Wednesday, November 14, 2012

JANGAN RASA HEBAT AJE...DIWACANA AJE...HUKUMNYA TAK MAU LAKSANA...HIDUP TAK BERPANDU QURAN....SEMBANG AJE HEBAT...TAPI TAK DIGUNA PAKAI...AKHIRAT KORANG JAWAB JE LE

Gerhana matahari penuh di utara Australia

BENTUK cincin berikutan gerhana matahari yang dapat dilihat di Palm Cove.


PALM COVE, Australia - Puluhan ribu orang berhimpun di utara Australia untuk memerhatikan fenomena gerhana matahari penuh semalam.
Mereka menyaksikan bulan melintasi matahari sekali gus menyebabkan suasana gelap berlaku di sekitar wilayah Queensland.
Bulan perlahan-lahan bergerak melindungi matahari yang menyebabkan terbentuknya fenomena lingkaran cincin.
Perjalanan gerhana matahari itu berlaku pada waktu yang singkat selepas waktu subuh.
Gerhana itu juga boleh disaksikan di Taman Negara Garig Gunak Barlu, Wilayah Utara yang terletak kira-kira 250 kilometer di timur Darwin.
Secara keseluruhan gerhana itu berlaku selama dua minit bermula pukul 6.38 pagi waktu tempatan semalam.
Kebanyakan mereka yang menyaksikan gerhana itu memakai cermin mata khas bagi melindungi mata mereka.
"Wow, serangga dan burung tidak berbunyi," kata seorang pelancong yang menyaksikan gerhana itu, Geoff Scott di laman Twitter.
Seorang lagi pelancong, Stuart Clark turut membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan gerhana itu amat cantik.
Para saintis kini mengkaji kesan gerhana itu terhadap kehidupan marin di Terumbu Karang Besar dan burung-burung di hutan Queensland.
Sejumlah pelancong dan saintis menyaksikan fenomena tersebut yang berlaku buat kali pertama dalam tempoh 1,300 tahun di utara negara ini.
Seramai 50,000 hingga 60,000 orang sanggup datang ke utara negara ini untuk menyaksikan fenomena itu.
Sebanyak tiga penerbangan ditempah khas bagi membawa 1,200 saintis dari Jepun ke wilayah tersebut.
Kali terakhir gerhana penuh itu berlaku ialah 11 Julai 2010 di kawasan Pasifik Selatan.
Gerhana penuh akan berlaku pada 20 Mac 2015 di Iceland, Kepulauan Faroe dan Kepulauan Svalbard di Norway.
Bagi kalangan penduduk asli Australia, bulan itu kerap dianggap sebagai lelaki manakala matahari mewakili perempuan.
"Sebahagian (penduduk asli Australia) percaya, matahari bercinta dengan lelaki tetapi ia (matahari) tidak dapat membalas perasaan cinta menyebabkan matahari mengejar bulan di langit," kata seorang pakar astronomi penduduk asli Australia, Duane Hamacher. - Agensi

Pekerja-pekerja di selatan Eropah lancar mogok


SEJUMLAH penunjuk perasaan berhimpun pada tunjuk perasaan bagi membantah dasar penjimatan pemerintah di Rom, Itali semalam.


MADRID - Pekerja-pekerja di seluruh selatan Eropah melancarkan mogok bagi membantah terhadap pengumuman dasar langkah penjimatan dan kenaikan cukai yang diumumkan di empat buah negara semalam.
Mogok itu menyebabkan operasi kilang-kilang dan lebih 700 penerbangan dibatalkan.
Beberapa pemimpin dunia dan pakar ekonomi berkata, langkah itu dianggap perlu bagi membetulkan dasar kewangan awam selepas bertahun-tahun pemerintah terlebih belanja.
Bagaimanapun, pihak kesatuan sekerja melancarkan mogok umum di Sepanyol, Portugal, Greece dan Itali bagi membantah langkah penjimatan perbelanjaan yang dilaksanakan pemerintah.
Menurut Gabungan Kesatuan Sekerja Perdagangan Eropah, mogok melibatkan empat buah negara itu dilakukan secara serentak buat kali pertama.
"Di sesetengah negara kemarahan rakyatnya sudah sampai ke peringkat kemuncak," kata setiausaha agung gabungan kesatuan, Bernadette Segol.
"Kami memerlukan penyelesaian segera bagi membolehkan ekonomi kembali ke landasan yang betul, bukan dengan mengadakan langkah-langkah penjimatan.

BEBERAPA pekerja melancarkan mogok di sebuah landasan kereta api di Brussels.


