Wednesday, November 14, 2012

5,000 menari tarian kuda di Rom


AFP
AKSI salah seorang peserta yang menari tarian kuda.


ROM - Seramai 5,000 orang menari tarian kuda yang pernah dipopularkan penyanyi rap Korea Selatan, Psy di sini kelmarin.
Mereka menari di Dataran Piazza Del Popolo dan melakukan pergerakan tarian kuda ketika lagu Gangnam Style nyanyian Psy diperdengarkan.
Penganjur perhimpunan itu menggunakan rangkaian laman sosial dan pemberitahuan secara lisan untuk menghimpunkan peserta tersebut.

AFP
SERAMAI 5,000 orang menari tarian kuda di Dataran Piazza Del Popolo, Rom kelmarin.


Kebanyakan peserta itu ialah golongan remaja.
Perhimpunan itu bermula pada pukul 4.45 petang waktu tempatan.
Para peserta memakai pakaian baju-T berwarna putih yang mempunyai imej wajah Psy.
Klip muzik video Gangnam Style nyanyian Psy itu telah ditonton lebih 670 juta kali di laman YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu. - Agensi

Israel ancam serangan besar-besaran di Gaza

BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat serangan roket para pejuang Palestin di bandar Netivot, Israel semalam.


BAITULMUQADDIS - Beberapa pegawai Israel semalam mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza semalam.
Ancaman itu dibuat selepas 24 jam para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Serangan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa negaranya bersedia untuk meningkatkan serangan balas.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak menyatakan para pemimpin pergerakan Hamas akan menerima padah ekoran serangan roket itu.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan bahawa Netanyahu mengadakan mesyuarat bagi melakukan persediaan untuk kemungkinan satu tindakan yang keras akan dilakukan untuk melindungi penduduk Israel.
Para pejuang Gaza melancarkan 110 roket ke selatan Israel sejak Sabtu lalu.
Salah satu serangan itu mengenai pekarangan sebuah rumah di bandar Netivot.
Tiada sebarang laporan tentang kecederaan dilaporkan ekoran serangan tersebut.
Sehari sebelum itu, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan di tiga buah lokasi di Gaza.
Beberapa pegawai Israel turut menyatakan serangan balas yang lebih hebat perlu dilancarkan.
Bekas ketua tentera negara itu, Dan Halutz mencadangkan beberapa aset milik pergerakan Hamas perlu diserang sebelum operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel.
Menurut seorang bekas penasihat keselamatan Israel, Giora Eiland, import barangan dan bekalan elektrik ke Gaza perlu dipotong. - Agensi

Artifak emas abad ketiga Sebelum Masihi ditemui


REUTERS
MAHKOTA emas yang ditemui di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari, Bulgaria pada Khamis lalu.


SOFIA - Sejumlah artifak emas pada abad ketiga Sebelum Masihi dipamerkan oleh pihak Muzium Arkeologi Bulgaria di sini kelmarin.
Antara artifak yang ditemui itu ialah patung emas berbentuk muka kuda, cincin, mahkota dan gelang emas.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui artifak itu semasa melakukan kerja-kerja penggalian di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari di utara negara ini pada Khamis lalu.
Artifak tersebut milik suku kaum Thrace, Getae pada akhir abad keempat atau permulaan abad ketiga Sebelum Masihi.
Menurut ketua pasukan arkeologi itu, Diana Gergova, makam tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pemerintah Getae, Cothelas.
Dia berkata, ia kemungkinan ditanam pada satu majlis pengebumian. - Agensi

Bekas PM Libya mula dibicarakan

AL-BAGHDADI duduk di dalam kurungan di sebuah penjara di Tripoli semalam.


TRIPOLI - Bekas perdana menteri terakhir rejim pemerintah Libya, Muammar Gaddafi, Al-Baghdadi al-Mahmudi dibicarakan dalam satu perbicaraan di sebuah mahkamah jenayah semalam.
Sebaliknya jurucakap Peguam Negara Libya, Taha Baara menyatakan Al-Baghdadi dituduh terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara dan jenayah kewangan.
Perbicaraan itu hanya berlangsung selama sepuluh minit, sebelum perbicaraan disambung semula pada 10 Disember depan.
Al-Baghdadi melarikan diri ke Tunisia pada September tahun lalu selepas kumpulan pemberontak menguasai Tripoli sekali gus menamatkan pemerintahan kuku besi Gaddafi yang terbunuh pada 20 Oktober 2011.
Selain perdana menteri, beliau pernah memegang jawatan menteri kesihatan, menteri sumber manusia dan menteri infrastruktur. - Agensi

Pelancong berenang di Venice akibat banjir


AP
DUA orang berenang di Dataran St. Mark, Venice kelmarin.


