Wednesday, November 14, 2012

AGAK2 LAH....GUNAKANLAH FIKIRAN YANG WARAS

Empat dikhuatiri lemas

ANGGOTA bomba mencari sebuah kereta yang terjunam ke Sungai Padang Kerbau di Pendang, Kedah semalam.


PENDANG – Empat individu yang tidak dikenali identitinya dikhuatiri lemas setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Padang Kerbau, Titi Haji Idris dekat sini semalam.
Kejadian membabitkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback berwarna putih itu berlaku kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Kosmo! difahamkan kesemua mangsa mungkin orang luar yang datang untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan sungai itu.
Seorang penduduk, Siti Fatimah Husin, 34, memberitahu, ketika kejadian dia berada di bahagian bawah rumahnya yang terletak kira-kira 15 meter dari lokasi.
“Ketika saya bersama keluarga makan tengah hari, tiba-tiba terdengar satu bunyi ‘boom’ seperti ada benda besar jatuh ke dalam sungai.
“Saya jenguk ke arah sungai, saya mendapati ada kereta terjatuh ke dalamnya dan kemudian saya beritahu jiran.
“Tidak lama kemudian kereta itu terus tenggelam. Saya terus hubungi bomba dan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Agensi mungkin gulung tikar


Isu pembantu rumah asing perlu ditangani secara bijaksana demi kebaikan semua pihak. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Agensi-agensi pembekal pembantu rumah Indonesia di negara ini bakal berdepan risiko gulung tikar jika kos pengambilan tenaga kerja itu dikekalkan pada harga RM4,511 seperti dipersetujui Malaysia dan Indonesia.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan harga itu memandangkan kos sebenar bagi membawa masuk seorang pembantu rumah adalah jauh lebih tinggi.
"Berdasarkan kos RM4,511 yang dipersetujui, majikan membayar RM2,711 manakala RM1,800 dibayar pembantu rumah yang akan dipotong majikan daripada gaji sebanyak RM300 selama enam bulan.
"Jumlah itu tidak mengambil kira kos ditanggung agensi sebagai perantaraan yang perlu membayar Pihak Tempatan Indonesia (PTI) untuk mencari wanita negara itu yang mahu menjadi pembantu rumah di mana agensi tidak mempunyai kuasa untuk tawar-menawar harga ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini.
Raja Zulkepley mengulas dakwaan Persatuan Majikan Amah Malaysia yang mempersoalkan permintaan Pikap kepada kerajaan supaya harga itu dikaji semula atas alasan ia terlalu rendah.

Polis ambil keterangan 10 saksi kes rogol

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah mengambil keterangan 10 orang saksi bagi membantu siasatan kes tiga anggotanya yang didakwa memperkosa seorang wanita Indonesia ketika ditahan di Balai Polis Perai, Bukit Mertajam dekat sini 9 November lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan berhubung dakwaan yang dibuat wanita berusia 25 tahun itu hampir selesai 95 peratus selepas penahanan ketiga-tiga anggota berpangkat rendah terbabit.
Menurut beliau, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP) bagi membuat pertuduhan ke atas anggota terlibat.
“Kita telah menahan kerja ketiga-tiga anggota untuk siasatan lanjut sehingga pertuduhan dibuat di mahkamah nanti dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 November.
“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini

Kosmetik tiruan pembunuh senyap

KUALA LUMPUR – Ramai wanita yang menggunakan produk kosmetik tiruan tidak menyedari bahawa barangan tersebut sebenarnya merupakan pembunuh senyap termasuk boleh mengakibatkan kecacatan kekal pada otak.
Pakar Perunding Kulit, Dr. Ko Chung Beng berkata, kosmetik tiruan mengandungi campuran bahan kimia bertoksik yang sangat berbahaya pada kulit, organ dalaman dan sistem saraf manusia.
“Penggunaan kosmetik tiruan dalam tempoh panjang menyebabkan bahan kimia berbahaya itu meresap ke dalam liang kulit seterusnya berkumpul dan meningkatkan jumlah toksik dalam badan.
”Pengguna boleh terdedah kepada risiko kehilangan sel otak yang mengakibatkan mereka menjadi cacat akal atau menghidap penyakit Alzheimer pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Antara risiko penyakit yang mengancam pengguna ialah parut kekal pada kulit, psoriasis (penyakit kulit), jangkitan kuman pada mata, masalah jantung, buah pinggang dan gangguan sistem saraf.

Empat maut banglo terbakar


ANGGOTA bomba menjalankan siasatan selepas api dapat dipadamkan sepenuhnya.