"Para pemimpin Eropah melakukan kesilapan besar jika tidak mendengar suara rakyat yang membuat bantahan di jalan-jalan raya," tambahnya.
Mogok itu telah menjejaskan operasi beberapa buah kilang termasuk kilang kereta Volkswagen di utara Navarra dan Ford di timur Valencia, lapor media Sepanyol.
Di Portugal, mogok telah menjejaskan perkhidmatan komuter, feri, kereta api, kutipan sampah dan kesihatan apabila 90 peratus kakitangan hospital turut menyertai bantahan yang diadakan itu.
Lebih 40 buah bandar sekitar Portugal menjadi pusat bantahan terhadap dasar langkah penjimatan yang diumumkan pemerintah.
Mogok turut menyebabkan industri penerbangan terjejas teruk apabila syarikat penerbangan Iberia, Iberia Express, Air Nostrum, Vueling, Air Europa dan easyJet membatalkan lebih 600 penerbangan termasuk 250 penerbangan antarabangsa. - Agensi

Lelaki berwajah harimau ditemui mati


AVNER ditemui mati di rumahnya di Tonopah, Amerika Syarikat pada 5 November lalu.


TONOPAH, Nevada - Seorang lelaki yang melakukan beberapa pembedahan muka selama beberapa tahun supaya wajahnya kelihatan mirip harimau betina ditemui mati di rumahnya di sini, lapor beberapa buah akhbar kelmarin.
Lelaki itu, Dennis Avner yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat ditemui mati pada 5 November lalu.
Menurut portal berita The Huffington Post, Pejabat Syerif Daerah Nye mengesahkan kematiannya tetapi enggan memberikan maklumat lebih lanjut.
Punca kematiannya masih belum didedahkan tetapi terdapat spekulasi bahawa dia mungkin membunuh dirinya.
Seorang rakan Avner, Shannon Larratt menyatakan dalam laman blognya, Avner menghadapi pergolakan dalam kehidupan dan cuba membunuh dirinya ketika berusia 54 tahun baru-baru ini.
Lelaki itu melakukan pembedahan termasuk di bibir atas, telinga, menanam silikon pada pipi dan dahi, menajamkan gigi, mencacah tatu serta bertindik.
Dia merupakan penduduk suku kaum Red Indian.
"Saya merupakan seorang Huron (suku kaum Red Indian) dan mengikut tradisi lama yang mengubah diri untuk menjadi seekor harimau," kata Avner di laman webnya. - Agensi

KP Kesihatan mengaku khalwat


HASAN dan pasangannya yang ditangkap berkhalwat didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman yang ditangkap berkhalwat dengan seorang jururawat berstatus isteri orang diarah membayar denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Hasan didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai wanita di kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman di sini pada pukul 2.18 pagi semalam.
Wan Syarifah pula didenda sebanyak RM2,900 selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas tuduhan tersebut.
Hasan yang berstatus duda kelihatan tenang sepanjang prosiding, manakala Wan Syarifah nampak muram dan sesekali menundukkan kepala ketika berada di dalam kandang tertuduh.
Jika gagal menjelaskan denda, Hasan bakal berdepan hukuman penjara tiga bulan manakala pasangannya boleh dipenjara 30 hari.
Terdahulu, Hasan yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda kerana sudah insaf malah mereka bercadang untuk berkahwin selepas proses perceraian pasangannya selesai.
“Saya bertanggungjawab atas kesalahan dan belajar daripada kesilapan. Saya berharap diberi peluang dan saya merancang untuk bernikah selepas kes perceraian (Wan Syarifah) selesai,” kata Hasan.
Perkara itu turut diakui oleh Wan Syarifah semasa mengemukakan rayuan.

Salah guna duit umrah RM291,250


JAMLEE dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas menghadapi 34 tuduhan pecah amanah bayaran pakej umrah.


MELAKA – Seorang pemilik sebuah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 34 tuduhan pecah amanah melibatkan bayaran pakej umrah bernilai RM291,250.
Jamlee Mohd. Zid, 41, dari Lorong 21, Bukit Piatu di sini didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di J & J Travel & Tours Sdn. Bhd., No 16-D, Jalan Permata 14, Taman Harta Permata, Bukit Baru di sini antara 23 Ogos tahun lalu hingga 5 Februari lepas.
Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang bayaran pakej umrah membabitkan 34 pelanggannya untuk tujuan peribadi.
Kesemua 34 pertuduhan tersebut melibatkan pembayaran yang setiap satunya berjumlah antara RM4,370 hingga RM45,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pasang jeriji automatik elak jadi korban

