba mereka tertera logo perniagaan berkenaan.

Bimbang dengan aktiviti penjualan barangan bagi mengutip dana yang membabitkan anaknya, Rahman berharap pihak berwajib dapat bertindak tegas sebelum lebih ramai kanak-kanak dan pelajar menjadi mangsa.
60 pengunjung beragama Islam premis judi ditahan

4 Februari 2012
REMBAU - Seramai 60 pengunjung beragama Islam premis perjudian komputer ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam satu serbuan di sebuah premis perjudian komputer berhampiran Taman Taboh Naning di sini, awal hari ini.

Dalam serbuan tersebut pihak penguat kuasa JHEAINS turut merampas 41 unit perkakasan komputer yang digunakan untuk permainan perjudian selain wang pertaruhan berjumlah RM6,000.

Ketua Unit Operasi JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua yang ditahan adalah lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an, ketika mereka sedang leka bermain judi siber di premis dua tingkat tersebut.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan penguat kuasa dan dikehendaki hadir semula pada satu tarikh yang ditetapkan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini hari ini.

Ahmad Zaki berkata kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 79(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya pihak penguat kuasa turut menahan empat penjaga premis terbabit dan mereka telah diberi satu surat perintah hadir ke Unit Penguat Kuasa JHEAINS pada satu tarikh yang akan ditetapkan untuk tujuan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Operasi yang bermula pada pukul 12 malam dan berakhir 5 pagi tadi turut disertai anggota dari Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri. - Bernama

No comments:

Post a Comment