TAIPING - Jeritan seorang kanak-kanak sebaik ternampak api berjaya menyelamatkan nyawa lima ahli keluarganya namun pada masa sama terpaksa menerima hakikat bahawa empat yang lain terkorban dalam kebakaran sebuah banglo di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 12.24 tengah malam itu mengakibatkan akauntan Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd. Hakimi Zubair, 40; isterinya, seorang pakar IT, Leila Sahak, 40; anak bongsu mereka, Ahmad Faris, 3, serta pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia, lemas akibat terhidu banyak asap.
Mayat Mohd. Hakimi ditemui di pintu keluar ke balkoni manakala tiga mangsa lain ditemui di bilik tidur utama dalam keadaan berpelukan. Kesemua mangsa tidur di tingkat atas banglo berkenaan.
Mohd. Hakimi dan Leila yang masing-masing merupakan graduan dari University of Liverpool dan University of Manchester, United Kingdom sepatutnya pulang ke ibu negara petang kelmarin. Mereka berada di Taiping kerana bercuti.
Leila berasal dari Jambatan Duyong, Melaka.

Tarik, seret, pijak warga emas


ANGGOTA polis memeriksa dua tong gas Oxy Acetelyne yang ditinggalkan penjenayah.


PUCHONG - Seorang pekerja sebuah stesen minyak tidak menyangka tindakannya pergi kerja seawal pukul 6 pagi dapat menyelamatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam premis itu daripada disamun empat lelaki walaupun dia sendiri cedera ringan akibat dipijak semalam.
Kejadian di Batu 13, Jalan Klang-Puchong di sini itu berlaku apabila mangsa yang berusia 60 tahun terdengar orang berbual dari dalam premis sebaik dia sampai di stesen minyak itu.
Dia kemudian menjengah melalui cermin pintu sebelum ternampak percikan api berdekatan ATM.
Namun, tidak sempat dia hendak membuat pemeriksaan lanjut, dua lelaki bersenjatakan batang besi yang sedang berkawal di luar premis telah menarik dan mengheret mangsa ke belakang kedai sebelum memijak badannya. Suspek ketika itu memakai topi keledar.
Ketika dipijak, mangsa ternampak dua lagi lelaki yang juga memakai topi keledar bergegas keluar melalui pintu belakang premis sebelum keempat-empat penjenayah melarikan diri dengan menunggang dua buah motosikal. Dia kemudian menghubungi polis.

Lelaki miliki diesel subsidi ditahan

SEORANG anggota penguat kuasa PPDNKK Sarawak
memeriksa tangki berisi minyak diesel bersubsidi di Kuching semalam.


KUCHING – Tembelang seorang pemilik premis kedai yang menjalankan kegiatan menjual minyak diesel bersubsidi tanpa lesen terbongkar apabila dia ditahan di Jalan Penrissen, Batu 9 di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an tersebut ditahan oleh empat pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak.
Terdahulu, lelaki tersebut cuba menyogok empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta dua pegawai Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NRED) yang memeriksa premis itu kira-kira pukul 11 pagi.
Pengarah PPDNKK Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, susulan maklumat daripada pegawai NRED, pegawainya menyerbu premis tersebut dan menemui satu tangki besar mengandungi 10,000 liter minyak diesel bersubsidi.
“Kita juga menemui lapan buah tong berisi 8,000 liter minyak diesel di dalam sebuah lori di luar premis tersebut.
“Jumlah anggaran rampasan termasuk harga lori melebihi RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ejen ah long ketuk pintu rumah

KUALA LUMPUR – Pelbagai taktik licik digunakan oleh sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long untuk menjerat orang awam supaya meminjam daripada mereka.
Kali ini, modus operandi lintah darat itu menyasarkan penduduk kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang.
Mereka menjadikan warga PPR sebagai mangsa berikutan ramai penghuninya menghadapi masalah kewangan dan ia ibarat umpan kepada mereka mendekati penduduk dan menawarkan pinjaman mudah kepada mangsanya.
Malah, ada sebahagian daripada ahli sindiket mengetuk pintu dari rumah ke rumah di kawasan PPR bagi mempromosikan perkhidmatan mereka.
Tinjauan Kosmo! di beberapa buah PPR mendapati, kehadiran ah long mengedar risalah dan iklan ke dalam peti surat berlaku hampir setiap hari.
Pelbagai jenis iklan untuk menarik perhatian penghuni PPR seperti perkataan Pinjam RM1,000 Dapat RM1,000 diedarkan di kesemua peti surat kediaman PPR terbabit.

Syarikat fesyen minta maaf isu perhiasan kepala


KLOSS memakai perhiasaan kepala mirip yang dipakai penduduk pribumi pada pertunjukan fesyen Victoria's Secret di New York pada 7 November lalu.