KUALA LUMPUR - Setiap pemilik rumah disaran supaya menggunakan jeriji automatik berkuasa bateri yang mudah dibuka pada tingkap dan pintu rumah supaya penghuni dapat meloloskan diri jika berlaku kebakaran.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, jeriji automatik dapat mengurangkan risiko kematian dalam kebakaran kerana penghuni rumah hanya perlu menekan butang untuk membuka jeriji tersebut.
"Kita menasihatkan pemilik rumah supaya memasang jeriji seumpama itu kerana ia bukan sahaja mudah untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran tetapi juga dapat mencegah jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Beliau mengulas tragedi kebakaran sebuah rumah banglo dua tingkat yang meragut empat nyawa iaitu sepasang suami isteri, seorang anak lelaki serta seorang pembantu rumah warga Indonesia apabila kesemua mangsa lemas terhidu asap tebal di Taiping, Perak kelmarin.
Dalam kejadian itu, Mohd. Hakimi Zubair, 40, Pengarah Korporat Royal Bank of Scotland Kuala Lumpur, isterinya, Leiha Sahak, 40, pakar teknologi maklumat sebuah syarikat swasta di ibu negara, anak mereka Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah yang dikenali sebagai Rizki ketika itu berada di tingkat dua rumah tersebut.

Warga Amerika Latin disyaki pecah mesin ATM


DUA lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes pecah mesin ATM di pasar raya besar Carrefour, Wangsa Maju pada Julai lalu.


KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti tiga lelaki Amerika Latin disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan samun dan pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati tiga lelaki warga asing yang berusia 20 hingga 40 tahun itu terlibat lebih daripada enam kes pecah mesin ATM.
Suspek-suspek sama juga dipercayai melakukan jenayah yang sama di Pahang dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, selain melakukan jenayah pecah mesin ATM, suspek-suspek terbabit juga disyaki melakukan jenayah menyamun orang awam yang baru keluar dari bank-bank.
"Anggota kumpulan ini akan mengekori mangsa yang mengeluarkan wang di bank atau mesin ATM sebelum menyamun mereka," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Chin Wah berkata, kumpulan suspek tersebut juga disyaki terlibat dengan kes-kes pecah rumah di kawasan Taman Tun Dr. Ismail dan Taman Midah, Cheras.
Dalam pada itu, kata beliau, polis mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun dan pecah mesin ATM di pasar raya besar Carrefour Wangsa Maju pada 1 Julai lalu yang mengakibatkan kerugian RM1.17 juta.

5 penjenayah Geng Latin tumpas


ZAHEDI (kanan) bertanyakan sesuatu mengenai barangan yang dirampas daripada kumpulan Geng Latin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kegiatan jahat lima lelaki Colombia bergelar Geng Latin yang terlibat dalam aktiviti pecah rumah mewah di daerah ini sejak beberapa minggu lalu tumpas selepas kesemuanya diberkas di Puchong pada Isnin lalu.
Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam di sebuah rumah sewa di Taman Kinrara itu, polis menahan kelima-lima suspek yang berusia 22 hingga 51 tahun bersama seorang wanita Thailand berusia 22 tahun.
Wanita itu dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki.
Modus operandi jenayah Geng Latin ialah menyewa kenderaan mewah seperti Toyota Estima dan BMW untuk membuat rondaan di kawasan kediaman mewah seperti di sekitar Bukit Jelutong, Seksyen 7, 8, 11, 12 dan 13 di sini.
Suspek-suspek kemudian akan menekan loceng rumah yang menjadi sasaran mereka berulang kali bagi mengetahui sama ada rumah tersebut mempunyai penghuni atau tidak sebelum diceroboh.
Geng Latin akan memilih antara waktu petang hingga tengah malam dan ketika hujan lebat untuk melakukan jenayah mereka.

Suami tinggalkan keluarga ikut cinta wanita Indonesia


ROSNAH menunjukkan gambar dan laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Gara-gara termakan pujuk rayu wanita Indonesia, seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dan tiga orang anaknya yang berusia antara lapan hingga 11 tahun sejak hampir dua tahun lalu.
Isteri malang tersebut, Rosnah Mohamad Nor, 42, memberitahu, suaminya sebelum ini merupakan seorang yang bertanggungjawab namun berubah sikap sejak mengenali wanita berkenaan pada tahun 2006.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika suaminya yang berasal dari Tawau, Sabah pulang ke kampung halamannya atas urusan keluarga sebelum bertemu dengan wanita Indonesia yang dikenali sebagai 'Ani'.
"Sebelum ini kami sekeluarga menetap di Klang, Selangor tetapi saya membuat keputusan membawa anak-anak pulang ke kampung saya di Kampung Jejuluk, Pasir Mas manakala suami menetap di Klang kerana bekerja sebagai jurukimpal paip gas di Pelabuhan Klang.
"Selepas menjalin hubungan dengan wanita berkenaan pada awal tahun 2006, suami saya tidak menghiraukan tanggungjawabnya kepada keluarga dan tidak menghubungi kami. Saya cuba mencari dan menghubunginya tetapi gagal," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wacana bongkar kehebatan al-Quran