VENICE, Itali - Sekumpulan pelancong dilihat berenang di sekitar Dataran St. Mark yang ditenggelami air akibat banjir, kelmarin.
Cuaca buruk melanda bahagian utara dan tengah Itali dengan menyebabkan 200 penduduk meninggalkan kediaman mereka di Tuscany.
Menurut pihak berkuasa Venice, deretan kedai, kawasan kediaman dan tempat bersejarah telah dipenuhi dengan air.
Kira-kira 70 peratus kawasan tepi pantai turut terjejas.
Paras air dilaporkan mencecah sehingga 149 sentimeter yang merupakan tahap keenam tertinggi yang pernah direkodkan sejak tahun 1872.
Sehingga semalam, hampir tiga suku Venice dipenuhi dengan air.
Setakat ini tiada sebarang anggaran kemusnahan didedahkan kepada media.
Di Tuscany, hujan yang turun tanpa henti selama empat jam telah mengakibatkan Sungai Ricortola dan Parmignola melimpah.
"Ia merupakan banjir terburuk yang pernah berlaku di kawasan itu," ujar Datuk Bandar Massa Carrara, Roberto Pucci.
"Saya melihat sekurang-kurangnya enam jambatan musnah di kawasan bukit, banjir di kebanyakan kawasan, tanah runtuh dan ladang anggur serta kebun zaitun turut musnah. Jika tiada nyawa yang terkorban, ia ibarat suatu keajaiban," katanya. - Reuters

Pesawat mendarat selepas satu enjin rosak


SEBUAH pesawat A380 milik syarikat Emirates Airlines yang mengalami masalah enjin diletakkan di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Sydney semalam.


SYDNEY, Australia - Sebuah pesawat syarikat Emirates Airlines A380 mendarat semula selepas dua jam berlepas ekoran salah satu enjinnya rosak, menurut laporan semalam.
Menurut beberapa penumpang, mereka mendengar bunyi yang kuat dan api berwarna oren semasa berada di dalam pesawat.
Mereka berkata, kapten pesawat tersebut menyatakan enjin nombor tiga telah ditutup.
Seorang koresponden akhbar Sydney Morning Herald, Matt Campbell berkata, kejadian itu berlaku semasa pesawat bergerak dalam keadaan menaik.
Ketika kejadian, pesawat gergasi itu dalam penerbangan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu selepas berlepas dari sebuah lapangan terbang antarabangsa di sini pada malam kelmarin.
Seorang penumpang, John Fothergill memberitahu akhbar The Australian, dia melihat api dari sebuah enjin.
Menurutnya, pesawat tersebut turut bergegar.
Punca kejadian masih belum diketahui.
Lebih 70 buah pesawat A380 telah dihantar kepada beberapa syarikat penerbangan di dunia.
Pesawat itu dibuat oleh syarikat Airbus.
Ia boleh membawa 525 penumpang. - Agensi

Landasan terbang bawa kokain haram ditemui


AP
SALAH sebuah pesawat yang digunakan untuk menyeludup kokain ditemui di sebuah landasan terbang haram di sebuah ladang di Salto del Guairo, Paraguay pada Sabtu lalu.


ASUNCION, Paraguay - Beberapa pegawai pihak berkuasa negara ini menyatakan seorang ketua sindiket dadah Bolivia, Marco Antonio Rocca Ali telah ditangkap dan lebih satu tan kokain ditemui di sebuah bandar di sempadan Brazil.
Menurut beberapa ejen unit khas kelmarin, mereka menemui 1,689 kilogram kokain di sebuah ladang di Salto del Guairo, 400 kilometer dari bandar raya ini.
Sebuah landasan terbang haram yang digunakan pesawat ringan untuk membawa kokain turut ditemui.
Pihak Sekretariat AntiDadah Kebangsaan Paraguay memberitahu, dadah itu akan diterbangkan dengan menggunakan lima buah pesawat ringan ke Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam serbuan yang dilakukan pada Sabtu lalu, seramai 18 orang lagi turut ditangkap yang melibatkan warga Paraguay, Brazil dan Bolivia. - AP



Zionis sahkan serangan balas ke atas Syria


DUA buah kereta kebal tentera Israel mengawal Bukit Golan dekat Kampung Bariqa, Syria semalam.


BAITULMUQADDIS - Tentera Israel semalam melancarkan serangan balas ke atas Syria sebagai respons terhadap serangan mortar di Bukit Golan, kata satu sumber tentera.
"Sebelum ini, serangan mortar mengenai sebuah kawasan di pekarangan pos tentera Israel di Bukit Golan yang disebabkan oleh konflik dalaman Syria," kata sumber tentera tersebut.
Menurutnya, askar-askar tentera Israel melancarkan bedilan meriam kereta kebal.
Sumber tersebut menyatakan bedilan tersebut dihalakan ke arah lokasi bedilan mortar tersebut dilancarkan.
Tentera Israel turut memberi amaran bahawa jika tentera Syria terus melancarkan serangan, pihaknya akan melancarkan serangan yang lebih besar.
"Bedilan dari Syria ke Israel tidak akan dikompromi," kata satu kenyataan daripada tentera Israel. - AFP

No comments:

Post a Comment