Friday, November 26, 2010

MENIPU SUDAH JADI BIASA....DAH TAK RASA BERDOSA...SEBAB DAH JADI MATA PENCARIAN...BAGAIMANA PULA WANG ITU DIGUNAKAN BAGI ANAK BINI MAKAN...

Pelajar kolej diperdaya

LUAHAN hati pelajar semester akhir peringkat ijazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan menjadi pilihan paparan Talian Hayat minggu ini.
Mereka mengadu mengenai pembiayaan pengajian yang sungguh mengelirukan apabila mereka mendakwa diperdaya pengurusan kolej.

Pelajar yang membuat aduan kepada Talian Hayat adalah sebahagian dari 300 pelajar kemasukan September 2009 di IPTS itu yang bakal menduduki peperiksaan akhir Disember ini. Namun tumpuan terhadap pengajian terjejas akibat terlalu runsing memikirkan pembiayaan yuran pengajian serta wang sara diri yang belum selesai.
Penerbit dan pengacara Talian Hayat, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim atau Wan K, berkata semua pelajar itu sudah melengkapkan pengajian di peringkat diploma di kolej yang sama. "Bagi menarik minat pelajar terbabit melanjutkan pengajian mereka pada peringkat ijazah untuk tempoh satu setengah tahun saja, pihak kolej didakwa menaburkan janji manis bahawa pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikatakan akan membiayai yuran pengajian pelajar.

"Malangnya sekitar Julai 2010, semua pelajar amat berduka cita apabila dimaklumkan pembiayaan pengajian dari pihak Mara tidak dapat dipertimbangkan. Kesan dari itu pihak kolej berusaha pula mendapatkan pembiayaan pengajian dari PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

"Apa yang menjadi keresahan pelajar terbabit adalah perjanjian dari pihak PTPTN pula didakwa mengelirukan dengan jumlah dan tempoh pembiayaan yang tidak relevan

"Untuk rekod setiap pelajar memerlukan pembiayaan sekitar RM45,000 termasuk wang sara diri bagi program ijazah selama setahun setengah. Sebaliknya perjanjian yang perlu ditandatangani pelajar memperincikan jumlah pembiayaan berjumlah RM70,000 bagi tempoh pembelajaran tiga tahun," atanya.

Jelas Wan K, menambah derita pelajar terbabit, biarpun semua pelajar dijangka menamatkan pengajian Disember ini, namun wang sara diri yang dimasukkan ke dalam akaun pelajar hanya RM100 bagi satu semester. Ini memberi lebih tekanan kepada pelajar apabila mereka terpaksa bergantung kepada keluarga untuk pelbagai perbelanjaan di semester akhir yang tinggi.
"Kebanyakan pelajar berasal dari luar bandar dan mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berada. "Lebih menyakitkan hati apabila pihak kolej terbabit didakwa cuba mengelak dari memberi penjelasan yang mereka perlukan. Tiada tarikh jelas bila wang sara diri mereka akan dimasukkan pihak kolej ke dalam akaun masing-masing," katanya.

Talian Hayat cuba merungkai kekusutan dengan membawa aduan pelajar terbabit kepada perhatian pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri. Kepada bakal pelajar di IPTS, jangan lupa saksikan episod seterusnya Talian Hayat, di ntv7, jam 7.30 malam ini sebagai pengajaran dan panduan bagaimana cara memilih IPTS dengan bijak


Suami dakwa pelakon ingkar

Oleh Muhamaad Razis Ismail

AMBIL TINDAKAN...Che Zambil (kanan) bersama Hafiz di Mahkamah Syariah, semalam.
AMBIL TINDAKAN...Che Zambil (kanan) bersama Hafiz di Mahkamah Syariah, semalam.
KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Che Zambil Ahmad memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya yang juga pelakon drama bersiri Cinta Antara Benua, Asdayanti Daut di Mahkamah Syariah di sini, semalam.
Che Zambil, 36, yang juga bekas pemain pasukan Kedah mengemukakan permohonan itu selepas mendakwa Asdayanti, 36, enggan mematuhi permohonan perintah kembali taat yang difailkan pada 1 November lalu.

Dia hadir bersama peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan di mahkamah pada jam 3.30 petang dan terus memasuki kaunter mahkamah untuk memfailkan permohonan berkenaan.

Hafiz ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Che Zambil dan isterinya sebelum ini pernah menjalani proses sulh (perbincangan) berhubung masalah rumah tangga mereka

Bagaimanapun, katanya, usaha itu menemui jalan buntu kerana Asdayanti didakwa masih ingkar dan sering ke luar negara bersama lelaki lain.

Menurutnya, dalam permohonan semalam, Che Zambil selaku plaintif menamakan Asdayanti sebagai defendan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kali pertama permohonan berkenaan.

Che Zambil mendirikan rumah tangga dengan pelakon berkenaan pada 21 April 1998 di Kubang Pasu, Kedah dan dikurniakan dua anak berusia setahun dan 11 tahun.



Rumah terbang dipukul ribut



MUSNAH...Abu Bakar menunjukkan rumahnya yang ranap dipukul ribut.
MUSNAH...Abu Bakar menunjukkan rumahnya yang ranap dipukul ribut.
KANGAR: Seorang petani, Abu Bakar Ahmad, 40, hanya mampu melihat keseluruhan rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang merosakkan kira-kira 16 rumah di sekitar Tambun Tulang, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Abu Bakar dan keluarganya yang menetap di Kampung Kepala 20, bernasib baik kerana berada di rumah kakaknya di Kampung Kepala 10 kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Saya bergegas pulang dari rumah kakak ketika angin ribut dan terkejut apabila mendapati rumah sudah tiada...yang tinggal hanya pelapik tiang konkrit.

“Sebahagian bumbung diterbangkan angin kira-kira 50 meter jatuh ke dalam petak sawah manakala dinding rumah bertaburan di tanah

“Ini musibah kedua melanda diri saya selepas kawasan rumah ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim, hadir melawat mangsa ribut itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.

Abu Bakar berkata, dia bersama isteri serta dua anak berusia dua dan lima tahun menetap di rumah kayu yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM5,000 sejak dua tahun lalu.

“Keseluruhan rumah kayu ini rosak teruk, termasuk tiang dan alangnya patah. Ia sukar untuk diperbaiki dan memerlukan kos tinggi untuk membinanya semula. Saya kini terpaksa menumpang di rumah kakak,” katanya.

Ribut terbabit menyebabkan 16 rumah di beberapa kampung sekitar Tambun Tulang rosak dan semua mangsa berkenaan baru menghadapi banjir besar.

Berdasarkan maklumat, daripada 16 rumah yang terjejas, tujuh dilaporkan membabitkan kediaman sekitar kawasan Long Boh, termasuk Kampung Kepala 20, selain lima di Kampung Baru, tiga di Tambun Tulang dan satu di Sungai Bakung.

Seorang mangsa, Rosnah Hamid, 47, ketika ditemui mengaku kehidupannya terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin apatah lagi kesan kerugian dan kerosakan akibat banjir besar baru-baru ini, masih belum pulih.

“Baru-baru ini, banyak barang terutama peralatan dalam rumah rosak selepas kediaman kami dinaiki air sehingga paras pinggang. Kini, belum selesai masalah itu, datang pula ribut memusnahkan bumbung dan dinding rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya menerusi Yayasan Pok dan Kassim (YPK) akan menyalurkan bantuan segera membina semula rumah untuk Abu Bakar yang musnah dalam kejadian ribut terbabit..

No comments:

Post a Comment