KITAB al-Quran perlu dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan seharian umat Islam. - Gambar hiasan


SHAH ALAM - Program wacana al-Quran anjuran Anugerah International Sdn. Bhd. (AI) dengan kerjasama akhbar Kosmo! di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 17 November ini akan membongkar kehebatan sebenar al-Quran.
Jurucakap AI, Khairul Azhar Ghazali berkata, rata-rata umat Islam di negara ini hanya mengetahui al-Quran sebagai mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W tetapi ia tidak dijadikan satu panduan dalam kehidupan seharian.
"Pada wacana itu nanti, kita akan kupas adakah kehidupan seharian kita mengikut ketetapan yang ditentukan al-Quran sebagai panduan hidup yang syumul.
"Justeru, orang ramai digalakkan untuk hadir kerana kita akan dedahkan rahsia yang terkandung dalam al-Quran secara jelas dan mudah untuk difahami," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Khairul Azhar yang juga tokoh Imam Muda merangkap moderator wacana berkenaan memberitahu, orang ramai yang hadir kelak akan mendapat banyak ilmu baharu mengenai al-Quran.
Wacana yang bermula 7.30 malam itu yang mengupas kehebatan al-Quran itu juga akan menyediakan jalan penyelesaian kepada masalah sosial masyarakat hari ini secara hikmah melalui dua ahli panel terkenal iaitu pendakwah bebas, Kazim Elias dan pakar perubatan Islam, Sharhan Shafie.
Selain itu, orang ramai yang hadir turut berpeluang mendapatkan secara terus lebih 10 jenis produk keluaran AI seperti Kismis Emas Anugerah, Minyak Sejuta Rahsia, Minyak Kasturi Anugerah dan Air Anugerah.

Jambatan P. Pinang ditutup Ahad ini untuk maraton


MERIAH. Ribuan peserta yang menyertai Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2011.


GEORGE TOWN - Jambatan Pulau Pinang akan ditutup kepada lalu lintas mulai pukul 1 pagi hingga 10 pagi Ahad ini bagi memberi laluan kepada Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang Allianz 2012.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) Suhailawatie Ramli berkata, penutupan itu melibatkan semua jalan masuk ke Jambatan Pulau Pinang di bahagian pulau dan Seberang Perai.
Menurut beliau, sebagai alternatif, perkhidmatan feri akan beroperasi selama 24 jam pada hari yang sama.
"Berdasarkan penganjuran yang sama tahun lalu, PPSB menjangkakan laluan ke feri akan sesak dua jam sebelum dan dua jam selepas acara itu disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.
"Justeru, PPSB berharap orang ramai merancang perjalanan mereka serta memberikan kerjasama kepada petugas PPSB," ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Suhailawatie berkata, PPSB juga akan memastikan aliran lalu lintas di bahagian Butterworth dan pulau berjalan lancar dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi 04-210 2227.

Lakaran asal watak Joker dilelong


GAMBAR menunjukkan lakaran awal watak Joker di akhbar New York Post pada 1980.


PHILADELPHIA - Lakaran gambaran asal wajah Joker dalam file2m Batman yang dibuat oleh penerbit filem, Michael Uslan dilelong sejak Isnin lalu sehingga 3 Disember depan di laman ComicConnect.com.
Lakaran itu disiarkan akhbar New York Post pada 1980.
Uslan menggunakan pen berwarna merah dan penanda hitam serta pemadam pen berwarna putih untuk melakar watak Joker pada muka aktor Jack Nicholson.
Dia mengubah suai wajah Nicholson yang disiarkan akhbar tersebut daripada satu adegan filem The Shining.
Sebelum membuat lakaran itu, dia telah berjaya memperoleh hak untuk menghasilkan filem Batman pada 1979.
Bagaimanapun, ketika itu, dia belum memperoleh idea untuk menghasilkan wajah Joker.
Joker merupakan watak jahat dalam filem tersebut.
Apabila melihat gambar Nicholson di akhbar tersebut, dia kemudian mendapat idea untuk membuat lakaran pada wajah pelakon itu sekali gus menghasilkan watak Joker.
Nicholson pernah melakonkan watak itu.
Pelakon mendiang Heath Ledger juga pernah memegang watak Joker dalam siri Batman berjudul The Dark Knight. - Agensi

No comments:

Post a Comment