FLAGSTAFF - Syarikat fesyen Victoria's Secret meminta maaf ekoran seorang modelnya, Karlie Kloss memakai satu perhiasan kepala seperti yang dipakai ketua perang penduduk pribumi Amerika Syarikat.
Permohonan maaf itu dibuat selepas perhiasan tersebut dikritik kerana ia dianggap tidak menghormati kebudayaan dan sejarah penduduk pribumi.
"Kami dengan ikhlas meminta maaf kerana kami tidak mempunyai sebarang niat untuk mengaibkan sesiapa," kata syarikat berkenaan.
Perhiasan kepala yang mempunyai sejumlah pelepah bulu haiwan itu merupakan simbol penghormatan untuk ketua-ketua perang dan pahlawan penduduk pribumi.
Pada 7 November lalu, Kloss memakai perhiasan kepala mirip yang dipakai penduduk pribumi pada satu pertunjukan fesyen syarikat berkenaan di New York.
Model itu memakai perhiasan tersebut ketika dia hanya memakai coli dan seluar dalam.
Bagaimanapun, Kloss meminta maaf menerusi laman Twitter jika pemakaian perhiasan kepala itu telah mengaibkan pihak-pihak tertentu. - Agensi

Kerja-kerja gali kubur Arafat bermula


GAMBAR fail menunjukkan kubur Arafat di Ramallah, Palestin pada 29 Januari 2009.


RAMALLAH - Kerja-kerja untuk menggali kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) bermula di sini semalam yang akan berakhir selama lebih dua minggu.
Kubur Arafat digali bagi tujuan melakukan siasatan bagi mengetahui punca kematian sebenar bekas pemimpin tersebut.
Arafat meninggal dunia pada 11 November 2004 di sebuah hospital tentera di Paris, Perancis.
Rekod-rekod perubatan menunjukkan beliau meninggal dunia akibat pendarahan otak.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya Perancis membuka siasatan kematian Arafat pada Ogos lalu selepas stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan kenyataan pakar-pakar Switzerland bahawa bahan radioaktif polonium ditemui pada barang milik bekas pemimpin tersebut.
"Mereka (para pekerja) mula memindahkan konkrit dan batu dari bangunan kubur Arafat dan kerja-kerja akan berakhir selama hampir 15 hari," kata satu sumber Palestin.
Menurutnya, kerja-kerja penggalian akan dihentikan apabila bahagian yang hampir dengan tempat mayat Arafat ditanam ditemui.
Mayat Arafat itu tidak akan dialihkan sehingga ketibaan anggota pendakwa raya Perancis, pakar-pakar Switzerland dan para penyiasat Rusia.
Perancis telah menamakan satu panel hakim untuk melancarkan siasatan terhadap kematian Arafat.
Hakim-hakim tersebut akan melawat bangunan kubur bekas pemimpin Palestin itu. - Agensi

Doa depan iPad, komputer riba, telefon bimbit


BEBERAPA peniaga berdoa di depan iPad, komputer riba dan telefon bimbit di pejabat mereka di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Satu majlis berdoa di depan komputer tablet iPad, komputer riba dan telefon bimbit diadakan oleh para usahawan sempena sambutan Hari Deepavali di sini semalam.
Majlis itu diadakan dengan harapan perniagaan mereka akan bertambah maju.
Akhbar dalam talian Indian Today melaporkan Setiausaha Agung Konfederasi Pedagang-Pedagang India, Praveen Khandelwal menyatakan para peniaga memuja beberapa peralatan moden perniagaan sempena perayaan itu. - Agensi

Pertandingan janggut di Las Vegas




LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang peserta Austria, Fritz Sendlhofer memenangi pingat emas pada pertandingan janggut kategori Gerabaldi di sini pada Ahad lalu.
Dia turut memenangi Anugerah Pilihan Orang Ramai dan bonus sebanyak AS$1,000 (RM3,066).
Seorang peserta Jerman, Hans-Peter Weis memenangi pingat emas bagi kategori janggut gaya bebas. - Reuters

Majlis Kebangsaan Syria minta diiktiraf Barat

BEBERAPA orang berlari apabila sebuah jet tentera Syria melancarkan serangan di bandar Ras al-Ain di sempadan Turki semalam.


KAHERAH - Ketua sebuah perikatan yang menentang Presiden Bashar Al-Assad mendesak supaya negara-negara Eropah mengiktiraf Majlis Kebangsaan Syria sebagai pemerintah yang sah.
Ketua perikatan itu, Mouaz Al-Khatib juga meminta dana untuk membeli senjata bagi membolehkan rejim Bashar ditumbangkan.
"Apabila kami memperoleh pengiktirafan, ia akan menyebabkan perikatan tersebut bertindak sebagai pemerintah dan memperoleh senjata sekali gus akan menyelesaikan masalah kami," katanya.
Majlis Kerjasama Teluk yang mempunyai enam anggota telah mengiktiraf Majlis Kebangsaan Syria bagi mewakili penduduk negara itu.
Liga Arab turut memberi sokongan terhadap majlis tersebut.
Keluarga Bashar telah memerintah Syria selama 42 tahun.
Seramai 38,000 orang dilaporkan terbunuh selepas kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Para penentang Bashar mewujudkan sejumlah kumpulan di bandar-bandar bagi menentang tentera presiden.
Kumpulan tersebut mahu Bashar digulingkan selepas beliau gagal membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara.
Jet-jet tentera Syria turut melancarkan serangan di bandar sempadan dengan Turki, Ceylanpinar semalam.
Beberapa buah jet pejuang tentera juga membedil rumah-rumah di Ras al-Ain dekat sempadan Turki. - Agensi

No comments:

Post a Comment