Saturday, November 6, 2010

BERHENTI BUAT MUNGKAR...JANGAN LAWAN ALLAH...INGAT KITA NI SAPE

NEGARA


Terbang ke Jawa bahayakan nyawa


ABU volkanik dari Gunung Merapi boleh membahayakan pesawat.



KUALA LUMPUR – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan semua penerbangan ke Pulau Jawa meliputi Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Solo bermula semalam. Hanya penerbangan ke Surabaya yang terletak di timur pulau itu dibenarkan.
Keputusan itu dibuat setelah syarikat terbabit mendapati penerbangan ke pulau tersebut tidak lagi selamat dan boleh menyebabkan nahas kerana ruang udaranya dipenuhi dengan debu volkanik ekoran letusan Gunung Merapi sejak 26 Oktober lalu.
Tindakan yang sama turut diambil beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain antaranya Japan Airlines, Turkish Airlines, Singapore Airlines, Lufthansa, Sing Air, Tiger Airways, KLM, Emirates, Eva Airlines, Etihad, China Southern, Lion Air, Value Air dan Cathay Pasific.
Menurut Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman, kesemua penerbangan itu dibatalkan sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
“Ketika ini penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta, Yogyakarta dan Bandung dibatal atau ditangguhkan bermula hari ini (semalam) sehingga keadaan pulih.
“MAS akan terus memantau ruang udara Indonesia untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan untuk memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam


DUNIA


Merapi meletus lagi pagi semalam


Gunung Merapi berterusan menyemburkan awan panas selepas meletus lagi pagi semalam



YOGYAKARTA - Lahar sejuk yang mengalir deras selepas Gunung Merapi meletus pada tengah malam kelmarin membanjiri sungai-sungai di sekitarnya dan menyebabkan penduduk di kota ini cemas, lapor sebuah akhbar semalam.
Gunung Merapi terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar ini yang dihuni kira-kira 400,000 penduduk.
Hujan lebat yang turun semalam membawa lahar sejuk yang mengandungi lumpur, pasir, belerang dan abu volkanik melimpahi tebing Sungai Code di sini semalam.
Seorang pegawai tempatan berkata, amaran berwaspada sudah dikeluarkan tetapi sama ada banjir lahar sejuk itu bakal membawa kemusnahan banyak bergantung sama ada berlaku hujan lebat pada hari ini.
Terdahulu, lahar panas yang mengalir deras sejurus selepas letusan Gunung Merapi pada tengah malam kelmarin telah memusnahkan tujuh buah dusun di sekitar lerengnya selain padang Kelab Golf Merapi.
"Tujuh dusun sudah hancur dibakar lahar panas selama dua hari dari Jumaat hingga Sabtu," kata seorang pegawai tempatan, Heri Suprapto, di Sleman dekat sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian keseluruhan sejak Gunung Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu kini meningkat kepada 138 orang.

Mayat-mayat mangsa korban dikumpulkan di pekarangan Hospital Sardjitodi Yogyakarta.



Seorang pegawai di Hospital Sardjito di sini, Sigit Priohutomo berkata, sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi kelmarin.
Sejumlah 44 lagi terkorban dalam letusan pertama gunung berapi berkenaan.
Kelmarin Gunung Merapi yang memiliki ketinggian 2,914 meter dari aras laut mengganas dengan memuntahkan lahar dan menghambur awan panas sejauh beberapa kilometer di udara.
Terbaru, Gunung Merapi kembali meletus pada pagi semalam dengan mengeluarkan awan panas dalam jumlah besar sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan. Gunung berkenaan mengeluarkan awam hitam yang menyelubungi udara manakala beberapa bunyi dentuman kuat turut didengari dari puncak gunung itu.
Penduduk dilihat memenuhi jalan-jalan raya dengan menaiki trak, kereta dan motosikal untuk meninggalkan zon berbahaya.
Selain manusia, binatang ternakan seperti lembu dan kambing turut dipindahkan.
Sementara itu, sukarelawan dan warga tempatan turut berkawal bagi melarang orang ramai daripada menghampiri zon berbahaya di sini.
Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Gunung Merapi dilihat masih menyemburkan awan panas ke udara manakala sekitar 200,000 orang telah mencari perlindungan di beberapa penempatan sementara di sini dan Jawa Tengah.
"Ia menakutkan. Letusan Gunung Merapi tak kunjung kebah," kata seorang penduduk, Wajiman, 58, yang berlindung di sebuah penempatan di Jawa Tengah. - Agensi

No comments:

Post a Comment